Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, June 30, 2012

Sehari di MRSM Muar

Bismillahirrahmanirrahim...

16 Jun 2012 (Sabtu) - Syukur Alhamdulillah kerana untuk kali keduanya, kami berjaya menganjurkan Hari Kerjaya di MRSM Muar. Saya sebenarnya sudah tiba lebih awal di Muar iaitu pada hari Jumaat kerana bimbang akan tiba lewat pada hari kejadian. Saya tiba sekitar jam 7 malam dan menginap di Hotel Pelangi yang terletak bersebelahan dengan Wetex Parade. Malam itu juga, saya dan dua orang rakan alumni iaitu Heday dan Hifni telah bersua muka dengan kaunselor MRSM Muar, cikgu Nasaruddin. Pertemuan ringkas kami pada malam itu hanya untuk menghulurkan salam perkenalan kerana sebelum ini hanya berhubung melalui telefon sahaja dan beliau pula baru bertukar ke situ 3 bulan yang lalu. Di samping itu, kami juga ingin mendapatkan serba sedikit gambaran tentang keadaan adik-adik yang akan kami temui pada keesokan harinya. 

Sambutan daripada rakan-rakan alumni pada tahun ini tidak semeriah pada tahun lepas ketika julung-julung kali program ini kami anjurkan. Mungkin kerana tahun lepas merupakan program yang pertama diadakan selepas 15 tahun kami meninggalkan maktab. Meskipun begitu, ia tidak mematahkan semangat kami yang hadir sekitar 20 orang untuk menjayakan agenda yang disusun selama beberapa bulan sebelum ini. Saya kagum sebenarnya dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan yang hadir. Mereka sanggup meluangkan masa di celah-celah kesibukan urusan kehidupan demi untuk menyumbangkan sedikit tenaga kepada tempat kami dididik kira-kira 16 tahun yang lalu. Tahun ini juga menyaksikan kehadiran rakan kami yang bertugas sebagai juruterbang wanita TUDM di Kuching di samping rakan-rakan lain yang tidak dapat turut serta pada tahun lepas. 

Kami berkumpul di maktab seawal jam 8 pagi kerana majlis dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi yang turut dihadiri oleh pengetua sendiri iaitu cikgu Rahim. Beliau begitu teruja menerima kehadiran kami sama seperti kunjungan kami pada tahun lepas. Sayu juga hati apabila mengetahui yang ini adalah kali terakhir kami akan berurusan dengan cikgu Rahim di maktab kerana beliau akan bersara pada Mac 2013. 

Walau bagaimanapun, format pelaksanaan program pada tahun ini agak berbeza dengan tahun lepas. Jika pada tahun lepas program kami di maktab berakhir pada waktu tengahari dan kami meraikan para guru dengan jamuan makan malam di Hotel Muar Trader, tahun ini kami meneruskan aktiviti sehingga waktu petang bersama adik-adik tingkatan 5 seramai 172 orang dan ia berakhir di situ. 


Dari kiri: cikgu Rahim (pengetua), Heday (Naib Presiden), cikgu Zaitun (Timb. Pengetua)

Penyerahan cenderahati daripada alumni kepada pengetua

Kaunselor

Melihat wajah polos adik-adik, membuatkan saya teringat kepada diri sendiri yang pernah melalui zaman yang sama tetapi dalam suasana yang berbeza. Berdasarkan perbualan kami dengan kaunselor, para guru kini berdepan dengan suasana yang agak mencabar dalam menangani kerenah para pelajar. Turut tidak terkecuali adalah pengawalan penggunaan telefon bimbit yang begitu berleluasa sehingga menimbulkan perasaan serba salah kepada para guru untuk mengambil tindakan. Ia menjadi lebih sukar apabila ibu bapa tidak memberikan sokongan yang sepatutnya kepada pihak maktab dengan memberikan telefon bimbit yang mahal kepada anak-anak mereka sedangkan peraturan pihak maktab melarang penggunaan telefon bimbit berkamera. 


Adik-adik putera
Adik-adik puteri

Namun kami tolak ke tepi segala permasalahan tersebut untuk memastikan kelancaran program. Kami anggap adik-adik ini berada dalam situasi yang perlu dibimbing dan diberitahu tentang masa hadapan yang bakal mereka depani. 

Usai majlis perasmian, majlis diserahkan kepada rakan kami, Rohaizan atau Bob, untuk mengendalikan sesi motivasi bersama adik-adik. Untuk menjayakan program ini, Bob yang memiliki syarikat konsultan motivasi Rebutia  Corporation telah sanggup berkorban dengan menolak tiga program pada tarikh tersebut. Saya percaya pengorbanan Bob tidak akan sia-sia malah lebih banyak pintu rezeki akan terbuka buat beliau, insyaAllah. 


Bob mengendalikan sesi motivasi

Hampir 1 jam sesi motivasi, Bob menyerahkan majlis kepada rakan kami, Juju, seorang arkitek yang sedang melanjutkan pengajian sarjana di UiTM untuk mengendalikan sesi ujian personaliti. Ujian ini dijalankan untuk memberi sedikit gambaran kepada adik-adik untuk mengenal potensi diri di samping membuat pilihan bidang yang mereka minati. 

Usai ujian tersebut, kami mengambil peluang untuk memperkenalkan diri masing-masing kepada adik-adik tentang latar belakang pekerjaan kami sekarang di samping memaklumkan bidang yang akan dikendalikan oleh kami pada sesi seterusnya. Saya telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai bidang pengurusan dengan dibantu oleh seorang lagi rakan iaitu Firdhaus. Manakala rakan-rakan yang lain akan mengendalikan kumpulan mengikut bidang masing-masing seperti perubatan, kejuruteraan, seni bina, akauntan, juruterbang dan perniagaan. 

Jika pada tahun lepas hanya 6 orang adik-adik sahaja yang menyertai kumpulan kami, Alhamdulillah pada tahun ini hampir 30 orang adik-adik telah menyertai kumpulan pengurusan. Mungkin ia hasil promosi saya dan Firdhaus sebelum sesi pembahagian mengikut bidang dimulakan. 


Sesi pengenalan diri

2011 - hanya 6 pelajar menyertai kumpulan kami

2012 - Alhamdulillah hampir 30 orang pelajar menyertai kumpulan pengurusan

Masa yang diperuntukkan kepada kami untuk sesi tersebut adalah selama 1 jam setengah sahaja dan ia sebenarnya satu tempoh yang cukup pendek jika dibandingkan dengan apa yang ingin kami kongsikan dengan adik-adik. Untuk memaksimakan penggunaan waktu dan mengelakkan adik-adik merasa bosan, kami pecahkan mereka kepada kumpulan kecil agar memudahkan interaksi antara kami. Seronok rasanya apabila adik-adik menunjukkan minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang bidang yang mereka minati di samping saya turut menyelitkan kata-kata nasihat kepada mereka berdasarkan pengalaman selama 2 tahun belajar di maktab. 

Satu soalan yang cukup digemari oleh adik-adik adalah soal gaji kami. Saya hanya tersenyum dan mengatakan bahawa saya bersyukur dengan rezeki yang diterima pada hari ini dan tidak mungkin saya akan menikmati apa yang saya ada ini jika dahulu saya tidak belajar dengan bersungguh-sungguh. Bukan pula saya bermaksud untuk mengajar mereka agar mengejar wang dan pangkat tetapi saya ingin mereka faham bahawa apa yang mereka ingin nikmati pada masa hadapan adalah sangat berkait rapat dengan usaha mereka pada hari ini. Saya nyatakan juga bahawa saya bukanlah antara pelajar yang pandai sewaktu di maktab dulu tetapi saya seorang yang rajin dan sentiasa berusaha keras untuk mencapai apa yang saya ingini apabila adik-adik bertanya sama ada saya seorang pelajar yang cemerlang atau tidak. 

Masih banyak yang ingin kami kongsikan bersama adik-adik tetapi masa berlalu begitu pantas dan kami perlu berhenti pada jam 1 petang untuk makan tengahari dan solat. Namun begitu, diharapkan meskipun hanya sedikit perkongsian bersama adik-adik, ia akan memberi kesan kepada adik-adik dalam menempuh kehidupan mereka kelak. 

Sebelum makan tengahari, kami telah dijamu oleh cikgu Rahim dengan durian yang dikutip daripada kebun sendiri. Aduhai terharu sungguh apabila melihat kesungguhan beliau bersusah payah mengumpulkan durian buat kami. Bayangkan seorang guru yang suatu masa dahulu mengajar kami mengenal huruf dan nombor kini bersusah payah pula meraikan kedatangan kami.  


Cikgu Rahim menjamu kami dengan durian

Tidak cukup dengan menjamu kami makan di situ, cikgu Rahim turut menyediakan plastik agar durian itu dapat kami bawa pulang. Memang rezeki kami dapat merasa durian Muar yang memang sangat sedap rasanya. 


Sesi pembahagian durian
Bergambar dengan pengetua
Gaya bebas

Kemudian kami beransur ke dewan selera untuk menikmati makan tengahari tetapi hasrat kami untuk beratur mengambil sendiri makanan masih tidak kesampaian apabila makanan telah sedia dihidangkan di atas meja. Hal yang sama berlaku pada tahun lepas lalu melenyapkan impian kami untuk mengulangi memori beratur mengambil makanan dan makan di dalam tray

Sekitar jam 2.30 petang, kami berkumpul di Dewan Dato' Onn untuk meneruskan aktiviti bagi sesi petang. Aktiviti untuk sesi ini lebih melibatkan fizikal dan enam permainan telah disusun oleh krew Rebutia Corporation. Kami pula telah dilantik sebagai fasilitator untuk membantu adik-adik menjalani setiap permainan tersebut. Agak mencabar juga sebenarnya setiap permainan tersebut tetapi kami gembira apabila melihat adik-adik memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakannya. 


Bob mengetuai aktiviti sesi petang

Saya ditugaskan untuk menjaga permainan 3 kaki 4 kaki

3 kaki 4 kaki - memang mencabar daya kreativiti dan kesabaran adik-adik ini

Gigih bergotong-royong memasukkan air ke dalam botol

Sesi tersebut akhirnya tamat pada jam 5 petang dan kami berkumpul untuk bergambar beramai-beramai sebelum berpisah. Meskipun kepenatan kami puas apabila melihat reaksi adik-adik yang begitu bersemangat untuk menyempurnakan tugasan yang diberi. 


Kami dan adik-adik

Kami tinggalkan mereka dan maktab sekitar jam 6 petang dengan doa dan harapan semoga mereka akan terus berusaha mencipta kecemerlangan dalam kehidupan mereka kelak. Destinasi kami seterusnya adalah tempat makan berselahan stesen bas Muar untuk menikmati mee bandung. Memang tidak lengkap perjalanan ke Muar jika tidak makan mee bandung dan sate yang memang menepati citarasa saya. Sesi tersebut juga menjadi sesi untuk kami membuat post mortem ke atas program yang telah dijalankan agar setiap kelemahan yang wujud dapat diperbaiki pada masa hadapan. 


Puas dapat makan mee bandung

Dari situ saya tidak terus pulang ke KL sebaliknya saya kembali ke hotel kerana saya telah menempah hotel untuk 2 malam. Sengaja saya merancang begitu kerana bimbang akan keletihan selepas tamat program dan ternyata telahan saya benar. Apapun, saya puas meskipun kepenatan kerana dapat menyumbang sedikit masa dan tenaga kepada maktab kerana di situ saya mengenal erti kedewasaan. 



Pasca Kembara Saigon - Kebersihan

Bismillahirrahmanirrahim...

Antara perkara yang boleh dikagumi ketika berada di Saigon adalah tahap kebersihannya yang boleh dikatakan sangat baik. Penanda arasnya pula pasti tandas awam dan juga taman awam. Bayangkan kesemua tandas awam yang kami singgah berada dalam keadaan bersih dan dijaga dengan baik termasuk sewaktu kunjungan kami ke pulau. 


Tandas awam yang bersih

Begitu juga dengan keadaan lorong yang perlu kami lalui untuk keluar dari hotel ke jalan utama. Ia berada dalam keadaan bersih dan kelihatan ada petugas bandaraya yang menyapu pada waktu pagi dan malam.


Lorong antara hotel dan jalan utama

Di bawah ini pula adalah gambar salah satu bulatan yang kami lalui semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi yang ditetapkan. Memang jelas kelihatan tiada sebarang sampah sarap yang kebiasaannya akan berlonggok hatta di negara kita sendiri. 

Apabila saya menyatakan demikian, bukan pula saya bermaksud untuk merendah-rendahkan negara sendiri sebaliknya saya berpendapat ia antara perkara baik yang boleh diambil iktibar dan diamalkan di negara sendiri. Kelihatan juga pokok-pokok dijaga rapi dan dipastikan lanskapnya sentiasa dipelihara. 


Bulatan yang bersih

Dari kejauhan pula, kami ternampak sekumpulan pekerja yang asyik mencabut rumput-rumput liar yang menutupi rumput-rumput hiasan dengan menggunakan tangan mereka. Tidak hairanlah keadaan rumput-rumput di negara mereka kelihatan begitu rapi kerana penjagaannya yang sangat teliti. 


Sekumpulan pekerja mencabut rumput liar


Ketelitian mereka menjaga kebersihan dan keindahan bandar juga dapat dilihat melalui keadaan taman yang begitu bersih dan pokok-pokok yang dipelihara dengan baik. Malah taman itu juga dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pada waktu siang dan malam. Sewaktu kunjungan kami tempohari, kelihatan sekumpulan pengunjung yang mengadakan aktiviti senamrobik di situ di samping aktiviti lain yang berbentuk kekeluargaan. 

Taman di tengah-tengah bandar Saigon

Keseluruhannya, saya puji tahap kebersihan di sini yang begitu baik dan sekaligus memberikan keselesaan kepada kami selaku pengunjung luar. Alangkah baik dan indahnya jika suasana ini dapat dinikmati di mana-mana tempat tidak kira di dalam atau luar negara kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.



Tuesday, June 26, 2012

Misi Mencari Char Koay Teow

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini adik saya, MakTeh dan rakannya, MakNik datang bertandang dan seterusnya bermalam di teratak saya. Sengaja saya kosongkan perut daripada makanan berat sewaktu berbuka puasa tadi kerana telah berjanji dengan MakTeh untuk membawa mereka merasa char koay teow yang menjadi kegemaran saya. Ia hanya sebuah gerai yang terletak di tepi Tasik Serdang.

Sejak berpindah ke teratak sekarang, saya memang mencari-cari tempat makan yang menepati selera. Akhirnya, saya temui sebuah gerai menjual char koay teow yang kena dengan selera. Hajatnya saya ingin MakTeh dan Maknik untuk turut sama merasainya tetapi tiada rezeki, gerai tersebut tidak beroperasi pula pada malam ini.

Mati akal kami dibuatnya kerana sasaran kami adalah char koay teow sahaja dan amat sukar untuk menemui kedai yang betul-betul asli rasanya.

Lalu kami meminta bantuan pakcik Google untuk melayari mana-mana blog yang menceritakan pengalaman memakan char koay teow di sekitar Bangi.

Teratas dalam senarai adalah blog yang menceritakan pengalaman makan char koay teow di sebuah restoran bernama Hot Char Koay Teow yang terletak di Seksyen 9, Bangi.

Tanpa banyak soal, kami terus menuju ke destinasi dimaksudkan kerana perut juga sudah mula memainkan irama keroncong.

Pandangan pertama, hampir semua tempat duduk penuh dengan pelanggan. Mungkin itu petanda yang ia benar-benar sedap.

Mujur ada pelanggan yang sudah selesai makan dan bangun meninggalkan tempat mereka lalu kami mengambil alih tempat duduk mereka.

Dengan kadar harga RM5.50 bagi saiz besar dan RM4.50 bagi saiz kecil, saya menjangkakan rasanya juga pasti berpadanan dengan harga dikenakan.

Misi kami berjaya cuma rasanya masih belum mencapai standard sedap seperti yang saya nikmati di gerai berhampiran Tasik Serdang tempohari.

Nampaknya cubaan lain perlu dibuat lagi pada masa hadapan. Siapa tahu ada rezeki...

Monday, June 25, 2012

Senangnya Dalam Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Hai senangnya dalam hati, peperiksaan sudah habis hehe.

Alhamdulillah, lega sungguh rasanya apabila peperiksaan yang ditunggu-tunggu telah berjaya dilalui dengan baik.

Ya, dengan baik kerana saya kurang pasti dengan kecemerlangannya huhu.

Apapun, saya syukur kerana dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan meskipun tidak 100%. 

Lega. Itu yang pasti. Lega sungguh-sungguh. 

Masa untuk merangka sesi kembara pula :)

Saturday, June 23, 2012

Musim Peperiksaan

Bismillahirrahmanirrahim...

Rata-rata di semua IPTA, para pelajarnya sedang dilanda demam peperiksaan termasuk saya sendiri.

Memang berbeza belajar di zaman ijazah dan sarjana. Tambahan pula bagi pelajar yang pernah bekerja seperti saya. Malah perasaannya juga sedikit berlainan tetapi yang pasti, debarannya tetap sama.

Keterujaan untuk menamatkan sesi peperiksaan memang tidak dapat disembunyikan lagi.

Sudah seminggu saya mengasingkan diri daripada sebarang aktiviti sosial. Kasihan kawan saya, Azlina @ Arab yang tidak jemu-jemu bertanya khabar. Maaf sahabat, keadaan tidak mengizinkan kita untuk bersua. Selagi peperiksaan ini masih belum selesai, gundah gulana akan sentiasa beraja di hati ini.

InsyaAllah, debaran itu akan berakhir pada hari Isnin ini.

Namun begitu, satu persoalan muncul di benak saya. Untuk peperiksaan di dunia sahaja saya sudah begitu gundah gulana, bagaimana agaknya keadaan saya (atau kita) di hari timbangan kelak?

Friday, June 22, 2012

Pasca Kembara Saigon - Zon Selesa

Bismillahirrahmanirrahim...

Berkelana ke tempat atau negara orang lain bermakna kita akan keluar sebentar daripada zon selesa di tempat sendiri.

Apa perlunya bersusah payah mencari ketidakselesaan di tempat asing sedangkan kita boleh menikmati keselesaan di tempat sendiri?

Analoginya cukup mudah. Bagaimana kita tahu malam itu gelap jika tiada siang yang terang? Begitu juga bagaimana kita faham yang cuaca itu panas jika tiada cuaca yang sejuk?

Pendek kata, hidup ini perlu dilihat dari sudut pandang yang berbeza agar pandangan yang diperoleh lebih menyeluruh. Ringkasnya juga, dalam hidup ini kita memerlukan satu perbandingan untuk kita tahu di mana letak duduk kita yang sebenarnya. Begitulah halnya untuk mengerti akan makna selesa, kita perlu memahami erti tidak selesa agar kita lebih menghargai apa yang sedang kita nikmati.

Penginapan kami ketika di Saigon hanya sebuah hotel bajet yang terletak jauh sedikit dari jalan utama (3-5 minit berjalan kaki). Kami perlu melalui lorong sempit untuk keluar masuk ke situ. Pada awalnya kami agak skeptikal juga dengan laluan tersebut kerana bimbangkan keselamatan tetapi lama-kelamaan kami sedar, ia antara jalan utama penduduk di situ dan kebersihannya sentiasa diambil berat oleh pekerja perbandaran. Kedengaran juga kata-kata daripada Abah menyuarakan kebimbangannya tetapi saya lega apabila Abah akhirnya boleh menerima suasana itu dan menganggap ia sebagai satu pengalaman baru.

Tuesday, June 19, 2012

Pasca Kembara Saigon - Masjid

Bismillahirrahmanirrahim...

Setiap kali kembara, saya lebih gemar melihat kepada hikmah atau manfaat yang mampu diambil daripadanya. Jika tidak, kembara itu hanya bersifat sia-sia sahaja. Memang menjadi hasrat saya untuk sekurang-kurangnya singgah atau meninggalkan jejak di mana-mana masjid yang ditemui sepanjang kembara. Untuk Kembara Saigon kali ini, saya minta khidmat ejen untuk membawa kami ke masjid yang berbeza pada setiap hari. Saya dimaklumkan oleh Andy, terdapat kira-kira 16 buah masjid di seluruh bandar Saigon. 

Pada hari pertama, kami singgah di masjid tertua di situ iaitu Masjid Musalmane yang dibina pada tahun 1935. Ia terletak bersebelahan dengan Restoran VN Halal malah lorong tersebut memang terkenal dengan beberapa buah restoran halal. 


Masjid dikunjungi pada hari pertama kembara

Tempat wuduk wanita


Gambar di atas menunjukkan tempat wuduk untuk wanita yang begitu terbuka. Yang jelas, ia memang jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia yang mempunyai ruang tersendiri untuk jemaah wanita. Saya tidak berhasrat untuk merungut dengan keadaan tersebut sebaliknya bersikap positif dengan menerima konsep 'lain padang, lain belalang'. Saya lebih suka untuk tidak membanding-bandingkan suasana di negara sendiri apabila berada di negara lain kerana itulah tujuan kembara. Agar kita lebih menghargai apa yang kita miliki dan cuba untuk menerima kelainan di tempat orang. Konsep saya mudah, jika kita mengharapkan suasana yang sama dengan tempat sendiri apabila berkelana, maka tidak perlulah berkelana langsung. Duduk sahaja di rumah diam-diam. 

Keadaan hampir sama di ketiga-tiga masjid yang kami singgah kerana ruang wuduk antara jemaah lelaki dan wanita begitu terbuka dan sebelah menyebelah sahaja. Ia juga mungkin kerana peraturan di negara berkenaan yang mengawal keluasan sesebuah premis yang dibina. Contohnya, hanya 4 kaki sahaja dibenarkan untuk pembinaan 1 lot premis kedai dan peniaga perlu membeli beberapa lot jika menginginkan saiz yang lebih luas. Anehnya pula, mereka tidak mengawal ketinggian sesebuah bangunan menyebabkan banyak bangunan dibina tinggi melangit untuk mendapatkan ruang yang lebih.


Masjid yang dikunjungi pada hari terakhir kembara

Di setiap masjid yang kami kunjungi, akan ada pekerja yang menyambut kedatangan kami dan membantu menghamparkan sejadah dan telekung. Walau bagaimanapun, bantuan mereka bukan percuma kerana mereka mengharapkan agar pengunjung menghulurkan sedikit wang kepada mereka sebelum meninggalkan masjid. Pada mulanya, kami berasa agak skeptikal juga dengan keadaan sebegitu namun apabila memikirkan bahawa suasana di sini tidak sama dengan masjid-masjid di Malaysia, kami berasa simpati. Mereka memakmurkan masjid ini dengan usaha mereka sendiri di samping sumbangan yang diterima daripada para pengunjung. Ia satu lagi perkara yang wajar direnungi iaitu nasib bagi golongan minoriti di sesebuah negara. 


Kembara Saigon - Episod 5 (Akhir)

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Mei 2012 - Hari ini merupakan hari terakhir kembara kami di bumi Saigon. Oleh kerana ejen hanya menyediakan perkhidmatan penghantaran ke lapangan terbang sahaja, kami perlu menaiki teksi untuk ke pasar Benh Tanh dan kawasan berdekatannya untuk mengisi waktu yang terluang sebelum berlepas pulang. Mujur juga sangat mudah untuk mendapatkan teksi di situ malah ada pembantu yang membawa kami untuk melintas jalan dan menaiki teksi mereka. Kali ini tambangnya agak mahal daripada semalam iaitu VND30,000 kerana pemandu teksi perlu berpusing melalui jalan sehala menuju ke pasar Benh Tanh. 

Cara penyediaan kopi Vietnam 

Dalam teksi Vinasun menuju ke pasar Benh Tanh

Kami tiba di sana sekitar jam 10 pagi dan mempunyai masa sehingga jam 12 tengah hari kerana telah berjanji dengan Andy yang akan membawa kami untuk makan tengah hari pada jam 12.30 tengah hari. Misi hari ini adalah untuk memenuhi hasrat Ummi membeli kain sutera Vietnam dan juga barang-barang lain yang diingini. Saya pula hanya menemani Ummi sahaja sebagai penterjemah merangkap pembawa barang. Jujurnya, saya tidak begitu ghairah untuk membeli-belah kerana memikirkan yang saya akan datang lagi ke sini pada bulan Julai kelak. 

Pelbagai pilihan kain

Abah Ummi memilih pakaian

Di samping pelbagai pilihan kain, terdapat juga barang-barang basah dan buah-buahan dijual di dalam pasar Benh Tanh. Namun pada pandangan saya, harganya juga agak mahal juga tetapi satu perkara yang tidak boleh ditolak adalah kopi Vietnam. Ia antara perkara yang wajib dibeli jika ke sana. Bagi penggemar kopi seperti saya, rasa kopi Vietnam memang sangat sedap dan berbeza dengan kopi jenama lain yang pernah saya minum. Tawaran harganya juga perlu diteliti sebelum membuat persetujuan untuk membelinya kerana kami dapati kedai di luar pasar Benh Tanh menawarkan harga yang lebih murah berbanding kedai di dalamnya. 


Buah-buahan dalam pasar Benh Tanh

Kraftangan

Usai membeli-belah di pasar Benh Tanh, kami mengambil teksi untuk pulang ke hotel dan mengemas barangan ke dalam beg. Seperti dijanjikan, Andy sudah sedia menunggu kami untuk makan tengah hari di sebuah restoran dan seterusnya menghantar kami ke lapangan terbang untuk kembali ke Malaysia. Memandangkan sekarang adalah waktu cuti sekolah, kebanyakan restoran halal memang agak penuh terutama pada waktu tengah hari. Atas usaha Andy bertanyakan kekosongan di restoran-restoran yang masih punya kekosongan, kami akhirnya dibawa ke sebuah restoran bernama Halal@Saigon. Kali ini kami perlu membayarnya sendiri kerana ia tidak termasuk di dalam pakej. Kejadian ini juga merupakan satu pengajaran buat saya yang sedikit cuai semasa membuat tempahan pakej berkenaan kerana tidak meneliti susunan jadual makan dengan teliti. Saya hanya membuat andaian bahawa pakej berkenaan sudah mengambilkira semua waktu makan sepanjang kembara kami di sana. Andaian saya ternyata silap kerana menyangkakan ia sama dengan tempahan pakej kembara kami di Medan dan Bandung sebelum ini. Ternyata semua pakej di Vietnam memang tidak menawarkan makan tengahari pada hari terakhir. 


Nasi goreng

Namun begitu, satu kebaikan juga buat kami apabila kami boleh memesan dan merasa makanan selain nasi berlauk seperti hari-hari sebelum ini. Kopi ais menjadi pilihan kami kerana rasanya yang memang sungguh sedap dan cara penyediaannya juga yang agak unik. Ternyata harga makanan di sini juga agak mahal, mungkin kerana tidak banyak restoran halal di Saigon. Bayangkan untuk makan tengah hari itu sahaja, kami dikenakan bayaran sebanyak RM150. Walau bagaimanapun, saya merasakan jumlah keseluruhan akan menjadi lebih murah jika kembara diuruskan sendiri pada masa hadapan. Ya, saya memang berhajat untuk membawa keluarga saya lagi ke sini kerana merasakan kembara pada kali ini masih belum lengkap :)

Kopi ais yang sangat sedap

Dari situ, kami dibawa untuk solat jama' di sebuah masjid yang saya lupa namanya (ini masjid ketiga yang kami singgah sepanjang kembara) sebelum dibawa singgah ke sebuah kedai dan selanjutnya dihantar ke lapangan terbang. Kami tiba di sana sejam lebih awal iaitu sekitar jam 2.30 petang dan penerbangan kami ke KL dijadualkan pada jam 3.30 petang manakala penerbangan BaHa dan keluarga dengan Tiger Airways pula pada jam 5.25 petang. 

Lapangan Terbang Tan Son Nhat 

Tak sabar mahu pulang ke tanah air

Alhamdulillah, lega rasanya apabila penerbangan pulang juga tidak diuji dengan penundaan waktu seperti yang pernah terjadi semasa kembara-kembara kami sebelum ini. Mujur juga kami sudah solat jama' kerana kami tiba di LCCT pada jam 7 malam dan ketibaan kami disambut oleh adik lelaki, PakSoo dan isteri serta abang sulung, BaMa. Sebagai tanda terima kasih, saya jamu mereka untuk makan malam di sebuah restoran nasi Arab iaitu Restoran Saba' di Cyberjaya. Pada masa yang sama, BaHa dan keluarga juga sudah tiba di Lapangan Terbang Changi. 

Ummi dan BaMa di Restoran Saba' Cyberjaya

Puas rasanya apabila kembara kali ini berjalan dengan baik. Paling penting, saya (dan adik, MakTeh) berjaya membawa Abah Ummi melihat dunia luar. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata yang terbit dari bibir Ummi di dalam van sewaktu kami leka melihat pemandangan,

"Umur dah nak masuk 60 tahun, baru dapat tengok tempat orang," kata Ummi sambil tertawa kecil.

Waktu itu, hanya Allah yang tahu bagaimana saya menahan diri daripada menitiskan airmata mendengar kata-kata Ummi kerana saya beruntung dapat menjenguk dunia luar dalam usia yang masih muda. Namun pada masa yang sama, saya juga berasa gembira kerana dapat memenuhi impian Abah Ummi melihat dunia luar sementara masih punya waktu. 

Buat BaHa dan keluarga pula, semoga usaha kecil MakLong dan MakTeh ini akan dapat mengubat kesedihan kalian atas ujian yang Allah berikan kepada kita sekeluarga. Sesungguhnya Allah Maha Adil, bahawa setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. 


Wednesday, June 13, 2012

Kembara Saigon - Episod 4

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Mei 2012 - Seperti biasa, kami turun untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan dan seperti biasa juga, perjalanan bermula jam 8.30 pagi. 

Begitu bersemangat dalam bab makan

Hari ini aktiviti kami adalah menyusuri Sungai Mekong dan singgah di dua buah pulau untuk mengikuti aktiviti di situ. Dalam perjalanan, kami dimaklumkan oleh Andy yang kami akan singgah sebentar di sebuah Taman Ular yang berada di bawah bidang kuasa tentera Vietnam. Untuk ke sana, kami perlu melalui satu-satunya lebuhraya sepanjang 50 km yang dibina kira-kira 5 tahun yang lalu dengan kadar bayaran tol sebanyak VND60,000. Had laju maksimum yang dibenarkan di lebuhraya ini adalah 100 km/j sahaja dan had laju minimum adalah 60 km/j. Memang jauh berbeza dengan had laju di Malaysia. Justeru, jika di Malaysia, masa yang diambil untuk ke destinasi berjarak 70 km akan mengambil masa sekitar 1 jam lebih tapi di sini ia mencecah 2 jam lebih. Tambahan pula pemandu di sini boleh dikategorikan sebagai pemandu berhemah dan sepanjang kembara, saya tidak pernah melihat insiden kemalangan berlaku terutama di kalangan penunggang motosikal meskipun bilangannya sangat banyak. Menurut Andy, secara purata 2 orang penduduk akan memiliki sebuah motosikal kerana ia lebih digemari berbanding pengangkutan awam. 


Satu-satunya lebuhraya di Saigon

Di sepanjang perjalanan, kami dapat melihat pemandangan sawah padi yang melatari suasana sekeliling. Ia pemandangan biasa di sini kerana Vietnam merupakan pengeksport beras kedua terbesar di dunia namun ia masih belum mampu menaikkan taraf hidup rakyatnya kerana harganya yang murah. Di samping itu, dapat dilihat kelompok kubur di tengah-tengah sawah padi yang merupakan kubur nenek moyang pemilik petak sawah berkenaan. 

Sawah padi yang dipenuhi dengan kubur

Selepas hampir 2 jam perjalanan, kami tiba di Taman Ular dan diberi masa selama setengah jam untuk berada di dalamnya. Kawasannya tidak berapa luas dan hanya dipenuhi dengan beberapa spesies ular seperti ular sawa dan ular tedung sahaja. Di samping itu, terdapat juga monyet, burung merak, rusa dan beberapa jenis haiwan lagi yang biasa terdapat dalam sebuah zoo. Malah boleh dikatakan tempat ini adalah seperti mini zoo. 

Di dalam taman ular

Kura-kura albino

Ular memenuhi pokok

Ular sawa

Dari situ, kami meneruskan perjalanan hampir 10 minit memasuki pekan My Tho untuk menaiki bot menyusuri Sungai Mekong. Sebuah bot telah dikhususkan buat kami sekeluarga tanpa perlu bercampur dengan pengunjung lain. 

Di jeti sebelum menaiki bot

Dalam bot
Persinggahan kami yang pertama adalah Pulau Pheonix iaitu untuk makan tengah hari. Hidangan utamanya adalah ikan Elephant Ear yang merupakan produk daripada Sungai Mekong. Memang agak terkejut juga melihat ikan tersebut dihidangkan secara tegak bersama hirisan timun dan nenas di sekelilingnya. Keliru pun ada juga kerana kurang pasti dengan cara untuk memakannya. 


Ikan elephant ear

Hidangan makan tengah hari

Mujur juga petugas restoran yang menyediakannya kepada kami dan hasilnya adalah gulungan isi ikan bersama nenas, timun dan suhun yang dibalut dengan rice paper serta dimakan dengan pencicah sos ikan. Memang tidak mengenyangkan bagi yang biasa makan nasi tapi mujurlah nasi turut dihidangkan bersama lauk pauk lain selepas selesai isi ikan tersebut dibalut. Apapun, seronok juga dapat mengenali beberapa makanan tradisional kegemaran rakyat Vietnam yang turut dihidangkan kepada kami. 


Isi ikan + nenas + timun + suhun yang dibalut dengan rice paper

Saya memang menggemari air kopi sama ada panas atau sejuk. Meskipun masih batuk, tawaran untuk menikmati kopi ais tidak dapat saya tolak. Kopi Vietnam memang lain dari yang lain. Aromanya sahaja sudah cukup untuk membuatkan peminatnya tertarik untuk meminumnya. Cara penyediaannya juga sedikit berbeza apabila air kopi diasingkan mengikut lapisan pertama iaitu air gula, air kopi dan ais diletakkan di lapisan paling atas. Memang sedap!


Kopi ais Vietnam yang sedap

Usai menikmati makan tengah hari, kami menaiki bot untuk ke persinggahan seterusnya. Dalam perjalanan, kami dihidangkan dengan air kelapa yang sangat manis dan ia merupakan antara hasil utama di situ. Rasa manisnya yang berbeza membuatkan Abah teringin untuk membawa pulang buahnya ke Malaysia tetapi gagal kerana tidak sempat mendapatkannya sebelum pulang ke Saigon. InsyaAllah, saya akan cuba mendapatkannya semasa kunjungan kali kedua pada bulan Julai kelak. 


Minum air kelapa yang sangat manis

Tiba di pulau kedua (saya lupa namanya), kami dibawa melihat ternakan lebah dan diberi peluang menikmati air teh yang dicampur dengan madu serta perahan limau nipis. Seperti biasa, ia adalah sebahagian daripada promosi agar pengunjung membeli produk mereka tetapi ia bukan pula berbentuk paksaan cuma sebagai pengunjung, mungkin akan terbit rasa bersalah jika tidak membelinya selepas dijamu dengan air teh dan jajan. Akhirnya, kami tewas dan akur dengan rasa bersalah itu dengan membeli 2 botol madu. 

Lebah

Air teh + madu + perahan limau
Tidak jauh dari gerai itu pula, terdapat sebuah bengkel yang mengusahakan produk berasaskan kelapa iaitu gula-gula. Kami dapat melihat bagaimana santan dimasak dan diproses menjadi gula-gula sehingga dibungkus serta sedia untuk dijual. Gula-gula tersebut disediakan dalam pelbagai perisa termasuk durian.

Gula-gula kelapa

Terdapat juga gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan cenderamata dan pengunjung yang berminat boleh membelinya. Berdasarkan pengalaman saya, rata-rata peniaga di sini gemar menggunakan matawang USD berbanding VND mungkin kerana ia lebih mudah untuk dibuat perkiraan. Malah barangan di pulau ini lebih murah berbanding di pasar Benh Tanh. Bayangkan kami ditawarkan t-shirt berharga USD1 (RM3.20) di sini tetapi di pasar Benh Tanh, t-shirt yang sama ditawarkan pada harga USD3. Malangnya kami tidak membeli t-shirt tersebut di sini kerana beranggapan harga lebih murah di pasar Benh Tanh. Sesal dahulu pendapatan...

Pit stop terakhir adalah sebuah pondok di mana buah-buahan dihidangkan kepada kami diiringi penyanyi-penyanyi lagu tradisional negara mereka. Usai persembahan, mereka akan meletakkan sebuah bakul kecil untuk pengunjung meletakkan tips di dalamnya. 

Buah-buahan

Mendengar lagu tradisional
Lawatan kami di pulau ini adalah berbentuk laluan sehala iaitu kami akan kembali ke bot dengan melalui jalan lain. Lebih menarik apabila kami dibawa menaiki sampan untuk kembali ke bot. Kagum melihat kegigihan pendayung sampan yang rata-rata terdiri daripada wanita. Ia bukan tugas yang mudah tetapi demi kelangsungan hidup, mereka terpaksa melakukannya. Patutlah majoriti rakyat Vietnam mempunyai bentuk badan yang kurus kerana mereka rajin bekerja dan kerja yang dilakukan pula memerlukan kudrat yang banyak. 

Di jeti untuk menaiki sampan

Dalam sampan

Wajah yang gembira

Tiba di bot, kami dibawa kembali ke jeti untuk pulang ke bandar Saigon. Orang yang paling tidak sabar untuk sampai adalah Ummi kerana teringin sekali membeli-belah di dalam pasar Benh Tanh. Namun perjalanan pulang terasa begitu jauh dek kerana kesopanan pemandu yang memandu dengan kelajuan 60 km/j sahaja. Aduhai, sabar je. 

Sampai jumpa lagi

Tiba di Saigon sekitar jam 4 petang dan kami singgah di salah sebuah masjid untuk solat jama'. Kami enggan pulang ke hotel kerana bimbang akan menyebabkan kami terasa malas pula untuk keluar jika sudah ternampak katil empuk. Kali ini kami ke masjid yang berbeza kerana memang itu permintaan saya kepada ejen. Saya ingin merasai pengalaman berbeza di setiap masjid yang ada di sini atau lebih tepat lagi, meninggalkan 'jejak' di situ. 

Jam 4.30 petang, kami ditinggalkan oleh ejen di pintu masuk 3 pasar Benh Tanh dan berjanji untuk bertemu di tempat yang sama pada jam 6 petang kerana tempat ini akan menutup operasi pada jam 6 petang. Di sini, kuasa tawar menawar paling maksima perlu digunakan dan tidak perlu merasa ralat jika gagal mendapatkan barang pada harga yang diingini kerana masih banyak kedai yang menawarkan barang yang sama mungkin dengan harga yang jauh lebih murah. 

Memang rambang mata jika masuk ke sini kerana pilihan yang banyak namun seperti dikatakan, gunakan kuasa tawar menawar semaksima mungkin. Majoriti peniaga pula lebih gemar menawarkan harga dalam matawang USD berbanding VND. Jika merasa malas menggunakan kalkulator untuk mengira perbezaan matawang tersebut, lebih senang jika menyediakan matawang USD sahaja. Oleh kerana kunjungan kami pada petang ini sekadar untuk meninjau-ninjau sahaja, tidak banyak yang kami beli kerana kami masih ada masa untuk membeli-belah pada keesokan pagi sebelum bertolak pulang di sebelah petang. 

Pasar Benh Tanh

Macam-macam ada

Seperti dijanjikan, kami bertemu dengan Andy pada jam 6 petang yang terus membawa kami untuk makan malam di sebuah restoran bernama Kedai Makan Melayu. Ya, kami dihidangkan nasi lagi. 



Selepas makan malam, kami dihantar pulang ke hotel untuk berehat tetapi sebelum itu, kami sempat singgah di pusat permainan sekali lagi untuk memenuhi permintaan Adam dan Adeef bermain kereta mainan. 

Sekitar jam 9 malam, saya dan MakTeh menyelinap keluar sebentar untuk melihat sendiri suasana pasar malam di tepi pasar Benh Tanh. Di samping itu, kami juga ingin merasai sendiri pengalaman melintas jalan di bandar Saigon yang sentiasa sesak dengan motosikal. Sengaja kami tidak ajak Abah Ummi kerana merasakan mereka perlu berehat dan saya tahu Abah pasti kurang bersetuju dengan idea ini. Ternyata jarak antara hotel ke pasar Benh Tanh hanya memakan masa selama 20 minit jika berjalan kaki dan 5 minit jika menaiki teksi dengan kadar VND20,000. 

Suasana malam di sini memang penuh dengan aktiviti riadah dan ia tidak begitu menyeramkan untuk berjalan kaki. Sewaktu melintas jalan, kami telah dihon oleh kenderaan terutama motosikal kerana berlari tetapi ia tidak berlaku apabila kami hanya berjalan sahaja sewaktu melintas. Dari situ baru kami faham cara untuk melintas jalan di Saigon meskipun jumlah kenderaannya sangat banyak. Rahsianya adalah jangan berlari sewaktu melintas kerana pemandu/penunggang akan terkejut dengan kehadiran anda dan mungkin akan melanggar anda. Sebaliknya jika kita berjalan, mereka akan mengelak daripada melanggar kita kerana mereka memandu dengan kelajuan sekitar 30-40 km/j sahaja. Paling penting, jangan berhenti di tengah-tengah jalan kerana ia akan meningkatkan risiko anda untuk dilanggar tetapi teruskan sahaja perjalanan hingga ke seberang sana tanpa perlu berhenti di tengah jalan.

Suasana malam di Saigon

Tiba di pasar malam, kami seperti berada di Malaysia kerana di mana-mana sahaja ada pengunjung Malaysia. Mungkin mereka juga berfikiran sama seperti kami pada waktu itu. Namun pilihan di pasar malam tidak sebanyak di pasar Benh Tanh tetapi kuasa tawar menawar tahap maksima masih perlu diaplikasikan di sini juga. Lucu pula apabila teringat insiden kami tawar menawar untuk sepasang baju kurung bermanik kerana kami saling menetapkan harga sehingga ke luar kedai. Mujur juga peniaga tersebut tidak marah malah sangat mesra. Harga ditawarkan kalau tidak silap adalah VND400,000 (RM60) dan kami menawarkannya sehingga VND300,000 (RM45). Menurut MakTeh, jika di Malaysia, baju tersebut memang mencecah ratusan ringgit tetapi kami tidak membelinya kerana harga ditawarkan adalah VND320,000 sahaja. Namun kami belajar bagaimana untuk tawar menawar sehingga mendapat harga yang diinginkan. 

Puas meronda, kami mengambil teksi untuk pulang ke hotel. Oh ya, satu perkara yang baik untuk diamalkan adalah menyimpan kad hotel penginapan kerana tidak semua pemandu teksi tahu berbahasa Inggeris. Kad tersebut hanya perlu ditunjukkan kepada pemandu teksi dan mereka akan membawa kita ke destinasi yang ingin dituju. Di samping itu, lebih baik memilih teksi yang menggunakan meter untuk mengelakkan ditipu dan kami memilih teksi Vinasun kerana keberkesanan perkhidmatannya. 

Akhirnya, masa untuk beradu.