Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, September 25, 2012

Teruja

Bismillahirrahmanirrahim...

Lokasi: Perpustakaan Yayasan Kepimpinan Perdana

Ya, saya datang lagi ke sini malah rasanya tempat ini bakal menjadi lokasi rutin untuk saya menyiapkan tugasan. Saya gemar dengan ketenangan dan kedamaian suasana di sini. Mungkin kerana tidak ramai yang tahu tentang tempat ini atau juga kerana bahan-bahan yang tersedia tidak menepati keperluan mereka. 

Namun keterujaan saya untuk datang ke sini bukan kerana suasananya yang tenang dan damai semata. Kemudahan WIFI secara percuma yang disediakan dapat membantu saya untuk memuatturun software yang dikehendaki dengan pantas juga menjadi faktor penariknya. Di samping itu, jarak tempat ini dengan teratak saya juga lebih dekat berbanding ke UTM.

Mengapa tidak belajar di teratak sendiri sahaja? Oh sangat bahaya. Saya telah cuba melakukannya sebelum ini tetapi daya fokus saya tidak mampu menangkis keinginan untuk membancuh air, membasuh pakaian, menyapu sampah dan menonton televisyen. Jalan paling selamat adalah berada dalam suasana yang jauh dari gangguan-gangguan tersebut.

Sebelum menemui tempat ini, saya sering ke Perpustakaan UTM malah pernah juga beberapa kali mencuba untuk ke perpustakaan lain tetapi suasananya tidak menepati kehendak saya. Paling sukar diterima apabila ada pelajar yang berbual dengan nada tinggi sehingga mengganggu kosentrasi pelajar yang lain termasuk saya sendiri. 

Jika ke UTM pula, saya pasti akan terfikir untuk pulang sebelum jam 5 petang kerana ingin mengelakkan kesesakan jalan raya. Jika sudah melepasi jam 5 petang, saya rela untuk menunda waktu pulang sehingga selepas solat Maghrib. 

Sesi pengajian saya sudah masuk semester 3. Justeru, saya harus meluangkan lebih masa untuk menyiapkan tesis dan juga tugasan lain yang diberikan oleh pensyarah. Sementara menunggu software yang diperlukan dimuatturun, sempat juga saya mengemaskini blog ini.

Teknologi memang sentiasa mengujakan saya. Mungkin kerana itu juga saya akhirnya memilih bidang kejuruteraan sewaktu di peringkat ijazah dahulu. Malah keterujaan itu berterusan apabila saya semakin gemar meluangkan masa untuk mengekplorasi software yang saya rasakan menarik dan bermanfaat untuk kegunaan harian. 

Sewaktu di alam pekerjaan dahulu, keterujaan saya untuk mengekplorasi software sedikit terhalang mungkin kerana terbeban dengan kerja-kerja pengurusan. Justeru ruang waktu yang tersedia sewaktu di alam akademik ini saya manfaatkan sepenuhnya untuk menebus keterujaan yang terhalang itu.

Lebih menarik, kursus yang saya ikuti ini pula sememangnya memerlukan saya untuk mengambil tahu perkembangan di bidang IT iaitu Pengurusan IT. Hari ini saya memuatturun beberapa software iaitu EndNote X5, Google Drive dan DropBox ke dalam PC, Ipad dan Iphone. Ketiga-tiganya saya synchronizekan untuk memudahkan urusan pengumpulan data dan penyediaan laporan. Malah ada beberapa jenis software lagi yang perlu saya muatturun untuk digunakan sepanjang pengajian ini. 

Memang jauh bezanya jika dibandingkan cara pembelajaran dulu dan sekarang. Jika dulu hanya disket merupakan satu-satunya cara untuk menyimpan data, kini lebih mudah apabila data boleh disimpan secara cloud sahaja. Mudah untuk diakses di mana-mana sahaja. Lucu bila teringat dulu kami terpaksa mengangkut CPU ke kelas setiap kali ingin membuat pembentangan projek kerana saiz fail yang agak besar dan tiada kemudahan external drive seperti yang adik-adik nikmati pada hari ini. Malah untuk mengakses maklumat jurnal atau tesis juga, kami terpaksa melanggan kad fotostat berikutan bilangan kertas yang terlalu banyak untuk disalin. Sekarang semuanya dihujung jari sahaja. Pelbagai maklumat dapat diakses daripada pelbagai laman Online Databases yang dilanggan oleh pihak universiti. 

Sebelum membeli PC sendiri di tahun 3 pengajian, saya sempat merasai pengalaman menyiapkan tugasan menggunakan mesin taip manual dan seterusnya mesin taip elektrik. Memang kenangan manis apabila diingat-ingat semula. Jika dulu sibuk mencari karbon mesin taip, kini sibuk mencari kartrij mesin pencetak pula. 

Namun begitu, apapun perubahan yang dilalui, ia tidak mampu membangkitkan keterujaan untuk melakukan sesuatu jika si pelaku tidak mempunyai keinginan dalaman untuk melakukannya. Seumpama memberikan bunga kepada monyet jadinya. 

Sunday, September 23, 2012

Naqibah

Bismillahirrahmanirrahim...




Inilah naqibah atau pembimbing bagi usrah yang saya ikuti sejak tahun lepas iaitu Kak Azlinaroszy atau lebih mesra dipanggil Kak Lin. Beliau merupakan salah seorang kakitangan (doktor) di Klinik An-Nur, Bandar Baru Bangi. Murah dengan senyuman dan mesra. Itu karakter Kak Lin yang kami sayangi.

Lokasi usrah kami yang diadakan setiap 2 minggu pada hari Jumaat adalah di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi atau lebih dikenali dengan nama 'Masjid Hijau', mungkin kerana kubahnya yang berwarna hijau. Lazimnya kami akan bertemu usai solat Maghrib di salah sebuah bilik kuliah di masjid tersebut. 

Sesi usrah kami mulakan dengan bacaan Al-Quran beserta tafsir secara bergilir-gilir dan kemudiannya diteruskan dengan membincangkan kandungan hadith daripada buku Hadith 40 Imam Nawawi. Hanya satu hadith yang kami bincangkan pada setiap kali pertemuan. Lazimnya pula, pertemuan kami akan berakhir sekitar jam 10 malam dan kadang-kadang mencecah sehingga jam 10.30 malam. Namun tidak terasa pantasnya masa berlalu apabila kami leka bertukar-tukar fikiran.

Entri ini tidak langsung bertujuan untuk menunjuk-nunjuk yang saya ini seorang yang baik dengan menyertai usrah tetapi lebih kepada untuk berkongsi perkara yang baik. Hakikatnya saya hanya seorang insan lemah yang sentiasa berusaha untuk menjadi seorang yang baik dan mungkin lebih baik. Saya lebih mengenali diri saya sendiri. Justeru saya tahu apa yang diperlukan untuk memastikan saya sentiasa berada di atas landasan yang betul. Jika Kak Lin yang sibuk dengan kerjaya dan keluarga (ibu kepada 4 orang anak) mampu meluangkan masa untuk bersama kami, tiada alasan untuk saya mengatakan yang saya tidak mampu untuk melakukannya juga. Indahnya usrah ini apabila saya mendapat lebih ramai kenalan dari pelbagai peringkat usia dan bidang namun ia sama sekali tidak membataskan hubungan kami. Mungkin kerana niat kami yang bertemu hanya untuk mendapat keredhaanNya jua. 

Wallahua'lam.

Saturday, September 22, 2012

Pengganti Milo

Bismillahirrahmanirrahim...




Semalam saya ada urusan di Bank Rakyat Bandar Baru Nilai.

Apa kaitan dengan gambar di atas pula?

Ok, selesai urusan di bank, saya singgah di Giant Nilai.

Kali terakhir saya jejak kaki ke situ rasanya 3 tahun yang lalu masa buat program rasmi di Hotel Allson Klana.

Suasana nampaknya sudah banyak berubah.

Yang pasti, deretan kedai makin banyak dan mata juga semakin rambang untuk memilih.

Yang seronoknya pula, saya terjumpa produk susu yang baru seperti dalam gambar di atas.

Saya memang suka minum susu dan juga Milo tanpa ditambah gula.

Gula pun saya guna gula perang.

4 sudu Milo dicampur dengan segelas air panas.

Sengaja saya tak tambah gula sebagai salah satu langkah untuk kurangkan pengambilan gula.

Harga produk baru ini pun lebih murah daripada Milo tetapi ini harga promosi.

Harap-harap lepas ini pun harganya masih berpatutan.

Setakat ini, produk ini paling menepati citarasa saya.

Buah Epal Di Ruang Tamu

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya, saya telah berjaya meletakkan 2 biji epal di siling ruang tamu teratak saya.

Macamana tu?

Kononnya menemani MakTeh untuk membeli lampu hiasan untuk rumah barunya, sudahnya saya pun tersangkut sekali.

Memang rambang mata bila tengok lampu bergantungan dengan pelbagai bentuk dan warna. 

Akhirnya, saya beli lampu untuk siling ruang tamu dan bilik tidur.

Sebenarnya, sudah ada lampu di ruang tamu tetapi rekabentuknya biasa sahaja dan pencahayaannya juga tidak terlalu terang. 

Saya terus jatuh hati melihat rekabentuk buah epal ini kerana ingin disesuaikan dengan dinding teratak yang berwarna hijau.

Seperti biasa, saya jadi kurang sabar untuk melihat hasilnya setiap kali membeli barang baru.

Mulanya saya ingin minta pertolongan adik-adik untuk memasangnya tetapi kerana ketidaksabaran itu, saya usahakan juga untuk memasangnya sendiri.

Tiada masalah besar untuk memasangnya kerana cangkuk sudah dipasang oleh PakSoo sebelum ini.

Bahagian mencabar adalah untuk menyambungkan wayarnya kerana perlu berdiri di atas tangga dan menampung berat lampu tersebut.






Kata orang, hendak 1000 daya.

Berpeluh-peluh dan akhirnya 1 unit siap dipasang dengan jayanya.

Seronok? Mestilah.

1 unit lagi pula saya pasang pada keesokan harinya.

Kini ruang tamu saya lebih terang benderang daripada sebelumnya.

Thursday, September 20, 2012

Mandi Kolam

Bismillahirrahmanirrahim...

Bapa borek, anak rintik. Sama seperti Abah, BaHa dan keluarga tiba di teratak saya tanpa makluman awal tapi bezanya BaHa sudah mempunyai kunci teratak saya. Justeru tiada isu jika mereka tiba sewaktu ketiadaan saya. Sudah pasti saya berasa seronok kerana dapat berjumpa dengan mereka terutama anak-anak buah tercinta, Adam dan Adeef. Kedatangan BaHa kali ini adalah untuk menghadiri program jabatan di KL. Memandangkan hari Ahad adalah hari Malaysia, BaHa membawa keluarganya turut serta. Mereka tiba sekitar jam 11 malam dan waktu itu saya sudah bersiap-sedia untuk masuk tidur. 

Setelah beberapa kali sebelum ini pernah berjanji untuk membawa Adam dan Adeef ke kolam renang, akhirnya kali ini saya berjaya membawa mereka ke sana. Bukan sekali tetapi dua hari berturut-turut kami ke Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. Ia terbuka untuk umum dan tiada sebarang bayaran dikenakan. 

Seronok melihat mereka begitu gembira berenang-renang di dalam kolam yang mempunyai kedalaman untuk kanak-kanak seusia mereka. Mula-mula mereka berdua malu-malu untuk mencecahkan kaki ke dalam kolam tetapi apabila sudah berada di dalamnya, sukar pula dipujuk untuk naik ke atas. 

Nama pun budak-budak. Dalam kepala mereka hanya ada perkataan 'main' sahaja. Saya layankan sahaja malah turut seronok melihat gelagat mereka.

Hari 1 (14/09/2012)


Malu-malu untuk masuk ke dalam kolam.


Bila enjin dah mula dipanaskan.


Kelihatan Adam sudah berani membuat aksi menyelam di dalam air sementara Adeef pula seperti takjub melihat kehebatan abangnya :)


Adeef girang bermain dengan air pancut.


Kawad di tengah-tengah laluan air pancut.


Hari 2 (15/09/2012)

Kali ini BaHa turut serta berendam di kolam melayan gelagat Adam dan Adeef.


Adam yang memang kuat makan. 
Makanan kegemaran adalah nasi lemak.


Adeef makan bihun je.


Lepas makan sesuap, masuk kolam. 
Lepas tu naik, makan lagi. 
Begitulah berulang-ulang sehingga makanan habis.


Roti john disapu oleh Adam juga.
Penat betul berendam agaknya.


Adeef sujud syukur mungkin sebab gembira dapat mandi kolam haha.
Dia ini memang suka buat aksi yang tidak disangka-sangka.


Gembira rasanya melihat mereka begitu seronok dapat berendam di dalam kolam. Nampaknya ia bakal jadi lokasi wajib setiap kali mereka datang ke teratak saya kelak.


Wednesday, September 19, 2012

Rasa Utara Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam entri terdahulu, saya nyatakan yang saya sempat makan tengahari bersama teman-teman sebelum bergerak ke Yayasan Kepimpinan Perdana. Tempat yang menjadi pilihan kami adalah Restoran Rasa Utara yang berada di dalam bangunan Galeria, Presint 5, Putrajaya. Ini juga merupakan kali pertama saya berkunjung ke situ kerana sewaktu kunjungan saya ke Galeria sebelum ini, ia belum lagi beroperasi di situ.

Sebentar tadi sewaktu mengemaskini telefon bimbit, saya temui gambar hidangan yang saya nikmati iaitu set udang sambal petai. Set ini merupakan salah satu daripada set-set makan tengahari yang ditawarkan di situ. Oleh kerana saya dalam keadaan agak tergesa-gesa, saya tidak sempat untuk meneliti senarai set-set lain. Set yang saya pilih ini berharga RM16.90 termasuk air teh o limau ais. 




Harganya mungkin sedikit mahal tetapi saya berpuas hati dengan perkhidmatannya yang pantas malah rasa hidangan juga menepati selera saya. 

Justeru saya pasti akan ke situ lagi pada masa hadapan.


Thursday, September 13, 2012

Yayasan Kepimpinan Perdana (YPK)

Bismillahirrahmanirrahim...
 
(Lokasi: Perpustakaan YPK)
 
Sudah lama saya teringin untuk menjejakkan kaki ke sini.
 
Sebelum ini saya hanya sering ternampak papan tandanya sahaja setiap kali melalui Presint 8 namun tidak berpeluang untuk meluangkan masa ke situ.
 
Dek keinginan yang kuat, saya masukkan ia ke dalam senarai peribadi untuk tempat-tempat yang ingin dilawati atau jejaki.
 
Pagi ini saya perlu menghadiri satu sesi latihan di Putrajaya dan ia tamat pada waktu tengahari.
 
Usai makan tengahari bersama teman-teman, terdetik di hati saya untuk hadir ke sini lantas tanpa banyak soal saya terus memandu ke sini.
 
Laluannya agak sunyi kerana kedudukannya yang sedikit jauh dari bangunan-bangunan lain tapi saya teruskan juga pemanduan.
 
Alhamdulillah, saya berjaya juga tiba ke sini dan dimaklumkan oleh pengawal yang perpustakaan akan dibuka pada jam 2 petang.
 
Sebenarnya bukan perpustakaan sahaja yang ada di sini kerana YPK merupakan sebuah NGO yang mempunyai peranannya yang tersendiri.
 
Maklumat lanjut tentang YPK boleh didapati di pautan ini.
 
Kelengkapan disediakan dalam perpustakaannya memang sangat selesa dan suasana sekelilingnya sungguh mendamaikan.
 
Pastinya ia akan menjadi lokasi pilihan saya untuk mentelaah pelajaran selain Perpustakaan UTM.
 
Agaknya memang benar kata teman-teman yang saya ini ulat buku walaupun saya tidak merasakan demikian.
 
Ya saya memang gemar menghabiskan masa di perpustakaan sejak zaman sekolah lagi sehingga memasuki universiti.
 
Entah mengapa saya rasa tenang dan damai apabila dikelilingi oleh buku-buku.
 
Memang saya merindui zaman di mana saya mampu menghabiskan sebuah buku dalam masa sehari sahaja atau paling lama seminggu.
 
Kini sejak kembali memegang status sebagai pelajar, saya dapat merasakan yang tahap kesungguhan saya tidak lagi seperti dulu.
 
Mungkin juga faktor usia dan keadaan turut menyumbang kepada kemerosotan ini tetapi yang jelas, ia bukan satu perkara yang saya sukai.
 
Saya ingin jadi lebih rajin dan tekun seperti dulu atau lebih lagi daripada dulu.
 
Perpustakaan UTM tidak mampu menambat hati saya untuk lekat di situ, mungkin kerana keterhadan kemudahannya.
 
Semoga lokasi yang baru saya temui ini akan dapat membangkitkan kembali kesungguhan yang saya rindui itu.
 
 

Monday, September 10, 2012

Memenuhi Undangan

Bismillahirrahmanirrahim...

Selagi Syawal masih belum berakhir, selagi itulah undangan rumah terbuka akan sentiasa ada terutama pada hujung minggu.

Justeru ia juga salah satu nikmat yang harus disyukuri dengan cuba untuk memenuhi undangan yang diterima.

Malah saya menganggap setiap undangan yang diterima adalah sebagai tanda ingatan daripada si pengundang kepada saya.

Sedaya mungkin saya akan cuba mencari jalan untuk memenuhi kesemuanya kecuali jika saya berdepan dengan insiden yang tidak dapat dielakkan.

Semalam saya terima 4 undangan untuk dipenuhi termasuk salah satunya adalah majlis perkahwinan.

Selebihnya pula adalah undangan untuk rumah terbuka.

Perjalanan saya turut disertai oleh seorang teman iaitu Haizum, yang saya panggil Yun.

Destinasi pertama adalah majlis perkahwinan di Subang Jaya.

Sengaja saya jadikan ia destinasi pertama kerana bimbang akan berdepan dengan kesesakan di samping ingin mengambil peluang untuk berjumpa dengan pengantin.

Dalam perjalanan, seorang lagi sahabat, Tmot, turut serta untuk ke sana.

Pengantin merupakan kenalan kami yang berada dalam perkhidmatan yang sama.

Percaturan kami nampaknya tepat apabila jumlah pengunjung semakin memenuhi dewan sebaik kami sudah selesai makan dan bersalaman dengan pengantin.

Destinasi seterusnya adalah rumah terbuka di Ampang yang merupakan rumah sahabat Alumni MRSM Muar.

Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan berjaya tiba ke destinasi seperti dirancang.

Seronok rasanya apabila dapat bertemu dengan sahabat-sahabat malah itulah antara motivasi untuk menghadiri setiap undangan.

Hampir 2 jam di Ampang, kami meneruskan perjalanan ke Taman Amanputra, Puchong.

Ia merupakan rumah seorang sahabat seperjuangan di UIA merangkap jiran sebelah bilik asrama selama 4 tahun.

Kami tidak berlama di situ kerana perlu memperuntukkan masa untuk ke destinasi terakhir pula iaitu di Bangi.

Alhamdulillah lega rasanya apabila dapat tiba di Bangi pada jam 6 petang.

Saya berusaha untuk memenuhi undangan ini kerana ia datang daripada seorang sahabat baik yang telah mengajar saya erti sebuah persahabatan.

Beliau telah membantu saya di saat tiada yang sudi menghulurkan tangan mungkin kerana keletihan masing-masing sedangkan saya benar-benar memerlukannya.

Sehingga hari ini, kesudian beliau membantu saya masih terkesan di hati.

Saya tinggalkan rumah beliau pada jam 7 malam dan terus ke rumah Yun untuk menghantarnya pulang malah sempat juga solat Maghrib dan Isyak di situ.

Perjalanan saya masih belum berakhir sebaliknya diteruskan memandu ke rumah adik, MakTeh, untuk membantu urusan perpindahan rumahnya pada pagi esok.

Tiba di sana, tanpa banyak soal saya terus lena di alam mimpi dengan penuh kepuasan kerana berjaya memenuhi setiap undangan seperti dirancang malah tidak perlu berdepan dengan kesesakan jalan yang teruk.

Alhamdulillah.

Wednesday, September 5, 2012

Kembara Terkena Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

2 September 2012 - Saya dikejutkan dengan ketibaan Abah Ummi yang menghubungi saya hanya apabila sudah berada betul-betul di tepi pagar rumah.

Waktu itu saya sedang membuka pintu untuk keluar ke Masjid Putra. 

Akhirnya, hasrat itu terpaksa saya batalkan untuk meraikan ketibaan Abah Ummi. 

Kasihan Abah kerana terperangkap dalam kesesakan lalulintas sepanjang MRR2. 

Mereka memang sering begitu, datang tanpa memaklumkannya kepada saya terlebih dahulu.

Antara insiden hampir sama yang sempat saya coretkan sebelum ini adalah dalam entri ini.

Mujur juga saya tidak ke mana-mana.

Bayangkan jika saya berada di luar kawasan sewaktu ketibaan mereka. Aduhai.




Usai solat dan membersihkan diri, saya bawa Abah Ummi untuk makan malam di sebuah restoran di Bangi.

Mujur telah ada restoran yang beroperasi kerana rata-rata restoran masih belum beroperasi sepenuhnya mungkin kerana memenuhi tempahan sebagai katerer untuk rumah terbuka.

3 September 2012 - Seawal jam 7.30 pagi lagi Abah sudah siap sedia kemas berpakaian.

Manakala saya pula sudah siap memasak nasi goreng untuk sarapan tanpa mengetahui rancangan Abah untuk ke rumah abang saya, BaAn, di selatan tanah air.

Aduhai, sabar jelah. Mujur saya tidak punya apa-apa rancangan atau temujanji pada hari itu. 

Segera saya hubungi adik perempuan, MakTeh, untuk turut serta dan akhirnya adik lelaki, AyahChik dan keluarga juga ingin turut serta. 

Lalu kami mulakan perjalanan ke Johor sekitar jam 10 pagi. 

Dalam perjalanan, saya terfikir untuk singgah di bandaraya Melaka terlebih dahulu sementara menunggu AyahChik tiba.

Di samping itu, saya ingin membawa Abah Ummi merasai pengalaman menaiki Menara Taming Sari.

Ini merupakan pengalaman kali kedua buat saya yang pernah menaikinya buat kali pertama beberapa tahun yang lalu.



Alhamdulillah trafik lancar mungkin kerana ia adalah hari bekerja dan amat mudah untuk kami mendapatkan tempat letak kereta. 




Sedikit mengejutkan apabila kami perlu membeli kupon berharga RM6 mengandungi 10 keping kupon iaitu sekeping kupon berharga 60 sen untuk 1 jam.

Kami tidak dibenarkan untuk membeli sekeping sahaja walaupun kami memang tidak merancang untuk berlama-lama di situ. 



Seronok rasanya apabila melihat keterujaan Abah Ummi untuk merasai pengalaman tersebut. 

Lebih menarik apabila Abah Ummi layak menikmati harga tiket untuk warga emas iaitu RM8 seorang.

Manakala tiket untuk kami pula adalah RM10 seorang.




Pun begitu, simpati melihat tempat bersesuaian untuk petugas yang memberi penerangan tidak disediakan meskipun tempoh untuk turun dan naik hanya memakan masa selama 6 minit sahaja.

Pada saya, apa jua tingkah yang dipamerkan oleh para petugasnya adalah cerminan imej pihak pengurusan.


Ummi seperti biasa, gayat apabila berada di tempat tinggi.

Selalunya tangan Abah yang akan menjadi tempat berpaut Ummi dan dipegang kemas manakala kami pula lebih gemar mengusik sambil tertawa melihat gelagat Ummi. 





Akhirnya, berjaya juga membawa Abah Ummi merasai sendiri pengalaman menaiki Menara Taming Sari.



Kemudian kami ke Dataran Pahlawan yang terletak tidak jauh dari situ.

Tujuannya adalah kerana Abah ingin membeli seluar panjang yang lupa dibawa kerana keputusan untuk datang ke KL juga dibuat secara tergesa-gesa.


Seterusnya, kami menuju ke Taman Botanikal Melaka untuk mencuba buggy ride.

Hasrat itu timbul selepas saya terbaca entri mengenainya oleh seorang blogger tentang kewujudan perkhidmatan tersebut. 

Dukacita kami tidak berpeluang mencubanya kerana perkhidmatan ditutup untuk penyelenggaraan.




Secara kebetulan, AyahChik juga sudah hampir tiba di persimpangan Tol Ayer Keroh.

Lalu kami teruskan perjalanan untuk ke selatan tanah air kerana perjalanan masih jauh.

Selepas menempuh pemanduan yang agak meletihkan, kami tiba di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram iaitu rumah BaAn.



Ini merupakan pertemuan pertama anak saudara terbaru, Nur Qaisara Aminah dengan BaAn yang dipanggil AyahNgah.

Malam itu kami dibawa oleh BaAn untuk makan malam di sebuah restoran di Pasir Gudang.

Jika diikutkan hati memang saya sudah tidak larat untuk turut serta tetapi digagahkan juga diri.

Akibatnya, malam itu saya tidur mati tetapi saya perlu bangun seawal jam 4.30 pagi.

Ia gara-gara ingin mengejar waktu untuk menghantar MakTeh ke sekolah untuk sesi petang. 

4 September 2012 - Kami bertolak dari Ulu Tiram pada jam 6.30 pagi dan tiba di teratak saya sekitar jam 10.30 pagi.

Usai menghantar MakTeh, saya bawa Abah Ummi ke Tanjung Malim pula untuk menjenguk adik yang tinggal di sana. 

Namun saya tidak bercadang untuk bermalam di sana dan kami bertolak pulang pada jam 6 petang. 

Tiba di KL, saya terima berita daripada jiran memaklumkan kesesakan teruk di laluan masuk ke teratak kami. 

Mujur juga saya sudah berjanji untuk menjemput MakTeh sebelum pulang ke teratak. 

Melihat lautan kenderaan di Jalan Tun Razak, saya memutuskan untuk melalui MEX.

Lega apabila pilihan dibuat tepat kerana kami terselamat daripada terperangkap dalam kesesakan yang mengerikan itu meskipun jaraknya lebih jauh.

Penat? 

Sangat penat tetapi puas kerana dapat memenuhi permintaan Abah Ummi. 

Hanya satu perkara yang perlu difikirkan iaitu mungkin ini peluang yang Allah beri kepada saya meskipun tidak dirancang terlebih dahulu. 

Sementara Allah masih memberi saya waktu dan upaya untuk melakukannya, akan cuba saya gagahkan juga diri untuk melakukannya. 

Tahun depan apabila saya kembali bertugas, belum tentu saya punya peluang untuk melakukannya. 

Terima kasih kepada MakTeh dan AyahChik yang turut serta mengharunginya bersama. 

5 September 2012 - Pagi ini Abah Ummi bertolak pulang ke kampung.

Hati tetap sedih.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya menghantar mereka pulang tetapi saya perlu ke UTM kerana semester baru telah bermula.

Semoga Abah Ummi selamat tiba ke destinasi.






Sunday, September 2, 2012

Tahniah Ono

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam seawal jam 7 pagi saya bertolak ke Bagan Serai, Perak untuk meraikan hari bahagia seorang sahabat merangkap bekas teman serumah iaitu Azyani atau kami memanggilnya Ono.

Bagaimana panggilan Ono wujud tidak pula saya ketahui kerana panggilan itu sudah diketahui sejak zaman matrikulasi lagi.

Saya sendiri pula sudah lupa sama ada Ono bercerita tentang asal usul panggilan itu atau tidak.

Saya dan Ono pernah tinggal selama hampir 4 tahun di Bandar Tasik Selatan bersama seorang lagi teman iaitu Naim.

Kali ini saya hanya memandu sendirian sahaja ke sana kerana saya perlu hadir program lain di Gombak pula pada sebelah petangnya.

Akad nikah dijadualkan pada jam 11 pagi dan saya memang berhasrat untuk turut menyaksikan momen bersejarah buat Ono itu.

Syukur kerana saya tiba tepat jam 11 pagi dan majlis bermula agak lambat berikutan kelewatan jurunikah tiba.

Turut serta meraikan majlis adalah Naim yang turut membawa ibu bapa dan adiknya.

Alhamdulillah, Ono akhirnya sah menjadi isteri kepada pasangannya yang juga merupakan abang kepada salah seorang teman sepengajian kami di UIA dulu.

Ujian awal buat Ono dan pasangannya apabila seminggu sebelum itu, bakal ayah mertua telah kembali ke rahmatullah dalam kemalangan yang turut melibatkan tunang dan ibunya.

Pun begitu, majlis tetap berjalan seperti dirancang dan lancar meskipun kesedihan masih menyelubungi keluarga mertuanya.

Usai bergambar dan bersalaman dengan pengantin serta keluarga, sekitar jam 1.15 petang, saya segera bertolak pulang untuk memenuhi undangan di Gombak pula.

Tahniah dan selamat berbahagia buat Ono dan suami. Semoga perkahwinan kalian berdua diberkati, dihiasi dengan zuriat yang soleh dan berkekalan hingga ke syurga.