Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, November 28, 2012

Yang Mudah dan Yang Sukar

Bismillahirrahmanirrahim...

Apa yang mudah dan apa yang sukar?

Saya sebenarnya baru sahaja selesai memuatturun satu perisian baru berkonsep cloud computing ke dalam laptop, Iphone dan Ipad. Perisian baru ini dipanggil Box dan saya diberi kapasiti simpanan sebanyak 10GB kerana saya menggunakan iOS.
 
Tiba-tiba saya terfikir betapa mudahnya adik-adik sekarang belajar dengan segala macam kemudahan yang ada seperti perisian cloud computing ini. Sebelum ini saya sudah memuatturun Dropbox dan Google Drive. Untuk Dropbox, saya diberi kapasiti sebanyak 2GB dan selepas beberapa penambahan menjadi 6GB. Manakala untuk Google Drive pula saya diberi kapasiti sebanyak 5GB. Bermakna untuk ketiga-tiga perisian tersebut, saya telah mempunyai kapasiti sebanyak 21GB. Fuh! Memang lebih daripada mencukupi untuk urusan penyimpanan dokumen sepanjang tempoh pengajian ini. Malah saya sudah membayangkan untuk mempraktikkan penggunaan perisian ini semasa kembali bekerja kelak.
 
Ok, apa yang mudahnya menggunakan perisian-perisian ini?
 
Begini, jika sebelum ini saya perlu menyalin data-data dengan menggunakan thumbdrive atau external hard disk atau dengan menggunakan e-mel sebagai perantaraan untuk membolehkan saya mengaksesnya pada laptop atau PC, kini tidak lagi. Dengan kehadiran WIFI, saya boleh mengakses dokumen-dokumen yang dikehendaki sama ada daripada laptop, PC, Ipad atau Iphone pada bila-bila masa dan tempat. Tiada lagi alasan dokumen berada di dalam PC di rumah jika saya perlu memerlukannya dengan segera. Lebih menarik, pindaan yang saya buat pada dokumen tersebut contohnya yang terkandung di dalam laptop, akan turut dikemaskini secara automatik pada PC, Iphone dan Ipad. Sepatutnya tidak timbul lagi isu tugasan tidak dapat dihantar pada masanya kerana tertinggal thumbdrive di rumah atau di dalam kereta. Malah saya juga boleh berkongsi kandungan fail tersebut dengan teman-teman atau mereka yang memerlukannya melalui Iphone atau Ipad sahaja jika saya berada di luar rumah. Mudah bukan?
 
Tidak timbul isu sukar untuk mendapatkan kemudahan WIFI kerana saya dapati pihak IPTA telah menyediakan kemudahan WIFI secara percuma di seluruh kampus untuk kemudahan para pelajar. Malah sudah banyak restoran terutama kedai-kedai mamak yang menyediakan kemudahan WIFI secara percuma kepada para pelanggan mereka.
 
Lalu, apa yang sukarnya?
 
Pada saya, bila bercakap soal sukar ini, segalanya akan berbalik kepada sikap diri sendiri juga. Antara mahu atau tidak, garis pemisahnya sangat nipis dan ia bergantung kepada kekuatan dalaman seseorang untuk melakukannya. Jika kemudahan yang diberi adalah bertaraf dunia tetapi sikap penggunanya adalah di kelas ketiga, maka kemudahan tersebut tetap tidak memberi sebarang manfaat malah seringkali dianggap satu beban pula.
 
Memang kalau bercakap soal sikap ini, sampai kiamat pun tidak akan habis. Lalu saya serahkan kepada yang empunya badan untuk memilih sama ada ingin memilih jalan yang mudah atau yang sukar.
 
Bagi saya, untuk apa perlu bersusah-payah jika jalan mudah sudah terbentang luas di hadapan mata.
 
 

Thursday, November 15, 2012

Hijrah dan Hari Lahir

Bismillahirrahmanirrahim...
 
14 November 2012. Semalam, umat Islam menyambut ketibaan Maal Hijrah yang ke 1434. Secara kebetulan, ia juga tarikh ulangtahun kelahiran Abah yang ke-66. Ya, Abah saya sudah menghampiri usia 70 tahun dan telah 3 tahun melepasi usia Baginda Rasulullah. Kekadang semacam tidak percaya betapa pantas masa berlalu. Terasa seperti baru semalam Abah membonceng saya di subuh yang hening untuk menghantar pulang ke asrama.
 
 


Begitulah putaran kehidupan. Yang kecil akan menjadi dewasa. Yang dewasa akan menjadi tua dan pada akhirnya, akan kembali kepada Yang Maha Pencipta. Semoga Abah terus dikurniakan kesihatan yang baik dan senantiasa berada dalam rahmatNya jua.

Tuesday, November 6, 2012

Entri Tertunda: Seketika di Genting Highlands


Bismillahirrahmanirrahim…
25 Oktober 2012.
Sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha, saya dan 2 orang anak saudara sempat singgah di Genting Highlands. Ia persinggahan yang tidak dirancang sama sekali malah saya memang pernah mengatakan yang saya tidak akan menaiki kereta kabel di situ setelah melihat insiden kemalangan yang dipaparkan di FB sebelum ini. Namun dek kerana desakan anak-anak saudara, saya akhirnya tewas dan singgah juga untuk memenuhi keinginan mereka.
 
Pintu masuk ke stesen kereta kabel
 
Perjalanan kami bermula di stesen bawah kereta kabel. Saya parkirkan kereta di tempat yang disediakan dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Mujur juga waktu masih awal dan kelihatan suasana masih lengang. Kami segera menuju ke kaunter tiket dan kadar yang dikenakan adalah RM6 sehala untuk dewasa dan kanak-kanak. Agak terkejut kerana tiada perbezaan kadar antara dewasa dan kanak-kanak tetapi saya tiada pilihan. Akhirnya, saya jelaskan RM36 untuk perjalanan dua hala.
 
Terjumpa Transformer di lobi
Sebelum ini, pengalaman saya menaiki kereta kabel adalah di Langkawi. Mujur saya bukan seorang yang gayat dengan ketinggian tetapi rasa cuak tetap ada kerana memikirkan pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi.  Namun kebergantungan itu diletakkan sepenuhnya padaNya agar memelihara perjalanan kami naik dan turun.
 
Pendakian bermula

Nun sayup menuju puncak

Waktu operasi kereta kabel
 
Agak lama juga tempoh masa yang diambil untuk naik ke puncak iaitu hampir setengah jam. Puas juga anak-anak saudara saya menikmati pemandangan bukit bukau tanpa rasa takut. Saya pula yang terlebih risau apabila mereka tidak duduk diam di sepanjang perjalanan.
Tiba di puncak, kami terus mencari lokasi taman tema yang sering dikunjungi oleh orang ramai. Oleh kerana ini merupakan kunjungan saya yang pertama ke sini, memang agak melilau juga kami berjalan mencarinya. Agak terperanjat dan sedikit tidak selesa juga saya apabila di kiri dan kanan perjalanan kami dipenuhi dengan pusat kasino sahaja. Saya tahu tempat tersebut memang terkenal dengan kasino tetapi saya tidak menyangka bilangannya sebegitu banyak. Jenuh juga saya menarik tangan anak-anak saudara yang ingin berlari masuk ke dalamnya kerana menyangka ia adalah tempat permainan.
Akhirnya, kami temui taman tema yang dicari tetapi kami hanya menjenguk daripada luar sahaja kerana saya memang tidak bercadang untuk masuk ke dalamnya pada hari ini. Masa yang panjang perlu diperuntukkan untuk menikmati sepenuhnya pelbagai permainan yang ada. Tambahan pula, perjalanan kami untuk pulang ke kampung masih jauh. Usai berfoto, kami kembali ke stesen kereta kabel untuk turun ke bawah.
 





 
Dari situ, kami teruskan perjalanan menuju ke Lebuhraya Karak tetapi anak-anak saudara saya ternampak pula papan tanda arah ke taman strawberi. Apa lagi, saya diajak oleh mereka untuk ke sana walaupun sebentar. Tidak mahu menghampakan mereka, saya terus memandu masuk ke parkir berhampiran pintu masuk taman tersebut. Sebelum ini saya juga pernah melihat papan tanda taman strawberi tersebut sewaktu mengikuti program rasmi jabatan di Genting View Resort, namun saya tidak pernah sampai ke situ. Maka ini juga kunjungan yang pertama bagi saya.
 
Pintu masuk Taman Strawberi
 
Untung tiada sebarang bayaran masuk dikenakan untuk masuk ke taman tersebut. Seronok juga melihat deretan dan jajaran pokok-pokok strawberi yang memenuhi ruangan taman sambil dihiasi oleh pokok-pokok anggur yang menjalar memenuhi ruangan atas ruang laluan. Jika ingin membeli buah strawberi, pengunjung boleh memilih untuk memetik sendiri dari pokok atau memilih paket yang telah sedia dipetik oleh pekerja.
 
Masuk percuma

Pokok strawberi

Pokok anggur
 
Di samping itu, laluan yang dipenuhi gerai yang menjual pelbagai cenderahati dan madu lebah juga perlu dilalui oleh pengunjung sebelum bertemu dengan pintu keluar. Tiada apa-apa produk berasaskan strawberi yang kami beli kecuali anak-anak saudara meminta dibelikan aiskrim sahaja. Mungkin kerana saya sendiri sudah bosan dengan buah strawberi akibat kekerapan kunjungan ke Cameron Highlands sebelum ini.
 

 
Usai urusan di situ, saya meneruskan pemanduan memasuki Lebuhraya Karak dan seterusnya pulang ke kampung seperti perancangan asal.

Entri Tertunda: JomKurus Bersama Kevin Zahri

Bismillahirrahmanirrahim…
 
 


13 Oktober 2012.
Sebelum ini saya pernah mengikuti blog beliau malah telah turut membeli ebook tulisan beliau. Namun ia terhenti di situ sahaja dan niat saya untuk memperbaiki tahap kesihatan turut tergantung. Banyak betul alasan dan halangannya. Lalu saya nekad untuk menyertai program bersama Kevin Zahri (KZ) iaitu program yang dinamakan Jomkurus Bersama Kevin Zahri.
Alhamdulillah, sahabat saya, Tmot menyatakan keinginan untuk turut serta dalam program tersebut dan kami ke sana pada pada hari yang ditetapkan seawal jam 9.30 pagi. Program dijadualkan bermula jam 10 pagi tetapi akhirnya hanya bermula sekitar jam 10.20 pagi. Namun saya puji KZ yang hadir lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi dan sedikit mengecewakan apabila kelewatan berpunca daripada peserta sendiri. 
Pelbagai tips dikongsikan oleh KZ yang sememangnya membuka mata saya kerana menyedari langkah-langkah yang saya ambil sebelum ini adalah sedikit pincang. Umpamanya, tindakan saya memberhentikan pengambilan nasi yang merupakan makanan ruji merupakan satu tindakan yang salah.
Konsep yang patut difahami adalah mengawal pengambilan kalori harian agar bersesuaian dengan kadar keperluan badan. Kegemukan adalah berpunca daripada lebihan pengambilan makanan berbanding keperluan sebenar badan. Ringkasnya, konsep pengambilan makanan adalah seperti mengawal perbelanjaan harian atau bulanan. Kita sewajarnya berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan agar tidak melepasi batas perbelanjaan dan seterusnya terpaksa berhutang. Dalam konsep pemakanan, ‘hutang’ dalam perbelanjaan itu adalah sama dengan ‘lebihan’ makanan yang diambil melebihi keperluan aktiviti badan. Bila difikir-fikirkan semula, memang ada juga benarnya.
Satu lagi perkara yang memang sudah diketahui ramai terutama bagi orang Islam adalah saranan untuk berhenti makan sebelum kenyang. Rupa-rupanya ada hikmah besar yang tersembunyi di sebaliknya iaitu secara saintifiknya, rasa kenyang selepas makan hanya akan kita nikmati selepas 20 minit berlalu. Bermakna jika kita makan hingga kenyang, pengambilan makanan kita adalah melebihi keperluan sebenar. ‘Lebihan’ itulah yang akhirnya membentuk lemak dan menyebabkan kegemukan badan.
Soalnya, bagaimana mengukur Keperluan Kalori Harian untuk badan?
Kata KZ, kaedah yang tepat adalah dengan mengira keperluan kalori harian badan berdasarkan aktiviti fizikal harian yang kita jalankan. Kaedah pengiraan ini sebenarnya ada diterangkan dalam ebook beliau yang telah saya beli sebelum ini tetapi tidak saya fahami penggunaannya. Syukur kefahaman itu saya peroleh selepas menyertai program ini.

Menariknya, KZ turut membangunkan satu laman yang dinamakan www.cekodok.com sebagai panduan kepada kita untuk mengetahui kadar kalori bagi setiap makanan di Malaysia.
Ya, memang ia nampak remeh tetapi saya rasa lebih terpandu dan tidak terlalu terseksa dengan kaedah ini. Sebelum ini saya pernah mencuba pelbagai produk yang ada di pasaran namun hasilnya tidak berpanjangan kerana merasa terbeban dengan kos untuk membelinya. Lama-kelamaan hasrat itu pudar begitu sahaja.
Memang banyak lagi tips-tips menarik yang ingin dikongsikan oleh KZ tetapi ruang masa yang terhad membataskannya. Maka inilah masanya saya membongkar kembali ebook yang telah dibeli sebelum ini dan dimanfaatkan dengan sepenuhnya.
Semoga hasrat kali ini tidak akan berkubur lagi kerana bak kata KZ, anugerah tubuh badan ini adalah amanah daripada Allah agar kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Semoga kita kembali kepadaNya dalam keadaan yang baik sepertimana Dia memberinya dalam keadaan baik dan sempurna kepada kita. 
Maklumat lanjut: www.kevinzahri.com


Monday, November 5, 2012

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Bismillahirrahmanirrahim...

4 November 2012.

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Patah tumbuh hilang berganti.

Arwah Asyraaf, kini damai di sisi PenciptaNya

Abang dan kakak ipar saya telah dikurniakan cahayamata ke-4, juga seorang lelaki dengan berat 3.2 kilogram.

Meskipun tempat arwah tidak mungkin diganti oleh adiknya, kelahiran ini menjadi pengubat duka mereka berdua yang kehilangan arwah sebelum ini.
 
Jejaka tanpa nama
 
Hati saya begitu tersentuh membaca luahan hati abang di FB tentang kelahiran pada kali ini.
 
"Kejadian hari ini: Lokasi di Hospital Nur Zahirah K.Trg. : Jam 11.00pg Isteri menelefon memberitahu akan memasuki labor room. Doktor bertugas telah memaklumkan isteri perlu masuk wad bersalin hari ini juga. Pada masa itu saya masih berada dipejabat. Jarak antara pejabat dengan hospital hanya berjarak 2km. Tup tap tup tap.. jam sudah berdetik menghampiri jam 1.00 t/hari.. tidak perasan masa berlalu...
begitu pantas.. Alamak! sudah lewat mau ke Hospital. tanpa berlengah lagi saya terus menuju ke hospital.
Dalam perjalanan yang hanya berjarak 2km.. tiba2 perasaan mula berubah.. terasa lemah longlai kaki.. tak bermaya rasanya nak melangkah.. jantung pula berdebar tidak berhenti.. sampai di hospital kelihatan orang ramai sedang berpusu-pusu menunggu di pintu masuk hospital.. maka saya terus mengambil keputusan melalui jalan belakang untk ke temapt isteri sedang bersalin. Sesampai di wad bersalin.. kelihatan isteri sedang berbaring di atas katil.. prosedur untuk bersalin telah pun diaktifkan.. waktu itu jam baru menujukkan 1.30 t/hari.. melihat keadaan isteri yang belum mengalami contraction maka saya pun memberitahu isteri untuk menunaikan solat terlebih dahulu.
 
Dalam perjalanan untuk ke ruang solat.. saya melalui lorong bilik kecemasan.. tiba2 hati terasa sebak.. wajah arwah tiba2 terus melantun ke kotak fikiran ini.. kerna disitulah arwah pernah berada disitu.. lalu saya mempercepatkan lagi langkah supaya perasaan itu dapat dikawal.. Usai solat... saya terus kembali ke wad bersalin di samping isteri.. Jam waktu itu telah menunjukkan jam 2.00 ptg..
 
Dalam waktu menunggu itu.. kedengaran suara-suara ibu-ibu yang hendak bersalin.. kedengaran suara nurse bertugas menjerit kata semangat kepada ibu2 supaya berusaha.. begitu tekun diorg menjalankan tugas. Walaupun tidak melihat tapi suara di dengari sudah cukup menggambarkan perasaan dan pengorbanan seorg ibu dalam melahirkan anak.. rasanya kalau la saya boleh mengandung tidak sanggup rasanya untuk melahirkan anak kalau la begitu keadaanya.. macam mana la seorg perempuan bisa melakukan perkara itu..
 
Waktu berlalu.. isteri telah mula merasai contraction.. tapi tidak terlalu kuat.. waktu berlalu agak perlahan.. biasalah kalau menunggu.. lambat saja waktu berlalu.. mata pun mula mengantuk.. memndangkan jam sudah menunjukkan 4.00 ptg.. saya meminta izin kepada isteri untuk pergi solat Asar pula.. oleh kerana jam baru 4.00 ptg, jadi saya mengambil keputusan utk solat di masjid ladang. Usai solat asar.. tiba2 perut terasa lapar pula.. lalu singgah sebentar di kedai berhampiran dengan masjid. Setelah perut diisi.. lalu saya pun bertolak semula ke hospital.. dalam hati masih lagi berdebar.. tengok jam sudah pukul 5 lebih.. dalam hati berfikir.. belum bersalin lagi kot...langkah di atur satu demi satu sehinggalah sampai dikaunter wad bersalin.. "Assalamualaikum" sapa saya kepada nurse bertugas.. kemudian terus bertanya keadaan isteri.. lantas jururawat bertugas berkata "isteri encik telah pon selamat melahirkan anak" ... "Lailahaillahallah muhamad rasullah" kata saya.. bila ?" berkata jururawat" kira-kira jam 4.37 ptg tadi"...
 
Tiba-tiba teringat.. jam lebih kurang 4.30... saya baru nak memulakan solat berjemaah.. mungkin dalam waktu solat atau betul2 lepas memberi salam.. Isteri telah melahirkan anakk.. Kuasa Allah siapa yang tahu.. saya menunggu hampir 2 jam untuk bersama isteri ketika melahirkan anak.. tapi takdir Allah.. Isteri bersalin ketika saya bersolat.. Kesian pada isteri kerna terpaksa bersalin bertemankan doktor dan jururawat sahaja.. Tapi Alhamdulillah.. semua selamat... baby dan mama sehat sejahtera..
 
Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar... maha besar Allah.. maha pemberi rezeki.. Syukur alhamdulillah.. hari ini bersamaan 4 nov. 2012 19 zulhijjah 1434h tepat jam 4.37 minit petang maka lahirlah seorg lagi umat muhammad s.a.w. Hadirmu bisa mengubat duka lara hati abah dan mama.. hadirmu bakal mengubat kerinduan abah dan mama.. hadirmu adalah segalanya..
 
Ironinya... ini adalah kelahiran yang ke 4... bersalin selepas 4 hari menunggu di wad.. di wad bersalin duduk di bilik no. 4... bersalin jam 4 lebih.. dan last bersalin pada tarikh 04hb November 2012..."
 
Saya belum sempat untuk menjenguk ahli keluarga baru ini kerana dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. InsyaAllah, kami akan pulang berkumpul pada hujung bulan ini untuk mengadakan kenduri aqiqah untuk anak-anak saudara seramai 7 orang.
 
Selamat datang Muhammad ________ Amin bin Md Hanafiah Amin!
 

Saturday, November 3, 2012

Jelajah Utara (Tamat)


Bismillahirrahmanirrahim…
1 November 2012 (Khamis).
Jam 4.30 pagi, saya segera bangkit untuk bersiap dan menguruskan Adeef Amin. Kedengaran Abah Ummi juga sudah bangun kerana kami perlu bertolak ke LCCT pada jam 5 pagi. Tiba di sana tepat jam 6 pagi, kami terus ke surau untuk menunaikan solat Subuh terlebih dahulu. Sekitar jam 6.30 pagi, Abah Ummi dan Adeef Amin bergerak masuk ke balai pelepasan kerana pintu ditutup pada jam 6.40 pagi. Lega rasanya apabila melihat mereka selamat masuk dan bersedia untuk bertolak pulang. Saya? Sempat bersarapan di restoran Taste of Asia di LCCT sebelum bertolak pulang dan mengqada’ tidur.
 
Musafir kecil di subuh yang hening

Bergerak memasuki balai pelepasan
2 November 2012 (Jumaat).
Memang penat selepas memandu melebihi 1000 km malah sehingga hari ini kepenatan itu masih tersisa. Namun saya puas kerana dapat membawa Abah Ummi dan anak-anak saudara berjalan-jalan ke tempat yang belum pernah mereka jejak. Fulus? Memang mengalir macam air tetapi apabila difikirkan, jika bukan sekarang, bila lagi? Sementara Allah masih memberi saya kemampuan kewangan, masa dan tenaga untuk menggembirakan mereka, saya akan cuba memberi apa yang terdaya dengan sebaik mungkin. Cuma agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi hasrat Ummi untuk merasai nasi kandar Penang. InsyaAllah, jika ada rezeki, akan saya bawa mereka ke sana lagi untuk menyempurnakan aktiviti-aktiviti yang masih belum sempat dilakukan dalam jelajah kali ini.
Kini masa untuk saya menumpukan perhatian terhadap urusan pengajian pula. Memang cuak kerana semester ini saya agak ketinggalan dalam menguruskannya. Saya perlu memperbetulkan kembali perjalanan agar berada di landasan yang betul.

Jelajah Utara (Bukit Bendera - Kepala Batas - KL)


Bismillahirrahmanirrahim…
31 Oktober 2012 (Rabu).
Mudah sungguh budak-budak ini bangun. Mungkin kerana malam tadi mereka tidur awal. Mereka sudah bersiap seawal jam 8 pagi dan kami terus bersarapan di kafe hotel. Memang menarik bersarapan di tepi kolam sambil menikmati suasana pantai di pagi hari. Aman damai dan tenang sekali. Budak-budak pula memang teruja melihat kolam renang tetapi maaflah, masa tidak mengizinkan kami untuk menikmatinya.
 
Pemandangan daripada bilik kami

Tak sempat nak mandi, tengok saja

Bersarapan sambil menikmati suasana pantai

Ninja Turtle dan sepupunya, merangkap kawan baik
Usai sarapan, kami terus daftar keluar dan destinasi pertama dituju adalah Bukit Bendera. Saya pernah ke sini sewaktu mengikuti program rasmi jabatan dan merasai pengalaman menaiki tren model sebelum ini yang agak usang. Nampaknya kali ini saya akan berpeluang untuk merasai menaiki tren model baru yang ternyata jauh lebih selesa. Teringat pengalaman menaiki tren model lama yang hanya dilengkapi kemudahan kipas sahaja menyebabkan campuran pelbagai bau memenuhi ruang tren. Memang kembang kempis lubang hidung menunggu untuk sampai ke puncak dan turun semula.
 
Selamat datang ke Bukit Bendera

Bersesak dengan pelajar sekolah dan pelancong

Tak tahu apa motif Abah bersandar begitu

Sayup nun di sana

Bayar 50sen x 2 dan teropong

Asyik cucu je teropong, To'Wan pun nak teropong juga

Ronda-ronda naik buggy

Sukanya dia

Peti surat berusia 194 tahun

Sangka saya, tidak ramai pengunjung yang datang ke sini kerana ia bukan musim cuti sekolah tetapi sangkaan saya meleset kerana ia dipenuhi dengan pelajar sekolah dan pelancong. Rupa-rupanya banyak sekolah yang mengadakan lawatan untuk memenuhi waktu-waktu akhir sebelum musim cuti sekolah tiba. Jenuh juga kami beratur menunggu giliran untuk menaiki tren. Mujur juga tempoh menunggu antara satu tren dengan tren seterusnya hanya 15 minit.

Kadar tiket dikenakan pula adalah RM8 untuk dewasa dan RM4 untuk warga emas dan kanak-kanak. Seperti biasa, itu kadar untuk warga tempatan dengan MyKad dan kadar berlainan dikenakan kepada pelancong asing. Kali ini petugas kaunter meminta kami menunjukkan MyKad sebagai bukti sewaktu pembelian tiket terutama untuk tiket warga emas. Mujur Abah Ummi layak untuk menikmati kadar tersebut.
 
Harga tiket
 
Perjalanan menuju ke puncak ternyata lebih pantas berbanding dahulu. Teringat dulu bagaimana tren bergerak sangat perlahan dengan pelbagai bunyian yang mendebarkan hati. Kali ini perjalanan sangat lancar dan hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk sampai ke puncak yang mempunyai ketinggian 2700 meter daripada paras laut. Patutlah udaranya terasa nyaman.
Kali pertama ke sini dulu saya tidak sempat melihat-lihat apa yang ada di atas puncak ini. Kali ini saya berhasrat untuk meronda sepuasnya. Rupa-rupanya ada balai polis, pejabat pos dan restoran di atas puncak ini. Kemudahan teropong dengan kadar bayaran RM1 juga disediakan dan pengunjung boleh melihat keadaan bandar daripada situ. Oleh kerana Ummi sakit lutut, kami naik buggy dengan kadar RM30 untuk setengah jam. Tutup mata sahajalah dengan wang yang dikeluarkan kerana memikirkan mungkin tiada istilah ‘lain kali’ lagi untuk menikmati pengalaman ini. 
Kami dibawa mengelilingi Bukit Bendera dengan menaiki buggy dan dimaklumkan ada hampir 24 unit rumah rehat di atas bukit ini termasuk rumah rehat pemilik syarikat telekomunikasi Maxis.
Memang banyak tempat-tempat menarik lain seperti taman periuk kera, taman halia dan mini zoo tetapi semua mengenakan bayaran lain untuk memasukinya. Lalu saya hanya memilih untuk memasuki taman halia dan mini zoo sahaja. Itu pun saya rasa kadarnya agak mahal iaitu RM8 untuk dewasa, RM5 untuk warga emas dan kanak-kanak sedangkan keluasan taman itu hanya sekangkang kera sahaja. Namun budak-budak ternyata gembira dapat melihat burung kakak tua yang mereka panggil Rio (penangan Angry Birds huhu) kerana ia dapat menyebut perkataan ‘hello’.
Khusyuk berbual dengan Rio, sabar jelah
Hampir 2 jam di situ, kami memutuskan untuk turun ke bawah kerana cuaca sudah semakin panas dan melihat jumlah pengunjung yang semakin bertambah. Pilihan kami tepat kerana kelihatan beberapa buah bas yang membawa pelancong dan pelajar sekolah baru tiba di perkarangan kawasan tersebut.
Antara tujuan utama saya ke Pulau Pinang adalah untuk menjenguk seorang sahabat yang bertugas di Seberang Jaya. Saya sudah memaklumkan kedatangan ini kepadanya terlebih awal dan berjanji untuk bertemu di rumahnya pada waktu tengah hari. Sengaja saya pilih untuk bertemu pada waktu tengah hari kerana tidak mahu mengganggu waktu kerjanya.
 
 
Kami bernasib baik kerana perjalanan ke sana melalui jambatan Pulau Pinang dan keadaan trafik lancar. Tiba di rumah sahabat saya di Penaga, kami dijamu makan tengah hari tetapi tidak sempat berbual panjang kerana sahabat itu perlu kembali ke pejabat dan kami pula perlu meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Di samping itu, dalam perjalanan, saya perlu singgah di Tanjung Malim untuk menghantar pulang 2 orang anak saudara sebelum meneruskan perjalanan pulang ke teratak saya.
Alhamdulillah, selepas berhenti rehat di Hentian Gunung Semanggol dan Tapah, kami tiba di Tanjung Malim pada jam 9 malam. Kami tidak berlama di situ kerana perlu pulang ke teratak saya pula. Abah Ummi dan seorang anak saudara (Adeef Amin) akan menaiki penerbangan pulang ke Kuala Terengganu pada jam 7 pagi esok. Bermakna kami perlu bertolak ke LCCT pada jam 5 pagi dan menunaikan solat Subuh di sana malah memang itu kebiasaannya setiap kali saya membelikan tiket pulang untuk Abah Ummi.
Kami tiba di teratak saya sekitar jam 11.30 malam. Adeef Amin sudah lama lena di dalam kereta tetapi tiada masalah untuk mengejutkan dia masuk ke dalam teratak dan meneruskan tidur di atas katil. Sempat juga saya mencetak pas penerbangan untuk mereka kerana saya tidak sempat berbuat demikian sebelum ini.
 
Kepenatan mengalahkan pemandu

Jelajah Utara (Padang Besar - Alor Star - Tanjung Bungah)

Bismillahirrahmanirrahim..
30 Oktober 2012 (Selasa).
Usai solat Subuh, saya kejutkan budak-budak untuk bangun bersiap kerana saya bercadang untuk memulakan perjalanan seawal mungkin. Yang bagusnya, budak-budak ini memang bersemangat untuk bangun awal dan terus mandi. Tiada aksi paksa memaksa dan tangisan di pagi hari.
 
Sengaja juga saya tempah hotel yang menyediakan pakej sarapan supaya kami tidak perlu memperuntukkan masa untuk mencari gerai makan di luar. Tambahan pula dengan kehadiran budak-budak, lebih mudah bagi saya untuk mengawal pergerakan mereka jika berada di dalam kawasan hotel berbanding dengan gerai di tepi jalan. Jika diikutkan hati saya ini, memang saya teringin untuk merayau mencari tempat yang menyediakan pelbagai hidangan tempatan tetapi hasrat itu terpaksa dipendamkan untuk perjalanan pada kali ini. 
 
Makanan kegemaran, roti canai
 
Perjalanan ke Padang Besar daripada Alor Star hanya mengambil masa 1 jam sahaja. Itupun kerana trafik yang agak perlahan iaitu kelajuan sekitar 50-60 km/j sahaja. Tambahan pula jalan 1 laluan dan kenderaan yang tidak putus-putus menyukarkan saya untuk memotong kenderaan lain membuatkan saya hanya menikmati pemanduan di samping pemandangan sawah padi yang menghiasi di kiri dan kanan jalan. Rasanya jika saya memandu dengan kelajuan sekitar 80-100 km/j, masa yang diambil jauh lebih pantas untuk tiba di Padang Besar.
Akhirnya, kami tiba di sana sekitar jam 10 pagi dan kelihatan suasana agak lengang. Pertama, sesetengah peniaga masih bercuti hari raya dan kedua, ia bukan musim cuti sekolah. Perkara yang wajib dibuat sudah tentulah bergambar di batu penanda sebagai bukti kehadiran kami di situ.
 
Selamat datang ke Padang Besar
 
Kali pertama saya ke sini adalah sewaktu saya masih menuntut di UIA. Rasanya 10 tahun yang lalu. Waktu itu saya bersama 2 orang lagi rakan menaiki keretapi malam ke stesen Arau dan bermalam di rumah salah seorang rakan kami di Kangar. Ternyata sudah banyak perubahan yang berlaku di sini. Tiada lagi gerai-gerai usang sebaliknya diganti dengan deretan bangunan batu dan suasananya jauh lebih selesa. Saya masih ingat, dulu kami terpaksa melalui celah-celah khemah dari satu gerai ke gerai yang lain dalam keadaan panas. Memang agak memeritkan terutama kepada yang membawa anak-anak kecil. Malah deretan gerai makan yang bersih juga sudah banyak beroperasi di sini.
 
Macam-macam ada tapi saya cuci mata saja
 
Saya memang tidak membeli belah sakan kerana perlu memerhati pergerakan budak-budak sebaliknya hanya membiarkan Abah Ummi sahaja memilih barangan yang berkenan. Hampir 2 jam juga kami di sini dan hanya beredar apabila Ummi meluahkan hasrat untuk ke Wang Kelian pula. Jaraknya hanya 10 km sahaja daripada Padang Besar namun perjalanan ke sana sedikit mencabar kerana perlu melalui laluan berbukit termasuk melepasi Taman Negeri Perlis. Mulanya saya agak cuak juga apabila melihatkan keadaan jalan yang berbukit bukau namun perasaan itu hilang apabila berselisih dengan beberapa buah kenderaan yang turut melalui jalan itu.
 
Pantang lepa, terus bertukar!
 
Untuk ke Wang Kelian, kami perlu melalui pemeriksaan Imigresen Malaysia dan Thailand. Kelihatan warga Thailand memenuhi kaunter masuk dan keluar Malaysia. Saya teruskan pemanduan melepasi Imigresen Malaysia yang hanya memuatkan satu kenderaan sahaja pada satu-satu masa. Mungkin kerana ia bukan musim cuti sekolah, suasana agak lengang dan tidak banyak gerai yang beroperasi. Gerai-gerai berada betul-betul di sempadan Thailand kerana kami perlu melepasi Imigresen Thailand terlebih dahulu untuk ke sana. Lucunya, apabila saya memandu keluar daripada Thailand dan kembali ke sempadan Malaysia, pegawai tersebut memaklumkan yang saya sepatutnya memarkirkan kereta di sempadan Malaysia dan hanya berjalan kaki ke sana. Hairan juga kerana kedua-dua pihak tidak menahan kereta saya sewaktu melalui laluan disediakan. Baru saya perasan, sewaktu di sana ada papan tanda yang menunjukkan jarak ke Satun adalah 40 km dan ke Hatyai adalah 100 km. Mujurlah saya tidak meneruskan pemanduan ke sana kerana hanya saya seorang sahaja yang membawa paspot sedangkan yang lain-lain tidak membawanya.  
 
Wang Kelian yang lengang

Mendapat liputan talian negara Thailand
Oleh kerana tiada apa yang menarik hati kami untuk singgah membeli belah, kami tinggalkan Wang Kelian untuk meneruskan perjalanan kembali ke bandar Alor Star. Jujurnya, saya rasa begitu tenang memandu dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok dan sawah padi yang menghijau.  Dalam perjalanan, sempat juga kami singgah untuk makan tengah hari di salah sebuah restoran di Beseri, Perlis iaitu Restoran Tok Mek. Tertera di papan tanda yang restoran ini sudah mula beroperasi sejak tahun 1959. Wah, hampir sama usia dengan tahun kemerdekaan Malaysia. Malah mereka juga turut menyediakan kemudahan motel yang dilengkapi dengan kemudahan wifi dan surau.
 
Restoran Tok Mek di Beseri, Perlis

Ladang Harumanis Bukit Bintang, Perlis namun musimnya hanya bulan Mei pada setiap tahun

Mujur saya bawa Ipad, penyebab untuk budak-budak duduk diam di dalam kereta

Solat Jamak di Masjid Zahir, Alor Star
Sebelum meneruskan pemanduan ke Pulau Pinang, saya sengaja singgah di Alor Star sebentar untuk memberi peluang kepada Abah Ummi menjejakkan kaki ke Pekan Rabu. Kata Ummi, berada di situ seperti berada di Mekah kerana kebanyakan barangan yang dijual adalah kelengkapan untuk ke tanah suci.
Destinasi terakhir yang disinggahi adalah Rumah Kelahiran Tun Mahathir namun Abah Ummi tidak berpeluang untuk masuk ke dalamnya kerana waktu operasi hanya sehingga jam 5 petang sedangkan kami tiba sekitar jam 5.30 petang. Siapa tahu kami akan datang lagi ke sini pada masa hadapan.
Dengan bantuan Waze, saya meneruskan pemanduan ke Pulau Pinang kerana saya sudah menempah penginapan di sana iaitu Naza Talya Business Hotel. Sengaja saya pilih hotel tersebut kerana saya pernah menginap di situ semasa mengikuti program rasmi jabatan. Pada saya, suasana di situ aman di samping kedudukannya yang terletak di tepi pantai. Secara kebetulan, bilik yang saya tempah juga berhadapan dengan pemandangan pantai.
Mulanya saya bercadang untuk ke sana dengan melalui jambatan Pulau Pinang tetapi apabila Waze memberikan maklumat yang trafik di situ sangat sesak, kami dilencongkan ke arah terminal feri. Tambang sebanyak RM7.70 dikenakan kerana kami menghala ke arah pulau dan tiada caj jika dari arah pulau ke tanah besar. Budak-budak pastinya paling teruja menaiki feri tetapi kami hanya menunggu di dalam kereta sahaja kerana saya agak bimbang dengan keselamatan mereka jika saya bawa mereka ke tempat duduk yang disediakan di tingkat atas feri.
 
Teruja!

Beratur di dalam feri
Ternyata kami memang bernasib baik kerana tidak perlu menunggu untuk menaiki feri kerana feri terus memulakan perjalanan sebaik kami mermarkirkan kereta di dalamnya. Perkara yang wajib dibuat apabila berada di dalam feri adalah mematikan enjin kereta untuk mengelakkan kemalangan.
Perjalanan hanya mengambil masa 20 minit sahaja dan apabila tiba di pulau, saya terus memandu menuju ke hotel. Sekali lagi GPS Waze benar-benar membantu apabila membawa saya melalui jalan yang tidak sesak kerana ia waktu puncak. Akhirnya kami tiba di hotel pada jam 8 malam. Urusan daftar masuk memang lancar kerana saya sudah membuat pembayaran lebih awal. Tidak sabar rasanya untuk berbaring di atas katil.
 
Bersemangat nak masuk hotel

Makan malam

Masih cergas!
Namun dengan kehadiran budak-budak, saya pastikan mereka mandi terlebih dahulu sebelum menguruskan diri sendiri. Mulanya saya bercadang untuk makan malam di Padang Kota Lama atau Kafe Puncak Mutiara tetapi apabila Abah Ummi kelihatan sudah terlalu letih, saya hanya memesan makanan di hotel sahaja. Merasalah Abah minum kopi tarik berharga RM10 segelas. Saya tidak kisah berbelanja lebih sedikit kali ini asalkan mereka gembira.