Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, September 25, 2012

Teruja

Bismillahirrahmanirrahim...

Lokasi: Perpustakaan Yayasan Kepimpinan Perdana

Ya, saya datang lagi ke sini malah rasanya tempat ini bakal menjadi lokasi rutin untuk saya menyiapkan tugasan. Saya gemar dengan ketenangan dan kedamaian suasana di sini. Mungkin kerana tidak ramai yang tahu tentang tempat ini atau juga kerana bahan-bahan yang tersedia tidak menepati keperluan mereka. 

Namun keterujaan saya untuk datang ke sini bukan kerana suasananya yang tenang dan damai semata. Kemudahan WIFI secara percuma yang disediakan dapat membantu saya untuk memuatturun software yang dikehendaki dengan pantas juga menjadi faktor penariknya. Di samping itu, jarak tempat ini dengan teratak saya juga lebih dekat berbanding ke UTM.

Mengapa tidak belajar di teratak sendiri sahaja? Oh sangat bahaya. Saya telah cuba melakukannya sebelum ini tetapi daya fokus saya tidak mampu menangkis keinginan untuk membancuh air, membasuh pakaian, menyapu sampah dan menonton televisyen. Jalan paling selamat adalah berada dalam suasana yang jauh dari gangguan-gangguan tersebut.

Sebelum menemui tempat ini, saya sering ke Perpustakaan UTM malah pernah juga beberapa kali mencuba untuk ke perpustakaan lain tetapi suasananya tidak menepati kehendak saya. Paling sukar diterima apabila ada pelajar yang berbual dengan nada tinggi sehingga mengganggu kosentrasi pelajar yang lain termasuk saya sendiri. 

Jika ke UTM pula, saya pasti akan terfikir untuk pulang sebelum jam 5 petang kerana ingin mengelakkan kesesakan jalan raya. Jika sudah melepasi jam 5 petang, saya rela untuk menunda waktu pulang sehingga selepas solat Maghrib. 

Sesi pengajian saya sudah masuk semester 3. Justeru, saya harus meluangkan lebih masa untuk menyiapkan tesis dan juga tugasan lain yang diberikan oleh pensyarah. Sementara menunggu software yang diperlukan dimuatturun, sempat juga saya mengemaskini blog ini.

Teknologi memang sentiasa mengujakan saya. Mungkin kerana itu juga saya akhirnya memilih bidang kejuruteraan sewaktu di peringkat ijazah dahulu. Malah keterujaan itu berterusan apabila saya semakin gemar meluangkan masa untuk mengekplorasi software yang saya rasakan menarik dan bermanfaat untuk kegunaan harian. 

Sewaktu di alam pekerjaan dahulu, keterujaan saya untuk mengekplorasi software sedikit terhalang mungkin kerana terbeban dengan kerja-kerja pengurusan. Justeru ruang waktu yang tersedia sewaktu di alam akademik ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk menebus keterujaan yang terhalang itu.

Lebih menarik, kursus yang saya ikuti ini pula sememangnya memerlukan saya untuk mengambil tahu perkembangan di bidang IT iaitu Pengurusan IT. Hari ini saya memuatturun beberapa software iaitu EndNote X5, Google Drive dan DropBox ke dalam PC, Ipad dan Iphone. Ketiga-tiganya saya synchronizekan untuk memudahkan urusan pengumpulan data dan penyediaan laporan. Malah ada beberapa jenis software lagi yang perlu saya muatturun untuk digunakan sepanjang pengajian ini. 

Memang jauh bezanya jika dibandingkan cara pembelajaran dulu dan sekarang. Jika dulu hanya disket merupakan satu-satunya cara untuk menyimpan data, kini lebih mudah apabila data boleh disimpan secara cloud sahaja. Mudah untuk diakses di mana-mana sahaja. Lucu bila teringat dulu kami terpaksa mengangkut CPU ke kelas setiap kali ingin membuat pembentangan projek kerana saiz fail yang agak besar dan tiada kemudahan external drive seperti yang adik-adik nikmati pada hari ini. Malah untuk mengakses maklumat jurnal atau tesis juga, kami terpaksa melanggan kad fotostat berikutan bilangan kertas yang terlalu banyak untuk disalin. Sekarang semuanya dihujung jari sahaja. Pelbagai maklumat dapat diakses daripada pelbagai laman Online Databases yang dilanggan oleh pihak universiti. 

Sebelum membeli PC sendiri di tahun 3 pengajian, saya sempat merasai pengalaman menyiapkan tugasan menggunakan mesin taip manual dan seterusnya mesin taip elektrik. Memang kenangan manis apabila diingat-ingat semula. Jika dulu sibuk mencari karbon mesin taip, kini sibuk mencari kartrij mesin pencetak pula. 

Namun begitu, apapun perubahan yang dilalui, ia tidak mampu membangkitkan keterujaan untuk melakukan sesuatu jika si pelaku tidak mempunyai keinginan dalaman untuk melakukannya. Seumpama memberikan bunga kepada monyet jadinya. 

No comments: