Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 21, 2012

Planetarium Negara

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Disember 2012 - Saya menemani abang, BaHa dan keluarga yang datang ke teratak saya sempena cuti persekolahan ke Planetarium Negara. Menariknya, baru-baru ini saya pernah berniat untuk menjejakkan kaki ke sini semasa dalam tempoh belajar ini. Tidak sangka akhirnya saya sampai juga ke sini dan lebih seronok apabila bersama ahli keluarga. Waktu kami tiba, suasana agak lengang dan kami memarkir kereta di tempat yang disediakan. Namun ia kurang mesra untuk yang datang bersama anak kecil dan perlu membawa stroller kerana perlu mendaki tangga yang agak tinggi. Mujur juga kami terfikir untuk menggunakan kemudahan menurunkan penumpang di lobinya. Sepatutnya pengawal keselamatan yang sudah nampak kehadiran bayi sekecil Qhaleef Amin yang berusia 39 hari di pangkuan kakak ipar saya, memberitahu kewujudan kemudahan tersebut lebih awal. Kasihan BaHa terpaksa mengangkut stroller yang boleh tahan juga beratnya mendaki anak-anak tangga yang tinggi. Mujur Adam dan Adeef tidak merungut terpaksa mendaki tangga tersebut. 

Waktu Operasi
Waktu operasi 
BaHa gigih mengangkat stroller menaiki anak tangga yang tinggi
BaHa gigih mengangkat stroller menaiki anak tangga yang tinggi

Tiba di kaunter tiket, kami disambut oleh petugas yang mesra menunjukkan laluan yang perlu dilalui. Rupanya tiada bayaran dikenakan untuk melihat pameran yang disediakan. Sebaliknya, bayaran hanya dikenakan kepada pengunjung yang ingin menonton persembahan mengikut masa-masa tertentu yang telah ditetapkan. Oleh kerana kami tiba agak lewat, maka kami sudah terlepas untuk menonton persembahan di sebelah pagi. Kami perlu menunggu persembahan seterusnya pada jam 3 petang kerana persembahan tidak akan diadakan pada waktu tengah hari pada hari Jumaat.

Adam Amin dan Adeef Amin
Adam Amin dan Adeef Amin
Bilik anti-graviti
Bilik anti-graviti


Adam Amin meneropong kawasan sekeliling
Adam Amin meneropong kawasan sekeliling
Galeri Pemandangan
Galeri pemandangan


Adam Amin, Kak Syima dan Qhaleef Amin
Adam Amin, Kak Syima dan Qhaleef Amin


MakLong dan Adeef Amin
MakLong dan Adeef Amin
Adeef Amin yang begitu takjub dengan pakaian angkasawan. Berulang kali dia meneliti pakaian tersebut.
Adeef Amin yang begitu takjub dengan pakaian angkasawan. Berulang kali dia menelitinya.

Sementara menunggu waktu persembahan pada jam 3 petang, kami makan tengah hari di kafe yang terletak di dalam kawasan Memorial Tun Abdul Razak. Atas sebab yang kami sendiri kurang pasti, agak mengecewakan kerana tiada kafe disediakan oleh pihak Planetarium Negara. Namun mujur juga Memorial Tun Abdul Razak hanya terletak tidak jauh daripada Planetarium. Usai makan tengah hari, kami terus menuju ke kaunter untuk membeli tiket persembahan. Kelihatan agak ramai juga pelajar sekolah yang menyertai kami. Bagi kami yang pertama kali melalui pengalaman ini, memang sangat teruja dan ternyata ia tidak mengecewakan. Layar yang memenuhi ruangan berbentuk dome memang memberikan kesan yang menarik dan kanak-kanak begitu seronok menontonnya. Pun begitu, entah mengapa saya merasa sedikit kekurangan di situ kerana pada akhir persembahan, ditunjukkan yang kandungannya disediakan oleh pihak di Amerika. Alangkah molek jika kandungan tersebut dapat diubahsuai dengan mengaitkannya dengan ajaran Islam kerana ternyata apa jua hasil kajian yang telah ditemui oleh para saintis adalah selari dengan apa yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran. Saya kira jika itu dapat dilakukan, persembahan itu pasti akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam terutama kepada anak-anak kecil yang mengikutinya. Apa pun, pihak Planetarium pasti mempunyai alasan tersendiri untuk tidak melakukannya. Umpamanya, mungkin kerana ketiadaan pakar untuk mewujudkan teknologi berkenaan menyebabkan mereka terpaksa mengambil kemudahan yang disediakan oleh pihak Barat. Walau bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga pula untuk menerangkan perkaitan yang wujud antara penemuan saintis dan hakikat sebenar ilmu Allah kepada anak-anak kecil tersebut. Kami tinggalkan Planetarium sekitar jam 4 petang dan meneruskan perjalanan ke rumah adik-adik di Sri Gombak.

No comments: