Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, January 29, 2013

Mini Rafting

Bismillahirrahmanirrahim...

25 Januari 2013 - Usai urusan di sebuah bank di KL, saya terus menuju ke Putrajaya untuk memenuhi janji bertemu dengan teman-teman. Lokasi pertemuan yang dipersetujui adalah Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8. Sengaja saya pilih tempat itu agar lebih privasi.

Pertemuan ini sebenarnya diadakan atas permintaan Ikhlas, yang ingin mengedarkan kad jemputan majlis resepsinya yang akan diadakan pada 9 Februari ini.

Saya yang ditemani anak saudara, Adeef Amin, tiba di sana seawal jam 12 tengah hari dan disusuli dengan Arab yang membawa baby Dzaafir, Ikhlas dan Adilah yang ditemani adiknya. Serta-merta suasana menjadi kecoh dengan pelbagai cerita yang dikongsi termasuk bertanya khabar masing-masing. Aduhai, sungguh pantas masa berlalu. Mereka ini teman-teman yang pernah sama-sama mengharungi suka duka menjalani kursus wajib selama 6 bulan untuk tujuan pengesahan perkhidmatan. Malah mereka juga teman yang bakal mengharungi perjalanan dalam perkhidmatan ini sehingga ke akhirnya, insha Allah.

Ikhlas istimewa di hati saya kerana dia adalah adalah teman yang sama-sama 'menangis' bersama saya sewaktu kami mengikuti modul tentera dan modul bomba. Tangisan kami bukan kerana kesedihan sebaliknya kerana kegembiraan berjaya mengharungi semua cabaran yang diberikan meskipun pada saat orang lain tidak meyakini kemampuan kami. Pun begitu, selain Ikhlas, teman-teman lain juga punya tempat yang istimewa di hati saya dan saya punya sebab tersendiri meletakkan mereka di kedudukan tersebut.

Masa benar-benar mencemburui kami. Tidak puas rasanya berbual bersama mereka. Masih banyak yang ingin dikongsi dan dibicarakan. Insha Allah jika panjang umur, kami akan bersua lagi semasa majlis Ikhlas kelak.




Monday, January 28, 2013

Hat Yai Aku Datang - Siri 05 (Akhir)

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Disember 2012 - Masa untuk pulang. Kami tidak ke mana-mana sementara menunggu ketibaan teksi yang akan menghantar kami ke lapangan terbang. Hanya bersantai di bilik sambil menikmati makanan  yang telah kami di pasar malam. 

Satu perkara yang patut dicontohi oleh peniaga kita di Malaysia adalah membekalkan bekas kecil kepada pembeli seperti di dalam gambar di bawah ini. Kami dibekalkan oleh bekas kecil untuk sos pencicah dan kuah cakoi yang kami beli. Ia memang sangat berguna terutama untuk musafir seperti kami yang tidak mempunyai kelengkapan secukupnya. 






Teksi yang dijanjikan tiba pada jam 11 pagi. Sangka kami ia memang sebuah teksi rasmi sebaliknya yang datang hanya sebuah kereta biasa sahaja. Gasaklah, janji sampai dengan selamat. 

Memasuki perkarangan lapangan terbang yang dikawal ketat oleh askar



Sewaktu di lapangan terbang, saya temui satu lagi perkara yang menarik iaitu tulisan jawi di dalam kawasan tandas. Saya tidak pernah menyangka sebuah negara yang menjadikan Buddha sebagai agama rasmi, turut menggunakan tulisan jawi dan Bahasa Melayu pada papan tanda mereka. 

Sedia untuk pulang ke tanahair, Tmot sudah selamat belayar ke alam khayalan

Alhamdulillah perjalanan pulang pada jam 1255 tengah hari (waktu tempatan) berlangsung seperti dijadualkan dan kami selamat tiba sejam selepas itu. Lega rasanya apabila kaki menjejak tanah air sendiri. Tidak kisahlah betapa baik dan indahnya negara orang, tanah air sendiri juga yang dekat di hati. 

Hat Yai Aku Datang – Siri 04

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Disember 2012 - Kali ini kami turun agak lewat iaitu sekitar jam 8 malam waktu tempatan berbanding semalam pada jam 7 malam. Kami bernasib baik kerana hujan turun sebaik kami tiba di tapak pasar malam,. Bayangkan jika hujan turun sewaktu kami masih dalam perjalanan ke sana. 



