Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 11, 2012

Saigon Lagi 01

Bismillahirrahmanirrahim...

1 Julai 2012 - Ya, saya ke Saigon lagi tapi kali ini kunjungan saya bersama teman-teman seramai 6 orang termasuk seorang ibu kepada salah seorang teman kami. Malah tiket ini sebenarnya telah dibeli lebih awal daripada tiket saya ke sana bersama keluarga pada penghujung Mei lepas. Tiket ini merupakan tiket promosi dan urusan pembeliannya dilakukan oleh teman-teman saya. Harga tiket keseluruhan untuk perjalanan pergi dan balik termasuk bagasi (30 kg) serta makanan adalah RM230 seorang. 

Penerbangan dijadualkan pada jam 7.40 malam dan kami berjanji untuk berkumpul di LCCT pada jam 6 petang. Di sebelah siangnya saya sempat meraikan perkahwinan seorang teman seperkhidmatan di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam. Agak cuak juga kerana majlis bermula pada jam 2.30 petang dan saya perlu memperuntukkan masa untuk perjalanan ke LCCT juga. Maklumlah, selalunya inilah masa untuk bertemu dengan teman-teman lama dan beramah mesra di samping mengimbau kisah-kisah lalu. Mujur akhirnya rakan saya yang dipanggil Tmot bermurah hati menghantarkan saya ke sana malah sempat berhenti sebentar di R&R Dengkil untuk menukar pakaian. 


Tahniah

Tmot (bertudung oren), supir yang sudi menghantar ke LCCT

Saya tiba di LCCT seperti dijanjikan dan kami terus menyelesaikan urusan bagasi. Alhamdulillah, tiada kelewatan dalam urusan penerbangan dan kami tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat lebih kurang jam 8.40 malam (waktu tempatan). Seperti pengalaman lepas, urusan imigresen lancar meskipun jumlah penumpang yang agak ramai. 

Kali ini memang tiada sebarang urusan tempahan ejen atau pakej yang diambil kerana niat kunjungan pada kali ini adalah untuk membeli-belah sahaja. Manakala urusan penginapan pula telah dibuat oleh teman saya, Khairun Naimah (saya panggil Naim) melalui e-mel. Hotel yang dipilih adalah Lien An Hotel dengan kadar USD25 semalam. Kami ambil 3 bilik untuk 6 orang. Lokasi hotel pada kali ini memang strategik kerana hanya terletak bersebelahan dengan pasar malam di tepi pasar Benh Tanh. 

Sebelum meneruskan perjalanan, saya mengambil peluang untuk menukar matawang RM kepada VND atau USD tetapi dimaklumkan oleh petugas yang kerajaan Vietnam sebenarnya dalam proses menyekat penggunaan matawang USD di negara mereka. Justeru, saya tidak dibenarkan menukarnya kepada USD sebaliknya VND sahaja. Saya akur kerana apabila dicongak, ternyata penggunaan matawang USD sebenarnya lebih merugikan kita berbanding VND dan sesetengah peniaga juga turut menerima matawang RM semasa urusniaga.

Dari lapangan terbang, kami ambil teksi Vinasun (Toyota Innova) dengan kadar VND180,000. Sebenarnya ada beberapa syarikat teksi yang beroperasi di ruang ketibaan tetapi kami dapati harga yang ditawarkan oleh syarikat Vinasun adalah paling rendah dan berpatutan untuk ke destinasi yang sama. Malah servis yang disediakan juga sangat memuaskan hati apabila seorang petugas mengiringi kami terus ke teksi dan memberi keutamaan kepada kami berbanding penumpang lain yang tidak membeli tiket terlebih dahulu di kaunter mereka. 

Penginapan kami sepanjang 3 malam di Saigon

Tiba di hotel, kami terus mendaftar masuk tanpa perlu menjelaskan bayaran terlebih dahulu. Di sini berlaku sedikit insiden apabila pihak hotel memaklumkan hanya ada 2 unit bilik Standard dan 1 unit Deluxe sahaja sedangkan kami menempah 3 unit bilik Standard. Kami enggan menerimanya kerana harga bilik Standard adalah USD25 semalam dan untuk bilik Deluxe adalah USD35 semalam. Lalu saya ajak Naim untuk bertanya atau mungkin berpindah ke hotel sebelah jika mereka menawarkan harga yang lebih murah atau setidak-tidaknya USD25 sahaja. Melihat kami bertegas untuk meninggalkan hotel mereka, akhirnya mereka bersetuju menawarkan harga bilik Deluxe pada harga yang sama dengan bilik Standard tetapi kedudukan bilik tersebut di aras 10 dan lif hanya beroperasi sehingga aras 8 sahaja. Maka saya dan Naim menerima bilik tersebut dan bilik-bilik lain di aras 2 dan 3 diberikan kepada rakan-rakan yang lain kerana mengambilkira kemudahan untuk ibu kepada teman kami tersebut.

Aduhai, mengah juga kami menapak naik ke atas tetapi tidak mengapa kerana kami dijanjikan bilik lain  pada keesokan harinya. Usai berehat dan solat, kami terus bersiap untuk menjengah pasar malam. Saya hairan apabila melihat suasananya tidak semeriah seperti kunjungan saya pada cuti sekolah baru-baru ini. Malah jumlah pengunjung Malaysia juga dapat dilihat turut berkurangan. Puas meronda, saya akhirnya membeli 2 helai t-shirt pada harga yang jauh lebih murah daripada kunjungan terdahulu. Barulah saya faham rupa-rupanya peniaga sengaja menaikkan harga pada musim cuti sekolah kerana mereka tahu jumlah pengunjung daripada Malaysia akan bertambah pada waktu tersebut. Orang Malaysia memang penjana ekonomi yang bagus di mana-mana sahaja termasuk di sini huhu.


Harganya jauh lebih murah berbanding pada musim cuti sekolah

Gerai makan yang begitu meriah

Gerai makan ini umpamanya tidak ada di sini semasa kunjungan saya yang lepas sebaliknya hanya dipenuhi oleh peniaga kain dan pakaian termasuk telekung sahaja. Mungkin mereka tahu yang orang Malaysia tidak akan mengunjungi gerai mereka kerana tidak diketahui status kehalalannya. Saya lihat gerai tersebut hanya dipenuhi oleh orang-orang mereka sendiri termasuk orang-orang Barat yang menikmati ikan Elephant Ear dan meminum minuman keras. 

Sekitar jam 11 malam, kami kembali ke hotel untuk berehat sebelum memulakan misi pada esok hari. 



No comments: