Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 28, 2013

Hat Yai Aku Datang – Siri 02

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Disember 2012 - Subuh memang lebih awal di sini kerana perbezaan masa selama 1 jam. Jadi kami boleh lepak-lepak dulu sebelum memulakan perjalanan. Untuk sarapan, memang kami dah beli daripada pasar malam. Hebat tak, sarapan dengan nasi beriani dan pulut mangga di pagi hari? Haha. Lagipun bilik yang ditempah ini memang tidak bersekali dengan harga sarapan kerana saya rasa macam rugi bayar mahal-mahal tapi tak akan makan semua makanan kerana tidak pasti status kehalalannya. Malah lebih jimat jika beli sendiri.



Rancangan kami pada hari ini adalah untuk menaiki kereta kabel (Hat Yai Cable Car) dan rumah ais (Hat Yai Ice Dome). Memang sengaja kami rancang untuk tidak keluar daripada bandar Hat Yai kerana tidak mahu terkejar-kejar ke sana ke mari mengejar waktu. Kata konsep light and easy kan. Kami pegang pada konsep itu. Jika diikutkan blog yang saya baca, rata-rata pengunjung akan ke Pantai Samila untuk bergambar dengan patung emas ikan duyung. Perjalanannya boleh tahan jauh juga dan mungkin memenatkan. Rasanya kalau konsep percutian kami adalah backpackers, memang kami akan redah saja ke sana.

Keluar dari hotel, kami terus mendapatkan tuk-tuk. Percubaan pertama kami tolak kerana tambang yang dikenakan agak mahal iaitu 600 Baht (RM60). Lalu kami berjalan lagi mencari tuk-tuk lain. Masalah bahasa pun perlu diambilkira juga. Kalau berjumpa pemandu tuk-tuk yang dapat berbahasa Inggeris walaupun hanya sepatah dua, itupun sudah dikira bernasib baik. Pengalaman kami berhadapan dengan pemandu tuk-tuk yang hanya mengiyakan sahaja pertanyaan kami tetapi yakin yang dia tidak memahaminya, kami abaikan dia. Pesan saya, jangan sekali-kali menaiki tuk-tuk sebelum kedua-dua pihak bersetuju dengan kadar tambangnya. Alhamdulillah cubaan kami akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan tuk-tuk untuk perjalanan pergi balik pada kadar 200 Baht (RM20) sahaja. Lihat bezanya dengan kadar sebelum ini iaitu 600 Baht. 





















Destinasi pertama adalah HatYai Cable Car. Perjalanan ke sana agak mencabar juga kerana perlu menaiki jalan berbukit. Terbuai-buai saya dan Tmot yang berada di ruang belakang. Lucunya, sewaktu kami ingin memulakan perjalanan tadi, seorang lelaki tua turut serta duduk di sebelah pemandu tuk-tuk. Siapa dia ini? Sangka kami dia juga ingin ke destinasi yang sama. Kami biarkan sahaja dia. Tiba di puncak bukit, lelaki tua itu sibuk memandu arah kami. Saya sudah mula rasa kurang senang. Bimbang diambil kesempatan oleh lelaki tua itu yang melantik dirinya menjadi ‘pemandu pelancong tidak rasmi’ kepada kami. Puas kami cuba mengabaikan dia tetapi dia begitu gigih mendampingi kami dan membawa kami ke kaunter tiket. Aduhai, saya sudah mula rasa sangat tidak selesa. Sampai kepada satu tahap, saya cakap pada Tmot, jika dia turut serta naik kereta kabel bersama kami, saya akan keluar. Ternyata dia tidak berbuat demikian sebaliknya hanya menunggu kami di lobi kaunter tiket. Ok, lega rasanya.

Perjalanan menuju ke seberang bukit sana hanya mengambil masa tidak sampai 5 minit. Terasa tidak berbaloi pula membayar 200 Baht (RM20) seorang hanya untuk perjalanan yang begitu singkat. Lebih mengecewakan saya apabila yang ada di puncak itu hanya kuil/tokong untuk penganut Buddha sahaja. Ok, saya cuba mempositifkan diri bahawa tujuan kedatangan ke sini adalah untuk mengenali budaya mereka. Saya terima kerana itu adalah agama rasmi negara mereka. Saya tidak berlama di situ kerana tidak apa yang menarik buat saya di situ.

Untuk turun, kami terpaksa berkongsi kereta kabel dengan penumpang lain kerana saya perhatikan bilangan kereta kabelnya juga tidak banyak. Dalam perjalanan untuk turun, baru saya perasan yang disediakan walkie-talkie dan CCTV di dalam setiap kereta kabel itu. Rasanya pengalaman saya menaiki kereta kabel di Langkawi dan Genting Highlands, kemudahan tersebut tidak disediakan di dalam setiap kereta kabel.

Tiba di lobi, ‘pemandu pelancong tidak rasmi’ masih setia menanti kami dan kami terpaksa sedaya-upaya mengabaikan kehadirannya. Ternyata dia tidak putus asa. Terus-terusan mendekati kami dan cuba untuk memulakan perbualan tetapi tiada gunanya juga jika kami melayan dia. Seumpama ayam bercakap dengan itik jadinya nanti.

Kami sengaja melengah-lengahkan waktu dengan harapan lelaki tua itu akan berlalu pergi namun dia tetap tidak berganjak malah gigih mengekori kami. Terbit sedikit kebimbangan di wajah Tmot melihat ketegasan saya mengabaikan lelaki tua itu tetapi saya hanya mengabaikannya sahaja kerana lebih baik berhati-hati daripada menyesal di kemudian hari.




Usai berfoto, kami berjalan ke sebuah bangunan yang kelihatan seperti sebuah pusat sains tapi agak terabai. Mulanya kami bercadang untuk masuk ke dalamnya tetapi apabila melihat tempat itu seolah-olah tidak terurus, kami batalkan hasrat tersebut dan meneruskan perjalanan ke Hat Yai Ice Dome. Perjalanan ke sana agak mendebarkan juga kerana perlu melalui jalan yang agak sempit dan curam. Tertanya-tanya juga saya sama ada betul ke ini jalannya tapi saya positifkan diri. ‘Pemandu pelancong tidak rasmi’ juga masih setia menemani kami.

Selepas teroleng-oleng hampir 10 minit di dalam tuk-tuk, kami akhirnya tiba di destinasi dituju. Rupanya tempat-tempat yang kami kunjungi ini berada di dalam kawasan yang dinamakan sebagai Hat Yai Park. Barulah lega rasanya hati apabila melihat kelibat ramai orang.apabila tuk-tuk menurunkan kami di hadapan pintu masuk Ice Dome, lelaki tua itu terus mengajak kami menuju ke kaunter tiket. Kami layankan saja kerana sudah tidak larat untuk mengendahkannya. Tiket sebanyak 300 Baht (RM30) seorang dikenakan untuk memasuki tempat ini. Serta-merta saya teringat pengalaman memasuki Snowalk di i-City Shah Alam sebelum ini.


Pemandu pelancong tidak rasmi sedang berjalan menuju ke kaunter tiket
Dewasa RM30, Kanak-kanak RM20




Sebelum masuk ke dalam, kami diberikan jaket dan sarung tangan setiap seorang. Tanpa sedar saya telah melakukan satu kesilapan besar iaitu memakai selipar sahaja. Bayangkan betapa menggigilnya saya sepanjang berada di dalam peti sejuk besar itu. Sebelum masuk juga, kami ditempatkan di satu ruang selama 5 minit untuk menstabilkan suhu badan dengan perubahan cuaca mendadak.

Bila pintu peti sejuk dibuka, kami terus masuk ke dalam dan dihidangkan dengan pelbagai bentuk bangunan yang diperbuat daripada ais. Bangga juga apabila melihat arca KLCC tersergam indah di dalamnya. Kesejukan memang jelas terasa tetapi apa boleh buat, silap sendiri huhu. Sempat juga kami merasai pengalaman menggelungsur di atas ais. Hairannya, tiada siapa yang mempedulikan tempat itu sebelum kami mencubanya. Apabila melihat kami mencubanya, ramai pula yang berpusu-pusu ingin turut serta sehingga Tmot tertolak ke belakang sedangkan sebelum ini dia berada di belakang saya.

Kami teruskan lagi rondaan dan menikmati pelbagai arca termasuk hidupan laut. Gambar-gambar menceritakan segalanya.










Rasanya hampir ½  jam juga kami berada di dalam dan saya sudah tidak tahan lagi menahan kesejukan. Satu perkara yang perlu diambil perhatian bila berada di dalam peti sejuk ini adalah untuk mematikan telefon bimbit dan jika ingin menggunakan kamera, pastikan ia sentiasa dihidupkan sehingga keluar dari tempat itu. Nasib saya baik kerana bateri kamera memang cukup-cukup untuk kami ambil gambar sewaktu di dalamnya. Hairan juga saya apabila bateri habis dengan cepat kerana ia penuh sebelum kami masuk ke situ. Andaian kami adalah bateri menjadi cepat habis kerana ia sentiasa dihidupkan dan perubahan cuaca mendadak. Wallahua’lam.

Membandingkan pengalaman di i-City dan di sini, saya merasa ada sesuatu yang patut dicontohi daripada mereka. Pertamanya, jaket yang dibekalkan oleh mereka adalah standard dan mempunyai logo rasmi sedangkan jaket yang dibekalkan di i-City bercampur-campur dan pelbagai warna malah jauh sekali mempunyai logo rasmi. Ia lebih kelihatan seperti jaket yang dibeli di kedai bundle.

Kedua, mereka turut membekalkan sarung tangan secara percuma sedangkan di i-City, pengunjung perlu menyewa atau membelinya sendiri pada kadar tertentu. Ketiga, penerangan diberikan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu dan ia sedikit memeranjatkan saya. Mungkin kerana mereka sedar bahawa rakyat Malaysia antara pengunjung teramai yang datang ke sini. Perkara-perkara begini meskipun nampak kecil tetapi pada saya, ia mencerminkan wajah pengurusan yang mengendalikannya.

Bila kaki melangkah keluar saja dari peti sejuk, pandangan menjadi kelam bagi yang berkaca mata seperti saya. Melihat saja kami, lelaki tua itu terus menghampiri kami dan mengajak kami menaiki tuk-tuk. Kami sengaja melengah-lengahkan masa dengan mengambil gambar kerana memang banyak juga tarikan di situ. Malah replika Transformers juga ada di situ. Kemeriahan memang jelas terlihat kerana sambutan tahun baru yang bakal tiba.

Puas berfoto, kami menaiki tuk-tuk yang telah sedia menanti. Kasihan pula melihat lelaki tua itu ke sana ke mari mengikuti kami tetapi apakan daya, hati ini tidak begitu memerlukan kehadirannya haha. Kami minta diturunkan di hadapan Lee Gardens Plaza kerana kami ingin makan tengah hari di sebuah restoran halal yang terletak tidak jauh dari situ.

Sewaktu membayar tambang, kami tambah sedikit tips untuk pemandu dan lelaki tua itu apabila dia tidak meminta apa-apa bayaran atas khidmat tidak rasmi yang telah diberikan. Pengajaran lagi buat saya bahawa sememangnya cabaran untuk berfikiran positif itu amat sukar.

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih atas paparan. Tetapi terlalu ringkas utk difahami oleh jenerasi backpacker yg lain. SALAM

Karimah Abdullah said...

anonymous,

salam,

memang agak ringkas kerana ia ditulis secara bersiri & agak tertangguh :)
thank you for dropping by.