Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, November 3, 2012

Jelajah Utara (Padang Besar - Alor Star - Tanjung Bungah)

Bismillahirrahmanirrahim..
30 Oktober 2012 (Selasa).
Usai solat Subuh, saya kejutkan budak-budak untuk bangun bersiap kerana saya bercadang untuk memulakan perjalanan seawal mungkin. Yang bagusnya, budak-budak ini memang bersemangat untuk bangun awal dan terus mandi. Tiada aksi paksa memaksa dan tangisan di pagi hari.
 
Sengaja juga saya tempah hotel yang menyediakan pakej sarapan supaya kami tidak perlu memperuntukkan masa untuk mencari gerai makan di luar. Tambahan pula dengan kehadiran budak-budak, lebih mudah bagi saya untuk mengawal pergerakan mereka jika berada di dalam kawasan hotel berbanding dengan gerai di tepi jalan. Jika diikutkan hati saya ini, memang saya teringin untuk merayau mencari tempat yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan tetapi hasrat itu terpaksa dipendamkan untuk perjalanan pada kali ini. 
 
Makanan kegemaran, roti canai
 
Perjalanan ke Padang Besar daripada Alor Star hanya mengambil masa 1 jam sahaja. Itupun kerana trafik yang agak perlahan iaitu kelajuan sekitar 50-60 km/j sahaja. Tambahan pula jalan 1 laluan dan kenderaan yang tidak putus-putus menyukarkan saya untuk memotong kenderaan lain membuatkan saya hanya menikmati pemanduan di samping pemandangan sawah padi yang menghiasi di kiri dan kanan jalan. Rasanya jika saya memandu dengan kelajuan sekitar 80-100 km/j, masa yang diambil jauh lebih pantas untuk tiba di Padang Besar.
Akhirnya, kami tiba di sana sekitar jam 10 pagi dan kelihatan suasana agak lengang. Pertama, sesetengah peniaga masih bercuti hari raya dan kedua, ia bukan musim cuti sekolah. Perkara yang wajib dibuat sudah tentulah bergambar di batu penanda sebagai bukti kehadiran kami di situ.
 
Selamat datang ke Padang Besar
 
Kali pertama saya ke sini adalah sewaktu saya masih menuntut di UIA. Rasanya 10 tahun yang lalu. Waktu itu saya bersama 2 orang lagi rakan menaiki keretapi malam ke stesen Arau dan bermalam di rumah salah seorang rakan kami di Kangar. Ternyata sudah banyak perubahan yang berlaku di sini. Tiada lagi gerai-gerai usang sebaliknya diganti dengan deretan bangunan batu dan suasananya jauh lebih selesa. Saya masih ingat, dulu kami terpaksa melalui celah-celah khemah dari satu gerai ke gerai yang lain dalam keadaan panas. Memang agak memeritkan terutama kepada yang membawa anak-anak kecil. Malah deretan gerai makan yang bersih juga sudah banyak beroperasi di sini.
 
Macam-macam ada tapi saya cuci mata saja
 
Saya memang tidak membeli belah sakan kerana perlu memerhati pergerakan budak-budak sebaliknya hanya membiarkan Abah Ummi sahaja memilih barangan yang berkenan. Hampir 2 jam juga kami di sini dan hanya beredar apabila Ummi meluahkan hasrat untuk ke Wang Kelian pula. Jaraknya hanya 10 km sahaja daripada Padang Besar namun perjalanan ke sana sedikit mencabar kerana perlu melalui laluan berbukit termasuk melepasi Taman Negeri Perlis. Mulanya saya agak cuak juga apabila melihatkan keadaan jalan yang berbukit bukau namun perasaan itu hilang apabila berselisih dengan beberapa buah kenderaan yang turut melalui jalan itu.
 
Pantang lepa, terus bertukar!
 
Untuk ke Wang Kelian, kami perlu melalui pemeriksaan Imigresen Malaysia dan Thailand. Kelihatan warga Thailand memenuhi kaunter masuk dan keluar Malaysia. Saya teruskan pemanduan melepasi Imigresen Malaysia yang hanya memuatkan satu kenderaan sahaja pada satu-satu masa. Mungkin kerana ia bukan musim cuti sekolah, suasana agak lengang dan tidak banyak gerai yang beroperasi. Gerai-gerai berada betul-betul di sempadan Thailand kerana kami perlu melepasi Imigresen Thailand terlebih dahulu untuk ke sana. Lucunya, apabila saya memandu keluar daripada Thailand dan kembali ke sempadan Malaysia, pegawai tersebut memaklumkan yang saya sepatutnya memarkirkan kereta di sempadan Malaysia dan hanya berjalan kaki ke sana. Hairan juga kerana kedua-dua pihak tidak menahan kereta saya sewaktu melalui laluan disediakan. Baru saya perasan, sewaktu di sana ada papan tanda yang menunjukkan jarak ke Satun adalah 40 km dan ke Hatyai adalah 100 km. Mujurlah saya tidak meneruskan pemanduan ke sana kerana hanya saya seorang sahaja yang membawa paspot sedangkan yang lain-lain tidak membawanya.  
 
