Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, June 19, 2012

Kembara Saigon - Episod 5 (Akhir)

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Mei 2012 - Hari ini merupakan hari terakhir kembara kami di bumi Saigon. Oleh kerana ejen hanya menyediakan perkhidmatan penghantaran ke lapangan terbang sahaja, kami perlu menaiki teksi untuk ke pasar Benh Tanh dan kawasan berdekatannya untuk mengisi waktu yang terluang sebelum berlepas pulang. Mujur juga sangat mudah untuk mendapatkan teksi di situ malah ada pembantu yang membawa kami untuk melintas jalan dan menaiki teksi mereka. Kali ini tambangnya agak mahal daripada semalam iaitu VND30,000 kerana pemandu teksi perlu berpusing melalui jalan sehala menuju ke pasar Benh Tanh. 

Cara penyediaan kopi Vietnam 

Dalam teksi Vinasun menuju ke pasar Benh Tanh

Kami tiba di sana sekitar jam 10 pagi dan mempunyai masa sehingga jam 12 tengah hari kerana telah berjanji dengan Andy yang akan membawa kami untuk makan tengah hari pada jam 12.30 tengah hari. Misi hari ini adalah untuk memenuhi hasrat Ummi membeli kain sutera Vietnam dan juga barang-barang lain yang diingini. Saya pula hanya menemani Ummi sahaja sebagai penterjemah merangkap pembawa barang. Jujurnya, saya tidak begitu ghairah untuk membeli-belah kerana memikirkan yang saya akan datang lagi ke sini pada bulan Julai kelak. 

Pelbagai pilihan kain

Abah Ummi memilih pakaian

Di samping pelbagai pilihan kain, terdapat juga barang-barang basah dan buah-buahan dijual di dalam pasar Benh Tanh. Namun pada pandangan saya, harganya juga agak mahal juga tetapi satu perkara yang tidak boleh ditolak adalah kopi Vietnam. Ia antara perkara yang wajib dibeli jika ke sana. Bagi penggemar kopi seperti saya, rasa kopi Vietnam memang sangat sedap dan berbeza dengan kopi jenama lain yang pernah saya minum. Tawaran harganya juga perlu diteliti sebelum membuat persetujuan untuk membelinya kerana kami dapati kedai di luar pasar Benh Tanh menawarkan harga yang lebih murah berbanding kedai di dalamnya. 


Buah-buahan dalam pasar Benh Tanh

Kraftangan

Usai membeli-belah di pasar Benh Tanh, kami mengambil teksi untuk pulang ke hotel dan mengemas barangan ke dalam beg. Seperti dijanjikan, Andy sudah sedia menunggu kami untuk makan tengah hari di sebuah restoran dan seterusnya menghantar kami ke lapangan terbang untuk kembali ke Malaysia. Memandangkan sekarang adalah waktu cuti sekolah, kebanyakan restoran halal memang agak penuh terutama pada waktu tengah hari. Atas usaha Andy bertanyakan kekosongan di restoran-restoran yang masih punya kekosongan, kami akhirnya dibawa ke sebuah restoran bernama Halal@Saigon. Kali ini kami perlu membayarnya sendiri kerana ia tidak termasuk di dalam pakej. Kejadian ini juga merupakan satu pengajaran buat saya yang sedikit cuai semasa membuat tempahan pakej berkenaan kerana tidak meneliti susunan jadual makan dengan teliti. Saya hanya membuat andaian bahawa pakej berkenaan sudah mengambilkira semua waktu makan sepanjang kembara kami di sana. Andaian saya ternyata silap kerana menyangkakan ia sama dengan tempahan pakej kembara kami di Medan dan Bandung sebelum ini. Ternyata semua pakej di Vietnam memang tidak menawarkan makan tengahari pada hari terakhir. 


Nasi goreng

Namun begitu, satu kebaikan juga buat kami apabila kami boleh memesan dan merasa makanan selain nasi berlauk seperti hari-hari sebelum ini. Kopi ais menjadi pilihan kami kerana rasanya yang memang sungguh sedap dan cara penyediaannya juga yang agak unik. Ternyata harga makanan di sini juga agak mahal, mungkin kerana tidak banyak restoran halal di Saigon. Bayangkan untuk makan tengah hari itu sahaja, kami dikenakan bayaran sebanyak RM150. Walau bagaimanapun, saya merasakan jumlah keseluruhan akan menjadi lebih murah jika kembara diuruskan sendiri pada masa hadapan. Ya, saya memang berhajat untuk membawa keluarga saya lagi ke sini kerana merasakan kembara pada kali ini masih belum lengkap :)

Kopi ais yang sangat sedap

Dari situ, kami dibawa untuk solat jama' di sebuah masjid yang saya lupa namanya (ini masjid ketiga yang kami singgah sepanjang kembara) sebelum dibawa singgah ke sebuah kedai dan selanjutnya dihantar ke lapangan terbang. Kami tiba di sana sejam lebih awal iaitu sekitar jam 2.30 petang dan penerbangan kami ke KL dijadualkan pada jam 3.30 petang manakala penerbangan BaHa dan keluarga dengan Tiger Airways pula pada jam 5.25 petang. 

Lapangan Terbang Tan Son Nhat 

Tak sabar mahu pulang ke tanah air

Alhamdulillah, lega rasanya apabila penerbangan pulang juga tidak diuji dengan penundaan waktu seperti yang pernah terjadi semasa kembara-kembara kami sebelum ini. Mujur juga kami sudah solat jama' kerana kami tiba di LCCT pada jam 7 malam dan ketibaan kami disambut oleh adik lelaki, PakSoo dan isteri serta abang sulung, BaMa. Sebagai tanda terima kasih, saya jamu mereka untuk makan malam di sebuah restoran nasi Arab iaitu Restoran Saba' di Cyberjaya. Pada masa yang sama, BaHa dan keluarga juga sudah tiba di Lapangan Terbang Changi. 

Ummi dan BaMa di Restoran Saba' Cyberjaya

Puas rasanya apabila kembara kali ini berjalan dengan baik. Paling penting, saya (dan adik, MakTeh) berjaya membawa Abah Ummi melihat dunia luar. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata yang terbit dari bibir Ummi di dalam van sewaktu kami leka melihat pemandangan,

"Umur dah nak masuk 60 tahun, baru dapat tengok tempat orang," kata Ummi sambil tertawa kecil.

Waktu itu, hanya Allah yang tahu bagaimana saya menahan diri daripada menitiskan airmata mendengar kata-kata Ummi kerana saya beruntung dapat menjenguk dunia luar dalam usia yang masih muda. Namun pada masa yang sama, saya juga berasa gembira kerana dapat memenuhi impian Abah Ummi melihat dunia luar sementara masih punya waktu. 

Buat BaHa dan keluarga pula, semoga usaha kecil MakLong dan MakTeh ini akan dapat mengubat kesedihan kalian atas ujian yang Allah berikan kepada kita sekeluarga. Sesungguhnya Allah Maha Adil, bahawa setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. 


2 comments:

Anonymous said...

sedih juga dgn kata2 mak ko itu. itu la, kdg2 benda kecil spt ini kita yg dh biasa (outstation ke sana sini) take for granted sedangkan ada org lain yg sgt appreciate walau setakat ke Sabah Sarawak sekalipun. Teringat pengalaman ke Sabah sekali tu dgn kumpulan pelajar. berborak2 dgn diorg dlm flight dan mmg dr expression diorg sgt takjub bila ku kata dh selalu ke sabah sarawak smp naik muak. bila cikgu diorg ckp, diorg dr kampung, ini pun hadiah Jabatan Pelajaran negeri ke Daerah ke apa atas kecemerlangan sekolah, baru terasa kerdil diri ini. Ya, kita sudah biasa. Tapi jgn lupa ada yg pertama kali mungkin utk sepanjang hidup mereka.

-mimi-

Carrie-Ma said...

Mimi,

Betul tu. Kdg2 kecil pada kita, besar ertinya pada org lain & begitulah sebaliknya. Konsepnya agar kita sentiasa bersyukur dgn apa yg kita ada.