Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, May 27, 2012

Pra- Kembara Saigon

Bismillahirrahmanirrahim...

25 Mei 2012 - Saya pulang ke kampung untuk menjemput Abah Ummi datang ke KL. Agak lewat juga saya bertolak iaitu selepas jam 4 petang sebaik memuktamadkan beberapa urusan tentang percutian kami kelak. Aduhai, perjalanan agak mencabar kerana jumlah kenderaan yang agak banyak berikutan cuti sekolah sudah bermula. Akhirnya, saya tiba di kampung pada jam 9 malam.

26 Mei 2012 - Usai menghadiri beberapa undangan kenduri di kampung bersama Abah Ummi dan menziarah sepupu yang baru menimang cahaya mata, kami terus memulakan perjalanan ke KL. Pada masa yang sama, BaHa dan keluarga juga memulakan perjalanan ke JB dan bermalam di rumah abang kami, BaAn sementara menunggu hari yang ditunggu. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dan tiba di KL sekitar jam 7 malam. Sebelum ke teratak saya, kami sempat singgah di Sri Gombak untuk makan malam bersama adik-beradik yang lain.

Tuesday, May 22, 2012

Buah Kembang Semangkuk

Bismillahirrahmanirrahim...

Seringkali buah ini hanya saya temui sewaktu menikmati air laicikang. Namun begitu, sejak batuk lebih sebulan yang lalu, buah ini menjadi antara minuman wajib saya hampir setiap hari. Caranya cukup mudah. Cuma rendam buahnya yang hanya sebesar hujung jari kelingking pada waktu malam atau sebelum tidur dan ia sedia untuk dinikmati pada keesokan paginya. Selalunya saya akan menambah sedikit gula kerana ia tawar. Ada yang mengatakan lebih elok menggunakan gula batu berbanding gula biasa. Minuman ini bagus untuk menyejukkan badan dan mengurangkan batuk yang agak teruk pada kali ini malah ia masih bersisa sehingga hari ini. Memang kali ini tahap kesihatan saya betul-betul diuji olehNya.

Lucu pula bila teringat saat kali pertama membeli buah ini di Mydin Subang. Pada saya, harganya boleh tahan mahal juga kerana dicaj RM6 lebih untuk jumlah buah yang tidak sampai segenggam pun. Namun kerana saya memerlukannya, soal harga terpaksa ditolak ke tepi. Apabila tiba di rumah adik, oleh kerana terlalu teruja untuk mencubanya, saya terus mencampakkan 10 biji buah itu ke dalam periuk dan memasaknya hingga kembang. MasyaAllah, memang penuh periuk walaupun hanya 10 biji. Rupa-rupanya cara saya salah kerana ia tidak perlu dimasak sebaliknya hanya perlu direndam selama satu malam dan sedia untuk diminum. Adik-adik apa lagi, bukan main seronok lagi mentertawakan saya kerana insiden itu.

Hingga hari ini, batuk saya masih bersisa tetapi ia sudah tidak seteruk sebelum ini sehingga saya muntah setiap kali batuk. Ternyata masih banyak sumber alam yang mudah didapati dan berkhasiat di sekeliling kita berbanding menggunakan ubat-ubat moden.

Monday, May 21, 2012

Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...


16 Mei 2012 - Saya gagahkan diri ke KLIA untuk mengiringi seorang sahabat, Marhani, yang akan berlepas untuk menunaikan umrah bersama suami dan ibu mertuanya. Saya cemburu dengan Mar kerana berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan kenangan saya serta keluarga menunaikan umrah kira-kira 3 tahun yang lepas mula menyelubungi diri. Dek kerana keseronokan itulah, saya gagahkan juga diri untuk memandu dan menemui Mar di KLIA. Saya tiba agak awal juga di KLIA iaitu sekitar jam 6 petang tetapi saya terpaksa mengisi perut di medan selera terlebih dahulu kerana perlu mengambil ubat. Akhirnya saya temui Mar di kaunter F sekitar jam 7 malam. Aduhai, seronoknya melihat keceriaan wajah-wajah bakal tetamu Allah. Saya berdoa semoga suatu hari nanti saya dan keluarga akan berpeluang untuk ke sana lagi. InsyaAllah. Suatu tempat yang tidak segah kota-kota besar di dunia ini tetapi ketenangan yang diperoleh di situ tidak akan ditemui di tempat-tempat lain. Hanya mereka yang pernah menjejakkan kaki ke situ sahaja akan memahami perasaan saya ini. 

Semoga mendapat umrah mabrurah wahai sahabat!


Friday, May 4, 2012

Sihat Itu Nikmat

Bismillahirrahmanirrahim...

Manusia memang begini. Mudah lupa. Justeru, saya juga begitu. Apabila sudah sakit, baru tahu menghargai nikmatnya sihat. Kali ini saya betul-betul diuji malah hari ini sudah masuk hari ke-13 saya melaluinya. Ia juga punca saya menyepikan diri daripada mengemaskini blog buat seketika.

3 hari pertama demam, saya hanya terbaring sahaja di katil tidak mampu berbuat apa-apa malah makan minum juga tidak saya pedulikan. Akhirnya, adik lelaki saya, PakSoo, singgah dan menemani saya ke Hospital Serdang. Lain benar rasanya kali ini hingga terasa lemah longlai seluruh badan. Mujur ujian darah menunjukkan tiada tanda-tanda demam denggi. Saya diminta oleh doktor untuk banyakkan minum air kosong.

Selepas 2 hari, demam yang dialami tidak juga kebah menyebabkan adik-adik menggesa saya ke hospital sekali lagi. Akhirnya, kami ke KPJ Kajang sekitar jam 11 malam. Sekali lagi darah saya diambil dan diuji. Alhamdulillah, ujian kedua juga menunjukkan saya bebas dari demam denggi. Yang pasti, RM300++ melayang pada malam tersebut.

Di samping itu, saya turut menggunakan cara tradisional dengan menyapu air asam jawa ke kepala dan meminum air buah kembang semangkuk untuk menurunkan suhu badan. Selama ini buah kembang semangkuk hanya saya kenali sebagai salah satu bahan dalam laichi kang sahaja.

Hari ke-6, suhu badan mula berkurangan tetapi batuk yang keras pula mula menyerang. Hampir pecah dada saya setiap kali batuk malah ia sangat kerap. Tidur malam saya memang tidak lena langsung. Saat ini hati saya merintih, merindui belaian Abah Ummi yang begitu cerewet setiap kali anak-anak ditimpa sakit. Namun keadaan badan yang lemah menyebabkan saya terpaksa menahan perasaan kerinduan itu.

Hari ke-9, saya gagahkan juga diri untuk menghadiri kelas di UTM tetapi saya minta kebenaran pensyarah untuk meninggalkan kelas lebih awal kerana tidak mampu untuk bertahan sehingga ke akhir waktu.

Hari ke-11, saya tidak dapat menahan diri daripada pulang untuk menemui Abah Ummi meskipun hanya sekejap. Benarlah kata orang, seorang anak meskipun sudah dewasa tetap anak kecil di mata ibu bapa. Abah minta saya minum air zamzam yang diambil di telaga berhampiran tempat kelahiran Rasulullah sewaktu kami menunaikan umrah 3 tahun yang lalu. Allahu Akbar, pagi esoknya batuk saya berkurangan dan saya merasa lebih sihat. Mereka 'doktor' terbaik saya. Saya kembali ke KL pada hari ke-12 kerana ada tugasan yang perlu dilunaskan. Jika diikutkan hati, saya ingin duduk lebih lama lagi tetapi keadaan tidak mengizinkan. InsyaAllah saya akan pulang lagi apabila segala urusan telah disempurnakan.

Saya akui memang risau kerana belum menyempurnakan bahan untuk dipersembahkan di dalam kelas pada hari Ahad. Saya hanya punya sedikit masa lagi untuk menyempurnakannya dan hanya mampu berdoa semoga saya mampu untuk melakukannya.

Ujian kali ini benar-benar mengajar saya nikmat sihat yang kadang-kadang diabaikan. Saya buang segala bekalan makanan dan minuman segera yang tidak menyihatkan.

Satu-satunya perkara baik daripada ujian ini adalah berat badan saya turun mendadak akibat makan minum yang tidak terjaga akhir-akhir ini.

Saya serik!