Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, April 23, 2013

Tukar Brake Pad

Bismillahirrahmanirrahim...

Memang sudah beberapa minggu saya bercadang untuk menukar brake pad kereta sejak ia sudah mula mengeluarkan bunyi setiap kali saya menekannya. Kali terakhir saya menukarnya adalah kira-kira setahun yang lalu. Mungkin ada yang merasa masih terlalu awal untuk saya menukarnya tetapi bagi gaya pemanduan seperti saya yang kerap balik kampung dan sering terperangkap dalam lalulintas, ia satu perkara yang normal. Namun hasrat untuk menukarnya sering terbantut kerana pelbagai sebab termasuk insiden tertinggal kunci rumah baru-baru ini. Justeru saya nekad untuk melakukannya pada hari ini kerana bunyi yang dikeluarkan semakin kuat dan cengkaman juga terasa semakin kurang. Lalu pagi ini saya terpaksa memandu dalam jarak yang lebih jauh daripada biasa dengan kereta di hadapan kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini. Nauzubillah. 

Sebelum ini saya sering menukarnya di bengkel yang menjadi kegemaran saya di Serdang Raya tetapi memandangkan saya sudah berada di sekitar KL, saya memutuskan untuk mendapatkan bantuan BaYu menemani saya ke kedai alat ganti yang pernah dikunjunginya sebelum ini. Ia terletak di Jalan Datuk Haji Eusoff, Pekeliling. Antara faktor lain saya memilih untuk ke situ adalah kerana alat ganti boleh diperoleh dengan harga yang lebih murah. Malah harga untuk pemasangan juga hanya dikenakan RM20 sahaja. Pun begitu, suasana bengkelnya sangat merimaskan dan menyesakkan dada. Rasanya jika berseorangan, saya sudah pasti tidak akan ke situ. 


Kedudukan bengkel di celah-celah bangunan buruk






Usai pemasangan, terpaksa pula menunggu giliran untuk keluar kerana ada kereta lain yang sedang diservis di belakang kereta saya. Sungguh merimaskan apabila berada dalam keadaan yang tidak bersistem sebegitu. Nampaknya lain kali saya hanya akan membeli alat ganti sahaja di kawasan tersebut dan memasangnya di bengkel yang biasa saya kunjungi sahaja. Yang pasti, lega rasanya apabila tiada lagi kedengaran bunyi-bunyian dan hati terasa lebih yakin sewaktu memandu. 

Monday, April 22, 2013

Padan Muka Saya

Bismillahirrahmanirrahim...

14 April 2013 (Ahad) - Saya sepatutnya menaiki bas pada jam 10.45 pagi untuk pulang ke KL tetapi entah kenapa tidak sampai hati pula meninggalkan urusan rumah sewa begitu sahaja kepada Abah Ummi. Ditambah pula dengan kepulangan adik lelaki, BaYu dan keluarga pada hari Sabtu. Saya punya alternatif lain untuk pulang ke KL meskipun terpaksa menundanya kepada hari Isnin. Maka sempatlah saya menyempurnakan urusan pembersihan di rumah sewa terlebih dahulu. Pada masa yang sama, hanguslah duit tiket bas saya sebanyak RM39 huhu.
 
15 April 2013 (Isnin) - Saya, BaYu dan keluarganya memulakan perjalanan sekitar jam 3 petang untuk pulang ke KL. Perasaan memang sangat berat tetapi digagahkan juga apabila mengenangkan urusan tesis yang masih belum selesai. Alhamdulillah perjalanan kami lancar sehingga melepasi R&R Temerloh. Sebelum itu saya sudah meminta BaYu untuk menghantar saya ke Putrajaya Sentral kerana ingin mengambil kereta yang diparkirkan di situ. Saya sebenarnya kasihan juga kepada BaYu kerana saya tahu jarak untuk ke sana agak jauh dan dia terpaksa berpatah balik untuk pulang ke rumahnya di Sungai Buloh. Lalu saya menukar rancangan untuk hanya meminta BaYu menghantar saya ke stesen KL Sentral dan dari situ saya akan menaiki tren ke stesen Putrajaya. Semasa kepala saya ligat merencana pergerakan itu, tiba-tiba saya terfikir tentang sesuatu yang sangat penting.
 
"Aduh!" Saya menepuk dahi sendiri.
 
"Pak Pandir sungguh," luah saya dengan penuh kekesalan.
 
BaYu kehairanan.
 
"I tertinggal kunci kereta lah. Konon nak sorok beg tu daripada Adam, sekali terus terlupa. Lagi best, kunci rumah pula ada dalam kereta," ujar saya menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.
 
Tiba-tiba lagu dendangan Shidee, 'Sayang semuanya sudah terlambat' bermain-main di dalam kepala saya. Pada masa yang sama, telefon bimbit saya juga sudah kehabisan bateri dan pengecas pula entah ke mana. Namun terasa syukur juga kerana saya belum lagi menaiki tren di KL Sentral. Bayangkan jika saya sudah tiba di Putrajaya Sentral, dengan telefon yang sudah kehabisan bateri, malam yang semakin larut dan saya baru perasan ketiadaan kunci kereta. Pelbagai kemungkinan bermain di dalam kepala saat itu.
 
Jalan penyelesaian harus dicari segera. Lalu saya hubungi MakTeh yang berada di Langkawi untuk membantu mendapatkan tiket penerbangan pulang ke kampung pada keesokan pagi. Suka atau tidak, mahu atau tidak, saya terpaksa pulang juga kerana ada beberapa benda penting lain juga ada di dalam beg itu. Melayang RM344 untuk perjalanan pergi dan balik pada keesokan hari dan malam itu saya bermalam di rumah BaYu.
 
 
16 April 2013 (Selasa) - Seawal jam 6.30 pagi, saya meminta bantuan MakTeh untuk menghantar saya ke KLIA. Penerbangan dijangka pada jam 8.15 pagi dan kami tiba di KLIA sekitar jam 7.15 pagi. Kasihan MakTeh yang terpaksa bangun awal untuk menghantar saya ke KLIA dan dia juga baru tiba dari Langkawi pada malam tadi. Akhirnya, saya tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada jam 9.20 pagi. Lucu pula apabila dikenang semula. Malam tadi saya di KL dan pagi ini saya sudah berada di KT semula. Penerbangan pulang ke KL pula adalah pada jam 9 malam. Apa yang saya buat?
 
Justeru, saya perlu merangka aktiviti yang bersesuaian sementara menunggu waktu pulang dan menunggu ketibaan Abah Ummi yang datang untuk menghantar beg itu kepada saya. Lalu saya putuskan untuk menghabiskan masa di Perpustakaan Awam Terengganu berbekalkan laptop yang sengaja dibawa bersama. Saya ke sana dengan menaiki teksi kerana tidak mahu menyusahkan abang (BaHa) yang sibuk dengan tugas di pejabat tetapi saya telah memaklumkan kepada BaHa untuk menjemput saya di perpustakaan selepas tamat waktu pejabat kelak. Rupa-rupanya BaHa mempunyai tugasan luar di Pulau Redang dan keputusan saya untuk menaiki teksi ternyata tepat.
 
Untuk menggunakan kemudahan WIFI di situ, saya perlu menjadi ahli dan dikenakan bayaran sebanyak RM2 sahaja. Namun bukan soal bayaran yang saya kisahkan tetapi tahap perkhidmatan WIFI yang agak teruk cukup mengecewakan saya kerana perisian yang saya gunakan memerlukan kepada sambungan WIFI. Lebih mengecewakan apabila hanya satu unit peralatan sahaja dibenarkan untuk setiap pengguna WIFI. Akhirnya, tugasan saya tidak dapat disempurnakan sepertimana yang diharapkan.
 
BaHa dan keluarga tiba di perpustakaan pada jam 4 petang dan kami meluangkan masa untuk minum petang di Killiney's Kopitiam sementara menunggu ketibaan Abah Ummi. Memang saya pernah menyatakan hasrat untuk ke situ selepas membaca tentangnya di dalam sebuah majalah dan ternyata BaHa telah memenuhi hasrat saya itu. Namun ternyata ia hanya indah khabar dari rupa. Nampaknya ia bakal jadi kunjungan kami yang pertama dan terakhir ke situ.
 
Usai minum petang, kami kembali ke rumah BaHa di Chendering kerana Abah Ummi akan sampai tidak lama lagi. Kami sempat berehat dan berbual-bual seketika di rumah BaHa sebelum bersiap untuk menghantar saya ke lapangan terbang semula. Sempat juga saya bermain-main dengan anak saudara yang semakin hari semakin banyak akalnya.
 
Oleh kerana penerbangan adalah pada jam 9.15 malam dan saya sudah mendaftar masuk secara mobile,kami tidak terlalu tergesa-gesa untuk ke sana. Tiba di sana, usai bersalaman, saya terus memasuki balai berlepas tetapi nasib saya kurang baik kerana penerbangan ditunda kepada jam 9.55 malam berikutan cuaca buruk yang dialami oleh penerbangan daripada KLIA. Kerisauan saya adalah jika terlepas tren ke Putrajaya kelak. Lega apabila akhirnya kami dipanggil masuk menaiki penerbangan pada jam 9.40 malam dan akhirnya tiba di KLIA pada jam 10.30 malam. Memang berdebar juga semasa berdepan dengan cuaca buruk yang masih berlarutan dalam penerbangan kami.
 
Syukur kerana saya sempat menaiki tren terakhir dan tiba di Putrajaya Sentral pada jam 11.30 malam. Kemudian memandu pulang dan tiba di teratak pada jam 12.05 tengah malam. Penat? Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata tetapi ia salah sendiri dan saya pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian itu. Apapun, padan muka saya!
 
 

Friday, April 12, 2013

Satu Perjalanan

Gate A7, KLIA, 1.48 petang.

Hidup memang satu perjalanan yang pasti ada penghujungnya. Perancangan untuk datang awal ke KLIA untuk melepak di anjung tinjau sementara menunggu waktu penerbangan gagal kerana kelemahan diri sendiri. Saya hanya tiba sejam lebih awal dan sempat untuk makan tengahari serta solat jamak. Satu nikmat yang patut disyukuri adalah ruang untuk menunaikan solat ada disediakan di mana-mana sahaja. Hanya tinggal kemahuan diri sendiri sahaja sama ada untuk menunaikannya atau tidak.

Semasa makan tengahari, saya ditegur oleh staf Eraman yang meminta izin untuk duduk di meja saya yang boleh memuatkan 6 orang. Dengan senang hati saya menerima permintaan mereka. Ternyata mereka cukup mesra dan senang diajak berbual. Sekurang-kurangnya saya tidak kebosanan sementara menunggu waktu berlepas. Namun kami tidak dapat berbual lama kerana saya perlu bergerak masuk ke balai berlepas.

Waktu penerbangan adalah pada jam 2.40 petang dan kelihatan sudah ramai penumpang yang menunggu untuk masuk ke ruang menunggu. Lucu pula apabila saya menjadi orang pertama untuk memasukinya kerana palang dibuka sebaik saya menghampirinya.

Antara KLIA dan LCCT, saya lebih selesa dengan suasana di KLIA. Terus-terang saya cukup rimas dengan kekalutan di LCCT. Ia adalah pilihan terakhir saya. Kali ini saya pilih MAS kerana harga tiketnya jauh lebih murah daripada AA. Dari segi keselesaan untuk datang ke KLIA juga memang jauh berbeza. Saya hanya perlu memarkir kereta di Putrajaya Sentral dan menaiki tren terus ke KLIA. Jika ke LCCT, saya perlu turun di stesen Salak Tinggi dan menaiki bas pula untuk ke sana.

Perasaan untuk pulang ke kampung pada kali ini bercampur-baur. Hari Ahad saya akan kembali ke sini dengan menaiki bas dan turun di Putrajaya. Satu kepulangan yang singkat tetapi penuh makna buat saya. Sekurang-kurangnya ia dapat menghilangkan ketegangan yang sedang saya harungi untuk menyiapkan tesis. Syukur kerana semalam saya terima e-mel memaklumkan yang tarikh penghantaran telah ditunda. Mungkin kerana tarikh sebelum ini berselisih dengan tarikh pilihanraya.

Ok, masa untuk masuk ke dalam belon.

Tuesday, April 9, 2013

Tesis oh Tesis!

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhir-akhir ini memang hidup saya terfokus sepenuhnya untuk menyiapkan tesis sahaja. Apa tidaknya, jangkaan saya silap apabila tarikh serahan adalah pada awal bulan Mei ini dan bukannya bulan Jun. Maka menggelupurlah saya mengejar baki waktu yang masih ada. Saat-saat begini memang rasa ingin menyendiri sahaja walaupun dalam hati memang teringin untuk berbuat macam-macam.

Apapun, setiap kejayaan sememangnya memerlukan kepada pengorbanan. Maka inilah pengorbanan yang perlu saya buat demi untuk menyempurnakan pengajian yang sudah masuk semester akhir. Lucunya apabila ada rakan-rakan yang seolah-olah tidak percaya yang saya bakal menamatkan pengajian pada pertengahan tahun ini. Jangankan mereka, saya sendiri pun sebenarnya masih berada dalam keadaan tidak bersedia untuk kembali ke kantor huhu. Kehidupan akan kembali menjadi rutin waktu pejabat seperti sebelum menyambung pengajian. Mungkin tiada lagi aktiviti merayap di kala orang lain sedang bertungkus-lumus di kantor. Iya , belajar pun sibuk juga tapi perasaannya beda amat. Kalau boleh diistilahkan, tempoh cuti belajar ini saya rasa sangat lepas bebas. Benar juga kata orang, setiap yang bermula akan berakhir kerana tiada yang abadi di dunia ini.

Dalam kegigihan menyiapkan tesis ini, keanehan yang sering saya lakukan sewaktu di peringkat ijazah dulu masih berterusan iaitu idea mencurah-curah apabila jam melepasi 12 tengah malam. Sudahnya, sampai ke Subuh rasa mengantuk itu tidak hadir. Natijahnya, saya jadi agak ting tong pada waktu siang sedangkan ada urusan-urusan tertentu yang hanya boleh diselesaikan pada waktu siang sahaja.

Saya perlu bertahan sehingga tiba saat tarikh serahan iaitu 6 Mei dan tarikh VIVA pula dijangka pada 14 Mei. Cuak? Memang pastilah tapi itu biasa. Pelik pula kalau tak rasa cuak. Itu namanya over-confident. Saya bukan jenis begitu. Saya lebih suka bersikap bersedia berbuat yang terbaik dan kemudian berserah.

Dalam tempoh ini juga, memang saya tahan diri daripada pulang ke kampung kerana setiap saat amat berharga namun terpaksa beralah untuk balik juga pada hujung minggu ini untuk urusan rumah sewa. Syukur sudab ada pelajar UiTM yang akan mula menyewa pada bulan ini.

Kembali dari kampung, saya akan kembali berhibernasi sehingga selesai tugasan. Semoga saya terus tabah.

Thursday, April 4, 2013

10k Langkah Sehari

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhirnya, hari ini saya berjaya melepasi sasaran untuk berjalan melebihi 10 ribu langkah. Tambah bersemangat bila memakai kasut baru hehe. Pada mulanya memang malas juga tetapi saya terpaksa lawan perasaan itu.

Saya sebenarnya memang agak risau dengan tahap kecergasan diri semenjak asyik duduk sahaja menghadap tesis yang belum selesai. Salah sendiri juga kerana banyak bertangguh dengan pelbagai alasan huhu. Kini terpaksa benar-benar fokus demi untuk memastikan ia dapat dihantar pada awal bulan Mei.

Apapun, selepas ini saya nekad untuk kembali aktif mengeluarkan peluh pada setiap petang dan juga menyarung kembali baju renang yang juga sudah beberapa bulan tidak diusik. Kesihatan yang baik adalah satu perkara yang tiada galang gantinya.

Semoga saya terus istiqomah!




Tuesday, April 2, 2013

Pink atau Biru?

Bismillahirrahmanirrahim...

Memang dah lama saya mencari kasut sukan tidak bertali sebab saya rasa leceh setiap kali tali yang diikat menjadi longgar dan terburai semasa tengah berjalan.

Jadi bila saya jumpa kasut sukan berzip di kedai Bata (ya, saya pelanggan setia Bata), terus saya beli sepasang. Dijual dalam dua warna iaitu pink dan biru. Biasalah, bila nak beli apa-apa, kita suka dapatkan pandangan kedua sama ada daripada ahli keluarga ataupun kawan-kawan. Kadang-kadang bukan ikut pun pandangan itu tapi sekadar untuk memuaskan hati sahaja. Oleh sebab saya pergi berseorangan, saya WhatsApp MakTeh untuk membuat pilihan warna.

Jawapan MakTeh memang menusuk kalbu,

"Biru. Pink hanya untuk mereka yang berusia 30an ke bawah sahaja."

Cis. Mujur juga saya memang tidak minat warna pink. Memang dari awal berhajat nak beli warna biru.

Ok, lepas ini kena kembali aktif jogging sebab dah ada motivasi baru.