Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, July 31, 2012

Kuda Tunggangan

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat ini saya berada di kedai tayar, menunggu kereta MyVi milik adik ipar diselenggara.

Saya hantar untuk tayar dibuat alignment, balancing dan switch depan ke belakang kerana bunganya sudah kelihatan sedikit botak.

Ya, ia kuda tunggangan saya sepanjang ketiadaan Suzuki selama 8 hari.

Saya akui sedikit cerewet dalam soal penyelenggaraan kereta.

Seboleh mungkin saya akan pastikan jadual selenggaraan diikuti dan komponen yang sudah tamat tempoh diganti dengan yang baru.

Justeru, bila memandu kereta milik adik ipar yang sedang berpantang ini, hati saya tidak berapa selesa apabila mendengar bunyi-bunyi yang kedengaran semasa memandunya.

Alhamdulillah, Suzuki sudah siap dibaiki dan tiada kerosakan yang serius.

Tiba masanya untuk saya pulangkan kereta yang dipinjam kepada pemiliknya.

Sebelum itu, saya hantar ia untuk diselenggara terutama tayar.

Terima kasih adik ipar.

Agak susah juga jika tiada kuda tunggangan itu semasa Suzuki masih dibaiki terutama untuk menunaikan solat Tarawih di masjid.

Berbuka di KLIA

Bismillahirrahmanirrahim...




28 Julai 2012 - Dari awal lagi saya sudah memasang hasrat untuk menemui Tmot sebelum dia dan keluarga berlepas untuk menunaikan umrah. Malah saya akan cuba sedaya mungkin untuk melakukannya bersama rakan-rakan lain yang bakal menjadi tetamu Allah. Saya lakukannya kerana begitu gembira mereka bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci di samping satu cara untuk menzahirkan kerinduan saya sendiri untuk mengunjunginya lagi.

Saya tiba di KLIA sekitar jam 7 malam dan awal-awal lagi saya sudah membawa bekal kurma dan air coklat kerana kurang pasti tentang lokasi berbuka di sana. Takdirnya, saya tiba lebih awal daripada Tmot dan keluarga kerana mereka berhadapan sedikit masalah sewaktu hendak memulakan perjalanan menyebabkan mereka sedikit terlewat daripada perancangan.

Saya putuskan untuk berbuka di surau dalam KLIA sahaja dan terus menunaikan solat Maghrib di situ. Alhamdulillah, saya temui Tmot dan keluarga selepas itu dan sempat mengiringi mereka sebelum memasuki balai berlepas. Ia momen yang syahdu bagi saya kerana kerinduan itu begitu menggamit hati ini.

Hanya salam yang mampu saya kirimkan melalui Tmot untuk  disampaikan kepada Rasulullah. Semoga saya akan berpeluang ke sana lagi.

Dari KLIA, saya bergegas ke masjid berdekatan iaitu Masjid KLIA untuk menunaikan solat Isyak dan seterusnya solat Tarawih.

Semoga Tmot dan keluarga akan mendapat umrah mabrurah.


Meriahnya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Sungguh pantas masa berlalu. Hari ini sudah memasuki fasa kedua Ramadhan iaitu 11 Ramadhan. Syukur kerana Allah masih memberi peluang kepada saya untuk menikmati Ramadhan pada tahun ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya gemar untuk berbuka puasa di Masjid Putra, Putrajaya. Malahan saya dapat melihat pertambahan jemaah yang berbuka di situ dari tahun ke tahun, tidak kira sama ada datang bersendirian ataupun bersama ahli keluarga.

Saya lebih selesa berbuka di situ berbanding tempat-tempat lain kerana sistemnya yang memudahkan jemaah menunaikan solat. Sebaik azan dilaungkan, jemaah dihidangkan dengan kurma dan kuih serta air minuman sebelum berhenti untuk solat Maghrib berjemaah. Usai solat, jemaah dihidangkan pula dengan makanan berat. Lebih menarik apabila jemaah perlu beratur untuk mengambil makanan. Terimbau memori sewaktu berbuka di asrama dulu.

Saya pernah mencuba untuk berbuka di masjid lain tetapi sistemnya yang terus menghidangkan makanan berat membuatkan jemaah tergesa-gesa menghabiskan makanan untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah membuatkan saya kurang selesa.

Akhirnya, saya kembali ke Masjid Putra jua.






Memang meriah masjid ini setiap kali Ramadhan menjelma. Mungkin mereka yang hadir juga berpendapat sama seperti saya. Meskipun menunaikan solat tarawih sehingga 20 rakaat, jumlah jemaah masih kekal ramai. Mungkin kerana suasananya yang nyaman kesan pemasangan penghawa dingin di seluruh kawasan dalam masjid.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, masjid ini akan membuka ruang kepada jemaah untuk beriktikaf pada 10 malam terakhir. Jika pada tahun lepas saya hanya berpeluang untuk melakukannya selama 1 malam sahaja, tahun ini saya berazam untuk melakukannya dari awal lagi.

Sungguh seronok melihat jemaah berkeluarga juga turut hadir bersama anak-anak mereka untuk beriktikaf di masjid. Terasa malu pula jika saya yang tidak terikat dengan apa-apa perkara yang menghalang masih gagal untuk merebut peluang itu.

Doa saya, semoga Ramadhan pada tahun ini akan menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya dan jika ini adalah Ramadhan yang terakhir, semoga ia adalah  yang terbaik dan diterimaNya jua.





Ahli Seumur Hidup

Bismillahirrahmanirrahim...




Alhamdulillah, petang tadi saya terima resit pembayaran sebagai ahli seumur hidup ANSARA.

Bayaran telah saya jelaskan semasa program ANSARA bersama Tun Mahathir yang berlangsung pada 8 Julai 2012 di PWTC.

Kini, menunggu ketibaan kad keahlian pula untuk melengkapkan proses pendaftaran keahlian.



Sunday, July 29, 2012

Tiba-Tiba Saya Teringatkan Dia

Bismillahirrahmanirrahim...

1.13 pagi - Entah mengapa tiba-tiba saya teringatkan arwah Asyraaf.

Puas saya cuba pejamkan mata tapi perasaan itu benar-benar mengganggu saya.

Tanpa sedar, air mata saya mengalir deras tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

Saya rindukan dia.

Rindu mendengar dia memanggil saya MakLong.

Saya perasan, sebelum itu arwah memanggil saya Along atau sebutan yang seakan-akan menyerupai MakLong tetapi belum begitu sempurna.

Momen-momen akhir saya bertemu arwah, dia sudah boleh memanggil saya MakLong dengan sempurna.

Masih jelas di ingatan saya saat arwah mula dapat memanggil saya MakLong dengan sempurna.

Saat itu saya baru tiba di kampung dengan menaiki bas untuk memenuhi janji mengecat rumah sewa Abah.

Arwah mendekati saya yang ralit mengecat dan memanggil saya,

"MakLong! MakLong! MakLong!"

Berkali-kali arwah memanggil saya tetapi saya tidak menyahut panggilannya kerana begitu gembira dan bangga mendengar arwah memanggil nama saya dengan sempurna.

Saya ingin mendengar arwah menyebutnya berkali-kali.

Kecewa kerana saya tidak menyahut panggilannya, arwah kembali bermain pasir dan akhirnya dihantar pulang ke rumah oleh abang saya kerana waktu Maghrib sudah semakin hampir.

Tiba-tiba saya merasa sangat rindu pada arwah.

Rindu mendengar arwah memanggil nama saya lagi walaupun saya tahu ia satu perkara yang mustahil.

Saya memang mudah tewas apabila berdepan dengan anak-anak saudara.

Meskipun kerenah mereka kekadang boleh membangkitkan kemarahan dan kerisauan, kehadiran mereka amat bermakna dalam hidup saya.

Muhammad Asyraaf Amin, saat ini rindu itu hadir dihati MakLong tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

Damailah dikau di sana sayang.

Yang pasti, syurga adalah tempatmu sedang MakLong masih berjuang menempuh kehidupan ini.

Semoga kita dapat bersua di syurga firdausi kelak.



Saturday, July 28, 2012

Menjejak Penghujung Benua Asia

Bismillahirrahmanirrahim...




7 Julai 2012 - Saya dan adik, MakTeh, membawa Abah Ummi ke Penghujung Benua Asia iaitu Tanjung Piai. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini adalah pada tahun lepas. Sejak itu saya berhajat untuk membawa Abah Ummi menjejakkan kaki ke sini juga. Alhamdulillah, selepas menempuh perjalanan selama 6 jam, kami berjaya tiba ke situ. Puas rasanya hati kerana dapat memenuhi hajat saya itu. Malam itu kami bermalam di rumah abang kedua, BaAn, yang terletak di Ulu Tiram.


8 Julai 2012 - Kami sepatutnya bertolak pulang ke KL pada jam 10 pagi berikutan ada majlis yang perlu dihadiri pada jam 4 petang di PWTC. Namun atas permintaan Abah yang ingin menziarahi besannya yang tinggal di Petri Jaya, Kota Tinggi, perjalanan terpaksa ditunda kepada jam 12 tengahari. Cuak juga mengenangkan sempat atau tidak untuk menghadiri program tersebut. Apapun, saya puas kerana dapat memenuhi hajat saya dan juga hajat Abah.

Friday, July 27, 2012

Berbuka di Ana Ikan Bakar Petai Bangi

Bismillahirrahmanirrahim...

Siaran tertunda - Kisah ini sebenarnya berlaku di bulan Syaaban.

Waktu itu saya berpuasa sunat dan secara kebetulan, beberapa orang sahabat yang lain turut berbuat demikian.

Memandangkan sudah agak lama juga kami tidak berkumpul bersama, saya usulkan untuk kami berbuka bersama-sama.

Alhamdulillah, kata sepakat dicapai iaitu bertemu di Masjid Hasanah, Bangi untuk berbuka ala kadar dan menunaikan solat Maghrib di situ sebelum ke restoran untuk makan berat.

Gara-gara promosi seorang sahabat, Ila Ramliey, di blognya tentang restoran Ana Ikan Bakar Petai, saya bawa mereka ke situ.

Ternyata tempat itu memang tidak mengecewakan.

Ruang makan yang luas dan terbuka, pilihan makanan laut yang segar, servis yang pantas, hidangan yang menyelerakan, harga yang berpatutan dan kemudahan surau yang selesa turut disediakan.

Saya bagi skala 9.5/10 untuk tempat ini.

Cukup mudah untuk cari tempat ini yang merupakan cawangan daripada Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

Hanya cari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi atau berdekatan dengan bulatan menuju ke Tol Bangi.

Tempat dan servis yang baik pasti akan mengundang ramai pelanggan.

Kunjungan kami dipermudahkanNya apabila dengan cepat mendapat ruang parkir kereta dan meja apabila ada pelanggan yang kebetulan sudah selesai urusan mereka.

Seronok rasanya dapat bertemu sahabat-sahabat lama, berkongsi cerita dan bertanya khabar.

Mereka ini sahabat saya sejak berada di Matrikulasi UIA di Lembah Pantai lagi hingga tamat pengajian di UIA Gombak.

Malah saya juga pernah tinggal menyewa dengan mereka selama beberapa tahun sebelum berpindah ke teratak sendiri.

Kami beransur meninggalkan tempat itu sekitar jam 9.30 malam kerana salah seorang sahabat ada urusan yang perlu diselesaikan.

Yang pasti, tempat itu pasti akan saya kunjungi lagi.

Bulan Housekeeping

Bismillahirrahmanirrahim...

Sedar tak sedar hari ini sudah masuk hari ketujuh kita berada di bulan Ramadhan.

Alhamdulillah, 1 Ramadhan tahun ini saya sambut bersama Abah Ummi dan keluarga di kampung halaman tercinta.

Jika waktu bekerja dulu, bos saya selalu cakap, bulan Ramadhan adalah bulan housekeeping kerana tugasan luar akan berkurangan malah mungkin tiada langsung.

Pada bulan ini, segala tugasan dalaman yang belum lengkap akan cuba disempurnakan bersama-sama.

Kini, bergelar seorang pelajar, saya sedang berada dalam cuti semester sehingga awal bulan September.

Memang sangat terasa perbezaan suasananya.

Bebas mengatur masa sendiri tanpa perlu berkejar-kejaran ke tempat kerja dan kemudian menempuh lautan kesesakan sewaktu pulang.

Pun begitu, hajatnya saya ingin memulakan tugasan mencari rujukan untuk dissertation sebelum semester baru bermula.

Sehingga hari ini, hajat masih tinggal hajat sahaja. Aduhai.

Di samping itu, banyak sungguh siaran tertunda dalam blog saya ini.

Hajatnya juga ingin melengkapkan apa yang tertunda dalam bulan ini juga.

Kadang-kadang bila dah kemaskini di Facebook, 'terlupa' (atau malas?) nak dikemaskini pada blog juga.

Sungguh ralat rasanya membiarkan blog terbiar tanpa dikemaskini, setidak-tidaknya untuk rujukan sendiri pada masa hadapan.

Bukan itu sahaja, ada beberapa perkara lagi yang telah disenaraikan dan ingin dilunaskan dalam bulan ini juga.

Moga hasrat tidak tinggal sebagai hasrat lagi.

Bertindak!

Thursday, July 19, 2012

Koya

Bismillahirrahmanirrahim...

Kuih koya ini saya temui di kilang Azhar, pembekal pelbagai jenis kerepek termasuk kuih raya di pekan Rengit, Johor.

Kalau di negeri saya (negeri cantik budaya menarik, Ganu Kita), koya bermaksud khayal atau lebih tepat syok sendiri.

Contohnya, jika ada kawan yang syok sendiri atau khayal sehingga menimbulkan situasi yang menarik perhatian, kami akan kata,

"Koya la mung ni."

Jadi bila nampak nama kuih ini, saya rasa lucu.

Adakah kuih ini khusus untuk mereka yang selalu koya?

Atau sesiapa yang makan kuih ini akan jadi seorang yang koya?

Haha.

Wednesday, July 18, 2012

Mati Hidup Semula



18 Julai 2012, Dunkin' Donuts Mutiara Damansara.

Sebiji donut berinti bavarian, secawan kopi Caramel Cappucino = RM11.25.

Hati saya kosong, sekosong2nya.

Donut bavarian perisa kegemaran saya hanya dipandang sepi.

Saya hanya ingin menghirup udara segar ini sedalam-dalamnya.

Seolah-olah esok tiada lagi buat saya.

Kejadian malam tadi memang meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat saya.

Jika malam tadi saya dipanggil pulang mengadapNya, pasti hari ini saya tidak lagi berada di sini.

Walaupun sukar, saya harus mengakui dan menerima kenyataan bahawa apa yang berlaku berpunca daripada kesilapan sendiri.

Tidak mungkin saya boleh menyalahkan orang lain.

Badan masih terasa sakit-sakit kesan hentakan akibat kereta yang berpusing 360 darjah selepas menghentam pembahagi jalan sebanyak 2 kali.

Akhirnya kereta saya berhenti betul-betul di laluan kanan pada arah berlawanan.

Sebuah kereta yang berada di belakang saya sempat memperlahan dan memberhentikan kenderaan pada jarak tidak sampai sedepa daripada muncung kereta saya.

Perkara yang bermain di kepala saya waktu itu hanya rasa kesal kerana akan terlepas peluang meraih ganjaran daripada Ramadhan yang bakal menjelma jika saya maut namun syukur kerana tiada orang lain yang menaiki kereta saya waktu itu.

Ketika itu saya baru sahaja menghantar ummi pulang ke rumah adik di Sri Gombak selepas menikmati malam bersama adik perempuan, MakTeh di Kuang.

Segala-galanya berlaku begitu pantas malah wujud satu gerak rasa saat saya ingin melalui selekoh itu iaitu saya akan terbabas tetapi ia sudah di luar kawalan saya apabila kereta meluncur menghentam pembahagi jalan di sebelah kiri yang menyebabkan kereta saya berada dalam kedudukan melawan arus.

Saya sangka kereta sudah berhenti tetapi ia terus bergerak sambil berpusing dan menghentam pembahagi jalan di sebelah kanan pula dalam keadaan kereta saya masih melawan arus.

Ketika itu pergantungan saya keseluruhannya hanya pada Allah semata.

Saat kereta berpusing, mulut saya tidak putus-putus berselawat agar tidak panik.

Kereta akhirnya berhenti dan enjin mati secara automatik.

Ketika itu juga, datang beberapa orang pemuda yang memegang walkie talkie berlari-lari menghampiri saya yang masih berada di dalam kereta.

Mujur keadaan itu sudah saya jangka kesan pengalaman sendiri, ahli keluarga dan teman-teman sebelum ini.

Lantas saya abaikan kehadiran mereka yang mengetuk-ngetuk cermin kereta saya dengan segera menghidupkan enjin kereta dan beredar ke sebelah kiri laluan.

Saya capai telefon bimbit dan beg sebelum keluar daripada kereta (bimbang akan dicuri tanpa disedari) untuk melihat kesan pelanggaran sambil mereka terus mengerumuni saya dan berhubung melalui walkie talkie masing-masing.

Syukur hanya bahagian bumper belakang yang robek kesan hentakan pada pembahagi jalan sementara bahagian depan masih elok.

Paling penting enjin masih dapat berfungsi dengan baik dan tidak nampak sebarang kesan kebocoran daripadanya.

Tanpa banyak soal, saya meneruskan perjalanan meninggalkan mereka yang tidak putus-putus menasihati saya agar menunggu tow truck datang.

Fikiran saya kosong, sekosong-kosongnya dan berharap bahawa apa yang berlaku sebentar tadi hanya sebuah mimpi sahaja.

Hakikatnya ia satu realiti yang telah menimpa saya sekitar jam 11 malam di selekoh Klang Gate.

Saya hubungi MakTeh, yang juga baru sahaja saya hantar pulang ke rumahnya di Sri Damansara sambil memandu ke arah Balai Polis AU2. Itu balai terdekat yang saya ketahui pada saat itu.

Tiba di sana, saya menemui pegawai bertugas dan dimaklumkan perlu ke Cawangan Trafik terdekat di Ampang Jaya untuk membuat repot.

Untung tiada pengadu lain dan ia melancarkan urusan saya kerana tidak perlu menunggu terlalu lama.

Urusan selesai sekitar jam 1 pagi dan MakTeh juga sudah tiba bersama temannya, MakNik.

Pada mulanya, saya bercadang untuk meminta pihak insurans menghantar tow truck untuk membawa kereta saya ke bengkel kerana MakTeh mengatakan tayar belakang nampak goyah.

Akhirnya, kami putuskan untuk memandu pulang perlahan-lahan kerana tidak sanggup menunggu ketibaan tow truck yang mengambil masa 1 jam untuk tiba sedangkan waktu sudah melebihi 1 pagi.

Dengan kelajuan sekitar 40 km/j dan MakTeh mengiringi saya dari belakang, kami tiba di teratak saya sekitar jam 2 pagi.

Mata sukar dilelapkan kerana seolah-olah tidak percaya masih diberi peluang menghirup udaraNya sambil memikirkan perkara-perkara yang perlu diuruskan pada pagi ini.

Destinasi pertama pada pagi ini adalah IPD Trafik Ampang Jaya untuk mengambil salinan repot dan gambar kereta yang diambil oleh polis malam tadi.

Caj untuk repot dan 4 keping gambar adalah RM16.

Ia perlu saya bawa ke bengkel bersama kereta untuk tujuan tuntutan insurans kelak.

Saya masih memikirkan sama ada untuk menghantar kereta ke bengkel Suzuki atau bengkel biasa sahaja kerana usia kereta yang sudah melebihi 5 tahun memungkinkan saya untuk dikenakan bayaran tambahan jika ingin alat gantian baru digunakan semasa pembaikian.

Ia ilmu baru buat saya kerana tidak pernah membaca kandungan polisi dengan teliti sebelum ini.

Tiada caj tambahan dikenakan jika alat gantian terpakai digunakan semasa pembaikian.

Yang pasti, NCD insurans akan kembali menjadi 0 sedangkan ia sudah mencecah 45%.

Aduhai nasib.

Yang pasti juga, ia kaffarah buat saya, satu teguran langsung daripadaNya atas kedegilan dan kelalaian selama ini.

Saya akui saya bukan pemandu yang boleh dikategorikan sebagai pemandu berhemah 100% tetapi kejadian malam tadi berlaku sewaktu saya memandu pada kelajuan sederhana namun segalanya sudah tersurat.

Keadaan mungkin menjadi lebih teruk jika saya memandu dengan laju, wallahua'lam.

Setinggi-tinggi syukur kerana nyawa masih di badan dan tiada insan-insan tersayang yang terlibat.

Jika tidak, saya pasti tidak akan dapat memaafkan diri sendiri kerana membahayakan nyawa mereka.

Saat ini saya merasakan seperti mati hidup semula. Allahu Akbar wa Alhamdulillah!

Wednesday, July 11, 2012

Saigon Lagi 01

Bismillahirrahmanirrahim...

1 Julai 2012 - Ya, saya ke Saigon lagi tapi kali ini kunjungan saya bersama teman-teman seramai 6 orang termasuk seorang ibu kepada salah seorang teman kami. Malah tiket ini sebenarnya telah dibeli lebih awal daripada tiket saya ke sana bersama keluarga pada penghujung Mei lepas. Tiket ini merupakan tiket promosi dan urusan pembeliannya dilakukan oleh teman-teman saya. Harga tiket keseluruhan untuk perjalanan pergi dan balik termasuk bagasi (30 kg) serta makanan adalah RM230 seorang. 

Penerbangan dijadualkan pada jam 7.40 malam dan kami berjanji untuk berkumpul di LCCT pada jam 6 petang. Di sebelah siangnya saya sempat meraikan perkahwinan seorang teman seperkhidmatan di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam. Agak cuak juga kerana majlis bermula pada jam 2.30 petang dan saya perlu memperuntukkan masa untuk perjalanan ke LCCT juga. Maklumlah, selalunya inilah masa untuk bertemu dengan teman-teman lama dan beramah mesra di samping mengimbau kisah-kisah lalu. Mujur akhirnya rakan saya yang dipanggil Tmot bermurah hati menghantarkan saya ke sana malah sempat berhenti sebentar di R&R Dengkil untuk menukar pakaian. 


Tahniah

Tmot (bertudung oren), supir yang sudi menghantar ke LCCT

Saya tiba di LCCT seperti dijanjikan dan kami terus menyelesaikan urusan bagasi. Alhamdulillah, tiada kelewatan dalam urusan penerbangan dan kami tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat lebih kurang jam 8.40 malam (waktu tempatan). Seperti pengalaman lepas, urusan imigresen lancar meskipun jumlah penumpang yang agak ramai. 

Kali ini memang tiada sebarang urusan tempahan ejen atau pakej yang diambil kerana niat kunjungan pada kali ini adalah untuk membeli-belah sahaja. Manakala urusan penginapan pula telah dibuat oleh teman saya, Khairun Naimah (saya panggil Naim) melalui e-mel. Hotel yang dipilih adalah Lien An Hotel dengan kadar USD25 semalam. Kami ambil 3 bilik untuk 6 orang. Lokasi hotel pada kali ini memang strategik kerana hanya terletak bersebelahan dengan pasar malam di tepi pasar Benh Tanh. 

Sebelum meneruskan perjalanan, saya mengambil peluang untuk menukar matawang RM kepada VND atau USD tetapi dimaklumkan oleh petugas yang kerajaan Vietnam sebenarnya dalam proses menyekat penggunaan matawang USD di negara mereka. Justeru, saya tidak dibenarkan menukarnya kepada USD sebaliknya VND sahaja. Saya akur kerana apabila dicongak, ternyata penggunaan matawang USD sebenarnya lebih merugikan kita berbanding VND dan sesetengah peniaga juga turut menerima matawang RM semasa urusniaga.

Dari lapangan terbang, kami ambil teksi Vinasun (Toyota Innova) dengan kadar VND180,000. Sebenarnya ada beberapa syarikat teksi yang beroperasi di ruang ketibaan tetapi kami dapati harga yang ditawarkan oleh syarikat Vinasun adalah paling rendah dan berpatutan untuk ke destinasi yang sama. Malah servis yang disediakan juga sangat memuaskan hati apabila seorang petugas mengiringi kami terus ke teksi dan memberi keutamaan kepada kami berbanding penumpang lain yang tidak membeli tiket terlebih dahulu di kaunter mereka. 

Penginapan kami sepanjang 3 malam di Saigon

Tiba di hotel, kami terus mendaftar masuk tanpa perlu menjelaskan bayaran terlebih dahulu. Di sini berlaku sedikit insiden apabila pihak hotel memaklumkan hanya ada 2 unit bilik Standard dan 1 unit Deluxe sahaja sedangkan kami menempah 3 unit bilik Standard. Kami enggan menerimanya kerana harga bilik Standard adalah USD25 semalam dan untuk bilik Deluxe adalah USD35 semalam. Lalu saya ajak Naim untuk bertanya atau mungkin berpindah ke hotel sebelah jika mereka menawarkan harga yang lebih murah atau setidak-tidaknya USD25 sahaja. Melihat kami bertegas untuk meninggalkan hotel mereka, akhirnya mereka bersetuju menawarkan harga bilik Deluxe pada harga yang sama dengan bilik Standard tetapi kedudukan bilik tersebut di aras 10 dan lif hanya beroperasi sehingga aras 8 sahaja. Maka saya dan Naim menerima bilik tersebut dan bilik-bilik lain di aras 2 dan 3 diberikan kepada rakan-rakan yang lain kerana mengambilkira kemudahan untuk ibu kepada teman kami tersebut.

Aduhai, mengah juga kami menapak naik ke atas tetapi tidak mengapa kerana kami dijanjikan bilik lain  pada keesokan harinya. Usai berehat dan solat, kami terus bersiap untuk menjengah pasar malam. Saya hairan apabila melihat suasananya tidak semeriah seperti kunjungan saya pada cuti sekolah baru-baru ini. Malah jumlah pengunjung Malaysia juga dapat dilihat turut berkurangan. Puas meronda, saya akhirnya membeli 2 helai t-shirt pada harga yang jauh lebih murah daripada kunjungan terdahulu. Barulah saya faham rupa-rupanya peniaga sengaja menaikkan harga pada musim cuti sekolah kerana mereka tahu jumlah pengunjung daripada Malaysia akan bertambah pada waktu tersebut. Orang Malaysia memang penjana ekonomi yang bagus di mana-mana sahaja termasuk di sini huhu.


Harganya jauh lebih murah berbanding pada musim cuti sekolah

Gerai makan yang begitu meriah

Gerai makan ini umpamanya tidak ada di sini semasa kunjungan saya yang lepas sebaliknya hanya dipenuhi oleh peniaga kain dan pakaian termasuk telekung sahaja. Mungkin mereka tahu yang orang Malaysia tidak akan mengunjungi gerai mereka kerana tidak diketahui status kehalalannya. Saya lihat gerai tersebut hanya dipenuhi oleh orang-orang mereka sendiri termasuk orang-orang Barat yang menikmati ikan Elephant Ear dan meminum minuman keras. 

Sekitar jam 11 malam, kami kembali ke hotel untuk berehat sebelum memulakan misi pada esok hari. 



Sunday, July 1, 2012

Makan Malam ANSARA Muar

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Jun 2012 - Malam tadi saya meluangkan masa untuk hadir majlis makan malam anjuran bekas pelajar MRSM Muar di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Pada mulanya saya agak berbelah bagi juga untuk hadir kerana rata-rata bekas pelajar yang hadir adalah terdiri daripada super senior. Bimbang juga jika akan merasa janggal semasa berada di dalam majlis kerana tiada teman yang dikenali walaupun minda positif saya mengatakan bahawa ia peluang untuk saling mengenali antara satu sama lain. 

Mujur akhirnya 2 orang rakan batch saya sudi untuk turut hadir dan kami akhirnya menjadi wakil bagi batch kami iaitu SPM96. Lebih lucu hanya seorang sahaja wakil hadir bagi batch SPM95 dan beliau diletakkan semeja dengan kami. Bagus juga kerana setidak-tidaknya kami mempunyai topik perbualan yang difahami kerana jarak usia yang dekat. 

Malah, seronok pula apabila kami dilabelkan sebagai 'orang muda' dalam majlis tersebut.










Para guru juga turut dijemput untuk diraikan tetapi jumlahnya tidak sampai 20 orang dan sebahagiannya tidak kami kenali kerana mereka telah bertukar sebelum kemasukan batch kami ke MRSM Muar. Namun sedikit rasa bangga terbit apabila pengetua (Cikgu Rahim) turut menyebut tentang batch kami yang telah mengadakan program Hari Kerjaya tempohari dalam ucapan perasmian beliau. 

Pelbagai gelagat dapat dilihat semasa majlis berjalan. Ada yang masih kelihatan nakal mengusik teman-teman sambil mengimbau kenangan lalu. Benarlah, alam persekolahan adalah alam yang paling manis dan sukar untuk dilupakan. 

Saya tinggalkan majlis sekitar jam 11 malam kerana perlu berkemas untuk kembara yang akan bermula pada malam ini. 

Ya, malam ini saya akan terbang ke Saigon buat kali kedua tetapi kali ini bersama teman-teman pula. 



Char Koay Teow Station

Bismillahirrahmanirrahim...

Rasanya ini entri yang ketiga mengenai makanan kegemaran saya iaitu char koay teow tetapi kali ini lokasinya di luar Lembah Klang iaitu di Kuala Terengganu.

28 Jun 2012 - Saya pulang ke kampung dengan menaiki bas dan tiba pada jam 5 pagi. Kepulangan saya ini adalah untuk menjenguk Abah Ummi selepas tamat menduduki peperiksaan tempohari. 

Untuk kepulangan kali ini, saya telah memasang niat untuk mengunjungi gerai seorang rakan yang mengusahakan perniagaan char kuay teow di Kuala Terengganu. Rakan ini merupakan teman yang pernah sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sekitar tahun 1992 hingga 1994. 

Justeru, apabila beliau mengiklankan pembukaan gerai tersebut, hati saya tergerak untuk mengunjunginya untuk mencuba sendiri masakannya di samping sebagai tanda sokongan ke atas usaha beliau. Malah ketika kunjungan saya, gerai beliau sebenarnya baru beroperasi selama 3 minggu. 

Lalu saya turut mengajak Abah Ummi, kakak ipar dan anak-anak saudara untuk turut serta mengunjungi gerai tersebut yang terletak berhadapan dengan SMK Sultan Sulaiman yang juga berhampiran dengan Istana Badariah. 


Banner gerai beliau
Alhamdulillah rasanya tidak mengecewakan
Kakak ipar dan anak saudara (Adeef)

Alhamdulillah, kunjungan kami ternyata tidak mengecewakan kerana rasa masakannya menepati selera saya. Meskipun saya menggemari char koay teow, ia sebenarnya agak sukar untuk didapati di tempat saya, Dungun atau di sekitar Kuala Terengganu. 

Harga yang ditawarkan pula pada saya agak berpatutan iaitu RM4.50 untuk saiz biasa dan RM5.50 untuk saiz special jika dilihat kepada saiz hidangan. Lucu pula melihat Abah berjaya menghabiskan sepinggan char koay teow saiz special tetapi kemudiannya mengadu perut menjadi padat dan sendat. 

InsyaAllah, ini bukan kunjungan yang pertama dan terakhir ke gerai beliau. Doa saya semoga perniagaan yang beliau usahakan akan semakin maju dan berjaya pada hari-hari mendatang. 


Char Koay Teow Serdang

Bismillahirrahmanirrahim...

27 Jun 2012 - Sekali lagi saya mencuba nasib mengunjungi gerai char kue teow yang kini menjadi kegemaran. Alhamdulillah ia beroperasi dan saya tidak melepaskan peluang untuk membelinya. Terubatlah kekecewaan kerana gagal menikmatinya tempohari seperti diceritakan dalam entri ini. Di samping itu, saya juga telah mendapatkan kepastian daripada pemiliknya tentang waktu operasi gerai. Rupa-rupanya hari Isnin merupakan hari cuti bagi mereka. 


Gerainya biasa sahaja
Rasanya menepati selera saya

Oleh kerana saya hanya pergi bersendirian, maka saya membungkusnya untuk dibawa pulang. Cara pembungkusannya juga merupakan antara salah satu sebab saya menggemarinya kerana ia dialas dengan plastik sebelum dimasukkan ke dalam polisterin. Dengan itu, char kue teow akan kekal basah sehingga tiba di teratak saya. Saya pernah menemui peniaga yang memasukkan terus char koay teow ke dalam polisterin menyebabkan ia kering apabila dibungkus. 

Nampaknya, MakTeh dan MakNik perlu datang lagi pada hari selain hari Isnin jika ingin merasai char kue teow ini.