Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, May 4, 2012

Sihat Itu Nikmat

Bismillahirrahmanirrahim...

Manusia memang begini. Mudah lupa. Justeru, saya juga begitu. Apabila sudah sakit, baru tahu menghargai nikmatnya sihat. Kali ini saya betul-betul diuji malah hari ini sudah masuk hari ke-13 saya melaluinya. Ia juga punca saya menyepikan diri daripada mengemaskini blog buat seketika.

3 hari pertama demam, saya hanya terbaring sahaja di katil tidak mampu berbuat apa-apa malah makan minum juga tidak saya pedulikan. Akhirnya, adik lelaki saya, PakSoo, singgah dan menemani saya ke Hospital Serdang. Lain benar rasanya kali ini hingga terasa lemah longlai seluruh badan. Mujur ujian darah menunjukkan tiada tanda-tanda demam denggi. Saya diminta oleh doktor untuk banyakkan minum air kosong.

Selepas 2 hari, demam yang dialami tidak juga kebah menyebabkan adik-adik menggesa saya ke hospital sekali lagi. Akhirnya, kami ke KPJ Kajang sekitar jam 11 malam. Sekali lagi darah saya diambil dan diuji. Alhamdulillah, ujian kedua juga menunjukkan saya bebas dari demam denggi. Yang pasti, RM300++ melayang pada malam tersebut.

Di samping itu, saya turut menggunakan cara tradisional dengan menyapu air asam jawa ke kepala dan meminum air buah kembang semangkuk untuk menurunkan suhu badan. Selama ini buah kembang semangkuk hanya saya kenali sebagai salah satu bahan dalam laichi kang sahaja.

Hari ke-6, suhu badan mula berkurangan tetapi batuk yang keras pula mula menyerang. Hampir pecah dada saya setiap kali batuk malah ia sangat kerap. Tidur malam saya memang tidak lena langsung. Saat ini hati saya merintih, merindui belaian Abah Ummi yang begitu cerewet setiap kali anak-anak ditimpa sakit. Namun keadaan badan yang lemah menyebabkan saya terpaksa menahan perasaan kerinduan itu.

Hari ke-9, saya gagahkan juga diri untuk menghadiri kelas di UTM tetapi saya minta kebenaran pensyarah untuk meninggalkan kelas lebih awal kerana tidak mampu untuk bertahan sehingga ke akhir waktu.

Hari ke-11, saya tidak dapat menahan diri daripada pulang untuk menemui Abah Ummi meskipun hanya sekejap. Benarlah kata orang, seorang anak meskipun sudah dewasa tetap anak kecil di mata ibu bapa. Abah minta saya minum air zamzam yang diambil di telaga berhampiran tempat kelahiran Rasulullah sewaktu kami menunaikan umrah 3 tahun yang lalu. Allahu Akbar, pagi esoknya batuk saya berkurangan dan saya merasa lebih sihat. Mereka 'doktor' terbaik saya. Saya kembali ke KL pada hari ke-12 kerana ada tugasan yang perlu dilunaskan. Jika diikutkan hati, saya ingin duduk lebih lama lagi tetapi keadaan tidak mengizinkan. InsyaAllah saya akan pulang lagi apabila segala urusan telah disempurnakan.

Saya akui memang risau kerana belum menyempurnakan bahan untuk dipersembahkan di dalam kelas pada hari Ahad. Saya hanya punya sedikit masa lagi untuk menyempurnakannya dan hanya mampu berdoa semoga saya mampu untuk melakukannya.

Ujian kali ini benar-benar mengajar saya nikmat sihat yang kadang-kadang diabaikan. Saya buang segala bekalan makanan dan minuman segera yang tidak menyihatkan.

Satu-satunya perkara baik daripada ujian ini adalah berat badan saya turun mendadak akibat makan minum yang tidak terjaga akhir-akhir ini.

Saya serik!

No comments: