Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, April 22, 2013

Padan Muka Saya

Bismillahirrahmanirrahim...

14 April 2013 (Ahad) - Saya sepatutnya menaiki bas pada jam 10.45 pagi untuk pulang ke KL tetapi entah kenapa tidak sampai hati pula meninggalkan urusan rumah sewa begitu sahaja kepada Abah Ummi. Ditambah pula dengan kepulangan adik lelaki, BaYu dan keluarga pada hari Sabtu. Saya punya alternatif lain untuk pulang ke KL meskipun terpaksa menundanya kepada hari Isnin. Maka sempatlah saya menyempurnakan urusan pembersihan di rumah sewa terlebih dahulu. Pada masa yang sama, hanguslah duit tiket bas saya sebanyak RM39 huhu.
 
15 April 2013 (Isnin) - Saya, BaYu dan keluarganya memulakan perjalanan sekitar jam 3 petang untuk pulang ke KL. Perasaan memang sangat berat tetapi digagahkan juga apabila mengenangkan urusan tesis yang masih belum selesai. Alhamdulillah perjalanan kami lancar sehingga melepasi R&R Temerloh. Sebelum itu saya sudah meminta BaYu untuk menghantar saya ke Putrajaya Sentral kerana ingin mengambil kereta yang diparkirkan di situ. Saya sebenarnya kasihan juga kepada BaYu kerana saya tahu jarak untuk ke sana agak jauh dan dia terpaksa berpatah balik untuk pulang ke rumahnya di Sungai Buloh. Lalu saya menukar rancangan untuk hanya meminta BaYu menghantar saya ke stesen KL Sentral dan dari situ saya akan menaiki tren ke stesen Putrajaya. Semasa kepala saya ligat merencana pergerakan itu, tiba-tiba saya terfikir tentang sesuatu yang sangat penting.
 
"Aduh!" Saya menepuk dahi sendiri.
 
"Pak Pandir sungguh," luah saya dengan penuh kekesalan.
 
BaYu kehairanan.
 
"I tertinggal kunci kereta lah. Konon nak sorok beg tu daripada Adam, sekali terus terlupa. Lagi best, kunci rumah pula ada dalam kereta," ujar saya menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.
 
Tiba-tiba lagu dendangan Shidee, 'Sayang semuanya sudah terlambat' bermain-main di dalam kepala saya. Pada masa yang sama, telefon bimbit saya juga sudah kehabisan bateri dan pengecas pula entah ke mana. Namun terasa syukur juga kerana saya belum lagi menaiki tren di KL Sentral. Bayangkan jika saya sudah tiba di Putrajaya Sentral, dengan telefon yang sudah kehabisan bateri, malam yang semakin larut dan saya baru perasan ketiadaan kunci kereta. Pelbagai kemungkinan bermain di dalam kepala saat itu.
 
Jalan penyelesaian harus dicari segera. Lalu saya hubungi MakTeh yang berada di Langkawi untuk membantu mendapatkan tiket penerbangan pulang ke kampung pada keesokan pagi. Suka atau tidak, mahu atau tidak, saya terpaksa pulang juga kerana ada beberapa benda penting lain juga ada di dalam beg itu. Melayang RM344 untuk perjalanan pergi dan balik pada keesokan hari dan malam itu saya bermalam di rumah BaYu.
 
 
16 April 2013 (Selasa) - Seawal jam 6.30 pagi, saya meminta bantuan MakTeh untuk menghantar saya ke KLIA. Penerbangan dijangka pada jam 8.15 pagi dan kami tiba di KLIA sekitar jam 7.15 pagi. Kasihan MakTeh yang terpaksa bangun awal untuk menghantar saya ke KLIA dan dia juga baru tiba dari Langkawi pada malam tadi. Akhirnya, saya tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada jam 9.20 pagi. Lucu pula apabila dikenang semula. Malam tadi saya di KL dan pagi ini saya sudah berada di KT semula. Penerbangan pulang ke KL pula adalah pada jam 9 malam. Apa yang saya buat?
 
Justeru, saya perlu merangka aktiviti yang bersesuaian sementara menunggu waktu pulang dan menunggu ketibaan Abah Ummi yang datang untuk menghantar beg itu kepada saya. Lalu saya putuskan untuk menghabiskan masa di Perpustakaan Awam Terengganu berbekalkan laptop yang sengaja dibawa bersama. Saya ke sana dengan menaiki teksi kerana tidak mahu menyusahkan abang (BaHa) yang sibuk dengan tugas di pejabat tetapi saya telah memaklumkan kepada BaHa untuk menjemput saya di perpustakaan selepas tamat waktu pejabat kelak. Rupa-rupanya BaHa mempunyai tugasan luar di Pulau Redang dan keputusan saya untuk menaiki teksi ternyata tepat.
 
Untuk menggunakan kemudahan WIFI di situ, saya perlu menjadi ahli dan dikenakan bayaran sebanyak RM2 sahaja. Namun bukan soal bayaran yang saya kisahkan tetapi tahap perkhidmatan WIFI yang agak teruk cukup mengecewakan saya kerana perisian yang saya gunakan memerlukan kepada sambungan WIFI. Lebih mengecewakan apabila hanya satu unit peralatan sahaja dibenarkan untuk setiap pengguna WIFI. Akhirnya, tugasan saya tidak dapat disempurnakan sepertimana yang diharapkan.
 
BaHa dan keluarga tiba di perpustakaan pada jam 4 petang dan kami meluangkan masa untuk minum petang di Killiney's Kopitiam sementara menunggu ketibaan Abah Ummi. Memang saya pernah menyatakan hasrat untuk ke situ selepas membaca tentangnya di dalam sebuah majalah dan ternyata BaHa telah memenuhi hasrat saya itu. Namun ternyata ia hanya indah khabar dari rupa. Nampaknya ia bakal jadi kunjungan kami yang pertama dan terakhir ke situ.
 
Usai minum petang, kami kembali ke rumah BaHa di Chendering kerana Abah Ummi akan sampai tidak lama lagi. Kami sempat berehat dan berbual-bual seketika di rumah BaHa sebelum bersiap untuk menghantar saya ke lapangan terbang semula. Sempat juga saya bermain-main dengan anak saudara yang semakin hari semakin banyak akalnya.
 
Oleh kerana penerbangan adalah pada jam 9.15 malam dan saya sudah mendaftar masuk secara mobile,kami tidak terlalu tergesa-gesa untuk ke sana. Tiba di sana, usai bersalaman, saya terus memasuki balai berlepas tetapi nasib saya kurang baik kerana penerbangan ditunda kepada jam 9.55 malam berikutan cuaca buruk yang dialami oleh penerbangan daripada KLIA. Kerisauan saya adalah jika terlepas tren ke Putrajaya kelak. Lega apabila akhirnya kami dipanggil masuk menaiki penerbangan pada jam 9.40 malam dan akhirnya tiba di KLIA pada jam 10.30 malam. Memang berdebar juga semasa berdepan dengan cuaca buruk yang masih berlarutan dalam penerbangan kami.
 
Syukur kerana saya sempat menaiki tren terakhir dan tiba di Putrajaya Sentral pada jam 11.30 malam. Kemudian memandu pulang dan tiba di teratak pada jam 12.05 tengah malam. Penat? Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata tetapi ia salah sendiri dan saya pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian itu. Apapun, padan muka saya!