Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 28, 2013

Hat Yai Aku Datang – Siri 03

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Disember 2012 - Tidak susah mencari makanan halal di sini tetapi harganya memang agak mahal. Mungkin kerana bilangannya yang sedikit berbanding yang tidak halal. Restoran halal yang paling popular di sini adalah Restoran Hamid dan Restoran Salma dan kedua-duanya terletak tidak jauh daripada Lee Gardens Plaza Hotel. Melalui carian blog, saya mendapat tahu tentang sebuah lagi restoran halal iaitu Restoran Kelantan. Kedudukannya tidak jauh daripada kedua-dua restoran tadi cuma sedikit ke belakang. Jika tidak tahu arahnya, ringankanlah mulut untuk bertanya kepada penduduk tempatan yang ada di sekitar kawasan tersebut.



Kami berjalan kaki hampir 10 minit sebelum tiba ke destinasi dituju. Lega rasanya melihat papan tanda yang dicari berada di depan mata kerana perut sudah berkeroncong minta diisi. Sengaja kami datang sedikit awal untuk mengelakkan kesesakan dan ternyata jangkaan kami benar kerana selepas itu kelihatan ramai pengunjung yang datang memenuhi ruang. Hidangan istimewa di situ adalah nasi kukus berlauk tetapi kami memilih untuk memesan masakan panas.


Kalau sudah datang ke Thailand, tidak lengkap rasanya jika tidak mencuba tomyam lalu kami memesan tomyam kelapa (atau tomyam santan? Saya lupa nama sebenarnya huhu). Rasanya memang asli dan tidak mengecewakan cuma harganya memang agak mahal jika dibandingkan dengan di Malaysia. Harga di dalam menu juga telah ditulis dalam RM tetapi kami membayarnya dengan matawang Baht. Untuk kesemua hidangan yang kami nikmati, jumlahnya adalah 570 Baht (RM57). Agak mahal juga tetapi berbaloi kerana rasanya memang tidak mengecewakan.






Restoran ini dibuka seawal jam 7 pagi tetapi kami tidak bercadang untuk datang lagi ke sini kerana lebih gemar membeli makanan daripada pasar malam sahaja. Puas meronda, kami pulang ke hotel untuk berehat. Inilah yang bagusnya bila hotel dekat dengan tempat yang dituju. Bila-bila masa boleh balik ke bilik dan melepaskan lelah. Cadangnya petang ini kami ingin ke muzium tetapi terpaksa dibatalkan kerana kedudukannya yang agak jauh daripada bandar dan bimbang tidak sempat. Akhirnya kami hanya berjalan-jalan di sekitar bandar sahaja. Antara tempat yang kami kunjungi adalah Pink Lady Complex, Santisuk Market dan Kim Yong Market.

Pink Lady Complex – menjual pakaian terutama t-shirt dan blouse sahaja tetapi tidak punya banyak pilihan.



Santisuk Market – mempunyai 2 aras tetapi lorong-lorongnya agak sempit. Menjual pelbagai barangan terutama beg dan barangan elektrik. 




Kim Yong Market – rasanya ini tempat yang paling luas dan punya banyak pilihan. Menjejakkan kaki ke sini membuatkan saya terasa berada di Ben Tanh, Ho Chi Minh City. Pasar ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu kering dan basah. Paling seronok di sini apabila melihat pilihan buah-buahan yang segar dan saiznya lebih besar daripada yang dijual di Malaysia.









Kami juga sempat singgah masuk ke kompleks membeli-belah yang ada di situ tetapi harganya sangat mahal. Bayangkan blouse yang paling murah di situ berharga 1589 Baht iaitu RM158.90. Bagi setengah orang mungkin merasakan ia murah tetapi bagi saya, jika saya ingin membeli dengan harga sebegitu, lebih baik saya beli di Malaysia sahaja. Akhirnya kami hanya cuci mata sahaja di situ dan kembali ke hotel untuk berehat sementara menunggu waktu malam. Agenda kami seterusnya sudah tentulah menikmati pulut mangga di pasar malam dan juga teh ais.

2 comments:

zainal tobiaq said...

Terkejud juga apabila mendengar perkataan "Pink lady".. Rupanya lain yang dimaksudkan.

zainal tobiaq said...

Terkejud juga apabila mendengar perkataan "Pink lady".. Rupanya lain yang dimaksudkan.