Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, November 6, 2012

Entri Tertunda: JomKurus Bersama Kevin Zahri

Bismillahirrahmanirrahim…
 
 


13 Oktober 2012.
Sebelum ini saya pernah mengikuti blog beliau malah telah turut membeli ebook tulisan beliau. Namun ia terhenti di situ sahaja dan niat saya untuk memperbaiki tahap kesihatan turut tergantung. Banyak betul alasan dan halangannya. Lalu saya nekad untuk menyertai program bersama Kevin Zahri (KZ) iaitu program yang dinamakan Jomkurus Bersama Kevin Zahri.
Alhamdulillah, sahabat saya, Tmot menyatakan keinginan untuk turut serta dalam program tersebut dan kami ke sana pada pada hari yang ditetapkan seawal jam 9.30 pagi. Program dijadualkan bermula jam 10 pagi tetapi akhirnya hanya bermula sekitar jam 10.20 pagi. Namun saya puji KZ yang hadir lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi dan sedikit mengecewakan apabila kelewatan berpunca daripada peserta sendiri. 
Pelbagai tips dikongsikan oleh KZ yang sememangnya membuka mata saya kerana menyedari langkah-langkah yang saya ambil sebelum ini adalah sedikit pincang. Umpamanya, tindakan saya memberhentikan pengambilan nasi yang merupakan makanan ruji merupakan satu tindakan yang salah.
Konsep yang patut difahami adalah mengawal pengambilan kalori harian agar bersesuaian dengan kadar keperluan badan. Kegemukan adalah berpunca daripada lebihan pengambilan makanan berbanding keperluan sebenar badan. Ringkasnya, konsep pengambilan makanan adalah seperti mengawal perbelanjaan harian atau bulanan. Kita sewajarnya berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan agar tidak melepasi batas perbelanjaan dan seterusnya terpaksa berhutang. Dalam konsep pemakanan, ‘hutang’ dalam perbelanjaan itu adalah sama dengan ‘lebihan’ makanan yang diambil melebihi keperluan aktiviti badan. Bila difikir-fikirkan semula, memang ada juga benarnya.
Satu lagi perkara yang memang sudah diketahui ramai terutama bagi orang Islam adalah saranan untuk berhenti makan sebelum kenyang. Rupa-rupanya ada hikmah besar yang tersembunyi di sebaliknya iaitu secara saintifiknya, rasa kenyang selepas makan hanya akan kita nikmati selepas 20 minit berlalu. Bermakna jika kita makan hingga kenyang, pengambilan makanan kita adalah melebihi keperluan sebenar. ‘Lebihan’ itulah yang akhirnya membentuk lemak dan menyebabkan kegemukan badan.
Soalnya, bagaimana mengukur Keperluan Kalori Harian untuk badan?
Kata KZ, kaedah yang tepat adalah dengan mengira keperluan kalori harian badan berdasarkan aktiviti fizikal harian yang kita jalankan. Kaedah pengiraan ini sebenarnya ada diterangkan dalam ebook beliau yang telah saya beli sebelum ini tetapi tidak saya fahami penggunaannya. Syukur kefahaman itu saya peroleh selepas menyertai program ini.

Menariknya, KZ turut membangunkan satu laman yang dinamakan www.cekodok.com sebagai panduan kepada kita untuk mengetahui kadar kalori bagi setiap makanan di Malaysia.
Ya, memang ia nampak remeh tetapi saya rasa lebih terpandu dan tidak terlalu terseksa dengan kaedah ini. Sebelum ini saya pernah mencuba pelbagai produk yang ada di pasaran namun hasilnya tidak berpanjangan kerana merasa terbeban dengan kos untuk membelinya. Lama-kelamaan hasrat itu pudar begitu sahaja.
Memang banyak lagi tips-tips menarik yang ingin dikongsikan oleh KZ tetapi ruang masa yang terhad membataskannya. Maka inilah masanya saya membongkar kembali ebook yang telah dibeli sebelum ini dan dimanfaatkan dengan sepenuhnya.
Semoga hasrat kali ini tidak akan berkubur lagi kerana bak kata KZ, anugerah tubuh badan ini adalah amanah daripada Allah agar kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Semoga kita kembali kepadaNya dalam keadaan yang baik sepertimana Dia memberinya dalam keadaan baik dan sempurna kepada kita. 
Maklumat lanjut: www.kevinzahri.com


1 comment:

Ila Ramliey said...

baguss ni..
n aku mmg suka ikut tips Kevin Zahri ni..
ingat.. jgn exercise pulun bagai nak rak.. n jgn dok diet sampai tak makan..
Yang penting, hidup mesti balance