Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, February 25, 2013

Satay Station Ampang

Bismillahirrahmanirrahim...

24 Februari 2013 - Saya dan MakTeh singgah di situ sewaktu dalam perjalanan ke Batu Caves. MakTeh menyuarakan hasrat untuk makan mee rebus dan saya hanya mengikut sahaja. Sebelum ini kami pernah juga ke situ dan pada waktu itu saya sudah merasakan yang harga secucuk sate yang dijual adalah sangat mahal iaitu RM1.

Kali ini tanpa banyak soal saya dan MakTeh memesan mee rebus dan 10 cucuk sate. Sedikit kecewa apabila ramuan mee rebus tidak seperti dahulu lagi iaitu tiada daging rebus. Usai menghabiskan mee rebus, kami tidak larat untuk menghabiskan sate lalu dibungkus sahaja. Lalu kami ke kaunter untuk menjelaskan bayaran. Mahalnya! RM38.70 untuk 2 mangkuk mee rebus, 10 cucuk sate dan 2 gelas air suam. Malas untuk bertanya perinciannya, kami terus menjelaskan bayaran dan berlalu. Tiba-tiba saya terpandang senarai harga te yang ditampal, secucuk RM1.20. Rupa-rupanya dah naik harga lagi. MasyaAllah. Sah itu kali terakhir saya ke situ. Melampau betul harganya. Baik saya beli sate 50 sen secucuk di Bandar Tasik Selatan. Lagi puas hati.




Sunday, February 24, 2013

Boling Alumni Muar

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya tiba jam 10.10 pagi dan terlepas peluang untuk bersarapan bersama kawan-kawan di restoran berdekatan. Memang saya bertolak agak lewat dari teratak kerana kepenatan semalam berkelana ke Johor masih tersisa. Lalu saya terus menuju ke lokasi program iaitu Ampang Superbowl, IOI Mall Puchong.

Pada mulanya agak risau juga dengan kehadiran kawan-kawan namun akhirnya ia berakhir dengan baik. Seronok rasanya bertemu dengan kawan-kawan dan saling bertanya khabar. Aktiviti ini hanyalah satu peluang untuk bertemu kawan-kawan lama di samping dapat mengukuhkan kembali ukhuwwah yang pernah terjalin.

Program ini sebenarnya telah kami rancang sejak awal tahun lagi dan bakal menjadi acara tahunan alumni. Semoga ia menjadi salah satu medan untuk kami mengekalkan ukhuwwah yang sudah terjalin ini. Amin.


Penat Memang Penat

Bismillahirrahmanirrahim...

Akhir-akhir ini memang banyak urusan yang perlu segera dibereskan namun demi memenuhi hajat adik saya, MakTeh, digagahkan juga diri untuk ke Legoland. Kami bertolak dari Gombak pada hari Jumaat jam 9 malam. Kemudian singgah sebentar di Nilai untuk berjumpa kawan dan kembali meneruskan perjalanan ke Ulu Tiram.

Cadangnya kami akan bermalam di rumah abang di Taman Bukit Tiram. Namun kerana kepenatan yang amat sangat, kami berhenti tidur di Hentian Machap pada jam 1.30 pagi. Memang lena betul saya tidur dan hanya bergerak semula pada jam 4 pagi. Tiba di perkarangan rumah abang sekitar jam 5 pagi, kami sambung tidur di dalam kereta lagi sehingga jam 6.30 pagi. Sengaja kami tidur di dalam kereta sahaja kerana tidak mahu mengganggu abang dan keluarga dengan ketibaan kami.

Usai solat Subuh, kami sambung lagi tidur di atas tilam pula sehingga jam 8 pagi. MasyaAllah nikmat sungguh dapat tidur di atas katil dan berbantal. Kami bangkit jam 8 pagi kerana sudah berjanji dengan abang untuk bertolak ke Legoland pada jam 8.30 pagi.

Kisah tentang kunjungan saya ke Legoland dan aktiviti dalam kembara singkat ini akan diceritakan dalam entri lain pula.

Kami bertolak pulang ke KL pada jam 7 malam kerana ingin tiba di teratak saya sebelum jam 12 tengah malam. Saya perlu rehat yang cukup kerana hari ini perlu mengikuti aktiviti anjuran Alumni Muar 9596 pula.

Alhamdulillah, pagi tadi saya berjaya menghadirkan diri dan menjayakan program yang telah dirancang sejak awak tahun lagi. Puas rasanya hati melihat kegembiraan yang terpancar apabila bersua wajah dengan teman-teman.

Penat? Ya, penat memang penat tetapi berbaloi.




Sunday, February 3, 2013

Hatyai Aku Datang Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, petang tadi saya selamat tiba di LCCT bersama Abah Ummi dan MakTeh selepas berada di Hatyai sejak 1 Februari 2013. Satu percutian yang singkat tapi penuh makna buat saya. Ia kunjungan yang kedua buat saya dalam tempoh sebulan dan yang pertama buat Abah Ummi serta MakTeh. Keletihan memang jelas terpapar jelas di wajah kami namun saya puas kerana dapat memenuhi hajat membawa Abah Ummi berkelana ke bumi asing.

InshaAllah, kelak akan saya kongsikan perjalanan kembara kami pada kali ini yang juga menjadi pembuka tirai kembara bagi tahun 2013.

Malam ini pula usai solat Maghrib, saya membawa Abah Ummi berjumpa dengan cucu baru, Nur Izzani Aminah binti Shahrul Amin di Sri Gombak.