Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, September 5, 2012

Kembara Terkena Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

2 September 2012 - Saya dikejutkan dengan ketibaan Abah Ummi yang menghubungi saya hanya apabila sudah berada betul-betul di tepi pagar rumah.

Waktu itu saya sedang membuka pintu untuk keluar ke Masjid Putra. 

Akhirnya, hasrat itu terpaksa saya batalkan untuk meraikan ketibaan Abah Ummi. 

Kasihan Abah kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas sepanjang MRR2. 

Mereka memang sering begitu, datang tanpa memaklumkannya kepada saya terlebih dahulu.

Antara insiden hampir sama yang sempat saya coretkan sebelum ini adalah dalam entri ini.

Mujur juga saya tidak ke mana-mana.

Bayangkan jika saya berada di luar kawasan sewaktu ketibaan mereka. Aduhai.




Usai solat dan membersihkan diri, saya bawa Abah Ummi untuk makan malam di sebuah restoran di Bangi.

Mujur telah ada restoran yang beroperasi kerana rata-rata restoran masih belum beroperasi sepenuhnya mungkin kerana memenuhi tempahan sebagai katerer untuk rumah terbuka.

3 September 2012 - Seawal jam 7.30 pagi lagi Abah sudah siap sedia kemas berpakaian.

Manakala saya pula sudah siap memasak nasi goreng untuk sarapan tanpa mengetahui rancangan Abah untuk ke rumah abang saya, BaAn, di selatan tanah air.

Aduhai, sabar jelah. Mujur saya tidak punya apa-apa rancangan atau temujanji pada hari itu. 

Segera saya hubungi adik perempuan, MakTeh, untuk turut serta dan akhirnya adik lelaki, AyahChik dan keluarga juga ingin turut serta. 

Lalu kami mulakan perjalanan ke Johor sekitar jam 10 pagi. 

Dalam perjalanan, saya terfikir untuk singgah di bandaraya Melaka terlebih dahulu sementara menunggu AyahChik tiba.

Di samping itu, saya ingin membawa Abah Ummi merasai pengalaman menaiki Menara Taming Sari.

Ini merupakan pengalaman kali kedua buat saya yang pernah menaikinya buat kali pertama beberapa tahun yang lalu.



Alhamdulillah trafik lancar mungkin kerana ia adalah hari bekerja dan amat mudah untuk kami mendapatkan tempat letak kereta. 




Sedikit mengejutkan apabila kami perlu membeli kupon berharga RM6 mengandungi 10 keping kupon iaitu sekeping kupon berharga 60 sen untuk 1 jam.

Kami tidak dibenarkan untuk membeli sekeping sahaja walaupun kami memang tidak merancang untuk berlama-lama di situ. 



Seronok rasanya apabila melihat keterujaan Abah Ummi untuk merasai pengalaman tersebut. 

Lebih menarik apabila Abah Ummi layak menikmati harga tiket untuk warga emas iaitu RM8 seorang.

Manakala tiket untuk kami pula adalah RM10 seorang.




Pun begitu, simpati melihat tempat bersesuaian untuk petugas yang memberi penerangan tidak disediakan meskipun tempoh untuk turun dan naik hanya memakan masa selama 6 minit sahaja.

Pada saya, apa jua tingkah yang dipamerkan oleh para petugasnya adalah cerminan imej pihak pengurusan.


Ummi seperti biasa, gayat apabila berada di tempat tinggi.

Selalunya tangan Abah yang akan menjadi tempat berpaut Ummi dan dipegang kemas manakala kami pula lebih gemar mengusik sambil tertawa melihat gelagat Ummi. 





Akhirnya, berjaya juga membawa Abah Ummi merasai sendiri pengalaman menaiki Menara Taming Sari.



Kemudian kami ke Dataran Pahlawan yang terletak tidak jauh dari situ.

Tujuannya adalah kerana Abah ingin membeli seluar panjang yang lupa dibawa kerana keputusan untuk datang ke KL juga dibuat secara tergesa-gesa.


Seterusnya, kami menuju ke Taman Botanikal Melaka untuk mencuba buggy ride.

Hasrat itu timbul selepas saya terbaca entri mengenainya oleh seorang blogger tentang kewujudan perkhidmatan tersebut. 

Dukacita kami tidak berpeluang mencubanya kerana perkhidmatan ditutup untuk penyelenggaraan.




Secara kebetulan, AyahChik juga sudah hampir tiba di persimpangan Tol Ayer Keroh.

Lalu kami teruskan perjalanan untuk ke selatan tanah air kerana perjalanan masih jauh.

Selepas menempuh pemanduan yang agak meletihkan, kami tiba di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram iaitu rumah BaAn.



Ini merupakan pertemuan pertama anak saudara terbaru, Nur Qaisara Aminah dengan BaAn yang dipanggil AyahNgah.

Malam itu kami dibawa oleh BaAn untuk makan malam di sebuah restoran di Pasir Gudang.

Jika diikutkan hati memang saya sudah tidak larat untuk turut serta tetapi digagahkan juga diri.

Akibatnya, malam itu saya tidur mati tetapi saya perlu bangun seawal jam 4.30 pagi.

Ia gara-gara ingin mengejar waktu untuk menghantar MakTeh ke sekolah untuk sesi petang. 

4 September 2012 - Kami bertolak dari Ulu Tiram pada jam 6.30 pagi dan tiba di teratak saya sekitar jam 10.30 pagi.

Usai menghantar MakTeh, saya bawa Abah Ummi ke Tanjung Malim pula untuk menjenguk adik yang tinggal di sana. 

Namun saya tidak bercadang untuk bermalam di sana dan kami bertolak pulang pada jam 6 petang. 

Tiba di KL, saya terima berita daripada jiran memaklumkan kesesakan teruk di laluan masuk ke teratak kami. 

Mujur juga saya sudah berjanji untuk menjemput MakTeh sebelum pulang ke teratak. 

Melihat lautan kenderaan di Jalan Tun Razak, saya memutuskan untuk melalui MEX.

Lega apabila pilihan dibuat tepat kerana kami terselamat daripada terperangkap dalam kesesakan yang mengerikan itu meskipun jaraknya lebih jauh.

Penat? 

Sangat penat tetapi puas kerana dapat memenuhi permintaan Abah Ummi. 

Hanya satu perkara yang perlu difikirkan iaitu mungkin ini peluang yang Allah beri kepada saya meskipun tidak dirancang terlebih dahulu. 

Sementara Allah masih memberi saya waktu dan upaya untuk melakukannya, akan cuba saya gagahkan juga diri untuk melakukannya. 

Tahun depan apabila saya kembali bertugas, belum tentu saya punya peluang untuk melakukannya. 

Terima kasih kepada MakTeh dan AyahChik yang turut serta mengharunginya bersama. 

5 September 2012 - Pagi ini Abah Ummi bertolak pulang ke kampung.

Hati tetap sedih.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya menghantar mereka pulang tetapi saya perlu ke UTM kerana semester baru telah bermula.

Semoga Abah Ummi selamat tiba ke destinasi.






3 comments:

Nurul said...

OMG jelesnya!!!
merata2 dgn family!!! best best.

Nurul said...

OMG jelesnya!!!
merata2 dgn family!!! best best.

Carrie-Ma said...

Nurul,

What to do?
It's in our blood :)