Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, August 31, 2012

55 Tahun Merdeka

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini bumi kelahiran tercinta, Malaysia genap berusia 55 tahun.

Pelbagai polemik yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak tentang sambutan pada tahun ini.

Sedih dan sebak bercampur baur terutama apabila melihat ada pihak yang sanggup mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang.

Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan sampai maruah negara tergadai di tangan pengkhianat yang kufur nikmat.

Namun saya memilih untuk merasa gembira dan syukur dengan segala nikmat yang telah dikecapi selama ini.

Bagi penjawat Awam, usia 55 tahun ini adalah peringkat usia matang dan layak dipanggil pegawai kanan.

Jika dulu, usia 55 tahun ini adalah usia untuk bersara tetapi ia telah dilanjutkan kepada 60 tahun.

Saya berdoa semoga tiada usia pencen bagi Jalur Gemilang agar keamanan ini akan terus dinikmati oleh anak cucu kelak.

Saya bangga dilahirkan sebagai warganegara Malaysia.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun, Malaysia tanah airku!

Tuesday, August 28, 2012

Hidangan Wajib

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap kali Raya, pasti ada hidangan yang dianggap wajib ada bagi setiap keluarga.

Bagi saya, hidangan tersebut adalah sate dan spesifiknya Sate Teluk Lipat.

Sebenarnya, saya yang pandai-pandai bagi nama sate begitu.

Semua bermula bila kami sudah tidak larat untuk menyediakan sate sendiri.

Apa tidaknya, belum habis dibakar, sate dah surut dimakan.

Jawabnya, tak sempat Raya lah sate tu.

Lalu saya tercari-cari penjual sate yang sedap kerana saya memang cerewet dengan rasa rempah sate.

Cari punya cari, akhirnya saya jumpa sebuah gerai yang terletak di tepi Pantai Teluk Lipat.

Masa tu gerainya biasa sahaja tapi rempah sate buatan mereka menepati citarasa saya.

Aktiviti tempahan bermula beberapa tahun yang lalu apabila saya diberikan nombor telefon oleh pemiliknya untuk menempah sate bagi Syawal yang akan menjelma.

Sejak itu, saya hanya SMS jumlah sate yang ingin ditempah kepada mereka 2 minggu sebelum Syawal.

Seperti biasa, nama yang digunakan untuk tempahan adalah nama Ummi iaitu Wan Meriam.

Sehingga hari ini, pemilik tersebut menyangka saya adalah Wan Meriam kerana saya yang akan mengambil sate tersebut pada setiap malam Raya.

Tahun ini, saya menempah sebanyak 500 cucuk sate ayam dan ia habis seperti dijangka.

Dari segi harga pula, saya rasa ia masih berpatutan iaitu 60 sen secucuk.

Untuk urusan pengambilan pula, tahun ini saya ditemani oleh anak saudara, Akid Amin.

Anda pula bagaimana?

Perasan Tak?

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya perasan, warna baju raya yang menjadi pilihan ramai pada tahun lepas adalah ungu.

Tahun ini pula saya dapati warna kegemaran ramai adalah merah.

Tak percaya?

Perhatikanlah sekeliling anda terutama gambar-gambar Raya yang terpampang di FB.

Mujur juga saya tidak menetapkan sebarang warna tema untuk tahun ini.

Konsepnya, suka-suka hati.

Namun bila diamati gambar Raya keluarga kami, terselit juga warna merah.

Aduhai.

Sunday, August 26, 2012

Ayam Golek Bukit Bauk

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah berpuluh-puluh kali saya melalui gerai itu setiap kali pulang ke kampung tetapi hati tidak pernah tergerak untuk mencubanya.

Ia terletak betul-betul di persimpangan Kampung Durian Mentangau, Dungun yang bakal jadi laluan utama apabila LPT diteruskan kelak.

Rekod dipecahkan pada penghujung Ramadhan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah usai membeli belah di Mesra Mall bersama keluarga.

Kami beli 2 ekor ayam golek untuk hidangan berbuka puasa dan ternyata rasanya tidak mengecewakan.

Harganya pula berpatutan iaitu RM16 seekor, jauh lebih murah daripada ayam golek di tempat lain yang pernah saya nikmati.

Dek terliur dengan rasanya, semalam saya membelinya lagi sewaktu dalam perjalanan pulang ke KL.

Kali ini seekor sahaja dan berjaya dihabiskan oleh saya dan MakTeh sebelum tiba ke destinasi.

Nampaknya ia pasti jadi sasaran saya lagi setiap kali pulang ke kampung kelak.


Wednesday, August 22, 2012

Teman Sekampung Datang Beraya

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Ogos 2012 - Asmawi dan keluarga datang beraya ke rumah saya.

Ia susulan pertemuan kami sewaktu iftor baru-baru ini.

Asmawi merupakan saudara saya di sebelah Abah merangkap teman seusia sejak zaman persekolahan rendah dan menengah.

Seronok rasanya apabila teman lama datang berkunjung.

Lebih seronok apabila mendapat tahu yang isteri Asmawi adalah sahabat baik kepada sahabat saya yang kini berada di Arab Saudi iaitu Syida.

Asmawi dan isteri kini menetap dan bertugas di Putrajaya.

Cuma sedikit tidak seronok apabila saya tidak sempat memasak untuk mereka kerana dihubungi oleh Asmawi 5 minit sebelum ketibaan mereka.

Silap saya juga kerana tidak bertanya kepada mereka lebih awal.

Harap mereka tidak serik untuk berkunjung ke rumah saya lagi.


Syawal 1433H

Bismillahirrahmanirrahim...

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin kepada semua yang mengenali diri ini.

Syukur masih diberi peluang menyambutnya bersama keluarga terutama Abah Ummi.

Sunday, August 19, 2012

Menjelang Syawal 1433H

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, saya kini sudah selamat tiba di kampung sejak semalam.

Mulanya risau juga jika akan berdepan dengan kesesakan trafik apabila mendengar pelbagai komen di FB daripada teman-teman yang sudah pulang lebih awal.

Saya dan adik perempuan, MakTeh, bertolak pulang pada hari Jumaat seawal jam 7 pagi.

Lega rasanya apabila trafik lancar dan tiada sebarang halangan yang perlu ditempuh kecuali satu insiden di Kerteh.

Ketika itu hujan agak lebat menyebabkan semua kenderaan memperlahankan kenderaan.

Sebaik melepasi salah satu lampu isyarat, secara tiba-tiba muncul sebuah kereta Perodua Viva (atas kebiadapannya, saya memanggilnya Vavi) yang cuba untuk memasuki laluan antara kereta saya dan sebuah kereta lain (Proton Wira) di hadapan saya yang berada di laluan kanan.

Saya agak terkejut kerana dalam keadaan jalan yang licin, sebolehnya saya ingin mempastikan jarak selamat antara kenderaan dan kemunculan kereta tersebut akan membahayakan saya dan pemandu lain.

Sementelahan di laluan sebelah kiri pula terdapat sebuah kereta lain menyebabkan tindakan kereta tersebut untuk memotong kenderaan kami adalah tidak masuk akal sama sekali.

Sebaik melepasi kenderaan di sebelah kiri tersebut, saya dan pemilik Proton Wira terus memasuki laluan kiri bagi memberi laluan kepada pemandu Viva tersebut yang mungkin sedang dalam situasi kecemasan.

Anehnya, apabila diberi laluan, pemandu Viva bertindak memperlahankan kenderaan di laluan kanan dan berada betul-betul di antara kenderaan saya dan Wira menyebabkan kenderaan-kenderaan lain juga terhalang.

Saya mula merasakan kelainan tingkah pemandu tersebut yang seolah-olah sengaja ingin mempermain-mainkan kami pula.

Kecewa sungguh apabila ternampak pemandunya memakai kopiah dan kelihatan pelbagai logo berbentuk keagamaan ditampal pada cermin belakang kenderaannya termasuk logo wajah Tuan Guru Nik Aziz.

Namun tingkahnya sama sekali tidak melambangkan imej yang dibawa olehnya.

Enggan membuang masa melayan perangai pemandu sebegitu, saya memecut laju meninggalkannya apabila mempunyai ruang berbuat demikian.

Sangka saya ia tamat di situ tapi ternyata pemandu tersebut seolah-olah tercabar lalu memecut laju cuba untuk memotong saya dan kenderaan lain sehingga sanggup menggunakan laluan pusingan U sebelum menyelinap masuk ke laluan utama.

Saya abaikan sahaja dia dengan membiarkannya memecut laju tetapi akhirnya ditakdirkan kami bertemu dengannya di persimpangan lampu isyarat seterusnya lalu saya teringin untuk mengetahui apa yang mendorong bertindak begitu.

Apakah dia benar-benar berada dalam situasi kecemasan?

Dia akhirnya membelok masuk ke kiri dan berhenti di hadapan sebuah kedai.

Jangka saya dia sedang menuju ke hospital atau terlewat menghadiri majlis di masjid namun jangkaan saya nyata meleset.

Sengaja saya perlahankan kenderaan untuk melihat lebih dekat wajahnya.

Aduhai, muka gaya ustaz, lengkap berkopiah dan berjanggut.

Saya jadi geram kerana dia memburukkan imej yang dibawanya.

Jika diikutkan hati, saya ingin memberi salam dan mendekatinya tetapi dihalang oleh MakTeh.

Lalu saya hanya menurunkan cermin sambil tersenyum memandang kepadanya yang melihat saya dari hujung matanya.

Jika benar dia berada dalam kecemasan, dia sepatutnya menghidupkan lampu isyarat kecemasan agar pemandu lain faham dan memberi laluan kepadanya.

Namun dia tidak berbuat demikian malah sengaja bertindak menghalang laluan kenderaan lain pula hingga hampir-hampir terbabas.

Pun begitu, jika benar dia berada dalam situasi kecemasan, itu sama sekali tidak memberikan hak kepadanya untuk membahayakan nyawa orang lain pula.

Jika dilayan, memang sakit hati tapi saya terima ia sebagai salah satu dugaan Ramadhan.

Usai solat tarawih, saya melayan anak-anak saudara bermain bunga api di laman rumah sambil menunggu kepulangan adik-beradik yang lain.


Thursday, August 16, 2012

Biskut Sampan

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, malam ini saya berjaya menyiapkan kuih raya ke4 iaitu biskut sampan.

Sengaja saya minta adik lelaki, BaYu, membawa acuan bentuk sampan kepunyaan Ummi sewaktu dia pulang ke kampung minggu lepas.

Biskut ini begitu nostalgia buat saya kerana ia antara kuih wajib yang akan disediakan oleh Ummi setiap kali hari raya.

Mungkin atas faktor usia, Ummi tidak lagi membuatnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lalu saya putuskan untuk membuatnya pada tahun ini.

Bahan-bahan:
250gm mentega
150gm gula halus
4 biji kuning telur
400gm tepung gandum
1 sudu teh esen vanilla
1 cawan kismis hitam @ campuran buah kering
1 cawan kelapa kering
Ceri merah & hijau - dipotong kecil

Cara:
Pukul mentega dan gula hingga kembang.

Kemudian masukkan kuning telur dan esen vanilla.

Gaul dengan tepung sedikit demi sedikit dan semua bahan-bahan.

Masukkan sedikit adunan ke dalam acuan sampan.

Taburkan kelapa kering sebelum dibakar pada suhu 150 darjah celsius selama 12-15 minit.


Wednesday, August 15, 2012

Karamel Suka-Suka Hati

Bismilahirrahmanirrahim...

Bahan A:
3 biji telur
2 cawan susu
3 sudu gula

Bahan B:
1/2 cawan gula
Sedikit air

Panaskan bahan B di dalam kuali dengan api perlahan dan dikacau supaya tidak hangus.

Bila gula dah perang, masukkan ke dalam bekas, diratakan dan disejukkan.

Campurkan bahan A dan kacau hingga bercampur rata.

Tuangkan campuran bahan A ke dalam bekas yang mengandungi bahan B tadi.

Masak secara water bath di dalam ketuhar pada suhu 200 darjah celsius selama 30 minit.

Bila dah masak, terbalikkan karamel ke atas pinggan dan gula perang akan meliputi karamel.

Untuk lebih sedap, simpan di dalam peti sejuk sebelum dimakan.

Senang kan?

I Love U

Bismillahirrahmanirrahim...

Dulu, saya tak tahu pun apa nama kuih itu tapi setiap kali ke pasar malam, saya pasti akan membelinya.

Waktu itu harganya masih murah iaitu RM1 sepotong dan saiznya juga agak besar.

Kemudian, ia menjadi semakin mahal dan saiznya juga semakin mengecil.

Saya fikir sesuatu harus dibuat dan langkah yang saya ambil adalah belajar cara membuatnya sendiri.

Percubaan pertama berjaya dan selepas itu saya tidak lagi membelinya.

Jika terasa ingin makan karamel, saya terus memasak dan meletakkannya di dalam peti sejuk.

Namun sudah agak lama juga saya tidak membuatnya kerana keinginan untuk memakannya tidak hadir.

Akhir-akhir ini keinginan itu hadir semula dan saya mula membuatnya lagi.

Hari ini saya buat secara suka-suka hati (memetik kata-kata Chef Ammar El-Ali dalam rancangan Hidangan Barakah), hasilnya seperti di dalam gambar.

Sengaja saya gunakan bekas berbentuk hati yang dibeli baru-baru ini.

Kini ia diletakkan di dalam peti sejuk sebelum dimakan.

Baru best.

Tuesday, August 14, 2012

Mudah.my - Terkini

Bismillahirrahmanirrahim...




Alhamdulillah, baru sahaja diiklankan malam tadi, petang ini ia sudah menjadi milik seorang guru daripada Bangi. 

Begitu bersungguh-sungguh guru itu menghubungi saya dan menetapkan temujanji untuk menjalankan urusniaga dengan segera. 

Lalu kami bertemu di pintu masuk UNITEN pada jam 6 petang dan tanpa banyak soal, guru itu terus membuat bayaran seperti ditawarkan. 

Tidak sampai 5 minit pertemuan kami, akhirnya unit tersebut bertukar tangan kepada pemilik baru. 




Iftor@Ana Ikan Bakar Petai BBBangi

Bismillahirrahmanirrahim...

Kali pertama saya berbuka di AIBP bersama teman-teman adalah seperti diceritakan dalam entri ini. 

Tanpa disangka, saya akan kembali lagi ke sini sebanyak 2 kali dalam tempoh yang begitu dekat.

Ia dilakukan demi memenuhi permintaan teman-teman yang teringin untuk berbuka puasa di sini. 

Saya akui tempat ini antara tempat yang sesuai dikunjungi lagi kerana kawasannya yang luas, kemudahan surau, taman permainan dan harga makanan yang berpatutan. 

Kali kedua ke sini adalah pada hari Sabtu (11 Ogos) bersama teman-teman Alumni SMAASZA. 

Meskipun kehadiran hanya seramai 16 orang, ia cukup meriah dan menyeronokkan.

Yang penting, dapat bersua wajah dan bertanya khabar teman-teman.


Tempahan mula dihidangkan

Botol air mineral yang menambat hati saya

Sanggup datang dari Setiawangsa demi untuk berjumpa teman-teman

Mula menjamu selera

Tinggal tulang


Semalam (13 Ogos), saya ke sana lagi untuk memenuhi permintaan teman-teman seperjuangan di UIA pula. 

Seperti biasa, saya tiba awal untuk memastikan hidangan diterima seperti tempahan yang dibuat. 


Kawasan parking masih lapang

Pertemuan kali ini bersama muka-muka yang sama seperti dalam pertemuan sebelum ini. 

Mulanya saya cuak juga kerana mereka tiba agak lewat.

Apa tidaknya, makanan sudah siap sedia dihidang di atas meja namun hanya saya seorang yang menghadapnya.

Mujurlah mereka akhirnya tiba sebelum azan Maghrib berkumandang.


Seronoknya mereka

Licin

Secara peribadi, saya berpuas hati dengan servis yang diberikan oleh mereka namun saya berpendapat agak tidak sesuai untuk berbuka di sini terutama untuk hidangan makanan laut.

Ini kerana lauk telah dimasak lebih awal menyebabkan ia sudah sejuk apabila dihidangkan kepada pelanggan. 

Yang pasti, dua kali berturut-turut saya berbuka di situ :)


Mudah.my

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sering menggunakan laman mudah.my untuk mengiklankan barangan yang tidak lagi saya perlukan atau gunakan.

Alhamdulillah, setakat ini beberapa barangan yang diiklankan telah pun dibeli oleh mereka yang berminat dalam jangka masa yang singkat sahaja.

Antara barangan yang telah dijual sebelum ini adalah:

1. Rak 9 slot - rak tersebut dibeli pada harga RM99 di Giant Equine Park sewaktu mula berpindah ke teratak sendiri. Malangnya, rak tersebut tidak dapat berfungsi seperti yang diingini lalu saya ambil keputusan untuk menjualnya. Harga ditawarkan adalah RM40 tetapi oleh kerana pembeli sanggup datang sendiri ke teratak saya untuk mengambilnya, harga akhir adalah RM35 sahaja. 

2. GPS - ia dibeli pada harga RM250 dan berusia tidak sampai setahun. Saya menjualnya kerana mendapati tidak lagi memerlukannya terutama selepas menggunakan smartphone. Ia akhirnya menjadi milik seorang pembeli daripada Terengganu pada harga RM160 termasuk kos penghantaran. 

3. Meja komputer - saya tawarkan ia pada harga RM20 tetapi akhirnya menjadi RM10 sahaja apabila saya bersua sendiri dengan pembeli yang kelihatan sangat memerlukannya di samping turut membawa anak kecilnya bersama. Saya anggap pengurangan itu sebagai sedekah kepada anak kecil itu.

4. Kamera digital - kamera pertama yang saya beli pada tahun 2008 pada harga RM488 malah saya membayarnya secara ansuran kerana waktu itu saya baru mula bekerja. Saya terpaksa membelinya kerana memerlukannya untuk menjalankan tugas-tugas rasmi memandangkan kemudahan kamera digital yang disediakan oleh jabatan agak terhad. Memandangkan saya kini tidak memerlukannya lagi, saya iklankan untuk dijual dan tidak sampai beberapa jam selepas itu, ia telah dibeli oleh seorang pembeli daripada Sungai Buloh pada harga RM50 sahaja. Oleh kerana iklan tersebut masih belum dipadamkan daripada laman Mudah, saya masih menerima beberapa pertanyaan daripada mereka yang berminat. 




5. Perakam Video Mini - unit ini saya beli pada tahun lepas pada harga RM220 untuk digunakan semasa di dalam kelas. Namun begitu, saya dapati ia tidak berapa sesuai berikutan saiznya yang terlalu kecil dan jarak rakaman yang agak terhad. Tambahan pula, saya sudah mempunyai perakam video standard yang lebih efisien penggunaannya. Harga yang ditawarkan adalah RM100 dan saya baru sahaja mengiklankannya sebentar tadi. Kita lihat siapa pembeli yang akan berminat untuk membelinya. 




6. Portable DVD RW Driver - unit ini dibeli bersekali dengan netbook kira-kira 2 tahun yang lalu namun saya tidak begitu memerlukannya berikutan banyak software yang dimuatturun terus daripada laman web di samping penyimpanan data banyak disimpan di dalam thumbdrive sahaja. Justeru, ia hanya terbiar di situ sahaja sehingga kadang-kadang saya sendiri sudah terlupa kewujudannya. Malah plastik yang membalut permukaan driver juga masih belum saya buka untuk mengelakkan sebarang kesan calar. Unit ini juga baru saya iklankan sebentar tadi pada harga RM100 sahaja. 




7. Netbook Casing - gigih saya mencarinya di The Mines dengan ditemani oleh seorang sahabat, Marhani, sewaktu kami sedang mengikuti kursus di situ. Maklumlah waktu itu saya baru sahaja membeli netbook. Jadi casing ini saya beli untuk menjaga permukaan netbook agak tidak tercalar. Saya beli pada harga RM60 dan saya ingin jual pada harga RM20 sahaja. 




8. Tablet ASUS - unit ini saya terima daripada adik sebagai ganti kepada bayaran hutang yang dipinjam daripada saya sebelum ini. Secara kebetulan, saya sendiri sedang mencari tablet untuk kegunaan pengajian. Namun saya terpaksa menjualnya berikutan kurang berminat dengan Android di samping beratnya yang membebankan saya setiap kali membawanya di dalam beg. Selepas beberapa hari diiklankan, seorang lelaki warganegara UAE telah menghubungi saya dan menyatakan minat untuk membelinya. Alhamdulillah, pertemuan diatur dan urusniaga dijalankan di Stesen Komuter Serdang. Harga yang saya tawarkan adalah RM1000 tetapi selepas tawar-menawar, kami bersetuju pada harga RM950. Ia sebenarnya dibeli untuk kegunaan anak lelakinya yang turut hadir semasa urusniaga tersebut.




Alhamdulillah, sejak menggunakan kemudahan laman Mudah.my, saya belum pernah (nauzubillah) menghadapi sebarang unsur-unsur penipuan sama ada sebagai penjual mahu pun pembeli seperti yang dilaporkan dalam akhbar. 

Dari segi niat pula, saya memang tidak berhasrat untuk mengaut sebarang keuntungan daripada barang-barang yang ingin/telah dijual, sebaliknya ia lebih kepada untuk mengelakkan pembaziran. 

Daripada membiarkan sahaja barang tersebut terbiar tidak digunakan dan mungkin akhirnya akan rosak, saya berpendapat lebih baik saya menjualnya pada harga yang rendah kepada mereka yang lebih memerlukannya. 

Wallahua'lam.



Sunday, August 12, 2012

Projek KR Bermula

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini projek kuih raya (KR) bermula secara rasminya.

Agak janggal juga setelah sekian lama meninggalkan arena ini.

Jika dulu segala kelengkapan sudah dibeli oleh Ummi dan sebahagiannya saya beli tetapi ditinggalkan di kampung, kini saya perlu membelinya semula.

Serius rasa macam nak borong semua jenis alatan tapi bila difikir-fikirkan semula, saya hanya beli yang perlu sahaja.

Bahan-bahan yang dijual pun macam-macam ada sekarang.

Oh, sungguh jauh ketinggalan diriku ini.

InsyaAllah bila sudah ada kelengkapan, selepas ini akan lebih rajin nampaknya mencuba pelbagai resepi.

Friday, August 10, 2012

Iftor@Wetland Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim...

9 Ogos 2012, Kafe Teja di Pusat Rekreasi Air, Taman Wetland, Putrajaya.

Alhamdulillah, ini kali kedua kami dapat berkumpul untuk berbuka puasa bersama-sama.

Kali pertama adalah pada tahun lepas di De Lanai Cafe, Putrajaya.

Mereka merupakan teman seperjuangan yang sama-sama mengharungi suka duka dalam dunia pekerjaan.

Sebahagian (termasuk saya) sudah menukar haluan beralih ke suasana baru sementara sebahagian masih lagi bertugas di tempat yang sama iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Oleh kerana saya mempunyai lebih masa terluang berbanding mereka, tugasan untuk memilih tarikh dan tempat diserahkan sepenuhnya kepada saya.

Namun, tanpa disangka, tempat pertama yang dipilih telah penuh dan pada saat-saat akhir, hasil bantuan salah seorang daripada mereka, lokasi yang menjadi pilihan adalah Kafe Teja.

Ia terletak betul-betul di dalam kawasan Pusat Rekreasi Air Taman Wetland.

Kadar buffet yang dikenakan juga lebih rendah berbanding tempat-tempat lain di sekitar Putrajaya iaitu RM33 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

Lebih istimewa, ia tidak terlalu sesak dan tiada insiden berebut-berebut untuk mengambil makanan.

Malah kemudahan surau juga turut disediakan di situ.

Kali terakhir saya ke sini adalah bersama adik-adik sekitar 6 tahun yang lalu.

Seronok rasanya dapat berkumpul dengan teman-teman yang mengenali diri kita yang sebenar.

Ralit berbual sehingga tidak sedar waktu berlalu dan kami tinggalkan tempat tersebut sekitar jam 9 malam.

Semoga ukhuwwah ini berpanjangan sampai bila-bila.

Terima kasih Allah atas anugerah persahabatan ini.



Thursday, August 9, 2012

Kantoi

Bismillahirrahmanirrahim...




Ikan-ikan dalam kolam buatan sendiri ini sering menjadi mangsa pencerobohan haram anak-anak buah saya.

Bukan itu sahaja, kadang-kadang anak-anak jiran pun berkenan juga dengan kolam ini.

Ini kejadian terbaru semasa saya pulang ke kampung pada minggu lepas.

Adam Amin bersekongkol dengan kakak sepupunya, Afifah Aminah menceroboh kolam untuk mencari berudu.

Ingatkan nak tangkap ikan, rupanya berudu huhu.

Bertempiaran mereka lari bila nampak saya berjaya mengkantoikan perbuatan mereka sambil jerit,

"Ambil gambar apa tu haa???"

Hahaha tak kuasa MakLong nak repot pada To'Wan.

MakLong acah je. 

Bila dapat smartphone atau Ipad, baru mereka duduk diam. 

Sabar jelah.


Penangan Olimpik

Bismillahirrahmanirrahim...

Terus-terang, saya bukan peminat sukan.

Namun penangan Olimpik 2012, saya tertengok juga acara keirin yang melibatkan wakil negara, Azizulhasni Awang.

Lebih membanggakan, beliau adalah orang kampung saya iaitu Dungun, Terengganu.

Disebabkan beliau juga, buat pertama kali saya kenal apa itu acara 'keirin'.

Walaupun beliau tewas kepada lawan yang lebih hebat, saya tetap bangga kerana setidak-tidaknya beliau berada di tangga ke-6 terbaik seluruh dunia. 

Malah semangat beliau juga yang menggelarkan diri sebagai PocketRocketMan sungguh menarik.

Blog beliau boleh diikuti di sini.

Sebelum ini memang saya ada mendengar nama beliau memenangi pelbagai pertandingan sama ada dalam atau luar negara tetapi tidak begitu ambil endah.

Namun kali ini apabila mendapat tahu semangat juang yang ditunjukkan dalam bidang yang digemarinya, saya jadi kagum.

Lebih membanggakan, meskipun atlet-atlet mendapat keringanan untuk tidak berpuasa semasa mengikuti pertandingan di London, dikhabarkan beliau tetap berpuasa dan mengikuti solat tarawih. 

Begitulah bezanya atlet Muslim dan yang bukan Muslim.

Semoga beliau terus maju jaya dalam bidang yang diceburinya.

Nellang Ganu!


Anak-Anak Zaman Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim...



Kelihatan Adam Amin (berbaju merah) dan abang sepupunya, Akif Amin sedang ralit melayan permainan menggunakan smartphone PakSoo.

Alahai, anak-anak zaman sekarang.

Pantang lepa, memang smartphone mak-mak saudara dan bapa-bapa saudara akan jadi bahan mainan anak-anak saudara.

Tak diberi, mereka terjah masuk kolam, panjat tangga dan macam-macam lagi akal dibuat.

Sudahnya, diberi smartphone dan Ipad.

Barulah mereka duduk diam.

Apakan daya, ini zaman mereka yang serba canggih.

Sengaja saya muat turun aplikasi yang bersesuaian dengan umur mereka.

Setidak-tidaknya mereka dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat di samping main games.

Hairannya, mereka cukup cekap memilih ikon yang perlu ditekan sedangkan semua ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Kadang-kadang saya sendiri pun tidak berapa faham dengan cara permainan games tersebut sedangkan mereka sambil tutup mata pun boleh main.

Yang bagusnya, mereka tidak bergaduh sesama sendiri merebut smartphone dan Ipad sebaliknya sepakat berkongsi bermain bersama-sama.

Oh anak-anak buahku!




Alumni - Iftor 2012

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Julai 2012.

Alhamdulillah, kami berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa Alumni MRSM Muar di rumah salah seorang rakan iaitu Syukran yang terletak di Taman Alam Budiman, Puncak Perdana, Shah Alam.

Kami berkonvoi 3 buah kereta ke sana dan saya mengetuai rombongan.

Mujur juga saya sudah biasa dengan kawasan tersebut kerana sering berulang-alik sewaktu adik lelaki tinggal di asrama UiTM Puncak Perdana.

Meskipun jumlah yang hadir tidak ramai tetapi saya gembira kerana ada muka-muka baru yang turut menyertainya. 

Lebih terharu apabila ada rakan yang sanggup datang walaupun baru tiba bersama keluarga dari kampung di Segamat.

Untuk menambahkan keberkatan majlis, Syukran turut menjemput beberapa orang adik-adik Tahfiz untuk menyertai bacaan tahlil.



Saya diapit oleh 2 orang doktor, Dr. Zuzaila (kanan saya) dan Dr. Khairul Rafizah (kiri saya).




Untuk makanan, kami sepakat dibuat secara konsep pot luck tetapi Syukran selaku tuan rumah turut menyediakan hidangan utama.

Saya pula menyediakan ketupat sotong.

Memang gigih saya terus ke Tesco Cheras usai solat Tarawih untuk membeli sotong sebanyak 3 kilo.

Mahal sungguh harga sotong sekarang, RM16.99 sekilo.



Akhirnya, baki lauk pauk dibungkus dan dibahagi untuk dibawa pulang.



Sesi tapau menapau. 

Kelihatan saya seperti yang mengetuainya sedangkan saya langsung tidak bersalah huhu.



Kelihatan 2 orang jurutera sedang cuba mencari jalan penyelesaian ke atas masalah kebocoran bekas air.



Adik-adik Tahfiz berwajah mulus yang menambahkan keberkatan majlis.

InsyaAllah, program seterusnya adalah Rumah Terbuka Aidilfitri yang akan diadakan di rumah rakan kami, Dr. Nurashikin di Ampang.


Goyang-Goyang

Bismillahirrahmanirrahim...

Minggu lepas, saya dan adik beradik pulang ke kampung untuk meraikan Ramadhan bersama Abah Ummi.

Rancangannya, kami akan berkumpul di rumah adik di Sri Gombak sebelum bertolak pulang.

Sengaja kami rancang untuk bergerak pada jam 7 malam untuk mengelakkan kesesakan kerana pada minggu tersebut memang ramai warga kota yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung sempena cuti Nuzul Quran.

Saya bertolak dari teratak sekitar jam 5 petang.

Memang trafik agak sesak dan ia sesuatu yang sudah saya jangka kerana ia waktu puncak.

Saya menggunakan laluan MRR2 untuk ke Sri Gombak.

Melepasi Taman Maluri, trafik menjadi semakin perlahan dan ia cukup merimaskan. 

Dari kejauhan saya perasan ramai pemandu memperlahankan kenderaan untuk melihat satu objek berwarna merah yang bergoyang-goyang.

Sekejap ia timbul, sekejap lagi ia tenggelam.

Bergoyang-goyang di sebalik pokok.

Aduhai, patutlah trafik semakin perlahan.




Mulanya, saya tertanya-tanya juga apakah objek tersebut tetapi apabila semakin hampir, bentuknya semakin jelas.

Rupanya ia belon panas yang mempromosi kad SIM TuneTalk.



Akibatnya, saya mengambil masa 2 jam untuk tiba di Sri Gombak. 

Itupun selepas saya memasuki jalan pintas di AU3 Keramat dan mengambil lebuhraya DUKE menuju ke Sri Gombak.

Semua gara-gara objek merah yang bergoyang-goyang itu.


Tanda-Tanda

Bismillahirrahmanirrahim...




Alhamdulillah, masjid meriah dengan jemaah yang bertadarus sepanjang bulan Ramadhan.

Di samping bertadarus, ini juga masa untuk memperbaiki mutu bacaan dan mengenali hukum tajdwid.

Perasan tak bila kita baca Al-Quran, ada beberapa tanda yang kita temui seperti dalam gambar di atas?

Kadang-kadang saya perhatikan, ada yang main langgar je tanda-tanda tu.

Sebenarnya, setiap tanda-tanda itu ada maksudnya yang tersendiri. 

Contohnya tanda huruf mim, yang merupakan singkatan ejaan jawi bagi lazim membawa maksud kebiasaan atau amalan.

Tempat yang menjadi kebiasaan atau amalan Rasulullah berhenti apabila sampai pada perkataan tersebut.

Maka jika kita mengikutnya, sudah tentulah kita dianggap mengikuti sunnah Baginda dan sudah pasti ada ganjaran yang tersedia bagi yang mengamalkannya.

Begitu juga dengan tanda-tanda lain di dalam senarai di atas.

Ia punya maksud tersendiri dan dapat membantu kita semasa membaca Al-Quran untuk mengawal pernafasan kerana dapat mengagak tanda waqaf atau berhenti berdasarkan tanda yang tertera.

Selamat bertadarus!


Menu Wajib Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...




Bubur lambuk, pasti terdapat di mana-mana sahaja pada bulan Ramadhan.

Yang paling terkenal sudah tentulah bubur lambuk Kampung Baru tetapi minta maaflah, semua jenis bubur lambuk selain bubur lambuk Terengganu memang tidak berapa kena dengan selera saya.

Istimewanya, bubur lambuk Terengganu sarat dengan ulam-ulaman seperti pucuk pakis, cekur manis dan beberapa jenis daun lagi.

Paling penting, ia dicampur dengan kerisik (orang Terengganu panggil nyior gula) dan budu.

Kalau bubur lambuk KL, memang kosong je. 

Selalunya dicampur dengan daging dan sedikit sayuran sahaja. 

Rasanya juga agak berbeza dengan bubur lambuk Terengganu.

Kali ini, Ummi sediakan bubur lambuk (dibantu oleh kami adik beradik) pada minggu lepas.

Memang habis licin tak bersisa langsung.

Selain bubur lambuk, makanan yang wajib disediakan adalah sarok lada (ada yang panggil solok lada).

Memang penambah selera terutama waktu bersahur.

Laju je makan bila ada sarok lada.

Nak buatnya memang agak renyah sikit tapi hasilnya berbaloi-baloi.

Perkara paling leceh masa nak leraikan ikan kukus dan tumbuk hingga hancur. 

Cara senang adalah dengan guna pengisar tapi rasanya berbeza dengan yang ditumbuk dalam lesung batu. 

Tak apalah, setahun sekali merenyah dan menggigihkan diri untuk menumbuk ikan dalam lesung batu. 

Tahun depan belum tentu lagi ada peluang sebegitu.

Hidangan yang bersalut telur tu adalah bergedil ikan, hasil lebihan inti sarok lada. 

Nak simpan, sikit sangat jumlahnya.

Akhirnya, saya gentel-gentel dan celup dalam telur sebelum digoreng.

Maka terhasillah bergedil ikan.


Erti Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...




Bagi saya, Ramadhan ertinya keluarga.

Masa untuk bersama keluarga, bersahur dan berbuka bersama-sama.

Ramadhan kali ini saya sempat pulang ke kampung untuk bersama keluarga pada awal Ramadhan dan juga minggu lepas.

Oleh kerana tak muat meja, terpaksalah kami makan hidang di atas lantai sahaja.

Sama macam dulu-dulu semasa kami masih kecil.

Memang makan bersila di lantai sahaja kerana memang tak muat nak duduk serentak di meja makan. 

Yelah, meja ada 6 kerusi sedangkan kami adik-beradik saja dah 8 orang.

Itu belum dicampur Abah Ummi lagi.

Masa kecil-kecil dulu, orang yang tak puasa akan dikuarantin di ruang tamu sementara tunggu orang yang puasa berbuka.

Bila giliran orang puasa dah selesai, barulah yang tak puasa pula ambil alih.

Yang bagusnya, layanan begitu jadi motivasi kepada kami untuk puasa sebab tak nak dikuarantin dan terlepas makan hidangan yang sedap-sedap.

Sekarang bila semua dah dewasa dan ada yang dah punya keluarga sendiri, perasaan itu tetap sama setiap kali Ramadhan menjelma namun tuntutan kehidupan mengehadkan kami untuk sering bertemu.

Syukur rasanya masih diberi peluang untuk melalui Ramadhan pada tahun ini dengan status sebagai pelajar. 

Ia pengalaman yang berbeza berbanding semasa bekerja. 



Projek Kuih Raya

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya sudah lupa bila kali terakhir membuat sendiri kuih raya.

Semenjak bekerja, hanya kuih tunjuk-tunjuk yang menjadi pilihan saban tahun.

Dulu sewaktu masih di alam pengajian, minggu terakhir Ramadhan akan terisi dengan aktiviti membuat pelbagai jenis kuih raya.

Kini, setelah kembali berada di alam pengajian, keinginan itu hadir semula.

Ingin melihat hasil air tangan sendiri.

Beberapa hari ini saya gigih membuat persiapan memulakan projek kuih raya.

Perkara paling penting adalah membeli oven.

Minggu lepas saya ke Bandar Baru Bangi dan akhirnya nekad membeli oven di sebuah kedai yang mengadakan promosi pembukaan.

2,3 hari kebelakangan ini pula gigih membeli bahan-bahan di kedai pembekal bakeri.

Resepi yang ingin dibuat juga telah dipilih.

InsyaAllah pagi ini selepas Subuh, projek akan dimulakan.

Janggal tapi teruja melihat hasilnya.