Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, September 10, 2012

Memenuhi Undangan

Bismillahirrahmanirrahim...

Selagi Syawal masih belum berakhir, selagi itulah undangan rumah terbuka akan sentiasa ada terutama pada hujung minggu.

Justeru ia juga salah satu nikmat yang harus disyukuri dengan cuba untuk memenuhi undangan yang diterima.

Malah saya menganggap setiap undangan yang diterima adalah sebagai tanda ingatan daripada si pengundang kepada saya.

Sedaya mungkin saya akan cuba mencari jalan untuk memenuhi kesemuanya kecuali jika saya berdepan dengan insiden yang tidak dapat dielakkan.

Semalam saya terima 4 undangan untuk dipenuhi termasuk salah satunya adalah majlis perkahwinan.

Selebihnya pula adalah undangan untuk rumah terbuka.

Perjalanan saya turut disertai oleh seorang teman iaitu Haizum, yang saya panggil Yun.

Destinasi pertama adalah majlis perkahwinan di Subang Jaya.

Sengaja saya jadikan ia destinasi pertama kerana bimbang akan berdepan dengan kesesakan di samping ingin mengambil peluang untuk berjumpa dengan pengantin.

Dalam perjalanan, seorang lagi sahabat, Tmot, turut serta untuk ke sana.

Pengantin merupakan kenalan kami yang berada dalam perkhidmatan yang sama.

Percaturan kami nampaknya tepat apabila jumlah pengunjung semakin memenuhi dewan sebaik kami sudah selesai makan dan bersalaman dengan pengantin.

Destinasi seterusnya adalah rumah terbuka di Ampang yang merupakan rumah sahabat Alumni MRSM Muar.

Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan berjaya tiba ke destinasi seperti dirancang.

Seronok rasanya apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat malah itulah antara motivasi untuk menghadiri setiap undangan.

Hampir 2 jam di Ampang, kami meneruskan perjalanan ke Taman Amanputra, Puchong.

Ia merupakan rumah seorang sahabat seperjuangan di UIA merangkap jiran sebelah bilik asrama selama 4 tahun.

Kami tidak berlama di situ kerana perlu memperuntukkan masa untuk ke destinasi terakhir pula iaitu di Bangi.

Alhamdulillah lega rasanya apabila dapat tiba di Bangi pada jam 6 petang.

Saya berusaha untuk memenuhi undangan ini kerana ia datang daripada seorang sahabat baik yang telah mengajar saya erti sebuah persahabatan.

Beliau telah membantu saya di saat tiada yang sudi menghulurkan tangan mungkin kerana keletihan masing-masing sedangkan saya benar-benar memerlukannya.

Sehingga hari ini, kesudian beliau membantu saya masih terkesan di hati.

Saya tinggalkan rumah beliau pada jam 7 malam dan terus ke rumah Yun untuk menghantarnya pulang malah sempat juga solat Maghrib dan Isyak di situ.

Perjalanan saya masih belum berakhir sebaliknya diteruskan memandu ke rumah adik, MakTeh, untuk membantu urusan perpindahan rumahnya pada pagi esok.

Tiba di sana, tanpa banyak soal saya terus lena di alam mimpi dengan penuh kepuasan kerana berjaya memenuhi setiap undangan seperti dirancang malah tidak perlu berdepan dengan kesesakan jalan yang teruk.

Alhamdulillah.

No comments: