Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, December 22, 2012

Online Shopping

Bismillahirrahmanirrahim...

21 Disember 2012 - Online shopping memang ada baik dan buruknya. Yang baiknya adalah kita dapat melihat banyak pilihan dengan pelbagai tawaran harga yang lebih murah tanpa perlu menapak dari satu kedai ke kedai yang lain. Yang buruknya pula, dek kerana terlalu mudah, ia boleh menjadi satu ketagihan yang sukar dikawal. Awal-awal dulu memang saya terjebak juga dengan ketagihan itu tetapi apabila saya sedar yang perbelanjaan menjadi tidak terkawal, saya berusaha menghentikan kegilaan tersebut. Langkah paling mudah adalah dengan menghentikan sebarang langganan kepada kedai-kedai maya yang melata di Internet. Saya hanya akan membukanya jika benar-benar perlu sahaja.

Pejabat syarikat livingsocial
Pejabat syarikat livingsocial
Stok-stok jualan
Stok-stok jualan
Baru-baru ini saya beli satu alat kesihatan iaitu blood pressure monitor daripada laman livingsocial. Secara kebetulan saya memang bercadang untuk membelinya kerana merasakan sudah tiba masanya saya memeriksa tekanan darah sendiri kerana sakit kepala yang semakin kerap kebelakangan ini. Justeru, saya membeli alatan tersebut dengan tawaran harga RM108 dan seunit termometer diberikan secara percuma. Saya rasakan ia tawaran yang berbaloi kerana saya pernah membelinya untuk Abah Ummi dan harganya jauh lebih mahal daripada itu. Cuma kelemahannya adalah tiada khidmat penghantaran disediakan dan pembeli perlu datang sendiri mengambilnya di pejabat livingsocial yang terletak di Midvalley. Oleh kerana tarikh untuk menuntut barangan tersebut akan tamat pada 27 Disember 2012, saya nekad untuk mengambilnya pada hari itu juga. Selepas ini saya akan sibuk dengan urusan pengajian dan perlu fokus sepenuhnya. Untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan, saya memutuskan untuk menggunakan pengangkutan awam ke Midvalley. Saya parkirkan kereta berhampiran stesen LRT Damai dan menaiki tren ke stesen KL Sentral. Dari situ, saya menaiki tren Komuter pula ke stesen Midvalley. Memang kedengaran agak leceh perjalanannya tetapi ia jauh lebih baik dari membuang masa terperangkap di dalam kesesakan dan kemudian membuang masa lagi mencari tempat parkir kereta di Midvalley. Serik rasanya apabila sebelum ini pernah menghampirkan masa hampir sejam semata-mata untuk mendapatkan parkir di Midvalley. 

Blood Pressure Monitor
Blood Pressure Monitor
Termometer yang diberikan percuma
Termometer yang diberikan percuma
Saya mulakan perjalanan dari stesen Damai pada jam 2.45 petang dan selesai urusan, berpatah balik semula ke situ pada jam 4.30 petang. Memang saya tidak melencong ke tempat lain selain ke pejabat livingsocial sahaja kerana ingin mengelakkan bersesak-sesak dengan pengguna LRT yang pulang dari kerja. Mujur agak mudah untuk saya mencari pejabatnya kerana saya sudah menelefon terlebih awal untuk mendapatkan lokasi sebenar pejabat tersebut. Tiba di stesen Damai, perut pula berkeroncong minta diisi. Apa lagi, saya terus singgah di salah sebuah kedai makan yang terletak di dalam bangunan Keramat Mall. Menu nasi kukus dan sambal udang petai memang tepat dengan selera saya dan harganya juga berpatutan. Menurut pemerhatian saya, hanya beberapa buah kedai makan sahaja yang beroperasi di situ dan sebahagian yang lain masih lagi ditutup. Saya ada juga terdengar antara alasan sebahagian peniaga enggan beroperasi di situ adalah kerana kadar sewa yang terlalu tinggi namun saya tidak pasti tentang kesahihannya. Namun melihat kepada kemudahan yang disediakan, ia jauh lebih selesa kepada pelanggan dan suasana juga lebih bersih. Entahlah, lain orang lain cara pemikirannya. 

Kedai makan di dalam Keramat Mall, tempat saya menjamu selera
Kedai makan di Keramat Mall, tempat saya menjamu selera

Usai solat Asar, saya terus ke UTM untuk bertapa di situ, menyiapkan tugasan yang masih belum selesai.

No comments: