Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, March 29, 2013

Rafting di Kelab Tasik Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini saya sungguh seronok kerana dapat bertemu dan berbual-bual dengan teman-teman seperjuangan di Kelab Tasik Putrajaya. Sengaja kami pilih tempat ini kerana suasananya yang tidak begitu bingit dan lebih selesa bagi yang membawa anak kecil.

Rafting. Ya itu istilah yang kami gunakan untuk menamakan aktiviti sebegini. Ia mula digunakan selepas kami mengikuti kursus modul luar di OBS Lumut yang memerlukan kami untuk mengelilingi Pulau Pangkor dengan menaiki kayak. Rafting merupakan salah satu kaedah untuk berhenti rehat seketika di tengah-tengah laut dengan merapatkan beberapa buah kayak supaya ia tidak terbalik apabila dilambung ombak. Ia juga merupakan salah satu kaedah untuk memastikan ahli kumpulan mencukupi dan tidak ada yang tertinggal jauh ke belakang. Sejak itu, setiap kali ingin mengadakan pertemuan, kami menggunakan perkataan rafting dan ia memang ada benarnya juga. Di saat kita merasakan yang kita hampir-hampir penat meredah lautan kerjaya dan kehidupan yang kekadang cukup melelahkan, aktiviti rafting bersama teman-teman yang memahami sangat melegakan. Ia memberi nafas dan semangat baru kepada kita untuk meneruskan langkah seterusnya dengan lebih yakin. 



Rafting pada kali ini lebih kepada ingin meraikan teman kami yang bakal melahirkan anak sulung iaitu Suriati. Terasa macam baru semalam saya menghadiri majlis perkahwinan beliau di Shah Alam dan kini kami berdebar-debar menunggu saat dia bakal bergelar seorang ibu pula. Sungguh pantas masa berlalu.

Entah apa yang difikirkan oleh Azlina a.k.a Arab tapi Adi dan Aida Manap tetap posing juga haha

Suriati, Kak Pah dan Ikhlas (Ikky)

Saya dan si cilik Arumi, anakanda Aida Manap

Bersatu kita teguh

Dari sudut yang lain pula

Paling mengujakan apabila teman kami yang lebih mesra dipanggil Kak Pah sanggup datang daripada pejabat di Kuala Lumpur menyertai rafting pada kali ini. Selesai rafting, Kak Pah terus bergegas pulang ke pejabatnya untuk menghadiri mesyuarat pada jam 3 petang. 

Banyak yang kami bualkan termasuk kisah-kisah lalu yang sentiasa menggelikan hati meskipun ia sudah berulang kali diceritakan terutama sewaktu kami mengikuti kursus selama 6 bulan di INTAN dahulu. Ia kekal segar dalam ingatan kami malah ia seolah-olah 'pengikat' antara kami. 

Terima kasih kepada teman-teman yang hadir. Kalian menceriakan hari saya pada hari ini. 

Tuesday, March 26, 2013

Wong Solo, Poslaju dan MyEG

Bismillahirrahmanirrahim...

Apa kaitan ketiga-tiga subjek itu?

Pagi ini, selepas sedikit emosi dengan kejadian pecah masuk rumah Abah Ummi, saya hubungi Tmot untuk mengadu nasib dan bertanya tentang perancangan kami untuk makan tengahari bersama kawan-kawan di tempat kerja lama. Dukacita perancangan tersebut terpaksa dibatalkan sebab si tukang belanja terperangkap dalam mesyuarat. Maka Tmot dengan sukacita bersetuju untuk membelanja saya makan tengahari sebagai memenuhi janjinya sebelum ini. Saya sebenarnya tidaklah kisah sangat jika Tmot tidak membelanja saya atas 'pertolongan tidak jadi' sebelum ini tapi kata orang-orang tua, rezeki jangan ditolak. Lalu berkomunikasilah kami melalui WhatsApp:

Tmot: Nak lunch katner n kol baper? Aku cam bese ah, tesis...tapi kena makan gak! Haha
Saya: Lunch kul 12. Tmpt ko decide la. Aku folo je orang nak belanje. Haha. Nak gi Seoul xdapek. 
Tmot: Ko nak makan katner? Bangi? SK (Seri Kembangan)? Serdang?
Saya: Kalo tnya aku, Wong Solo? Haha
Tmot: Okeh jom Wong Solo.

Yeay! Punyalah seronok saya rasa sebab memang dah beberapa hari saya teringin nak makan di situ. Sebelum ini saya ada ajak seorang kawan makan malam di situ tapi dia sibuk pula. Rupanya Allah dah tentukan yang saya akan dibelanja makan di situ pada hari ini.

Tmot menambah pesanan

Set ayam bakar

Mujur kami tiba tepat jam 12 tengahari sebab selepas itu memang orang sangat ramai sehingga ada yang sanggup berdiri menunggu meja kosong. Puas dapat makan set ayam bakar dan balado cumi petai. Terima kasih Tmot sebab menaja makan tengahari pada hari ini di tempat yang menepati seleraku :)

Dari Wong Solo, terus ke pejabat Poslaju Bandar Baru Bangi sebab tadi masa nak keluar pagar rumah, ada notis Poslaju tertampal di situ. Maka lepas makan, terus singgah untuk ambil barang berkenaan. Macam diatur pula sedangkan masa saya pilih untuk makan tengahari di Wong Solo, saya belum tahu kewujudan notis itu di pagar. Semasa nak melangkah masuk pejabat Poslaju, kelihatan seorang wanita sedang tertunduk-tunduk ke arah longkang yang berada betul-betul di tepi pintu. Muncul seorang lelaki cuba membantu wanita berkenaan dan saya turut menjenguk untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Rupa-rupanya wanita itu tercicir Kad Pengenalan di dalam longkang itu dan tidak tahu cara untuk mendapatkannya semula. Lelaki itu berusaha membantu dengan cuba mengangkat besi yang menutupi longkang tetapi ia seperti dipateri di situ. Lalu saya cuba memberi idea untuk menguis sahaja Kad Pengenalan tersebut melalui lubang besi dan ternyata ia berkesan. Lucunya apabila saya memandang lelaki tersebut dan terasa seperti pernah melihat dia lalu saya terus meneka,

"Laaaa, ini Izwan Zainal kan?" saya menyebut namanya yang digunakan di dalam facebook.

Muka Izwan macam terkejut dan bertanya,

"Siapa ni?"

Sambil tertawa saya berkata,

"Karimah lah."

"Selama ini jumpa kat facebook je," kata Izwan sambil muka masih terkejut kerana saya cam dia. 

Memanglah saya cam dia kerana pernah sama-sama belajar di UIA dan baru-baru ini dia ada membantu saya memperkenalkan seorang wireman yang sehingga hari ini menjadi kenalan saya pula. Malah saya sangat berpuas hati dengan khidmat wireman tersebut dan hal itu pernah saya kongsikan dalam entri terdahulu.

Selesai urusan di Poslaju, mulanya saya bercadang nak ke UTM tapi bila tengok jam dah pukul 1.30 petang, saya jadi malas. Lalu saya ke Mines sebentar untuk membeli barang dan terus pulang ke teratak. 

Sekitar jam 5 petang, saya terima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

"Hello kak, Taman XXX ini kat mana ye?" kedengaran suara seorang lelaki di hujung talian.

"Sekarang ada kat mana?" Tanya saya pula.

"Sekarang saya kat Petronas Taman XXX," jawab lelaki itu.

"Oh, tak jauh dah tu. Depan skit, ada simpang ke kanan. Itulah Taman XXX," terang saya sebelum tiba-tiba rasa ingin tahu timbul.

"Jap, awak dari mana ye?" Tanya saya lagi.

"Saya nak hantar roadtax ni kak," jawab lelaki itu.

Oh ya, baru saya teringat yang malam tadi saya sudah menguruskan pembaharuan cukai jalan melalui MyEG.  Mujur juga tadi saya telah membatalkan hasrat untuk ke UTM. 



Kesimpulannya, setiap yang berlaku adalah di dalam aturanNya jua. Kita manusia hanya mampu merancang, Dia yang tentukan. 

Dipecah Masuk Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Pagi tadi, emosi saya terganggu apabila mendapat berita yang rumah kami di kampung dipecah masuk lagi. Ini kejadian kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan. Memang melampau sungguh perbuatan sebegini. 


Kejadian pertama berlaku sewaktu saya sedang dalam perjalanan pulang untuk menyerahkan kereta kepada Abah. Waktu itu rasa kalau kereta ada sayap, pasti saya sudah terbang supaya cepat tiba. Mujur juga Abah Ummi tiada di rumah sewaktu kejadian berlaku.   

Saya masih boleh bersabar semasa kejadian pertama dulu malah menganggap ia sebagai kaffarah buat kami tetapi apabila kejadian yang sama berulang lagi, oleh orang yang kami yakini sama kerana modus operandi yang hampir sama, saya jadi sangat marah. Saya marah bukan kerana sekadar geram perbuatan mencuri barangan berharga tetapi lebih kepada geram kerana sikap kurang ajar menceroboh ruang peribadi keluarga kami. Sewenang-wenangnya keluar masuk rumah kami seolah tidak berpenghuni. 

Kami buat repot polis untuk kedua-dua kejadian ini tetapi tiada tindakan yang dapat diambil oleh polis untuk menangkap suspek kerana tiada bukti kukuh. Tidak mungkin polis ingin bertindak berdasarkan andaian kami sahaja. Tambahan pula, agak sukar untuk membuat tuduhan apabila membabitkan orang kampung sendiri kecuali kami mendapat bukti jelas. Sebagai langkah drastik, Abah terus memasang grill di pintu utama di pintu dapur. Memang pelik apabila melihat rumah kampung dipasang grill tetapi apakan daya jika itu jalan penyelesaiannya. Paling saya risaukan adalah jika penceroboh berkenaan berani pula masuk semasa Abah Ummi berada di dalam rumah. Setakat ini, suspek tersebut menceroboh pada waktu yang diketahui Abah Ummi tiada di rumah sahaja malah perkara sebegini yang membuatkan rasa syak kami kuat terhadap suspek berkenaan yang seolah-olah mengetahui pergerakan Abah Ummi. 

Monday, March 25, 2013

Jom Menapak

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya suka betul dengan apps 'Moves' yang baru dimuatturun dalam mobile ini. Senang nak semak jumlah langkah setiap hari. Sasaran saya lepas ini adalah minimum 8 ribu langkah sehari dan jika boleh mencecah 10 ribu langkah. Sebelum ini saya memang pernah terbaca kempen oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya kita berjalan sekurang-kurangnya 10 ribu langkah setiap hari untuk kekal sihat dan cergas tetapi saya selalu terfikir, macamana nak kira bilangan langkah tu selain guna pedometer? Akhirnya, apps ini adalah jalan penyelesaiannya.

Perhatikan rekod bilangan langkah saya beberapa hari ini. Nampaknya masih gagal mencapai sasaran sepaturnya. Semoga lebih gigih lagi selepas ini demi kesihatan berpanjangan.






Jangan Mudah Mengalah

Bismillahirrahmanirrahim…

Lokasi: PSZ, UTMKL

Ya Allah, mata dah berair, menguap entah buat kali ke berapa, pandangan dah berbalam-balam.

Serius, mengantuk gila!

Penatnya seolah-olah tak berpenghujung. Puncanya tak lain dan tak bukan, pasti akibat aktiviti hidup yang agak bercelaru akhir-akhir ini. Ditambah pula dengan rehat yang tak menentu. Pada saya, beza sungguh lena tidur di waktu malam dan siang. Tidur pada waktu malam rasanya lebih nikmat berbanding siang. Malam tadi dekat jam 3 pagi baru dapat lelapkan mata. Kasihan kawan saya yang tumpang bermalam tetapi tak dapat nak berborak seperti dulu-dulu. Pernah sekali tu, sakan kami berborak sampai tak perasan dah nak masuk waktu Subuh.

Petang semalam saya dan adik-adik menapak seluruh asrama (mahallah) yang ada di dalam UIA. Penat tapi berbaloi. Tujuannya adalah untuk menampal iklan homestay kami yang telah beroperasi sejak bulan ini. Alhamdulillah, sudah ada pelanggan yang menyewa tetapi belum begitu rancak. Oleh sebab kedudukan homestay yang berdekatan dengan UIA, sasaran kami sudah tentulah keluarga pelajar UIA terutama pada musim pendaftaran pelajar baru dan konvokesyen kelak. 



Sempat solat Asar di sebuah surau dalam kawasan mahallah

Perjuangan diteruskan walau hari semakin gelap


Chatime sebagai upah menampal iklan

UIA - di sini saya mengenal erti kehidupan


Kadang-kadang terasa macam nak berehat panjang di tempat yang aman damai, Bukit Fraser contohnya atau di mana-mana pulau tapi kerisauan menyiapkan tesis mengatasi segala-galanya.

Selagi belum siap selagi itulah jiwa saya rasa serba tak kena. Rasa sukar nak fokus kepada urusan lain. Kalau saya cuba buat pun, hasilnya pasti tidak seperti diharapkan.

Yang pasti, perasaan orang yang bersalah memang begini. Sentiasa berdebar-debar diselubungi kecuakan akibat silap sendiri yang gagal mematuhi jadual yang telah dibuat. Akibatnya, projek lewat daripada jadual dan saya sendiri yang terperangkap.

Apapun, saya takkan mengalah. Bukan prinsip saya buat kerja separuh jalan. Dalam sisa-sisa waktu yang masih berbaki ini, saya akan lakukan apa jua yang terdaya untuk memperbaiki kembali kesilapan yang telah berlaku. Dengan harapan saya akan berjaya menyempurnakannnya dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh penaja. InsyaAllah. 


Hari ini Abah Ummi pula akan pulang ke kampung selepas 4 hari berada di sini. Semoga mereka selamat sampai ke destinasi dengan ditemani adik saya, MakTeh yang turut pulang sempena cuti sekolah.

Saturday, March 23, 2013

Perlukah Saya Marah?

Bismillahirrahmanirrahim...

Kak Ina Station, UTMKL.

Saya tiba awal di UTM dengan niat untuk menghabiskan masa di perpustakaan sepanjang hari ini. Perkara pertama yang dibuat adalah mengambil kunci bilik carrel dan meninggalkan barang-barang di situ sebelum ke kafeteria yang berada di dalam kawasan kampus untuk bersarapan.

Tiba di kafe, saya terus mengambil makanan dan menuju ke kaunter bayaran. Kelihatan seorang pekerja sedang ralit membersihkan sudu dan garfu tanpa memperdulikan kehadiran saya yang berdiri di hadapannya. Hampir seminit saya menunggu dia bersuara memberitahu harga makanan yang saya ambil tetapi dia masih meneruskan kerjanya dengan penuh khusyuk. Saya lantas bersuara,

"Berapa ni dik? Takkan nak kena tanya dulu baru nak cakap," luah saya dengan nada sedikit geram.

Sambil menjeling dan nada yang sedikit tinggi, pekerja itu menjawab,

"3 ringgit. Dah cakap tadi, dia yang tak dengar."

"Amboi." Jawab saya dengan nada geram juga sambil menghulurkan wang kepadanya.

Usai mendapat wang baki, saya segera beredar menuju ke meja berdekatan. Malas untuk melayan perangai mengada-ngada sebegitu. Hilang selera saya untuk makan apabila berhadapan dengan perangai sebegitu. Namun saya teruskan juga suapan sekadar untuk mengalas perut sahaja.

Bermacam-macam andaian bermain di dalam kepala saya. Di satu sudut, saya merasakan alangkah bagusnya kalau saya tinggalkan saja makanan itu tanpa menjamahnya apabila dilayan sebegitu. Namun begitu, di satu sudut yang lain pula saya merasakan betapa bodohnya saya jika bertindak demikian dan melayan ketidakmatangan pekerja itu yang jelas lebih muda daripada saya.

Saya hembuskan nafas lega. Meneruskan rasa marah atas insiden tadi hanya akan membazirkan tenaga saya sahaja. Lebih baik dihabiskan kepada niat asal saya ke sini pada hari ini. Jika dilayan rasa marah tadi pasti saya jadi jauh lebih tidak matang sedangkan saya memakai kad matrik pelajar sarjana.

Jom sambung tugasan!

Wednesday, March 20, 2013

Cuak

Bismillahirrahmanirrahim...

Orang bersalah memang akan rasa begini huhu. Penat dan mengantuk tapi mata enggan lena. Ini semua gara-gara perkembangan tesis yang sangat ketinggalan jauh dari perancangan. Aduhai saya rasa sangat cuak dan cuak jua.

Selepas ini memang saya kena beri tumpuan penuh dan fokus untuk menyiapkan tesis mengikut perancangan asal. Pecutan kena lebih laju untuk mengganti masa yang jauh ketinggalan itu. Banyak aktiviti terutama mengembara terpaksa saya tangguhkan buat sementara waktu demi menyempurnakan tugasan akhir sebagai seorang pelajar ini. Rasa tidak percaya yang semester ini adalah yang terakhir pun ada juga tapi inilah hakikat yang harus saya hadapi. Masa berlalu dan akan terus berlalu.

Ya Allah, berilah saya kekuatan untuk menyempurnakan tanggungjawab ini dengan sesempurna mungkin. Amin.

Sunday, March 17, 2013

Ia Bukan Sekadar Sebuah Kereta

Bismillahirrahmanirrahim...
 
PENCARIAN BERMULA
 
Pada awalnya saya agak ragu-ragu sama ada ingin menukilkan pengalaman yang saya lalui ini di dalam blog atau tidak kerana bimbang akan menimbulkan beberapa persepsi yang mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu. Namun setelah menapis beberapa peristiwa yang mungkin akan memberi persepsi negatif tersebut, saya akhirnya memutuskan untuk mencatatkan pengalaman yang begitu berharga buat saya ini. Meskipun pada awalnya ia antara yang sangat membuntukan, apabila selesai ia telah menjadi antara perkara manis dalam hidup saya.
 
Segalanya bermula apabila saya bercadang untuk membantu Abah membeli kenderaan yang lebih selesa untuk kegunaan harian. Pengalaman saya menaiki kereta Nissan Sylphy milik seorang teman membuatkan saya memilih kenderaan tersebut untuk kegunaan Abah. Mujur ia mendapat sokongan adik-adik selepas kami pergi sendiri ke bilik pameran Nissan. Pun begitu, selepas mengambilkira beberapa faktor termasuk bayaran bulanan, saya memutuskan untuk membeli kereta terpakai sahaja tetapi berada dalam keadaan yang masih baik.
 
Bermula bulan Januari 2013, pencarian saya dan adik-adik bermula melalui laman-laman web yang menjual kereta terpakai. Ummi menginginkan kereta yang berwarna putih kerana tampak lebih elegan katanya. Pernah juga kami cuba membawa Abah dan Ummi melihat sendiri kereta tersebut di kedai kereta terpakai tetapi malangnya ketiadaan stok.
 
Maka saya meneruskan pencarian secara online dan kali ini saya memilih untuk membeli secara terus daripada pemilik asal kerana saya yakin harganya jauh lebih murah berbanding di kedai. Dalam proses itu, saya cuba menghubungi pemilik-pemilik tersebut tetapi hampir kesemuanya sudah terjual. Hampir-hampir saya berputus asa mencarinya, lebih-lebih lagi apabila gagal menemui kereta yang berwarna putih seperti yang Ummi inginkan.
 
Selepas hampir sebulan mencari, saya kemudiannya tergerak hati untuk menghubungi pemilik yang telah mengiklankannya di Mudah.my. Antara faktor yang mendorong saya untuk menghubungi beliau (Mr. Navneet Gupta) adalah kerana mileage keretanya yang rendah iaitu 28000km. Beliau telah menghubungi saya semula pada hari yang sama untuk menjemput saya melihat keadaan keretanya lalu saya mengajak adik (PakSoo) untuk menemani saya. Oleh kerana beliau mempunyai urusan lain pada waktu yang saya tetapkan, beliau telah meminta saya untuk menemui isteri beliau yang menunggu di rumah. Lalu tanpa banyak soal, saya dan PakSoo ke rumah beliau yang terletak di Kiara Ville, Mont Kiara. Hati saya mula tertanya-tanya siapa sebenarnya pemilik kereta tersebut apabila melihat keadaan kediaman beliau.
 
Kedatangan kami disambut baik oleh isteri beliau (Mrs. Aparna) dan telah membawa kami meninjau sendiri keadaan kereta yang telah lama tidak digunakan kerana cukai jalan telah tamat tempoh. Agak terkejut juga saya apabila nombor plet yang terpapar adalah nombor plet kedutaan. Hasil perbualan bersama Mrs. Aparna, mereka sebenarnya akan pulang ke India pada penghujung bulan Februari ini kerana telah tamat tempoh perkhidmatan selama 2 tahun di Malaysia. Mereka bercadang untuk menjual kereta tersebut kerana telah mempunyai kereta lain di India dan kereta yang ingin dijual ini dibeli melalui kedutaan sewaktu mula-mula tiba di Malaysia.
 
Kali pertama melihat kereta itu, kami terus jatuh hati dan selepas memeriksa sendiri keadaan enjin, hati kami kuat untuk membelinya tetapi kami perlu membincangkan soal harga bersama suaminya, Mr. Navneet.  Pulang daripada rumah mereka, saya SMS kepada Mr. Navneet yang masih berada di Putrajaya memaklumkan yang kami telah menemui isteri beliau dan berpuas hati dengan keadaan kereta tersebut dan akan menghubungi beliau semula.
 
Mulanya kami agak hairan juga dengan mileage kereta yang masih rendah tetapi apabila dimaklumkan yang kereta tersebut hanya digunakan di sekitar Lembah Klang sahaja untuk kegunaan peribadi dan ditambah pula isteri beliau tidak memandunya, saya boleh menerima alasan kadar mileage yang masih rendah itu. Kemudian apabila kami berbual, saya mendapat tahu yang tugas Mr. Navneet memerlukan beliau banyak bertugas di negara-negara ASEAN menyebabkan dia hanya memandu kereta tersebut pada waktu-waktu tertentu sahaja iaitu apabila berada di pejabatnya di Malaysia.
 
Keesokan harinya, Mr. Navneet menghubungi saya untuk bertanya sama ada saya berminat untuk membelinya. Saya sebenarnya sudah berbincang dengan PakSoo dan menetapkan harga yang menjadi pilihan kami. Jadi apabila Mr. Navneet menghubungi saya, sengaja saya nyatakan harga yang lebih rendah daripada yang ditawarkan oleh beliau dengan harapan kadarnya menepati pilihan kami. Ternyata taktik kami menjadi apabila beliau menetapkan kadar yang kami fikirkan wajar tetapi sengaja juga saya tangguhkan persetujuan selama beberapa jam atas alasan untuk berbincang terlebih dahulu. Saya yakin beliau juga terdesak untuk menjualnya kerana masa yang tinggal sebelum beliau pulang ke India hanya berbaki 15 hari sahaja.
 
Dalam masa yang sama, untuk mengelakkan sebarang masalah timbul di masa hadapan, saya minta bantuan seorang teman yang bertugas di JPJ untuk memeriksa status kereta tersebut memandangkan ia dibeli untuk kegunaan kedutaan. Lega rasanya apabila pemeriksaan mendapati tiada sebarang sekatan ke atas kereta tersebut kerana sekatan yang dikenakan hanya selama 2 tahun sahaja dan tempoh tersebut telah pun dilepasi. Namun saya perlu memeriksa sama ada duti eksais telah dijelaskan oleh pemilik kepada pihak Kastam kerana ia dijual untuk kegunaan peribadi. Pelepasan duti eksais hanya diberi kepada kereta untuk kegunaan rasmi sahaja.
 
Selepas beberapa jam, saya menghubungi beliau semula dan memaklumkan persetujuan untuk membelinya tetapi saya perlu berusaha mendapatkan pinjaman sewa-beli (hire-purchase loan) daripada bank terlebih dahulu.
 
KEBUNTUAN MENCARI HP LOAN
 
Seawal pagi esoknya, saya mula menghubungi bank-bank tempatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang hasrat saya memohon HP loan. Saya menghubungi semua bank yang ada namun jawapan yang diterima cukup mengecewakan. Antaranya:
  • Bank tidak menguruskan pembelian secara terus daripada pemilik sebaliknya mengutamakan pembelian melalui kedai kereta terpakai. Bukan sebuah bank sahaja tetapi beberapa buah bank lain turut mengamalkan polisi yang sama;
  • Kadar interest yang ditawarkan sangat tinggi malah ada yang mencecah sehingga 4.7% dan ia menyebabkan bayaran bulanan menjadi tinggi;
  • Setiap bank mempunyai market price mereka yang tersendiri untuk setiap jenis kereta. Contohnya, untuk kereta Nissan Sylphy, bank A menetapkan market price untuk HP loan yang boleh diberi adalah RM58k dan untuk kereta yang sama, bank B menetapkan market price sebanyak RM61K sahaja. Walau bagaimanapun, bank hanya akan meluluskan 90% sahaja daripada market price tersebut dan pembeli perlu menambah baki 10%;
  • Lebih mencabar apabila sebuah bank langsung tidak menyenaraikan jenis kereta tersebut di dalam sistem mereka. Permohonan untuk mendaftarkan jenis kereta perlu dibuat terlebih dahulu oleh pihak bank dan ia memakan masa selama seminggu sedangkan saya tidak mempunyai masa yang begitu panjang;
  • Paling mengejutkan juga apabila sebuah bank hanya meluluskan pinjaman sebanyak 65% sahaja daripada harga kereta dan bakinya perlu dijelaskan sendiri oleh pembeli;
Itu antara perkara-perkara yang perlu saya hadapi sewaktu berusaha mendapatkan HP loan daripada pihak bank dan ia begitu meletihkan. Saya membuat senarai untuk setiap bank yang saya hubungi dan saya dapati lebih daripada 10 buah bank telah saya hubungi namun pencarian saya masih belum menampakkan hasil. Saya tidak ingin berkongsi senarai tersebut di dalam blog ini kerana saya menghormati polisi mereka dan saya percaya mereka punya alasan tersendiri berbuat demikian. Sebaliknya saya menganggap ini adalah cabaran buat saya dalam merealisasikan hasrat untuk membelikan kereta buat Abah Ummi.
 
Walau bagaimanapun, saya juga tidak dapat menafikan yang halangan-halangan ini sedikit sebanyak menggugat pendirian saya malah hampir-hampir saya nekad untuk memohon pinjaman peribadi sahaja tetapi apabila mempertimbangkan faktor-faktor seperti tempoh bayaran balik yang panjang dan bayaran bulanan yang tinggi, saya meletakkannya sebagai pilihan terakhir. Antara alasan saya hampir memilih pinjaman peribadi adalah apabila memikirkan tempoh kelulusannya yang lebih cepat.
 
Kebuntuan itu saya kongsikan bersama adik-adik yang setia mendengar luahan perasaan saya menghadapi situasi ini malah mereka turut memberi cadangan-cadangan kepada saya untuk diusahakan. Dalam kebuntuan itu, saya mohon kepadaNya bahawa jika hasrat saya ini benar maka permudahkanlah tetapi jika Dia masih belum mengizinkannya, saya terima bahawa halangan-halangan ini adalah petandanya.
 
Keesokan harinya, secara tiba-tiba saya terfikir untuk menghubungi sebuah bank yang agak asing bagi saya kerana tidak pernah berurusan dengan mereka sebelum ini iaitu Alliance Bank. Sungguh melegakan apabila mereka juga melayani pertanyaan saya dengan baik malah pegawai tersebut memberi masa kepada saya untuk memikirkannya terlebih dahulu di samping memberi nombor telefon bimbitnya jika saya telah membuat keputusan. Ia cukup berbeza dengan layanan yang saya terima daripada bank-bank lain yang seolah-olah acuh tidak acuh sahaja sewaktu melayani pertanyaan saya. Malah apa yang membuatkan saya akhirnya nekad untuk memohon HP loan daripada Alliance Bank adalah kerana:
  • Market price yang ditawarkan adalah jauh lebih tinggi daripada bank-bank lain yang saya hubungi sebelum ini;
  • Tempoh kelulusan yang hanya memakan masa selama 2 hari sahaja;
  • HP loan secara Islamik yang ditawarkan;
  • Kesungguhan pegawai tersebut (Leslie) membantu apabila saya terangkan yang pemilik kereta akan pulang ke negara asal dalam tempoh tidak sampai 12 hari lagi;
 
 
Lalu tanpa banyak soal, saya segera menghubungi Mr. Navneet untuk memberikan kepada saya sesalinan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pihak bank. Memandangkan kereta tersebut dibeli untuk kegunaan kedutaan, pemilik asal perlu menjelaskan terlebih dahulu duti eksais kepada pihak Kastam dan mendapatkan pelepasan daripada pihak Kedutaan India dan Wisma Putra untuk menjual kereta tersebut kepada saya atas kegunaan peribadi. Mujur juga pihak beliau sudah menguruskan perkara tersebut lebih awal iaitu menjelaskan duti eksais Kastam kerana permohonan HP loan hanya boleh diproses selepas duti tersebut dijelaskan. Sedikit sebanyak saya mula merasa lega kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pemilik dan juga bank.
 
Usai menyerahkan dokumen-dokumen yang dikehendaki oleh bank, debaran pula menunggu saat kelulusannya. Leslie pula tanpa jemu melayani panggilan saya pada keesokan harinya memaklumkan status permohonan kerana menyedari kekangan masa yang dihadapi. Sungguh melegakan apabila permohonan saya akhirnya diluluskan pada keesokan harinya meskipun pada jam 6 petang. Segera saya maklumkan kepada Mr. Navneet tentang kelulusan tersebut dan meminta beliau untuk mengambil langkah seterusnya membuat pemeriksaan di PUSPAKOM.
 
PEMERIKSAAN PUSPAKOM
 
Memandangkan beliau tiada pengalaman berurusan di PUSPAKOM sebelum ini, saya membantu beliau membuat temujanji di PUSPAKOM Batu Caves pada hari Jumaat dan beliau hadir bersama seorang teman. Di sini saya telah melakukan satu kesilapan apabila hanya membiarkan beliau dan temannya menyelesaikan urusan pemeriksaan tanpa menunggu bersama. Saya sangka tidak akan ada masalah yang akan dihadapi sewaktu pemeriksaan tersebut. Pemeriksaan selesai dalam tempoh sampai 2 jam tetapi keputusan yang diterima cukup mengejutkan iaitu GAGAL kerana kereta menggunakan cermin gelap. Aduhai, memang saya sendiri tidak menyangka masalah ini akan timbul. Jika mengikut perancangan saya, selesai pemeriksaan sahaja saya akan menghantar sijil tersebut (borang B5) kepada pihak bank untuk proses tukar hakmilik. Itu kesilapan pertama. Kesilapan yang kedua adalah saya tidak memaklumkan kepada pihak PUSPAKOM yang kereta dibeli menggunakan HP loan kerana terdapat satu lagi borang yang perlu diisi iaitu borang B7. Ringkasnya, saya sepatutnya menghantar borang B5 dan B7 kepada pihak bank untuk membolehkan proses tukar hakmilik dibuat.
 

 

Pun begitu, masalah utama kepada kegagalan pemeriksaan iaitu cermin gelap perlu diselesaikan terlebih dahulu dan penyelesaian yang paling pantas perlu dicari. Buntu sekejap rasanya lalu saya hubungi teman di JPJ untuk mendapatkan pandangan. Atas saranan teman tersebut, saya diminta membuat permohonan mendapatkan kelulusan khas JPJ untuk menggunakan cermin gelap. Meskipun saya merasakan proses itu akan memakan masa yang panjang sedangkan kami hanya punya masa tidak sampai 7 hari lagi sebelum pemilik bertolak pulang, saya hanya menurut sahaja kerana saya sendiri sudah buntu mencari jalan penyelesaiannya. Secara kebetulan pula, saya dan adik (MakTeh) telah merancang untuk ke Johor Bahru pada malam itu kerana telah berjanji dengan abang untuk membawa anak saudara ke Legoland. Dalam perjalanan, saya singgah berjumpa teman tersebut untuk menyerahkan surat permohonan yang dimaksudkan. Sepanjang perjalanan ke JB, kepala saya sarat memikirkan jalan penyelesaian lain sehingga kami akhirnya keletihan dan tidur di R&R Machap. Perjalanan hanya diteruskan semula pada jam 4 pagi kerana bimbang akan sampai lewat. Syukur kerana kami akhirnya tiba di rumah abang pada jam 5.15 pagi tetapi kami memutuskan untuk melelapkan mata di dalam kereta sahaja kerana tidak mahu mengganggu abang yang mungkin masih lena. Kami bangun sekitar jam 6.30 pagi dan menunaikan solat Subuh sebelum meneruskan tidur sehingga jam 8 pagi. Ya Allah, nikmatnya dapat tidur di atas tilam walaupun seketika.
 
Sepanjang berada di dalam Legoland, saya cuba melupakan kebuntuan yang sedang dihadapi meskipun saya tetap berhubung dengan teman tersebut untuk mendapatkan sebarang khabar baik. Akhirnya, setelah memikirkan sedalam-dalamnya dan mengenangkan kekangan masa yang dihadapi, saya memutuskan untuk menukar cermin gelap tersebut. Saya maklumkan keputusan tersebut kepada Mr. Navneet dan lebih melegakan apabila beliau sanggup untuk menanggung kosnya. Saya sebenarnya sudah nekad, jika ditakdirkan beliau enggan menanggung kos tersebut, saya terpaksa menarik diri daripada membeli kereta tersebut. Namun ternyata beliau juga terdesak untuk menjualnya dan mungkin kerana beliau melihat kesungguhan saya berusaha menjayakannya, menyebabkan beliau juga turut bertolak-ansur melakukan apa sahaja yang dapat melancarkan urusan pembelian ini.
 
Pada hari yang sama, kami tinggalkan Legoland dan bertolak pulang ke KL pada jam 7 malam kerana saya perlu menghadiri program Alumni MRSM Muar pada keesokan paginya. Letih? Memang tidak dapat digambarkan tetapi sokongan dan kehadiran adik-adik sedikit sebanyak meringankan beban di hati saya.
 
Seperti dijanjikan pada keesokan paginya, saya bertolak ke tempat program iaitu IOI Mall Puchong. Ada hikmahnya juga program tersebut diadakan di situ kerana saya sudah merancang untuk meninjau kedai cermin kereta yang pernah saya kunjungi sebelum ini. Ia terletak tidak jauh daripada tempat program dan saya merancang untuk ke sana sebaik tamat program. Saya pernah ke kedai tersebut sewaktu ingin menukar cermin kereta yang retak kerana terkena batu. Harga yang ditawarkan memang lebih murah kerana kedai tersebut merupakan pengedar dan saya mendapat tahu tentang kedai tersebut daripada seorang teman yang juga pernah berurusan di situ. Saya sedar yang kedai ditutup pada hari tersebut (Ahad) tetapi saya mencuba untuk menghubungi nombor telefon yang tertera pada papan tanda kedai untuk bertanya sama ada mereka mempunyai stok cermin kereta tersebut atau tidak. Syukur apabila pemilik kedai menjawab panggilan saya dan memaklumkan yang mereka mempunyai banyak stok untuk kereta Nissan Sylphy. Saya memang risau jika mereka ketiadaan stok dan terpaksa menunggu pula untuk menempahnya. Lalu tanpa banyak soal, saya terus menempah pemasangan cermin tersebut pada keesokan hari dan perkara tersebut saya maklumkan kepada pemilik. Ternyata beliau juga memang menyerahkan kepada saya dan menurut sahaja keputusan saya kerana beliau gagal mendapatkan kedai yang mempunyai stok cermin kereta tersebut.
 
TUKAR CERMIN GELAP
 
Sekali lagi saya perlu membantu beliau untuk menukar cermin kereta pula kerana sudah pasti beliau tidak tahu lokasi kedai tersebut. Justeru saya bertolak ke rumah beliau seawal jam 9 pagi dan kami sama-sama bertolak ke sana. Sengaja saya pilih untuk tiba awal iaitu sekitar jam 10 pagi kerana kedai dibuka pada jam 10 pagi. Saya terus menemui pemilik kedai dan memaklumkan tentang tempahan yang dibuat petang semalam melalui telefon. Syukur kerana pemilik kedai memberikan kerjasama yang baik dan berjanji untuk menyiapkannya pada hari yang sama. Saya serahkan kepada Mr. Navneet untuk urusan mengambil kereta pada sebelah petang.
 
Pun begitu, sementara menunggu kereta siap, beliau bercadang untuk pulang ke rumah terlebih dahulu kerana urusan pembungkusan barangan juga sedang dibuat di rumah beliau sebelum dihantar masuk ke kontena pula. Lalu saya bantu beliau mendapatkan teksi kerana saya ingin ke arah lain. Hampir-hampir beliau ditipu oleh pemandu teksi yang mengenakan caj sebanyak RM50 tanpa menggunakan meter untuk ke Mont Kiara. Mujur juga saya tidak terus berlalu selepas menurunkan beliau di situ. Saya ajak beliau ke perhentian teksi lain dan kali ini saya sendiri turun bertanya kepada pemandu teksi sama ada menggunakan meter atau tidak. Beliau akhirnya menaiki teksi di sekitar Bukit Jalil dan beliau memaklumkan hanya dikenakan caj sebanyak RM20 sahaja.
 
Pada sebelah petang sekitar jam 6 petang, beliau memaklumkan kepada saya yang kereta sudah siap dan beliau sedang membawa pulang kereta tersebut. Pada masa yang sama, saya juga telah membuat temujanji sekali lagi dengan PUSPAKOM pada keesokan paginya (Selasa) dan pada sebelah petangnya temujanji bersama pihak bank.
 
PEMERIKSAAN PUSPAKOM LAGI
 
Kali ini kami tiba lebih awal kerana saya bimbang timbul sebarang masalah yang tidak dijangka lagi. Kami hanya pergi berdua sahaja dan menunggu bersama-sama sehingga mendapat sijil kelulusan. Satu kelegaan melihat perkataan 'LULUS' yang dicetak pada sijil tersebut. Lalu saya maklumkan kepada beliau untuk bertemu di perkarangan rumah beliau sekitar jam 1.30 petang sebelum bertolak ke bank. Dalam masa yang sama, beliau juga sebenarnya sedang menunggu surat pelepasan penjualan kereta daripada Kedutaan India dan Wisma Putra yang sedang diuruskan oleh kakitangan beliau.
 
Usai mendapatkan dokumen-dokumen tersebut, kami terus bertolak ke bank sementara Leslie sudah sedia menunggu ketibaan kami. Proses menandatangani dokumen berjalan lancar dan kami hanya perlu menunggu pihak bank menyelesaikan urusan tukar hakmilik di JPJ pada keesokan harinya. Untuk proses itu, saya perlu membayar sebanyak RM400 pula kerana ia diuruskan oleh pihak runner bank. Sebenarnya saya meminta untuk menguruskannya sendiri di JPJ kerana bimbang akan timbul isu-isu yang tidak mampu ditangani oleh bank memandangkan kes saya ini sedikit luar biasa. Oleh kerana ia adalah prosedur bank, maka saya menurutnya sahaja meskipun kebimbangan tetap bersarang di hati.
 
Di samping itu, saya juga merasa bimbang kerana bank tidak akan mengeluarkan cek kepada pemilik sehingga proses tukar hakmilik selesai sementara pemilik tidak akan menyerahkan kereta kepada saya selagi belum menerima cek tersebut. Dalam keadaan ini, hanya kepercayaan menjadi modal kami untuk menunggu proses tukar hakmilik selesai.
 
URUSAN POLISI INSURANS
 
Sebaik selesai urusan di bank, saya perlu mendapatkan polisi insurans untuk kereta pula dan berjanji untuk menghantar salinan covernote kepada Leslie melalui e-mel sebelum jam 7 malam. Saya cuba mendapatkan bantuan beberapa orang rakan namun ternyata mereka tidak dapat membantu sehingga akhirnya seorang rakan bersetuju untuk membantu tetapi agak terlewat kerana dia mempunyai urusan di luar pejabat. Saya terpaksa menghubungi Leslie memaklumkan yang saya terpaksa menunda penghantaran covernote tersebut mungkin sehingga lewat malam. Sungguh mengharukan apabila Leslie sanggup menunggu sehingga jam 10 malam tetapi malangnya rakan saya itu gagal untuk melakukannya. Saya buntu lagi. Saya hubungi Leslie sekali lagi memaklumkan yang saya gagal menghantarnya sebelum jam 10 malam tetapi berjanji akan menyelesaikannya pada malam itu juga.
 
Dalam kebuntuan itu dan teman saya itu juga sudah mati akal untuk membantu, Allah telah menemukan saya dengan laman web Takaful Ikhlas yang merupakan satu-satunya syarikat yang membenarkan pembelian untuk kenderaan baru dibeli secara atas talian. Rata-rata syarikat lain hanya menyediakan perkhidmatan untuk memperbaharui polisi sahaja. Tanpa berlengah, saya terus membuat pembelian polisi tersebut.
 
Pun begitu, ia tidak semudah itu. Sebaik selesai urusan pembayaran dan saya ingin mencetak covernote, saya terima mesej yang polisi saya telah ditolak oleh JPJ. Satu lagi cabaran muncul dan saya tidak sabar untuk menunggu waktu siang kerana bercadang untuk pejabat Takaful Ikhlas terdekat iaitu di Putrajaya. Masalah ini timbul sebenarnya kerana kereta masih didaftarkan di JPJ dengan nombor plet kedutaan sedangkan saya membeli polisi dengan menggunakan nombor plet tempatan. Masalah ini tidak timbul bagi kes biasa iaitu kereta yang memang tidak memerlukan pertukaran nombor plet seperti kes ini kerana ia sudah sedia ada di dalam sistem JPJ.
 
 
 
 
Seawal pagi esoknya (Rabu), saya terus menuju ke pejabat Takaful Ikhlas dan menjadi pelanggan pertama yang berurusan di situ pada hari tersebut. Syukur apabila pegawai bertugas telah berusaha membantu saya mendapatkan salinan covernote dan menge-melnya kepada pihak bank. Lega apabila Leslie memaklumkan telah menerima salinan tersebut dan akan menghantarnya kepada HQ untuk proses tukar hakmilik.
 
DEBARAN BERMULA
 
Seawal pagi Khamis, saya hubungi Leslie untuk mendapatkan status proses tukar hakmilik tersebut namun sehingga waktu tengahari, saya dimaklumkan yang runner masih belum menyelesaikannya. Ia membuatkan saya semakin tidak senang duduk dan pemilik juga bertanya kepada saya tentangnya. Mujur juga pemilik tidak terlalu terdesak dan sudah mempunyai pelan kecemasan jika cek gagal diterima sebelum beliau bertolak pulang.
 
Seperti dijangka, masalah timbul apabila didapati ada dokumen yang tidak lengkap dan permohonan gagal diproses. Saya minta Leslie memberikan nombor telefon runner kepada saya agar saya dapat berhubung terus dengan runner tersebut kerana sebelum ini Leslie menjadi orang tengahnya. Saya nekad untuk menyelesaikannya juga pada keesokan hari iaitu hari pemilik akan bertolak pulang ke negara asalnya. Runner memaklumkan kepada saya tentang kekurangan satu dokumen yang beliau sendiri tidak pasti (kata runner, ini pengalaman pertama beliau berurusan dengan kes sebegini selepas 20 tahun lebih menjadi runner) lalu saya hubungi pemilik dan ternyata dokumen tersebut ada bersama pemilik dan diterima semalam. Menurut pemilik, beliau tidak mengetahui kepentingan dokumen tersebut kerana ia ditulis dalam Bahasa Melayu. Saya berjanji untuk mendapatkan dokumen tersebut pada sebelah malamnya dan pada masa yang sama, beliau telah memperkenalkan saya kepada rakannya (Mr. Bharat) yang diamanahkan untuk menjaga kereta sehingga cek dikeluarkan oleh pihak bank. Malah beliau juga meminta agar cek tersebut diserahkan kepada rakannya untuk didepositkan ke dalam akaun beliau. Saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada rakan beliau yang turut merupakan rakan senegara yang bertugas di United Nation.
 
AKSI DRAMATIK URUSAN TUKAR HAKMILIK
 
Keesokan paginya (Jumaat), saya berjanji dengan runner untuk berjumpa di JPJ Wilayah pada jam 9.30 pagi tetapi beliau hanya muncul pada jam 10.30 pagi kerana perlu pergi ke bank terlebih dahulu untuk mendapatkan dokumen berkaitan. Enggan untuk memanjangkan masalah, saya terus menyerahkan dokumen yang diperlukan dan kami terus menuju ke kaunter. Di sini berlaku insiden yang saya anggap benar-benar menduga kesabaran saya sehingga hampir-hampir saya meninggikan suara. Pun begitu, saya tidak akan menceritakan kejadian tersebut secara terperinci di sini kerana beranggapan ia kes terpencil kerana kes saya ini memang sedikit asing buat mereka. Kebiasaannya mereka hanya menguruskan urusan tukar hakmilik nombor plet kedutaan kepada pemilik nombor kedutaan juga tetapi dalam kes saya, urusan tukar hakmilik kepada persendirian. Saya simpan situasi yang lalui di situ sebagai pengalaman berharga kerana saya sedar tiada manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan namun kesediaan mereka untuk memperbetulkan kembali keadaan amat saya hargai.
 
Berita baiknya, urusan tukar hakmilik berjaya dibuat pada hari tersebut meskipun pada saat-saat akhir saya terpaksa menghubungi pemilik yang sedang dalam perjalanan ke KLIA untuk mendapatkan bantuan rakannya yang bertugas di kedutaan. Dengan kerjasama mereka juga, segala urusan berakhir dengan baik dan kami meninggalkan pejabat JPJ pada jam 1 petang. Terima kasih kepada petugas kaunter yang sanggup melewatkan waktu rehat pada hari Jumaat demi untuk menyelesaikan urusan kami.
 
Saya MMS salinan geran kenderaan kepada pemilik sebagai makluman bahawa urusan telah selesai dan beliau begitu gembira sehingga menghubungi saya semula beberapa minit sebelum menaiki penerbangan. Manakala geran asal pula dibawa oleh runner untuk diserahkan kepada pihak bank agar proses mengeluarkan cek dapat dibuat.


Mr.Navneet dan keluarga beliau
 
PENYERAHAN CEK DAN PENERIMAAN KERETA
 
Memandangkan proses tukar hakmilik selesai pada petang hari Jumaat, maka saya tiada pilihan selain menunggu sehingga hari Isnin untuk mendapatkan cek dan seterusnya menyerahkan kepada Mr. Bharat yang memegang kunci kereta. Penantian menunggu cek dikeluarkan juga adalah satu tempoh yang cukup mendebarkan apabila Leslie pula jatuh sakit pada hari tersebut. Namun beliau tetap membantu saya menghubungi pihak HQ bank untuk mendapatkan status cek. Debaran hanya berakhir pada jam 4.30 petang apabila Leslie menghubungi saya memaklumkan yang cek boleh diambil di bank pada jam 5 petang. Oleh kerana beliau tidak hadir, maka saya diminta untuk bertemu dengan rakan sekerjanya yang telah dimaklumkan tentang kedatangan saya.
 
Satu perasaan yang cukup melegakan apabila saya menerima cek tersebut daripada pihak bank dan tanpa berlengah, saya terus menghubungi Mr. Bharat memaklumkan untuk menemui pada malam tersebut. Dengan ditemani MakTeh, kami disambut Mr. Bharat dan isteri (Mr. Nina) dengan layanan yang cukup mesra malah turut dihidangkan dengan laddu sebagai meraikan selesainya urusan pembelian kereta tersebut. Malah Mr. Bharat terus menghubungi Mr. Navneet di India dan meminta saya untuk memaklumkannya sendiri kepada beliau. Mr. Bharat meminta kami untuk menunggu makan malam tetapi kerana sudah terlalu keletihan, saya terpaksa menolak pelawaan beliau tetapi berjanji untuk datang lagi jika dijemput oleh mereka.





Mr. Bharat dan Mrs. Nina yang cukup mesra
 

Malam itu saya memandu pulang kereta yang menyebabkan hidup saya hampir kelam-kabut selama lebih 2 minggu tanpa nombor plet kerana nombor plet kedutaan telah ditanggalkan oleh Mr. Navneet. Pagi esoknya pula, saya dan MakTeh terus ke kedai untuk membuat nombor plet baru dan inilah hasilnya...




Meskipun saya telah menyerahkan cek asal kepada Mr. Bharat untuk didepositkan kepada akaun Mr. Navneet, saya tetap menghantar salinan cek tersebut kepada Mr. Navneet melalui e-mel sebagai makluman kepada beliau. Tiada yang lebih mendamaikan apabila membaca balasan e-mel yang ternyata cukup gembira dengan pengakhiran baik ini. Alhamdulillah.

 
Justeru, meskipun ia tempoh yang cukup mendebarkan buat kami, ia bukan sekadar soal pembelian sebuah kereta sebaliknya ia jauh lebih dari itu. Ia membuka sudut pandang baru dalam hidup saya dalam mengenali hati budi manusia di samping berpeluang menjalin hubungan baru sesama manusia.
 
Lebih bermakna, apabila melihat senyuman di wajah Abah Ummi saat saya membawa pulang kereta tersebut untuk diserahkan kepada mereka kerana sebelum ini mereka begitu risau dengan halangan-halangan yang saya hadapi sehingga di satu saat mereka pernah menyatakan agar saya tidak meneruskan pembelian tersebut.
 
Pada saya, ia bukan sekadar sebuah kereta!
 


Thursday, March 7, 2013

Bakarians Homestay

Bismillahirrahmanirrahim...

Selepas 2 bulan lebih berhempas-pulas menyiapkan kondominium yang siap pada bulan November 2012, akhirnya ia sedia untuk disewakan sebagai homestay.

Ia usaha kecil saya dan adik-adik untuk mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan di samping menjadi satu platform untuk kami saling mengambil tahu antara satu sama lain.

Pada awalnya kami bercadang untuk menyewakannya sahaja tetapi apabila siap, MakTeh berubah hati dan mencadangkan agar dijadikan homestay pula. Saya tiada halangan dengan apa jua perancangan adik-adik asalkan sanggup memberi komitmen untuk menjayakannya.

Demi untuk memastikan ia sedia disewakan pada bulan Mac ini, kami gigih berkampung di situ selama 2 bulan. Ia memang meletihkan tetapi perlu dilakukan juga.

Homestay ini dilengkapi dengan sofa dan televisyen di ruang tamu dan meja makan dengan 6 kerusi.

Di ruang dapur pula dilengkapi dengan dapur gas, peti ais, cerek elektrik, ketuhar mikro, pinggan mangkuk dan peralatan memasak.

Homestay ini mempunyai 3 bilik dengan 1 bilik utama dan 2 bilik biasa. Terdapat 2 bilik air dengan salah satunya berada di dalam bilik utama.

Kami sediakan katil, almari pakaian dan rak di dalam setiap bilik. Namun bilik utama dilengkapi dengan katil bersaiz queen manakala bilik 2 dan 3 dilengkapi dengan bunk bed (bawah saiz queen, atas saiz single). Bermakna minimum 8 orang dewasa dapat tidur di atas tilam pada satu-satu masa.

Memandangkan kami menyasarkan penyewa Muslim, penanda arah kiblat, sejadah dan kain sembahyang wanita turut dibekalkan di dalam unit ini.

Oleh kerana unit kami ini berada di dalam pengawasan pihak pengurusan, soal keselamatan amat dititikberatkan. Setiap penghuni rumah dibekalkan kad akses yang perlu digunakan untuk melepasi pagar keselamatan di pondok pengawal dan untuk menaiki lif kerana setiap penghuni hanya boleh menaiki lif ke aras unit sendiri sahaja.

Di samping kemudahan dalaman, penyewa juga boleh menikmati kemudahan-kemudahan lain yang disediakan di dalam kawasan unit ini iaitu surau, kolam renang, gimnasium, bilik permainan, sauna, jakuzi, taman permainan dan kafe. Kesemua kemudahan tersebut terletak di aras 1.

Dari segi lokasi pula, ia terletak di Batu Caves dan spesifiknya berhampiran stesen komuter Batu Caves. Maka sasaran kami adalah ibu bapa pelajar UIA dan juga pusat-pusat pengajian di sekitar Gombak. Di samping itu, ia juga terletak dekat dengan Giant Batu Caves dan hanya 15 minit pemanduan ke pusat bandaraya.

Untuk peringkat awal dan promosi pembukaan, kami hanya mengenakan sewa pada kadar RM150/hari pada bulan Mac hingga April ini sahaja.

Harapan saya, semoga usaha kecil kami ini akan mendapat sokongan dan menjadi titik tolak kepada kami untuk bekerjasama memajukan diri kami. InsyaAllah.