Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, November 6, 2012

Entri Tertunda: Seketika di Genting Highlands


Bismillahirrahmanirrahim…
25 Oktober 2012.
Sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha, saya dan 2 orang anak saudara sempat singgah di Genting Highlands. Ia persinggahan yang tidak dirancang sama sekali malah saya memang pernah mengatakan yang saya tidak akan menaiki kereta kabel di situ setelah melihat insiden kemalangan yang dipaparkan di FB sebelum ini. Namun dek kerana desakan anak-anak saudara, saya akhirnya tewas dan singgah juga untuk memenuhi keinginan mereka.
 
Pintu masuk ke stesen kereta kabel
 
Perjalanan kami bermula di stesen bawah kereta kabel. Saya parkirkan kereta di tempat yang disediakan dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Mujur juga waktu masih awal dan kelihatan suasana masih lengang. Kami segera menuju ke kaunter tiket dan kadar yang dikenakan adalah RM6 sehala untuk dewasa dan kanak-kanak. Agak terkejut kerana tiada perbezaan kadar antara dewasa dan kanak-kanak tetapi saya tiada pilihan. Akhirnya, saya jelaskan RM36 untuk perjalanan dua hala.
 
Terjumpa Transformer di lobi
Sebelum ini, pengalaman saya menaiki kereta kabel adalah di Langkawi. Mujur saya bukan seorang yang gayat dengan ketinggian tetapi rasa cuak tetap ada kerana memikirkan pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi.  Namun kebergantungan itu diletakkan sepenuhnya padaNya agar memelihara perjalanan kami naik dan turun.
 
Pendakian bermula

Nun sayup menuju puncak

Waktu operasi kereta kabel
 
Agak lama juga tempoh masa yang diambil untuk naik ke puncak iaitu hampir setengah jam. Puas juga anak-anak saudara saya menikmati pemandangan bukit bukau tanpa rasa takut. Saya pula yang terlebih risau apabila mereka tidak duduk diam di sepanjang perjalanan.
Tiba di puncak, kami terus mencari lokasi taman tema yang sering dikunjungi oleh orang ramai. Oleh kerana ini merupakan kunjungan saya yang pertama ke sini, memang agak melilau juga kami berjalan mencarinya. Agak terperanjat dan sedikit tidak selesa juga saya apabila di kiri dan kanan perjalanan kami dipenuhi dengan pusat kasino sahaja. Saya tahu tempat tersebut memang terkenal dengan kasino tetapi saya tidak menyangka bilangannya sebegitu banyak. Jenuh juga saya menarik tangan anak-anak saudara yang ingin berlari masuk ke dalamnya kerana menyangka ia adalah tempat permainan.
Akhirnya, kami temui taman tema yang dicari tetapi kami hanya menjenguk daripada luar sahaja kerana saya memang tidak bercadang untuk masuk ke dalamnya pada hari ini. Masa yang panjang perlu diperuntukkan untuk menikmati sepenuhnya pelbagai permainan yang ada. Tambahan pula, perjalanan kami untuk pulang ke kampung masih jauh. Usai berfoto, kami kembali ke stesen kereta kabel untuk turun ke bawah.
 





 
Dari situ, kami teruskan perjalanan menuju ke Lebuhraya Karak tetapi anak-anak saudara saya ternampak pula papan tanda arah ke taman strawberi. Apa lagi, saya diajak oleh mereka untuk ke sana walaupun sebentar. Tidak mahu menghampakan mereka, saya terus memandu masuk ke parkir berhampiran pintu masuk taman tersebut. Sebelum ini saya juga pernah melihat papan tanda taman strawberi tersebut sewaktu mengikuti program rasmi jabatan di Genting View Resort, namun saya tidak pernah sampai ke situ. Maka ini juga kunjungan yang pertama bagi saya.
 
Pintu masuk Taman Strawberi
 
Untung tiada sebarang bayaran masuk dikenakan untuk masuk ke taman tersebut. Seronok juga melihat deretan dan jajaran pokok-pokok strawberi yang memenuhi ruangan taman sambil dihiasi oleh pokok-pokok anggur yang menjalar memenuhi ruangan atas ruang laluan. Jika ingin membeli buah strawberi, pengunjung boleh memilih untuk memetik sendiri dari pokok atau memilih paket yang telah sedia dipetik oleh pekerja.
 
Masuk percuma

Pokok strawberi

Pokok anggur
 
Di samping itu, laluan yang dipenuhi gerai yang menjual pelbagai cenderahati dan madu lebah juga perlu dilalui oleh pengunjung sebelum bertemu dengan pintu keluar. Tiada apa-apa produk berasaskan strawberi yang kami beli kecuali anak-anak saudara meminta dibelikan aiskrim sahaja. Mungkin kerana saya sendiri sudah bosan dengan buah strawberi akibat kekerapan kunjungan ke Cameron Highlands sebelum ini.
 

 
Usai urusan di situ, saya meneruskan pemanduan memasuki Lebuhraya Karak dan seterusnya pulang ke kampung seperti perancangan asal.

No comments: