Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, November 3, 2012

Jelajah Utara (Dungun - Alor Star)

Bismillahirrahmanirrahim…
 
29 Oktober 2012 (Isnin).
 
Sudah lama saya berniat untuk membawa Abah Ummi berjalan-jalan ke utara tanah air. Setelah dicongak-congak, akhirnya saya putuskan untuk membawa keduanya ke sana selepas sambutan Aidiladha iaitu sebaik semua adik-beradik telah pulang ke destinasi masing-masing. Turut serta adalah 3 orang anak saudara saya. Maka riuh rendahlah suasana sepanjang perjalanan kecuali semasa mereka tidur sahaja.

Kami mulakan perjalanan seawal jam 8 pagi (sepatutnya jam 7 pagi tapi biasalah bila menguruskan budak-budak kecil huhu) dengan melalui Lebuhraya Timur Barat. Dalam perjalanan, sempat juga singgah di Penarik, Setiu untuk membeli keropok kering. Tempoh perjalanan dijangka akan mengambil masa 8 jam tetapi dicampur dengan tempoh rehat, solat, makan, saya jangkakan tempohnya akan menjadi 10 jam.
Alhamdulillah, trafik lancar kerana sudah ramai yang kembali ke kota semalam. Menurut teman-teman yang pulang semalam, trafik memang sesak melampau dari semua arah menyebabkan tempoh masa diambil untuk tiba ke destinasi mengambil masa yang panjang.

Saya memandu dengan kelajuan yang sederhana sahaja kerana ingin menikmati perjalanan ini. Budak-budak pula tidur apabila sudah bosan bermain dan bergaduh.
 
Lepak sementara menunggu kami solat di sebuah masjid di Kupang, Kedah


Destinasi kami adalah bandar Alor Star kerana saya bercadang membawa Abah Ummi ke Padang Besar, Perlis pada keesokan harinya. Saya juga telah lebih awal menempah hotel di Bandar Baru Mergong iaitu The Leverage Business Hotel. Untung juga hotel ini terletak tidak jauh daripada Tesco Mergong. Dengan bantuan GPS Waze, kami tiba di hotel pada jam 6.45 petang. Tanpa melengahkan masa, kami terus mendaftar masuk dan berehat di bilik. Sesuai dengan harganya, ruang yang sedikit sempit namun selesa diberikan kepada kami. Sengaja saya pilih hotel itu kerana memikirkan yang kami hanya akan bermalam untuk seketika sahaja. Budak-budak pula bukan main seronok lagi bermalam di hotel. Saya tempah 2 unit bilik dan saya serta budak-budak  tinggal sebilik. Sengaja saya tidak mahu memeningkan Abah Ummi melayan kerenah mereka. Kalau dah nama budak-budak, mana faham erti diam. Saya biarkan sahaja mereka bermain selepas mereka mandi sementara saya berehat seketika. Memang agak meletihkan juga memandu di laluan yang berbengkang-bengkok selama hampir 10 jam.
 


Tidak kenal erti penat


Usai melepaskan lelah dan solat, kami ke Tesco untuk makan malam. Hajat di hati ingin mencuba tempat-tempat makan menarik yang ada di Alor Star tetapi apabila memikirkan yang Abah Ummi sudah kepenatan dan ditambah dengan kelincahan budak-budak, kami hanya makan malam di medan selera di dalam Tesco sahaja.
 


Menunggu makanan di Tesco Mergong



Pulang dari Tesco, sekitar jam 10.30 malam, walaupun budak-budak kelihatan masih aktif, sengaja saya matikan semua lampu supaya mereka tidur kerana mereka perlukan rehat yang cukup untuk menempuh perjalanan pada hari esok. Sebenarnya, bukan sahaja mereka, saya juga perlukan rehat yang cukup untuk meneruskan perjalanan seterusnya.


No comments: