Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, November 3, 2012

Jelajah Utara (Bukit Bendera - Kepala Batas - KL)


Bismillahirrahmanirrahim…
31 Oktober 2012 (Rabu).
Mudah sungguh budak-budak ini bangun. Mungkin kerana malam tadi mereka tidur awal. Mereka sudah bersiap seawal jam 8 pagi dan kami terus bersarapan di kafe hotel. Memang menarik bersarapan di tepi kolam sambil menikmati suasana pantai di pagi hari. Aman damai dan tenang sekali. Budak-budak pula memang teruja melihat kolam renang tetapi maaflah, masa tidak mengizinkan kami untuk menikmatinya.
 
Pemandangan daripada bilik kami

Tak sempat nak mandi, tengok saja

Bersarapan sambil menikmati suasana pantai

Ninja Turtle dan sepupunya, merangkap kawan baik
Usai sarapan, kami terus daftar keluar dan destinasi pertama dituju adalah Bukit Bendera. Saya pernah ke sini sewaktu mengikuti program rasmi jabatan dan merasai pengalaman menaiki tren model sebelum ini yang agak usang. Nampaknya kali ini saya akan berpeluang untuk merasai menaiki tren model baru yang ternyata jauh lebih selesa. Teringat pengalaman menaiki tren model lama yang hanya dilengkapi kemudahan kipas sahaja menyebabkan campuran pelbagai bau memenuhi ruang tren. Memang kembang kempis lubang hidung menunggu untuk sampai ke puncak dan turun semula.
 
Selamat datang ke Bukit Bendera

Bersesak dengan pelajar sekolah dan pelancong

Tak tahu apa motif Abah bersandar begitu

Sayup nun di sana

Bayar 50sen x 2 dan teropong

Asyik cucu je teropong, To'Wan pun nak teropong juga

Ronda-ronda naik buggy

Sukanya dia

Peti surat berusia 194 tahun

Sangka saya, tidak ramai pengunjung yang datang ke sini kerana ia bukan musim cuti sekolah tetapi sangkaan saya meleset kerana ia dipenuhi dengan pelajar sekolah dan pelancong. Rupa-rupanya banyak sekolah yang mengadakan lawatan untuk memenuhi waktu-waktu akhir sebelum musim cuti sekolah tiba. Jenuh juga kami beratur menunggu giliran untuk menaiki tren. Mujur juga tempoh menunggu antara satu tren dengan tren seterusnya hanya 15 minit.

Kadar tiket dikenakan pula adalah RM8 untuk dewasa dan RM4 untuk warga emas dan kanak-kanak. Seperti biasa, itu kadar untuk warga tempatan dengan MyKad dan kadar berlainan dikenakan kepada pelancong asing. Kali ini petugas kaunter meminta kami menunjukkan MyKad sebagai bukti sewaktu pembelian tiket terutama untuk tiket warga emas. Mujur Abah Ummi layak untuk menikmati kadar tersebut.
 
Harga tiket
 
Perjalanan menuju ke puncak ternyata lebih pantas berbanding dahulu. Teringat dulu bagaimana tren bergerak sangat perlahan dengan pelbagai bunyian yang mendebarkan hati. Kali ini perjalanan sangat lancar dan hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk sampai ke puncak yang mempunyai ketinggian 2700 meter daripada paras laut. Patutlah udaranya terasa nyaman.
Kali pertama ke sini dulu saya tidak sempat melihat-lihat apa yang ada di atas puncak ini. Kali ini saya berhasrat untuk meronda sepuasnya. Rupa-rupanya ada balai polis, pejabat pos dan restoran di atas puncak ini. Kemudahan teropong dengan kadar bayaran RM1 juga disediakan dan pengunjung boleh melihat keadaan bandar daripada situ. Oleh kerana Ummi sakit lutut, kami naik buggy dengan kadar RM30 untuk setengah jam. Tutup mata sahajalah dengan wang yang dikeluarkan kerana memikirkan mungkin tiada istilah ‘lain kali’ lagi untuk menikmati pengalaman ini. 
Kami dibawa mengelilingi Bukit Bendera dengan menaiki buggy dan dimaklumkan ada hampir 24 unit rumah rehat di atas bukit ini termasuk rumah rehat pemilik syarikat telekomunikasi Maxis.
Memang banyak tempat-tempat menarik lain seperti taman periuk kera, taman halia dan mini zoo tetapi semua mengenakan bayaran lain untuk memasukinya. Lalu saya hanya memilih untuk memasuki taman halia dan mini zoo sahaja. Itu pun saya rasa kadarnya agak mahal iaitu RM8 untuk dewasa, RM5 untuk warga emas dan kanak-kanak sedangkan keluasan taman itu hanya sekangkang kera sahaja. Namun budak-budak ternyata gembira dapat melihat burung kakak tua yang mereka panggil Rio (penangan Angry Birds huhu) kerana ia dapat menyebut perkataan ‘hello’.
Khusyuk berbual dengan Rio, sabar jelah
Hampir 2 jam di situ, kami memutuskan untuk turun ke bawah kerana cuaca sudah semakin panas dan melihat jumlah pengunjung yang semakin bertambah. Pilihan kami tepat kerana kelihatan beberapa buah bas yang membawa pelancong dan pelajar sekolah baru tiba di perkarangan kawasan tersebut.
Antara tujuan utama saya ke Pulau Pinang adalah untuk menjenguk seorang sahabat yang bertugas di Seberang Jaya. Saya sudah memaklumkan kedatangan ini kepadanya terlebih awal dan berjanji untuk bertemu di rumahnya pada waktu tengah hari. Sengaja saya pilih untuk bertemu pada waktu tengah hari kerana tidak mahu mengganggu waktu kerjanya.
 
 
Kami bernasib baik kerana perjalanan ke sana melalui jambatan Pulau Pinang dan keadaan trafik lancar. Tiba di rumah sahabat saya di Penaga, kami dijamu makan tengah hari tetapi tidak sempat berbual panjang kerana sahabat itu perlu kembali ke pejabat dan kami pula perlu meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Di samping itu, dalam perjalanan, saya perlu singgah di Tanjung Malim untuk menghantar pulang 2 orang anak saudara sebelum meneruskan perjalanan pulang ke teratak saya.
Alhamdulillah, selepas berhenti rehat di Hentian Gunung Semanggol dan Tapah, kami tiba di Tanjung Malim pada jam 9 malam. Kami tidak berlama di situ kerana perlu pulang ke teratak saya pula. Abah Ummi dan seorang anak saudara (Adeef Amin) akan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Terengganu pada jam 7 pagi esok. Bermakna kami perlu bertolak ke LCCT pada jam 5 pagi dan menunaikan solat Subuh di sana malah memang itu kebiasaannya setiap kali saya membelikan tiket pulang untuk Abah Ummi.
Kami tiba di teratak saya sekitar jam 11.30 malam. Adeef Amin sudah lama lena di dalam kereta tetapi tiada masalah untuk mengejutkan dia masuk ke dalam teratak dan meneruskan tidur di atas katil. Sempat juga saya mencetak pas penerbangan untuk mereka kerana saya tidak sempat berbuat demikian sebelum ini.
 
Kepenatan mengalahkan pemandu

No comments: