Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 21, 2012

Pengalaman di GM Plaza, KL

Bismillahirrahmanirrahim... 

10 Disember 2012 - Sebelum ini adik saya, MakTeh, pernah memberitahu tentang kewujudan GM Plaza KL namun saya tidak pernah tergerak hati untuk ke sana. Namun kami pernah sampai ke GM Klang yang terletak di Bukit Tinggi, Klang. Justeru, apabila hati tergerak untuk membeli sedikit kelengkapan harian dan juga untuk tujuan musafir, serta-merta saya teringin untuk mencuba membeli-belah di GM Plaza, KL pula. Tambahan pula sahabat saya, Arab ingin turut serta membeli keperluannya dan dia juga tidak pernah datang ke situ. Mengikut perancangan, kami akan bertolak ke KL selepas selesai urusan membeli buku di pameran Big Bad Wolf, MIECC Seri Kembangan. Akhirnya, kami bertolak ke KL sekitar jam 12 tengah hari dan mengambil masa tidak sampai 1 jam berikutan trafik yang lancar. Dari Jalan Sultan Ismail, saya terus menyelusuri Jalan Chow Kit dan memasuki persimpangan terus menuju ke arah tempat letak kereta. Namun saya sama sekali tidak menyangka yang kereta saya perlu menaiki lif terlebih dahulu untuk tiba ke aras tempat letak kereta iaitu di aras 8 hingga 11. Aduh, memang saya agak cuak kerana ini merupakan pengalaman saya yang pertama menggunakan kemudahan sebegini tetapi tiada sebarang masalah akan dihadapi jika sabar mengikut arahan yang diberikan sama ada oleh petugas di situ atau melalui papan tanda yang disediakan. Meskipun penyediaan kemudahan sebegini dapat menjimatkan penggunaan ruang tetapi kelemahan yang sangat ketara dalam adalah tempoh menunggu yang agak lama berbanding kaedah konvensional kerana lif yang sama digunakan oleh kereta untuk naik dan turun. 

Jakun bila kereta naik lif
Jakun bila kereta naik lif
Tempat letak kereta terletak di aras 8 hingga 11
Tempat letak kereta terletak di aras 8 hingga 11
Menunggu pintu lif dibuka
Menunggu pintu lif dibuka
Menanti dengan penuh debaran
Menanti dengan penuh debaran

Oleh kerana waktu kami tiba sudah menghampiri waktu Zuhur, kami memutuskan untuk solat dan makan tengah hari terlebih dahulu sebelum meneruskan misi seterusnya. Melilau kami keluar daripada bangunan GM Plaza untuk mencari kedai-kedai makan atau restoran yang berhampiran. Agak mencurigakan juga apabila melihat banyak restoran di kawasan sekitar yang dikendalikan oleh warga asing terutama Indonesia. Justeru, kami terpaksa berjalan agak jauh juga demi mencari tempat makan yang agak meyakinkan sehingga lucunya, sempat juga kami bertanya kepada polis yang sedang membuat rondaan di situ. Pasti polis itu menyangka kami adalah orang yang datang daripada luar KL atau pertama kali datang ke KL. Haha, biarlah asalkan kami dapat menjimatkan masa mencari. Akhirnya, kami temui sebuah restoran yang meyakinkan kerana melihat suasananya yang lebih bersih dan ramai pelanggan yang berpakaian pejabat sedang menjamu selera. Pada saya, itu antara tanda yang tempat itu memang menyediakan perkhidmatan yang sepatutnya. Usai makan tengah hari, kami melilau mencari tempat untuk solat pula. Sedikit mengecewakan apabila kebanyakan tempat yang kami singgah termasuk pasaraya UO tidak mempunyai kemudahan surau. Jalan akhir, kami kembali ke GM Plaza dan berharap semoga kemudahan surau ada disediakan di situ. Jenuh juga kami menaiki eskalator dari satu tingkat ke tingkat yang lain dan kami menuju ke aras 4 kerana dimaklumkan yang surau wanita berada di situ. Puas meronda-ronda, kami temui 'surau' yang dimaksudkan. Terkedu saya dibuatnya kerana seumur hidup saya tinggal di Malaysia, ini merupakan surau paling teruk pernah saya temui. Sudahlah kedudukannya betul-betul di sebelah tandas yang berbau, tiada kemudahan mengambil wuduk pula disediakan. Saiz 'surau' hanya mampu memuatkan 2 orang pada satu-satu masa dan keadaan di dalamnya pula sungguh menyedihkan. Dinding bertampal di sana sini dan dipenuhi dengan sarang labah-labah. Lantai juga sedikit lembab menyebabkan saya merasa loya. Namun saya tiada pilihan kerana waktu semakin berlalu. Akhirnya, saya dan Arab bergilir-gilir menunaikan solat dalam keadaan yang cukup memalukan. Saya rasa malu mengadap Allah dalam keadaan sebegitu sedangkan Allah memberi saya nikmat keseronokan untuk berbelanja di situ. Serta-merta pelbagai pertanyaan tentang peranan Pihak Berkuasa Tempatan dalam memastikan setiap bangunan menyediakan kemudahan surau terbit di kepala saya. Mungkin saya terlebih emosi namun saya tidak dapat menahan perasaan daripada berfikiran sebegitu lebih-lebih lagi dalam sebuah negara Malaysia yang tercinta ini. 

Menjijikkan!
Menjijikkan

Kain telekung yang disediakan juga dalam keadaan yang teruk
Kain telekung yang disediakan juga dalam keadaan menyedihkan
Keadaan dinding surau
Keadaan dinding surau
Ruang atas surau yang cukup menyedihkan
Ruang siling yang cukup menyeramkan

Kesannya, saya menjadi tidak begitu teruja untuk membeli-belah di situ meskipun saya akui barangan yang ditawarkan sangat murah dan pelbagai. Mungkin pada waktu yang lain, saya perlu memastikan kunjungan dibuat pada waktu di mana saya tidak perlu menunaikan solat di situ kerana saya tidak sanggup lagi sujud kepadaNya dalam keadaan yang begitu menyedihkan. Kami tinggalkan tempat tersebut sekitar jam 4.30 petang kerana ingin mengelakkan kesesakan bertembung dengan mereka yang pulang dari kerja di samping Arab perlu menjemput anak-anaknya di rumah pengasuh pula.

No comments: