Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, October 16, 2012

Lawatan Sambil Belajar Ke Muzium Negara

Bismillahirrahmanirrahim...

9 Oktober 2012.

Saya sudah lupa bila kali terakhir datang ke sini. Jika tidak kerana projek yang kami jalankan berkaitan dengan Muzium Negara, belum tentu saya akan ke sini lagi walaupun hasrat itu tetap ada. 

Ia bermula apabila kami ditugaskan untuk membuat satu kajian kes tentang pelaksanaan sistem berkaitan IT. Secara kebetulan, salah seorang ahli kumpulan iaitu Saiful, pernah bertugas di Muzium Negara sebelum ini dan selepas perbincangan, saya dan seorang lagi ahli kumpulan iaitu Suliman yang berasal daripada Sudan, bersetuju untuk menjadikan ia sebagai subjek kajian kumpulan kami. 

Lalu kami minta Saiful untuk mengaturkan satu sesi lawatan ringkas untuk meninjau sendiri dan mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyempurnakan kajian.

Seawal jam 9 pagi saya sudah bertolak daripada teratak dek entah kenapa terasa begitu teruja untuk memasuki Muzium Negara selepas sekian lama. 

Oleh kerana trafik lancar, saya hanya mengambil masa setengah jam sahaja untuk tiba ke sana. Memandangkan kami telah berjanji untuk bertemu di tempat letak kereta pada jam 10.30 pagi, saya ambil peluang untuk melilau-lilau keadaaan sekeliling malah sempat bersarapan di kafeteria yang disediakan sementara menunggu ketibaan mereka.. Saya akui suasana memang sudah jauh berbeza dengan kunjungan saya yang terdahulu.





Sebaik Saiful dan Suliman tiba, kami terus menuju ke pintu masuk Muzium Negara. Suliman juga kelihatan teruja kerana ini juga merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. 

Dengan bantuan bekas rakan sekerja Saiful iaitu Ummar dan Nizam, kami dibawa untuk memasuki muzium secara percuma atas alasan kunjungan rasmi. Saya sebenarnya tidak kisah pun jika diminta untuk membayar harga tiket iaitu RM3 kerana keterujaan untuk memasukinya tetapi jika kelonggaran sudah diberi, maka saya terima dengan senang hati. 

Secara kebetulan, satu pameran khas iaitu Pameran Magis Perubatan Tradisional sedang diadakan di salah satu ruang pameran. Usai mendapatkan maklumat berkaitan projek yang diperlukan, kami ambil peluang untuk meninjau-ninjau ruang pameran tersebut. Ternyata tidak ramai pengunjung tempatan yang datang pada waktu tersebut mungkin kerana ia adalah hari bekerja. Pun begitu, kelihatan ramai juga pengunjung luar yang dibawa datang oleh agensi pelancongan dan juga pelajar-pelajar sekolah memenuhi ruang pameran. 












Semasa melihat-lihat pameran, Ummar dan Nizam memaklumkan kepada kami yang Pusat Rawatan Al-Hidayah turut dijemput untuk menyertai pameran tersebut malah selebriti Ashraf Muslim akan turut mengadakan sesi rawatan bersama pengunjung bermula jam 12 tengah hari. Sejujurnya, saya tidak begitu meminati beliau namun menghormati pendiriannya sebagai seorang selebriti dan kini penglibatan beliau dalam bidang perubatan Islam. 

Namun tidak ramai yang datang menemui beliau mungkin kerana tidak tahu tentang sesi ini. Justeru, kami ambil peluang untuk bertemu dan bergambar dengan beliau sebagai tanda kenangan. Saya pasti, jika hebahan tentang sesi ini sampai kepada umum, ramai yang akan datang untuk bertemu beliau kerana saya mendapat tahu memang ramai yang mendapatkan rawatan daripada pusat rawatan yang dikendalikan bersama bapa mertuanya.  




Kami tinggalkan Muzium Negara sekitar jam 2 petang. Lega rasanya apabila tujuan sebenar ke situ dapat dipenuhi di samping turut mendapat peluang melawat ruang pameran dan berpeluang bersua muka dengan selebriti Ashraf Muslim. 

Sekarang tumpuan adalah kepada untuk menyiapkan laporan untuk kertas kajian kes bagi projek kami. 

Saturday, October 13, 2012

Dawai Oh Dawai!

Bismillahirrahmanirrahim...
 
Sudah lama sebenarnya saya berhajat untuk membuat pendawaian tambahan di teratak saya kerana ada beberapa plug point yang tidak mencukupi menyebabkan saya terpaksa menggunakan wayar penyambung. Lebih mengukuhkan hasrat saya untuk membuat pendawaian tambahan apabila berlaku trip setiap kali beberapa peralatan elektrik digunakan serentak.
 
Bila sudah tinggal di teratak sendiri, sudah tentu kita ingin pastikan yang semua berada dalam keadaan kemas dan sedap dipandang. Lalu saya mula mencari kontraktor yang boleh melakukannya seperti yang saya kehendaki. Atas jasa baik seorang teman, saya diperkenalkan kepada Syahrul, seorang kontraktor pendawai berpengalaman.
 
Mulanya saya sangkakan kos yang diperlukan hanya beberapa ratus sahaja tetapi apabila menerima sebutharga daripada Syahrul, jumlahnya melebihi RM1k. Ini kerana memang banyak point yang ingin saya tambah iaitu di ketiga-tiga bilik dan ruang dapur. Selepas mendapatkan pandangan teman-teman yang lebih arif tentang harga yang ditawarkan, saya terus bersetuju dan mengatur hari untuk Syahrul memulakan kerja-kerja pendawaian.
 
Saya akui sedikit cerewet dalam setiap urusan yang melibatkan kos yang tinggi namun disiplin yang ditunjukkan oleh Syahrul berjaya menambat hati saya untuk menerima tawarannya di samping pandangan yang telah diberikan oleh teman-teman sebelum ini. Disiplin yang saya maksudkan adalah dalam soal ketepatan masa iaitu semasa kali pertama dia berjanji untuk datang ke teratak saya bagi melihat tempat-tempat untuk diletakkan plug point. Begitu juga apabila dia datang untuk membuat kerja-kerja pendawaian pada 4 Oktober 2012. Dia tiba pada jam 8.15 pagi sedangkan pada awalnya sudah berjanji untuk datang pada jam 8.30 pagi.
 

Tanpa banyak soal, dia terus memulakan kerja-kerja pendawaian walaupun terpaksa melakukannya seorang diri kerana pekerjanya kurang sihat. Hasil kerjanya juga kemas dan peralatan yang digunakan juga berkualiti. Contohnya suis untuk kipas dinding yang digunakan jauh lebih baik bentuknya daripada suis sedia ada.



Suis baru

Nampak lebih kemas

Selamat tinggal kepada penyambung wayar

Meskipun berseorangan, Syahrul berjaya menyiapkan kerja pada hari yang sama walaupun pada awalnya dia meletakkan sasaran selama 2 hari. Malah saya amat berpuas hati dengan hasil kerjanya secara keseluruhan.

Puas rasanya hati apabila melihat tiada lagi penyambung wayar di sana sini setiap kali ingin menggunakan peralatan elektrik.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan khidmat Syahrul, boleh hubungi 0122202665. Memang berbaloi!

Tuesday, October 9, 2012

Kursus Penulisan Tesis di TATIUC

 
Bismillahirrahmanirrahim...
 
27 September 2012.
 
Di samping menjenguk Abah Ummi, tujuan saya pulang ke kampung pada kali ini adalah untuk menghadiri Kursus Penulisan Tesis anjuran Dr. Othman Talib yang diadakan di Pusat Latihan TATIUC. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ walaupun sudah sekian lama mengetahui kewujudannya.
 
Walau bagaimanapun, kursus tersebut diadakan di pusat latihan dan bukannya kampus utama TATIUC. Justeru, saya singgah terlebih dahulu untuk menjenguk lokasi berkenaan agar saya tidak tersesat pada hari kejadian kelak. Memang menarik tempatnya kerana terletak betul-betul di tepi Pantai Teluk Kalong. Saya juga perasan yang tapak pusat latihan ini adalah tapak asal Pusat Pupuk Semangat Biro Tatanegara sebelum diambilalih oleh pihak TATIUC.
 
 
 
 
 
29 September 2012.
 
Seawal jam 6.45 pagi, usai menyalami Abah Ummi, saya bertolak daripada rumah menuju ke TATIUC. Jarak perjalanan ke sana daripada rumah saya dianggarkan sekitar 1 jam dengan kelajuan pemanduan sederhana. Sengaja saya pilih untuk turun lebih awal kerana ingin mengelakkan aksi terkejar-kejar jika sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini (nauzubillah) seperti kesesakan jalanraya dan sebagainya. Dalam perjalanan, saya sempat singgah sebentar untuk bersarapan di McDonald Bandar Baru Kerteh.
 
Kemudian saya teruskan perjalanan ke sana dan Alhamdulillah berjaya tiba pada jam 8.15 pagi. Program dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi dan kelihatan sudah ramai peserta yang tiba lebih awal. Program ini sebenarnya dianjurkan oleh pihak TATIUC dan hanya 20 orang peserta luar termasuk saya diberi ruang untuk menyertainya. 
 
 
 
Program ini memang cukup popular di kalangan pelajar sarjana kerana tidak ramai pensyarah yang menganjurkannya dengan begitu terbuka. Dek kerana itu, ia boleh dianggap seolah-olah cahaya di hujung terowong terutama bagi saya yang merasakan sedikit 'ketinggalan' dalam menyiapkan disertasi. Saya mengenali penceramah program ini iaitu Dr. Othman Talib (dipanggil DrOT) melalui adik lelaki, BaYu, yang menyarankan saya untuk membaca kandungan blog beliau di www.drotspss.blogspot.com. Ternyata nukilan beliau benar-benar memenuhi keperluan dan sangat-sangat membantu golongan seperti kami yang baru ingin mengenali dunia penyelidikan akademik.
 
Tidak cukup dengan membaca tulisan beliau sahaja, saya memutuskan untuk mendaftarkan diri mengikuti program kendalian beliau. Meskipun saya perlu membayar sendiri yuran program tetapi saya anggap ia sebagai pelaburan untuk meraih sebuah kejayaan. Tambahan pula, penaja memberikan saya Elaun Sara Hidup yang sewajarnya saya gunakan bagi tujuan sebegini. Akhirnya, saya memilih untuk menyertai program yang diadakan di TATIUC dan insyaAllah saya bakal menyertai satu lagi program kendalian beliau pada 3 November ini di Bangi.
 

 
 
Program sehari ini padat dengan pengisian oleh DrOT yang berkongsi ilmu tentang cara penyediaan tesis secara pantas. Apa yang pasti, perkara paling penting yang saya pelajari daripada program ini adalah bagaimana untuk memaksimakan 'peralatan' (tool) yang selama ini memang telah sedia ada iaitu Microsoft Office Word. Di samping itu, kami juga turut diperkenalkan dengan satu perisian yang sangat membantu untuk mengurus artikel atau jurnal iaitu Mendeley. Lalu hasil kombinasi kedua-dua perisian tersebut dapat membantu kami menyiapkan tesis dengan lebih mudah dan pantas. Subhanallah!
 
Benarlah, ilmu itu kuasa!



DrOT di kelilingi oleh bunga-bunga :)

Di samping mendapat ilmu, saya juga turut mendapat kenalan baru daripada pelbagai IPTA lain yang turut melalui perjalanan yang sama bergelar pelajar Master dan PhD. Namun begitu, saya dapati penyertaan peserta PhD jauh lebih ramai daripada peserta Master iaitu hanya beberapa orang sahaja termasuk saya sendiri. Mungkinkah suatu hari nanti saya akan dapat menyusul jejak mereka? InsyaAllah. Impian itu ada namun pelaksanaannya entah bila. Yang penting, lunaskan terlebih dahulu perkara yang berada di hadapan mata.
 
Semoga laluan saya selepas ini akan dipermudahkanNya dan akhirnya berjaya menyempurnakan pengajian dengan cemerlang. Amin.

Sunday, October 7, 2012

Bila Abah BerFB

Bismillahirrahmanirrahim...
 
Segalanya bermula apabila Abah menyuarakan keinginan untuk belajar menggunakan Internet. Tujuan utamanya adalah untuk memuatturun khutbah Jumaat daripada laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Malah Abah juga bercadang untuk memaparkannya di skrin melalui LCD yang telah sedia ada di masjid. Kemudahan memang telah tersedia namun tiada siapa yang memanfaatkannya. Sebelum ini Abah perlu mendapatkan salinan khutbah daripada pejabat agama berdekatan pada setiap minggu.
 
Lalu hasrat murni Abah itu memang saya raikan dan dari situ saya mula berusaha untuk merealisasikan hasrat Abah itu.
 
Cadangan pertama adalah untuk melanggan broadband  pakej bagi Kakitangan Kerajaan dengan menggunakan nama saya. Namun dek kerana kerenyahan proses permohonannya dan secara kebetulan saya terbaca berita tentang pelancaran broadband 1Malaysia khusus untuk kawasan Pantai Timur pada 16 September, saya maklumkan pada Abah agar menangguhkan terlebih dahulu hasrat tersebut. Ini kerana harga yang ditawarkan untuk pakej tersebut jauh lebih murah iaitu hanya RM25 sebulan.
 
Sementara menunggu pelancaran pakej tersebut, saya turut meninjau pilihan-pilihan yang ada dan paling penting dapat meminimakan kos kepada Abah untuk membayarnya. Akhirnya, saya temui satu iklan yang menawarkan smartphone Android pada harga yang dirasakan berpatutan. Selepas berfikir dan mendapatkan pandangan MakTeh, saya putuskan untuk membeli smartphone tersebut kerana ia juga dapat digunakan sebagai personal hotspot bersama laptop. Ini bermakna Abah hanya perlu membayar bil untuk Data Plan sahaja dan tidak perlu menanggung 2 bil untuk talian Internet.
 
 


Lalu 3 hari sebelum pulang ke kampung, saya ke Subang Jaya untuk mendapatkan smartphone tersebut. Sempatlah saya meneliti fungsi-fungsi yang terkandung di dalamnya agar mudah untuk diterangkan kepada Abah kelak.
 
Seperti biasa, Abah begitu tekun mempelajari penggunaan fungsi-fungsi di dalamnya sebaik sahaja saya menyerahkannya kepada Abah. Di samping itu,  dari awal lagi saya sudah mendaftarkan akaun FB milik Abah agar sedikit sebanyak aktiviti yang anak-anak lakukan dapat dikongsikan bersama Abah.
 
Seronok rasanya melihat Abah begitu teruja mendapat smartphone baru. Saya bayangkan begitulah agaknya perasaan seronok yang dialami oleh ibu bapa apabila membelikan sesuatu untuk anak-anak.
 

Friday, October 5, 2012

Sata

Bismillahirrahmanirrahim...

27 September 2012. 

Sata dan otak-otak adalah antara makanan yang cukup popular di negeri saya, Terengganu Darul Iman. Jika ada pun di negeri-negeri lain, rasanya langsung tidak sama dengan yang dibuat di negeri saya. 

Sata di dalam gambar di bawah ini saya beli semasa dalam perjalanan pulang ke kampung baru-baru ini. Harganya? RM4 untuk 10 biji. Memang mahal berbanding dahulu. Masih saya ingat, dulu ia hanya berharga 10 sen sebiji sahaja dan saiznya jauh lebih besar daripada yang dijual pada hari ini. Seciput je huhu. 

Namun begitu, asal usul nama sata tidaklah pula saya ketahui. Yang saya tahu, ia diperbuat daripada ikan dan kelapa yang kemudian dibakar di dalam daun pisang. Selalunya saya akan membeli sata di Kampung Kuala Kemaman yang juga merupakan perkampungan nelayan. Saya yakin orang luar juga amat arif dengan tempat ini malah bekas ketua jabatan saya dulu memang mempunyai kedai kegemaran untuk menikmati sata setiap kali ke situ. 


Sata

Aduh, tiba-tiba rasa terliur nak makan sata pula.