Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, January 28, 2013

Hat Yai Aku Datang – Siri 01


Bismillahirrahmanirrahim...

Kembara ini adalah penutup untuk tahun 2012. Pun begitu, ini merupakan kunjungan kali pertama saya ke sana dan sudah tentu saya begitu teruja untuk merasai pengalaman berada di negara asing. Urusan pembelian tiket sudah saya selesaikan sejak bulan November lagi. Lebih seronok apabila sahabat saya, Fatimah (Tmot) bersetuju untuk turut serta. Jika tidak, agak cuak juga saya untuk pergi seorang diri ke sana. Pun begitu, Allah uji lagi saya apabila di saat-saat akhir Tmot menghubungi saya dan memaklumkan yang dia mungkin tidak dapat turut serta kerana mempunyai urusan berkaitan pengajian. Saya cuba berlagak tenang kerana saya amat pasti jika saya berada di kedudukannya, saya juga akan berasa serba-salah. Lantas saya serahkan kepada dia untuk membuat keputusan sama ada ingin turut serta atau tidak. Waktu itu saya nekad akan pergi juga ke sana meskipun hanya berseorangan. Namun saya menyarankan kepada Tmot cadangan jalan penyelesaian jika ia mampu menguraikan kekusutan itu. Alhamdulillah, ketenangan saya membuahkan hasil apabila Tmot menghubungi saya kembali dan memaklumkan yang urusan pengajian itu telah ditunda kepada tarikh lain. Syukur tidak terkata apabila mendapat khabar itu daripada Tmot kerana saya juga sebenarnya tidak berapa seronok untuk pergi berseorangan meskipun saya tahu (in sha Allah) akan menemui kenalan baru kelak. Itu ujian pertama.

Ujian kedua adalah sewaktu saya pulang ke kampung seketika untuk berkumpul bersama adik-beradik yang pulang sempena cuti sekolah. Abah saya menyuarakan kebimbangan apabila mendapat tahu saya akan ke sana. Bagi Abah, Hat Yai merupakan sebuah tempat yang merbahaya. Mungkin kerana sebelum ini Abah pernah mendengar cerita-cerita sama ada semasa berbual dengan rakan-rakannya atau dari media massa. Abah mencuit saya sewaktu saya sedang berehat di atas sofa,

“Nak ke Hat Yai ke?” Tanya Abah.

“Ya.” Jawab saya ringkas.

“Berapa orang?” Tanya Abah lagi.

“2 orang je,” jawab saya.

“Selamat ke kalau perempuan ke sana?” Abah menyuarakan kebimbangannya.

“InshaAllah selamat. Kawan Imah pun selalu ke sana malah ada yang berbisnes di sana,” terang saya dengan harapan Abah dapat menerimanya.

Mengenali Abah, saya tidak merasa hairan apabila diaju soalan sebegitu. Bagi saya, ia hanya terjemahan suara hati seorang ayah yang bimbang tentang anaknya. Saya faham soal itu namun saya juga perlu memahamkan Abah yang saya sama sekali tidak akan melakukan sesuatu yang saya yakini tidak selamat. In sha Allah, dengan pelbagai sumber informasi yang ada kini, pelbagai maklumat boleh dicari lebih awal untuk mendapatkan gambaran tentang tempat yang akan dikunjungi.

Dari awal lagi saya sudah mendapatkan maklumat daripada pelbagai blog mereka yang pernah ke Hat Yai. Tiada perkara yang perlu dibimbangkan sangat dengan keadaan di sana cuma hati-hati itu perlu sentiasa ada. Urusan tempahan penginapan juga saya lakukan lebih awal untuk mengelakkan kelam-kabut di saat-saat akhir. Sengaja saya pilih hotel sebagai tempat penginapan kerana konsep percutian kali ini adalah light and easy. Mulanya saya ingin menempah Hotel Grand Plaza yang terletak betul-betul di sebelah Lee Garden Plaza tetapi nampaknya ia sudah penuh. Sengaja saya tidak menempah Hotel Lee Garden Plaza kerana di situlah tempat kejadian pengeboman yang turut mengorbankan rakyat Malaysia berlaku sebelum ini. Akhirnya, selepas meneliti beberapa perkara termasuk jarak berjalan kaki ke Lee Garden Plaza, saya telah menempah Hotel BP Grand Tower.

28 Disember 2012.

Hari yang ditunggu tiba. Keterujaan masih lagi terasa meskipun kerisauan berkait urusan pengajian masih lagi terasa. Sebenarnya kami akan berhadapan dengan peperiksaan sebaik kembali daripada Hat Yai. Dek kerana itu kami pilih konsep light and easy untuk percutian ini. Saya mulakan perjalanan seawal jam 7 pagi kerana saya perlu menjemput Tmot di rumahnya terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke stesen Putrajaya Sentral. Dari situ kami menaiki ERL menuju ke stesen Salak Tinggi dan kemudian menaiki bas yang disediakan untuk meneruskan perjalanan ke LCCT. Tambang dari stesen Putrajaya Sentral termasuk perkhidmatan bas adalah RM5.50 sehala. Sengaja saya pilih untuk memarkirkan kereta di situ kerana ia berbumbung dan kadar yang dikenakan juga berpatutan iaitu RM8 sehari. Malah ini bukan kali pertama saya parkir di situ kerana saya juga berbuat begitu setiap kali ingin pulang ke kampung dengan menaiki bas dari stesen Putrajaya ataupun ke LCCT/KLIA jika menaiki kapal terbang.

Kami tiba di LCCT sekitar jam 9.30 pagi. Perut berkeroncong minta diisi lalu kami ke Food Garden berdekatan. Lapar punya pasal, saya dan Tmot makan nasi ayam. Hampir sejam di situ, kami beransur masuk ke balai berlepas melalui pemeriksaan imigresen dan kastam. Waktu di dalam balai berlepas, kami perlu ke kaunter pemeriksaan dokumen pula. Prosedur baru untuk menjimatkan masa katanya kerana sebelum ini saya tidak pernah pula ke kaunter tersebut. Ikutkan sahajalah. Hidup ini kan sentiasa berubah. Dinamik katanya.



Percutian kali ini memang cukup santai. Kami hanya membawa satu beg troli sahaja setiap orang. Tempat duduk di dalam kapal terbang juga berasingan. Tmot di depan dan saya jauh di belakang. Tidak mengapalah, waktu tibanya sama juga. Lainlah kalau Tmot akan sampai dahulu dan saya sampai kemudian sebab duduk di belakang.

Penerbangan agak sedikit tertunda daripada jangkaan menyebabkan sedikit kelewatan namun ada hikmahnya juga kerana waktu di Hat Yai lewat 1 jam daripada Malaysia. Bermakna saya bertolak dari Malaysia pada jam 12 tengah hari dan tiba di sana pada jam 12 tengah hari juga (waktu tempatan) dan kami punya masa yang cukup banyak sebelum check-in di hotel. Urusan pemeriksaan imigresen memakan masa yang agak lama kerana mereka sedang memperkenalkan sistem baru tetapi ia lancar. Mujur juga kami sudah melengkapkan borang visa sewaktu berada di dalam kapal terbang lagi. Lebih melegakan apabila tiada insiden selitan RM2 sebagai ‘pelincir’ di dalam paspot seperti yang saya baca daripada blog teman-teman yang pernah ke sana melalui jalan darat.




Selesai urusan di lapangan terbang, kami melilau mencari kenderaan awam untuk ke bandar Hat Yai. Saya mengajak Tmot untuk menaiki tuk-tuk kononnya lebih murah dan lebih adventure. Mulanya pemandu tuk-tuk ‘mengetuk’ kami dengan harga 300 Baht (bersamaan RM30) seorang untuk perjalanan terus ke hotel. Aduh, mahal betul lalu saya menolaknya kerana saya pernah membaca di blog yang kadar dikenakan jauh lebih rendah daripada itu. Lalu pemandu tersebut meletakkan harga 30 Baht seorang untuk perjalanan ke Kim Yong Market. Saya nekad menaikinya juga kerana yakin kedudukan tempat itu tidak jauh daripada hotel yang ingin dituju.

Memang adventure sungguh apabila terpaksa berdiri di dalam tuk-tuk yang begitu terbuka dan agak sempit. Saya layankan saja kerana memang tujuannya ingin merasai pengalaman berada di negara orang yang tidak ada di negara sendiri. Perjalanan memakan masa hampir setengah jam juga kerana tuk-tuk berhenti menurun dan mengambil penumpang di sepanjang perjalanan. Tambahan pula waktu itu adalah waktu puncak pelajar-pelajar pulang daripada sekolah. Kelihatan pelajar-pelajar sekolah memenuhi tuk-tuk untuk pulang ke rumah masing-masing. Kiranya tuk-tuk ini seperti bas mini di Malaysia suatu waktu dahulu.



Tempat duduk khas untuk sami

Seronoknya Tmot dapat naik tuk-tuk

Berdiri di dalam tuk-tuk demi sebuah pengalaman

Petrol adalah sangat mahal berbanding Malaysia


Tiba di Kim Yong Market, ada beberapa pemuda memakai vest berwarna merah mendekati kami. Tmot sudah mula membuka peta yang saya cetak sebelum ini untuk mencari lokasi hotel kami. Kami sudah berkira, jika jaraknya dekat maka kami akan berjalan kaki saja ke sana. Rupa-rupanya pemuda bervest yang mendekati kami itu adalah penunggang motosikal bertauliah yang diberikan lesen untuk membonceng penumpang ke destinasi yang ingin dituju. Sudah tentulah saya tidak memilih khidmat mereka kerana kami berdua dan maklumat yang saya daripada blog, kadar tuk-tuk untuk perjalanan di dalam bandar adalah standard iaitu sebanyak 20 Baht (RM2) seorang sahaja. Akhirnya, kami memilih untuk menaiki tuk-tuk meskipun tahu jaraknya dekat sahaja kerana kami membawa troli beg. Adalah sangat tidak selesa dan kelihatan poyo untuk berjalan di tengah-tengah bandar dengan membawa troli beg.

Tiba di hotel, kami terus diberi kunci bilik kerana pembayaran telah saya jelaskan melalui laman web Agoda. Memang sungguh lega apabila diberi bilik eksekutif di aras 15. Jelas kelihatan bandar Hat Yai daripada tingkap bilik kami. 


Ruang bilik yang luas

Perkara paling penting di dalam tandas, kepala paip

Peti sejuk dan peti keselamatan pun ada

Usai membersihkan diri, kami terus turun ke lobi untuk menuju ke destinasi pertama iaitu Floating Market. Mulanya kami meminta bantuan petugas kaunter untuk mendapatkan kami teksi ke sana tetapi apabila saya rasakan kadar yang dikenakan tidak munasabah iaitu 550 Baht (RM55) untuk perjalanan pergi balik, saya putuskan untuk menaiki tuk-tuk. Ini kerana kadar yang saya dapat daripada blog untuk perjalanan pergi balik menaiki tuk-tuk ke sana termasuk tempoh menunggu adalah sekitar 200-400 Baht (RM20-40) sahaja. Jika lebih panjang tempoh menunggu maka lebih banyak bayaran yang dikenakan. Pada saya, soal penentuan bayaran ini perlu juga kita bertolak-ansur kerana itu sumber pendapatan mereka tetapi jangan pula sampai mereka mengambil kesempatan ke atas kita. Selalunya untuk 200 Baht, tempoh menunggu adalah sekitar 1 jam sahaja tetapi saya rasa 1 jam tidak mencukupi untuk menikmati suasana di sana. Kami pilih 1 jam setengah tetapi akhirnya menjadi 2 jam juga hehe. Paling penting, muktamadkan soal tambang itu sebelum menaiki tuk-tuk supaya tidak timbul perbalahan dan jangan risau jika kadar yang kita tawarkan ditolak kerana bersepah-sepah tuk-tuk di sana. Pengalaman saya sendiri, pemandu tuk-tuk akhirnya terpaksa beralah dengan harga yang saya tawarkan tetapi pada akhirnya saya sendiri yang menambah sedikit tips kerana simpati melihat mereka setia menunggu kami berada di satu-satu destinasi. Untuk ke Floating Market, seeloknya tuk-tuk ditempah untuk perjalanan pergi balik kerana agak sukar untuk mendapatkan tuk-tuk di sana dan paling penting kita sudah tidak perlu memikirkan untuk mendapatkan tuk-tuk bila ingin pulang. Oleh kerana rupa tuk-tuk ini hampir sama sahaja, sengaja saya ambil gambar tuk-tuk dan pemandunya supaya saya tidak lupa selepas perut kenyang menikmati pelbagai makanan di sana.


Bandar Hatyai dari aras 15 bilik kami

Pertama kali menaiki tuk-tuk

Wayar elektrik yang berselirat

Ini tandanya sudah semakin dengan destinasi

Tuk-tuk yang kami naiki. Ambil gambar supaya tidak lupa yang mana satu sebab  semua tuk-tuk kelihatan hampir sama sahaja

Kami tiba di sana agak awal. Cuaca masih agak panas dan jumlah pengunjung juga tidak berapa ramai. Sangka kami memang tidak akan ramai kerana sudah berada di penghujung cuti sekolah tetapi sangkaan kami meleset. Rupa-rupanya semakin ramai yang datang apabila semakin menjelang senja. Seronok rasanya dapat melihat sendiri para peniaga mengendalikan sampan untuk memasuki ruang-ruang yang telah disediakan untuk setiap peniaga. Waktu kami tiba, tempat duduk yang disediakan juga masih belum penuh. Untung juga datang awal tetapi agak jenuh juga menahan keperitan cuaca panas. Namun dalam suasana begini, cuaca panas adalah lebih baik daripada hujan.


Aiskrim

Saya punya perasa teh, Tmot punya perasa Bandung

Abaikan sahaja makhluk Allah yang berkeliaran itu

Kelihatan peniaga-peniaga mula mengambil tempat masing-masing

Teruja!


Siapa yang faham tolong terjemahkan
Memang rambang mata kami melihat pelbagai juadah yang dijual. Terasa ingin membeli dan merasa semuanya sekali kerana harganya juga berpatutan. Bayangkan untuk nasi beriani dengan saiz ayam yang besar hanya berharga 30 Baht (RM3) sahaja berbanding di Malaysia mungkin mencecah RM5 sebungkus. Untuk mengelakkan pembaziran, kami hanya beli 1 set sahaja bagi setiap jenis makanan yang dijual. Air pula dijual pada harga 20 Baht (RM2) di dalam bekas kertas dan jika di dalam bekas tembikar, pengunjung hanya perlu tambah 5 baht (50 sen) sahaja dan boleh membawanya pulang. Untuk urusan pembelian pula, sejenis bakul digunakan sebagai pengantara dengan pembeli. Makanan dan duit diletakkan di dalam bakul tersebut kerana kedudukan mereka yang sedikit jauh daripada tebing sungai menyukarkan pergerakan duduk atau bangun. Pada pandangan saya, mereka ini begitu kreatif dan teliti dalam setiap pekerjaan yang dibuat sehinggakan makanan juga dihias dengan begitu cantik. Oh ya, tidak perlu bimbang dengan status halal makanan di sini kerana semua peniaga adalah Muslim. Malah saya rasa mereka jauh lebih prihatin dalam memastikan kehalalan makanan yang dijual. Meskipun makanan tidak halal juga turut dijual di situ tetapi lokasi mereka diasingkan agar pembeli Muslim tidak merasa was-was.


Menjelang senja, semakin ramai pengunjung memenuhi ruang malah saya terasa seperti berada di pasar Malaysia pula. Bukan sahaja orang Melayu, orang Cina dan India juga turut serta. Rakyat Malaysia memang penjana ekonomi negara jiran yang baik.













Antara pengalaman yang menarik setiap kali berada di tempat orang adalah apabila berpeluang untuk berkenalan dengan rakan baru. Kali ini kami dipertemukan dengan seorang pengembara jalanan yang sudah menjejakkan kaki di hampir ¾ dunia. Haji Zainal, wajahnya tidak mencerminkan usianya yang sudah mencecah 58 tahun. Ralit seketika kami berbual berkongsi pengalaman beliau melihat dunia daripada kacamata seorang anak Melayu yang menjadi pengembara jalanan. Namun masa mencemburui kami lalu kami sempat bertukar-tukar maklumat apalagi jika bukan FB. Blog beliau juga boleh dilayari di alamat www.tobiaktravel.blogspot.com.

Hampir 2 jam di situ, kami meneruskan perjalanan pulang ke Hat Yai. Pemandu tuk-tuk setia menanti kami di tempat yang dijanjikan. Tidak puas rasanya 2 jam di situ. Mujur saya sudah merencana untuk datang lagi ke situ tidak lama lagi hehe. Kami terus pulang ke hotel dan sempat juga kami terlena seketika sementara menunggu waktu malam. Mungkin kerana kekenyangan makan macam-macam waktu di Floating Market.


Bergambar kenangan dengan Haji Zainal, pemilik www.tobiaktravel.blogspot.com

Pencicah yang disediakan secara percuma kepada pelanggan, boleh tambah sesuka hati

Bihun sup yang sedap

Tempat duduk khas disediakan kepada pelanggan untuk makan

Suasana semakin meriah

Bukan saja di tepi sungai, di darat pun ada juga
Malam ini kami merancang untuk meronda pasar malam pula. Lebih tepat Tmot ingin mendapatkan pulut mangga yang diidam-idamkan. Kali ini kami berjalan kaki sahaja menuju Lee Gardens Plaza kerana kami ingin meninjau sendiri jarak ke sana daripada hotel. Kenapa Lee Gardens Plaza? Kerana di sinilah lokasi pasar malam yang sering menjadi sebutan pengunjung-pengunjung sebelum ini di dalam blog mereka. Kiranya tempat ini merupakan landmark utama yang menjadi panduan jika terasa seperti sudah tersesat tetapi saya yakin jika diperhati betul-betul setiap landmark yang ada di sekelilingnya, kita tidak akan tersalah arah. Kami berjalan kaki sambil meninjau-ninjau keadaan sekeliling atau lebih tempat sasaran untuk membeli-belah. Ternyata memang kedudukan hotel sangat dekat dan jarak berjalan kaki hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Itupun jika tidak menyinggah di mana-mana kedai di sepanjang perjalanan. Kalau menyinggah, perjalanan mungkin akan mencecah 1 jam atau lebih.









Akhirnya berjaya juga menemui pulut mangga idaman Tmot dan teh ais yang sangat sedap. Aduhai, memang boleh bertambah berat badan saya jika lebih lama berada di sini. Harga sebekas pulut mangga dan santan adalah 50 Baht (RM5). Menurut teman-teman yang sering ke sini, harganya sudah naik kerana sebelum ini hanya sekitar 30 Baht (RM3) sahaja untuk sebekas. Apa boleh buat, sekali-sekala datang ke tempat orang, inilah peluang untuk mencubanya. Walhal di Malaysia pun ada pulut mangga tetapi mungkin kerana ia tidak dikomersilkan seperti di sini maka kita tidak merasakan yang ia sesuatu yang istimewa. Sekali lagi, rakyat Malaysia adalah penjana ekonomi negara jiran yang baik.

Kedudukan dan suasana gerai-gerai Muslim ini memang agak biasa dan waktu operasi mereka adalah dari jam 8.30 malam hingga 3 pagi. Jika ingin melihat suasana pertukaran syif peniaga, kita boleh datang awal sedikit dan melihat sendiri suasana peniaga yang datang dengan motosikal memarkirkannya dan membuat persiapan untuk memulakan perniagaan. Saya tiada masalah untuk makan di atas bangku sambil memegang semangkuk bihun sup di tepi jalan tetapi bagi mereka yang agak cerewet atau punya anak kecil yang lasak, suasana ini mungkin agak tidak sesuai buat mereka.

Lucunya, sewaktu di sini kami menemui kenalan baru yang sama-sama menaiki penerbangan tetapi tidak sempat bertegur sapa. Kata mereka, sewaktu di lapangan terbang, mereka memang mencari kami untuk mengajak berkongsi menaiki van ke hotel tetapi kami tidak dapat dikesan. Apa tidaknya, kami terus melesapkan diri kononnya untuk lebih adventure menaiki tuk-tuk. Rupa-rupanya kadar tambang menaiki van hanya RM5 seorang dan dihantar terus ke lobi hotel haha. Memang kami terkena akibat begitu teruja ingin merasai adventure. Ini pengajaran buat saya untuk perjalanan lain pada masa hadapan agar tidak terburu-buru membuat keputusan.

Usai mengisi perut, kami ronda-ronda lagi memasuki kedai demi kedai sehingga akhirnya kembali ke hotel. Mulanya kami bercadang untuk mengurut kaki tetapi apabila melihat suasana yang begitu terbuka, saya jadi tidak selesa namun hasrat untuk merasai pengalaman itu tetap ada dan berazam untuk memenuhinya juga sebelum pulang. Sebelum naik ke bilik, gigih mendapatkan WIFI di ruang lobi kerana servisnya agak lembap kerana ramai pengunjung katanya. Bosan dengan kelembapannya, kami kembali ke bilik untuk beradu. Lagi selesa.

Malam itu kami tidur lena. Mungkin kerana kekenyangan. Ringkasnya, program kami hari ini adalah makan, makan dan makan sahaja.