Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, August 19, 2012

Menjelang Syawal 1433H

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, saya kini sudah selamat tiba di kampung sejak semalam.

Mulanya risau juga jika akan berdepan dengan kesesakan trafik apabila mendengar pelbagai komen di FB daripada teman-teman yang sudah pulang lebih awal.

Saya dan adik perempuan, MakTeh, bertolak pulang pada hari Jumaat seawal jam 7 pagi.

Lega rasanya apabila trafik lancar dan tiada sebarang halangan yang perlu ditempuh kecuali satu insiden di Kerteh.

Ketika itu hujan agak lebat menyebabkan semua kenderaan memperlahankan kenderaan.

Sebaik melepasi salah satu lampu isyarat, secara tiba-tiba muncul sebuah kereta Perodua Viva (atas kebiadapannya, saya memanggilnya Vavi) yang cuba untuk memasuki laluan antara kereta saya dan sebuah kereta lain (Proton Wira) di hadapan saya yang berada di laluan kanan.

Saya agak terkejut kerana dalam keadaan jalan yang licin, sebolehnya saya ingin mempastikan jarak selamat antara kenderaan dan kemunculan kereta tersebut akan membahayakan saya dan pemandu lain.

Sementelahan di laluan sebelah kiri pula terdapat sebuah kereta lain menyebabkan tindakan kereta tersebut untuk memotong kenderaan kami adalah tidak masuk akal sama sekali.

Sebaik melepasi kenderaan di sebelah kiri tersebut, saya dan pemilik Proton Wira terus memasuki laluan kiri bagi memberi laluan kepada pemandu Viva tersebut yang mungkin sedang dalam situasi kecemasan.

Anehnya, apabila diberi laluan, pemandu Viva bertindak memperlahankan kenderaan di laluan kanan dan berada betul-betul di antara kenderaan saya dan Wira menyebabkan kenderaan-kenderaan lain juga terhalang.

Saya mula merasakan kelainan tingkah pemandu tersebut yang seolah-olah sengaja ingin mempermain-mainkan kami pula.

Kecewa sungguh apabila ternampak pemandunya memakai kopiah dan kelihatan pelbagai logo berbentuk keagamaan ditampal pada cermin belakang kenderaannya termasuk logo wajah Tuan Guru Nik Aziz.

Namun tingkahnya sama sekali tidak melambangkan imej yang dibawa olehnya.

Enggan membuang masa melayan perangai pemandu sebegitu, saya memecut laju meninggalkannya apabila mempunyai ruang berbuat demikian.

Sangka saya ia tamat di situ tapi ternyata pemandu tersebut seolah-olah tercabar lalu memecut laju cuba untuk memotong saya dan kenderaan lain sehingga sanggup menggunakan laluan pusingan U sebelum menyelinap masuk ke laluan utama.

Saya abaikan sahaja dia dengan membiarkannya memecut laju tetapi akhirnya ditakdirkan kami bertemu dengannya di persimpangan lampu isyarat seterusnya lalu saya teringin untuk mengetahui apa yang mendorong bertindak begitu.

Apakah dia benar-benar berada dalam situasi kecemasan?

Dia akhirnya membelok masuk ke kiri dan berhenti di hadapan sebuah kedai.

Jangka saya dia sedang menuju ke hospital atau terlewat menghadiri majlis di masjid namun jangkaan saya nyata meleset.

Sengaja saya perlahankan kenderaan untuk melihat lebih dekat wajahnya.

Aduhai, muka gaya ustaz, lengkap berkopiah dan berjanggut.

Saya jadi geram kerana dia memburukkan imej yang dibawanya.

Jika diikutkan hati, saya ingin memberi salam dan mendekatinya tetapi dihalang oleh MakTeh.

Lalu saya hanya menurunkan cermin sambil tersenyum memandang kepadanya yang melihat saya dari hujung matanya.

Jika benar dia berada dalam kecemasan, dia sepatutnya menghidupkan lampu isyarat kecemasan agar pemandu lain faham dan memberi laluan kepadanya.

Namun dia tidak berbuat demikian malah sengaja bertindak menghalang laluan kenderaan lain pula hingga hampir-hampir terbabas.

Pun begitu, jika benar dia berada dalam situasi kecemasan, itu sama sekali tidak memberikan hak kepadanya untuk membahayakan nyawa orang lain pula.

Jika dilayan, memang sakit hati tapi saya terima ia sebagai salah satu dugaan Ramadhan.

Usai solat tarawih, saya melayan anak-anak saudara bermain bunga api di laman rumah sambil menunggu kepulangan adik-beradik yang lain.


No comments: