Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, June 19, 2012

Pasca Kembara Saigon - Masjid

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap kali kembara, saya lebih gemar melihat kepada hikmah atau manfaat yang mampu diambil daripadanya. Jika tidak, kembara itu hanya bersifat sia-sia sahaja. Memang menjadi hasrat saya untuk sekurang-kurangnya singgah atau meninggalkan jejak di mana-mana masjid yang ditemui sepanjang kembara. Untuk Kembara Saigon kali ini, saya minta khidmat ejen untuk membawa kami ke masjid yang berbeza pada setiap hari. Saya dimaklumkan oleh Andy, terdapat kira-kira 16 buah masjid di seluruh bandar Saigon. 

Pada hari pertama, kami singgah di masjid tertua di situ iaitu Masjid Musalmane yang dibina pada tahun 1935. Ia terletak bersebelahan dengan Restoran VN Halal malah lorong tersebut memang terkenal dengan beberapa buah restoran halal. 


Masjid dikunjungi pada hari pertama kembara

Tempat wuduk wanita


Gambar di atas menunjukkan tempat wuduk untuk wanita yang begitu terbuka. Yang jelas, ia memang jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia yang mempunyai ruang tersendiri untuk jemaah wanita. Saya tidak berhasrat untuk merungut dengan keadaan tersebut sebaliknya bersikap positif dengan menerima konsep 'lain padang, lain belalang'. Saya lebih suka untuk tidak membanding-bandingkan suasana di negara sendiri apabila berada di negara lain kerana itulah tujuan kembara. Agar kita lebih menghargai apa yang kita miliki dan cuba untuk menerima kelainan di tempat orang. Konsep saya mudah, jika kita mengharapkan suasana yang sama dengan tempat sendiri apabila berkelana, maka tidak perlulah berkelana langsung. Duduk sahaja di rumah diam-diam. 

Keadaan hampir sama di ketiga-tiga masjid yang kami singgah kerana ruang wuduk antara jemaah lelaki dan wanita begitu terbuka dan sebelah menyebelah sahaja. Ia juga mungkin kerana peraturan di negara berkenaan yang mengawal keluasan sesebuah premis yang dibina. Contohnya, hanya 4 kaki sahaja dibenarkan untuk pembinaan 1 lot premis kedai dan peniaga perlu membeli beberapa lot jika menginginkan saiz yang lebih luas. Anehnya pula, mereka tidak mengawal ketinggian sesebuah bangunan menyebabkan banyak bangunan dibina tinggi melangit untuk mendapatkan ruang yang lebih.


Masjid yang dikunjungi pada hari terakhir kembara

Di setiap masjid yang kami kunjungi, akan ada pekerja yang menyambut kedatangan kami dan membantu menghamparkan sejadah dan telekung. Walau bagaimanapun, bantuan mereka bukan percuma kerana mereka mengharapkan agar pengunjung menghulurkan sedikit wang kepada mereka sebelum meninggalkan masjid. Pada mulanya, kami berasa agak skeptikal juga dengan keadaan sebegitu namun apabila memikirkan bahawa suasana di sini tidak sama dengan masjid-masjid di Malaysia, kami berasa simpati. Mereka memakmurkan masjid ini dengan usaha mereka sendiri di samping sumbangan yang diterima daripada para pengunjung. Ia satu lagi perkara yang wajar direnungi iaitu nasib bagi golongan minoriti di sesebuah negara. 


2 comments:

Wan Anie said...

Rindunya untuk ke Saigon lagi...

Walaupun tidak berkesempatan solat di masjid semasa ke Saigon haritu... kami singgah juga untuk melihat suasana masjid di sana.

Walaupun berbeza, apa yang saya perhatikan, mereka suka kebersihan.

Peniaga yang ramah, persaingan yang tinggi.

Carrie-Ma said...

Betul tu Anie.

Tahap kebersihan di sana mmg boleh dipuji terutama tandas awam. Malah kebersihan persekitaran juga dititikberatkan, sejuk mata memandang. Berhajat untuk tulis entri ttg kebersihan Saigon tapi masih KIV. Mahu exam dulu :)