Selera tak?







Secara kebetulan, kenalan baru iaitu Abang Razak (FB: Pak Ngah Cun) dan isteri juga turut ada di situ dan kami merancang untuk makan malam bersama. Agak lama juga kami berdiri menunggu hujan reda sambil melihat gelagat orang ramai. Simpati pun ada juga melihat kegigihan peniaga mengelakkan diri daripada ditimpa hujan. Hampir 1 jam juga kami berdiri di situ sehingga akhirnya nampak hujan semakin reda. Dengan pantas Abang Razak terus duduk di meja berhampiran gerai sup kerana jika lambat, memang akan diambil oleh pelanggan lain. Rupanya memang ramai juga yang menunggu seperti kami. Saya dan Tmot memesan bihun sup sementara Abang Razak pula memesan sup kaki ayam. Supnya nampak biasa saja tetapi rasanya memang sedap dan berharga 400 Baht (RM4). Pelanggan memang tidak putus-putus datang sehingga tidak menang tangan dibuatnya. Tidak dilupakan adalah teh ais yang dipesan daripada pakcik di gerai sebelah. Bancuhannya memang kena dengan citarasa saya dan harganya juga berpatutan iaitu 20 Baht sahaja. Peliknya, di sini harga untuk air dengan ais atau panas adalah sama. Tidak seperti di negara kita yang mengenakan harga berbeza untuk air panas dan sejuk.







Sambil menikmati bihun sup yang panas dan diselubungi cuaca yang dingin, kami berbual panjang dan akhirnya saya mendapat tahu yang Abang Razak bertugas di Syarikat Prasarana Sdn Bhd (nama lamanya adalah PUTRA LRT). Betapa kecilnya dunia ini kerana saya pernah mengikuti latihan praktikal di situ selama 3 bulan dan Abang Razak juga telah bertugas di situ pada waktu itu tetapi kami tidak saling mengenali. Namun Abang Razak mengenali beberapa orang staf yang saya kenali sewaktu menjalani praktikal dahulu. Lebih menarik, isteri Abang Razak juga merupakan salah seorang staf SPNB. Lucu pula rasanya. Datang dari negara yang sama tetapi saling mengenali di negara orang. Abang Razak dan isteri merupakan kenalan yang maksudkan sebelum ini iaitu yang mencari kami sewaktu di lapangan terbang untuk sama-sama menaiki van ke hotel tetapi kami terlebih dahulu menghilangkan diri.

Usai makan malam, saya dan Tmot meneruskan perjalanan untuk memenuhi hasrat yang masih belum terlaksana iaitu merasai urutan Thai. Hasil maklumat daripada Abang Razak, kami menuju ke lokasi dimaksudkan tetapi ia sudah tamat operasi. Lalu kami mencuba nasib bertanya ke pusat urut lain yang boleh dipercayai. Hasilnya kami memilih Salon Christina kerana suasananya yang nampak meyakinkan. Kami pilih Thai massage dan oil massage selama 2 ½ jam pada harga 550 Baht (RM55). Memang sangat murah kerana saya tidak pernah mendapat kadar semurah itu di Malaysia. Lega terasa segala sendi apabila diurut cuma kekadang menjerit kecil juga apabila terasa agak sakit urutannya. Tertawa kecil saya apabila mendengar tukang urut berkata,

“No sakit, no urut.” Haha.



Akhirnya, proses urutan selesai pada jam 1 pagi (2 pagi waktu Malaysia) dan kami terus berjalan pulang ke hotel. Agak menyeramkan juga berjalan pulang selewat itu tetapi apabila melihat masih ramai yang bersantai menikmati makan malam di tepi jalan, terasa sedikit lega. Namun saya sempat melihat satu perkara yang saya rasakan sangat bagus tetapi amat sukar sekali dilihat dilakukan oleh peniaga di Malaysia iaitu mereka akan membersihkan sendiri tempat mereka berniaga sebaik tamat waktu kerana tempat itu akan diduduki oleh peniaga lain pula pada waktu siang. Kalau di Malaysia, saya rasa yang jelas adalah tinggalan sampah sarap yang diserahkan tanggungjawab kepada PBT sahaja untuk membersihkannya.


Berpurdah tidak menghalang wanita muda ini berniaga


ATM CIMB, tidak perlu risau jika keputusan wang di sana

Tiba di hotel, kami terus terbungkang keletihan. 

Hat Yai Aku Datang – Siri 03

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Disember 2012 - Tidak susah mencari makanan halal di sini tetapi harganya memang agak mahal. Mungkin kerana bilangannya yang sedikit berbanding yang tidak halal. Restoran halal yang paling popular di sini adalah Restoran Hamid dan Restoran Salma dan kedua-duanya terletak tidak jauh daripada Lee Gardens Plaza Hotel. Melalui carian blog, saya mendapat tahu tentang sebuah lagi restoran halal iaitu Restoran Kelantan. Kedudukannya tidak jauh daripada kedua-dua restoran tadi cuma sedikit ke belakang. Jika tidak tahu arahnya, ringankanlah mulut untuk bertanya kepada penduduk tempatan yang ada di sekitar kawasan tersebut.



Kami berjalan kaki hampir 10 minit sebelum tiba ke destinasi dituju. Lega rasanya melihat papan tanda yang dicari berada di depan mata kerana perut sudah berkeroncong minta diisi. Sengaja kami datang sedikit awal untuk mengelakkan kesesakan dan ternyata jangkaan kami benar kerana selepas itu kelihatan ramai pengunjung yang datang memenuhi ruang. Hidangan istimewa di situ adalah nasi kukus berlauk tetapi kami memilih untuk memesan masakan panas.


Kalau sudah datang ke Thailand, tidak lengkap rasanya jika tidak mencuba tomyam lalu kami memesan tomyam kelapa (atau tomyam santan? Saya lupa nama sebenarnya huhu). Rasanya memang asli dan tidak mengecewakan cuma harganya memang agak mahal jika dibandingkan dengan di Malaysia. Harga di dalam menu juga telah ditulis dalam RM tetapi kami membayarnya dengan matawang Baht. Untuk kesemua hidangan yang kami nikmati, jumlahnya adalah 570 Baht (RM57). Agak mahal juga tetapi berbaloi kerana rasanya memang tidak mengecewakan.






Restoran ini dibuka seawal jam 7 pagi tetapi kami tidak bercadang untuk datang lagi ke sini kerana lebih gemar membeli makanan daripada pasar malam sahaja. Puas meronda, kami pulang ke hotel untuk berehat. Inilah yang bagusnya bila hotel dekat dengan tempat yang dituju. Bila-bila masa boleh balik ke bilik dan melepaskan lelah. Cadangnya petang ini kami ingin ke muzium tetapi terpaksa dibatalkan kerana kedudukannya yang agak jauh daripada bandar dan bimbang tidak sempat. Akhirnya kami hanya berjalan-jalan di sekitar bandar sahaja. Antara tempat yang kami kunjungi adalah Pink Lady Complex, Santisuk Market dan Kim Yong Market.

Pink Lady Complex – menjual pakaian terutama t-shirt dan blouse sahaja tetapi tidak punya banyak pilihan.



Santisuk Market – mempunyai 2 aras tetapi lorong-lorongnya agak sempit. Menjual pelbagai barangan terutama beg dan barangan elektrik. 




Kim Yong Market – rasanya ini tempat yang paling luas dan punya banyak pilihan. Menjejakkan kaki ke sini membuatkan saya terasa berada di Ben Tanh, Ho Chi Minh City. Pasar ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu kering dan basah. Paling seronok di sini apabila melihat pilihan buah-buahan yang segar dan saiznya lebih besar daripada yang dijual di Malaysia.









Kami juga sempat singgah masuk ke kompleks membeli-belah yang ada di situ tetapi harganya sangat mahal. Bayangkan blouse yang paling murah di situ berharga 1589 Baht iaitu RM158.90. Bagi setengah orang mungkin merasakan ia murah tetapi bagi saya, jika saya ingin membeli dengan harga sebegitu, lebih baik saya beli di Malaysia sahaja. Akhirnya kami hanya cuci mata sahaja di situ dan kembali ke hotel untuk berehat sementara menunggu waktu malam. Agenda kami seterusnya sudah tentulah menikmati pulut mangga di pasar malam dan juga teh ais.