Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, October 9, 2012

Kursus Penulisan Tesis di TATIUC

 
Bismillahirrahmanirrahim...
 
27 September 2012.
 
Di samping menjenguk Abah Ummi, tujuan saya pulang ke kampung pada kali ini adalah untuk menghadiri Kursus Penulisan Tesis anjuran Dr. Othman Talib yang diadakan di Pusat Latihan TATIUC. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ walaupun sudah sekian lama mengetahui kewujudannya.
 
Walau bagaimanapun, kursus tersebut diadakan di pusat latihan dan bukannya kampus utama TATIUC. Justeru, saya singgah terlebih dahulu untuk menjenguk lokasi berkenaan agar saya tidak tersesat pada hari kejadian kelak. Memang menarik tempatnya kerana terletak betul-betul di tepi Pantai Teluk Kalong. Saya juga perasan yang tapak pusat latihan ini adalah tapak asal Pusat Pupuk Semangat Biro Tatanegara sebelum diambilalih oleh pihak TATIUC.
 
 
 
 
 
29 September 2012.
 
Seawal jam 6.45 pagi, usai menyalami Abah Ummi, saya bertolak daripada rumah menuju ke TATIUC. Jarak perjalanan ke sana daripada rumah saya dianggarkan sekitar 1 jam dengan kelajuan pemanduan sederhana. Sengaja saya pilih untuk turun lebih awal kerana ingin mengelakkan aksi terkejar-kejar jika sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini (nauzubillah) seperti kesesakan jalanraya dan sebagainya. Dalam perjalanan, saya sempat singgah sebentar untuk bersarapan di McDonald Bandar Baru Kerteh.
 
Kemudian saya teruskan perjalanan ke sana dan Alhamdulillah berjaya tiba pada jam 8.15 pagi. Program dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi dan kelihatan sudah ramai peserta yang tiba lebih awal. Program ini sebenarnya dianjurkan oleh pihak TATIUC dan hanya 20 orang peserta luar termasuk saya diberi ruang untuk menyertainya. 
 
 
 
Program ini memang cukup popular di kalangan pelajar sarjana kerana tidak ramai pensyarah yang menganjurkannya dengan begitu terbuka. Dek kerana itu, ia boleh dianggap seolah-olah cahaya di hujung terowong terutama bagi saya yang merasakan sedikit 'ketinggalan' dalam menyiapkan disertasi. Saya mengenali penceramah program ini iaitu Dr. Othman Talib (dipanggil DrOT) melalui adik lelaki, BaYu, yang menyarankan saya untuk membaca kandungan blog beliau di www.drotspss.blogspot.com. Ternyata nukilan beliau benar-benar memenuhi keperluan dan sangat-sangat membantu golongan seperti kami yang baru ingin mengenali dunia penyelidikan akademik.
 
Tidak cukup dengan membaca tulisan beliau sahaja, saya memutuskan untuk mendaftarkan diri mengikuti program kendalian beliau. Meskipun saya perlu membayar sendiri yuran program tetapi saya anggap ia sebagai pelaburan untuk meraih sebuah kejayaan. Tambahan pula, penaja memberikan saya Elaun Sara Hidup yang sewajarnya saya gunakan bagi tujuan sebegini. Akhirnya, saya memilih untuk menyertai program yang diadakan di TATIUC dan insyaAllah saya bakal menyertai satu lagi program kendalian beliau pada 3 November ini di Bangi.
 

 
 
Program sehari ini padat dengan pengisian oleh DrOT yang berkongsi ilmu tentang cara penyediaan tesis secara pantas. Apa yang pasti, perkara paling penting yang saya pelajari daripada program ini adalah bagaimana untuk memaksimakan 'peralatan' (tool) yang selama ini memang telah sedia ada iaitu Microsoft Office Word. Di samping itu, kami juga turut diperkenalkan dengan satu perisian yang sangat membantu untuk mengurus artikel atau jurnal iaitu Mendeley. Lalu hasil kombinasi kedua-dua perisian tersebut dapat membantu kami menyiapkan tesis dengan lebih mudah dan pantas. Subhanallah!
 
Benarlah, ilmu itu kuasa!



DrOT di kelilingi oleh bunga-bunga :)

Di samping mendapat ilmu, saya juga turut mendapat kenalan baru daripada pelbagai IPTA lain yang turut melalui perjalanan yang sama bergelar pelajar Master dan PhD. Namun begitu, saya dapati penyertaan peserta PhD jauh lebih ramai daripada peserta Master iaitu hanya beberapa orang sahaja termasuk saya sendiri. Mungkinkah suatu hari nanti saya akan dapat menyusul jejak mereka? InsyaAllah. Impian itu ada namun pelaksanaannya entah bila. Yang penting, lunaskan terlebih dahulu perkara yang berada di hadapan mata.
 
Semoga laluan saya selepas ini akan dipermudahkanNya dan akhirnya berjaya menyempurnakan pengajian dengan cemerlang. Amin.

No comments: