Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 18, 2012

Mati Hidup Semula



18 Julai 2012, Dunkin' Donuts Mutiara Damansara.

Sebiji donut berinti bavarian, secawan kopi Caramel Cappucino = RM11.25.

Hati saya kosong, sekosong2nya.

Donut bavarian perisa kegemaran saya hanya dipandang sepi.

Saya hanya ingin menghirup udara segar ini sedalam-dalamnya.

Seolah-olah esok tiada lagi buat saya.

Kejadian malam tadi memang meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat saya.

Jika malam tadi saya dipanggil pulang mengadapNya, pasti hari ini saya tidak lagi berada di sini.

Walaupun sukar, saya harus mengakui dan menerima kenyataan bahawa apa yang berlaku berpunca daripada kesilapan sendiri.

Tidak mungkin saya boleh menyalahkan orang lain.

Badan masih terasa sakit-sakit kesan hentakan akibat kereta yang berpusing 360 darjah selepas menghentam pembahagi jalan sebanyak 2 kali.

Akhirnya kereta saya berhenti betul-betul di laluan kanan pada arah berlawanan.

Sebuah kereta yang berada di belakang saya sempat memperlahan dan memberhentikan kenderaan pada jarak tidak sampai sedepa daripada muncung kereta saya.

Perkara yang bermain di kepala saya waktu itu hanya rasa kesal kerana akan terlepas peluang meraih ganjaran daripada Ramadhan yang bakal menjelma jika saya maut namun syukur kerana tiada orang lain yang menaiki kereta saya waktu itu.

Ketika itu saya baru sahaja menghantar ummi pulang ke rumah adik di Sri Gombak selepas menikmati malam bersama adik perempuan, MakTeh di Kuang.

Segala-galanya berlaku begitu pantas malah wujud satu gerak rasa saat saya ingin melalui selekoh itu iaitu saya akan terbabas tetapi ia sudah di luar kawalan saya apabila kereta meluncur menghentam pembahagi jalan di sebelah kiri yang menyebabkan kereta saya berada dalam kedudukan melawan arus.

Saya sangka kereta sudah berhenti tetapi ia terus bergerak sambil berpusing dan menghentam pembahagi jalan di sebelah kanan pula dalam keadaan kereta saya masih melawan arus.

Ketika itu pergantungan saya keseluruhannya hanya pada Allah semata.

Saat kereta berpusing, mulut saya tidak putus-putus berselawat agar tidak panik.

Kereta akhirnya berhenti dan enjin mati secara automatik.

Ketika itu juga, datang beberapa orang pemuda yang memegang walkie talkie berlari-lari menghampiri saya yang masih berada di dalam kereta.

Mujur keadaan itu sudah saya jangka kesan pengalaman sendiri, ahli keluarga dan teman-teman sebelum ini.

Lantas saya abaikan kehadiran mereka yang mengetuk-ngetuk cermin kereta saya dengan segera menghidupkan enjin kereta dan beredar ke sebelah kiri laluan.

Saya capai telefon bimbit dan beg sebelum keluar daripada kereta (bimbang akan dicuri tanpa disedari) untuk melihat kesan pelanggaran sambil mereka terus mengerumuni saya dan berhubung melalui walkie talkie masing-masing.

Syukur hanya bahagian bumper belakang yang robek kesan hentakan pada pembahagi jalan sementara bahagian depan masih elok.

Paling penting enjin masih dapat berfungsi dengan baik dan tidak nampak sebarang kesan kebocoran daripadanya.

Tanpa banyak soal, saya meneruskan perjalanan meninggalkan mereka yang tidak putus-putus menasihati saya agar menunggu tow truck datang.

Fikiran saya kosong, sekosong-kosongnya dan berharap bahawa apa yang berlaku sebentar tadi hanya sebuah mimpi sahaja.

Hakikatnya ia satu realiti yang telah menimpa saya sekitar jam 11 malam di selekoh Klang Gate.

Saya hubungi MakTeh, yang juga baru sahaja saya hantar pulang ke rumahnya di Sri Damansara sambil memandu ke arah Balai Polis AU2. Itu balai terdekat yang saya ketahui pada saat itu.

Tiba di sana, saya menemui pegawai bertugas dan dimaklumkan perlu ke Cawangan Trafik terdekat di Ampang Jaya untuk membuat repot.

Untung tiada pengadu lain dan ia melancarkan urusan saya kerana tidak perlu menunggu terlalu lama.

Urusan selesai sekitar jam 1 pagi dan MakTeh juga sudah tiba bersama temannya, MakNik.

Pada mulanya, saya bercadang untuk meminta pihak insurans menghantar tow truck untuk membawa kereta saya ke bengkel kerana MakTeh mengatakan tayar belakang nampak goyah.

Akhirnya, kami putuskan untuk memandu pulang perlahan-lahan kerana tidak sanggup menunggu ketibaan tow truck yang mengambil masa 1 jam untuk tiba sedangkan waktu sudah melebihi 1 pagi.

Dengan kelajuan sekitar 40 km/j dan MakTeh mengiringi saya dari belakang, kami tiba di teratak saya sekitar jam 2 pagi.

Mata sukar dilelapkan kerana seolah-olah tidak percaya masih diberi peluang menghirup udaraNya sambil memikirkan perkara-perkara yang perlu diuruskan pada pagi ini.

Destinasi pertama pada pagi ini adalah IPD Trafik Ampang Jaya untuk mengambil salinan repot dan gambar kereta yang diambil oleh polis malam tadi.

Caj untuk repot dan 4 keping gambar adalah RM16.

Ia perlu saya bawa ke bengkel bersama kereta untuk tujuan tuntutan insurans kelak.

Saya masih memikirkan sama ada untuk menghantar kereta ke bengkel Suzuki atau bengkel biasa sahaja kerana usia kereta yang sudah melebihi 5 tahun memungkinkan saya untuk dikenakan bayaran tambahan jika ingin alat gantian baru digunakan semasa pembaikian.

Ia ilmu baru buat saya kerana tidak pernah membaca kandungan polisi dengan teliti sebelum ini.

Tiada caj tambahan dikenakan jika alat gantian terpakai digunakan semasa pembaikian.

Yang pasti, NCD insurans akan kembali menjadi 0 sedangkan ia sudah mencecah 45%.

Aduhai nasib.

Yang pasti juga, ia kaffarah buat saya, satu teguran langsung daripadaNya atas kedegilan dan kelalaian selama ini.

Saya akui saya bukan pemandu yang boleh dikategorikan sebagai pemandu berhemah 100% tetapi kejadian malam tadi berlaku sewaktu saya memandu pada kelajuan sederhana namun segalanya sudah tersurat.

Keadaan mungkin menjadi lebih teruk jika saya memandu dengan laju, wallahua'lam.

Setinggi-tinggi syukur kerana nyawa masih di badan dan tiada insan-insan tersayang yang terlibat.

Jika tidak, saya pasti tidak akan dapat memaafkan diri sendiri kerana membahayakan nyawa mereka.

Saat ini saya merasakan seperti mati hidup semula. Allahu Akbar wa Alhamdulillah!

5 comments:

Anonymous said...

nampak sgt kat situ geng2 tow truck tabur minyak.. diorg aim selekoh.. sebab lps jer eksiden terus diorg ada.. memang dirancang... menacari rezeki atas kecelakaan org lain... sigh...

MamaYatie said...

Allahuakbar! Ya Allah cik care...Alhamdulillah takde apa2 jadi...syukur masih dipanjangkan umur..

Carrie-Ma said...

Memang curiga juga melihat kemunculan mereka yg begitu pantas sedangkan kejadian baru beberapa saat berlalu

Carrie-Ma said...

Mama yatie,

Syukur yg xterkata kerana masih diberi peluang utk hidup

Ila Ramliey said...

syukur ko tak pape beb. Hisshh, takutnya aku.

tp, ini mmg mamat2 walkie talkie punya keje ni... kalo tak, takkan tiba2 dtg beramai2...

teringat Man eksiden dulu, kejadian yg hampir sama....

apapun, syukur ko selamat..!