Wang Kelian yang lengang

Mendapat liputan talian negara Thailand
Oleh kerana tiada apa yang menarik hati kami untuk singgah membeli belah, kami tinggalkan Wang Kelian untuk meneruskan perjalanan kembali ke bandar Alor Star. Jujurnya, saya rasa begitu tenang memandu dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok dan sawah padi yang menghijau.  Dalam perjalanan, sempat juga kami singgah untuk makan tengah hari di salah sebuah restoran di Beseri, Perlis iaitu Restoran Tok Mek. Tertera di papan tanda yang restoran ini sudah mula beroperasi sejak tahun 1959. Wah, hampir sama usia dengan tahun kemerdekaan Malaysia. Malah mereka juga turut menyediakan kemudahan motel yang dilengkapi dengan kemudahan wifi dan surau.
 
Restoran Tok Mek di Beseri, Perlis

Ladang Harumanis Bukit Bintang, Perlis namun musimnya hanya bulan Mei pada setiap tahun

Mujur saya bawa Ipad, penyebab untuk budak-budak duduk diam di dalam kereta

Solat Jamak di Masjid Zahir, Alor Star
Sebelum meneruskan pemanduan ke Pulau Pinang, saya sengaja singgah di Alor Star sebentar untuk memberi peluang kepada Abah Ummi menjejakkan kaki ke Pekan Rabu. Kata Ummi, berada di situ seperti berada di Mekah kerana kebanyakan barangan yang dijual adalah kelengkapan untuk ke tanah suci.
Destinasi terakhir yang disinggahi adalah Rumah Kelahiran Tun Mahathir namun Abah Ummi tidak berpeluang untuk masuk ke dalamnya kerana waktu operasi hanya sehingga jam 5 petang sedangkan kami tiba sekitar jam 5.30 petang. Siapa tahu kami akan datang lagi ke sini pada masa hadapan.
Dengan bantuan Waze, saya meneruskan pemanduan ke Pulau Pinang kerana saya sudah menempah penginapan di sana iaitu Naza Talya Business Hotel. Sengaja saya pilih hotel tersebut kerana saya pernah menginap di situ semasa mengikuti program rasmi jabatan. Pada saya, suasana di situ aman di samping kedudukannya yang terletak di tepi pantai. Secara kebetulan, bilik yang saya tempah juga berhadapan dengan pemandangan pantai.
Mulanya saya bercadang untuk ke sana dengan melalui jambatan Pulau Pinang tetapi apabila Waze memberikan maklumat yang trafik di situ sangat sesak, kami dilencongkan ke arah terminal feri. Tambang sebanyak RM7.70 dikenakan kerana kami menghala ke arah pulau dan tiada caj jika dari arah pulau ke tanah besar. Budak-budak pastinya paling teruja menaiki feri tetapi kami hanya menunggu di dalam kereta sahaja kerana saya agak bimbang dengan keselamatan mereka jika saya bawa mereka ke tempat duduk yang disediakan di tingkat atas feri.
 
Teruja!

Beratur di dalam feri
Ternyata kami memang bernasib baik kerana tidak perlu menunggu untuk menaiki feri kerana feri terus memulakan perjalanan sebaik kami mermarkirkan kereta di dalamnya. Perkara yang wajib dibuat apabila berada di dalam feri adalah mematikan enjin kereta untuk mengelakkan kemalangan.
Perjalanan hanya mengambil masa 20 minit sahaja dan apabila tiba di pulau, saya terus memandu menuju ke hotel. Sekali lagi GPS Waze benar-benar membantu apabila membawa saya melalui jalan yang tidak sesak kerana ia waktu puncak. Akhirnya kami tiba di hotel pada jam 8 malam. Urusan daftar masuk memang lancar kerana saya sudah membuat pembayaran lebih awal. Tidak sabar rasanya untuk berbaring di atas katil.
 
Bersemangat nak masuk hotel

Makan malam

Masih cergas!
Namun dengan kehadiran budak-budak, saya pastikan mereka mandi terlebih dahulu sebelum menguruskan diri sendiri. Mulanya saya bercadang untuk makan malam di Padang Kota Lama atau Kafe Puncak Mutiara tetapi apabila Abah Ummi kelihatan sudah terlalu letih, saya hanya memesan makanan di hotel sahaja. Merasalah Abah minum kopi tarik berharga RM10 segelas. Saya tidak kisah berbelanja lebih sedikit kali ini asalkan mereka gembira.

No comments: