Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, April 15, 2012

Timeline Allah - Belasungkawa Muhammad Asyraaf Amin

Bismillahirrahmanirrahim...

Muhammad Asyraaf Amin adalah anak ketiga abang saya, Md Hanafiah Amin yang saya panggil BaHa dan kakak ipar, Nurhasyimah Ishak. Dilahirkan pada 24 Mei 2010 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZ, KT) dan disambut dengan penuh kesyukuran serta kegembiraan oleh kami. Kelahiran Aysraaf melengkapkan keluarga BaHa yang telah memiliki 2 orang anak lelaki sebelum ini. Lalu kami gelar mereka 3 stooges

Setiap kali pulang ke kampung, kami pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bertemu dan bermain dengan 3 stooges malah BaHa juga sering pulang ke kampung pada hujung minggu menjenguk Abah Ummi. Abah pula dalam tempoh seminggu, pasti akan ke Chendering untuk menjenguk cucu-cucunya dan melepaskan rindu. Jika BaHa mempunyai urusan di KL pula, sudah pasti mereka akan bermalam di teratak saya dan saat itu teratak saya akan riuh rendah dengan suara 3 stooges. Momen itu amat bermakna buat saya kerana keletihan mengharungi kehidupan seharian pasti akan hilang saat melayani keletah mereka. 



Asyraaf sewaktu kenduri cukur jambul pada 5 Jun 2010

25 Mac 2012 - Dalam entri ini, Abah Ummi membuat kejutan apabila datang ke KL tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada saya sedangkan saya sudah membeli tiket untuk pulang ke kampung dengan menaiki bas pada malamnya. Pada hari tersebut juga, saya telah bergegas dari UTM ke Celcom cawangan KLIA untuk membeli pakej iPhone kerana hanya cawangan tersebut yang beroperasi pada hari Ahad. Kesungguhan itu datang apabila urusan saya untuk membelinya juga dipermudahkanNya. Saya sudah berniat, jika pada hari itu saya berdepan dengan apa jua halangan, maka saya akan membatalkan niat tersebut. Ini merupakan kali pertama saya membeli sesuatu yang mahal untuk diri sendiri tetapi bukan soal pembelian telefon yang ingin saya kaitkan tetapi kisah di sebalik hikmah pembeliannya yang telah membuatkan hati saya benar-benar terkesan dengan Qada' dan Qadar Allah. 

27 Mac 2012 - Saya tiba di rumah BaHa dari Cameron Highlands bersama Abah Ummi. Petang itu saya sempat bermain-main dengan 3 stooges malah mereka turut mengiringi saya ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada malamnya untuk pulang ke KL. 

3 dan 4 April 2012 - Setelah sekian lama menangguhkan urusan menukar tayar kereta, akhirnya saya nekad melakukannya seperti dalam entri ini. Sesungguhnya perasaan nekad itu Allah hadirkan dalam diri saya kerana menyiapkan diri saya untuk berdepan dengan keadaan yang memerlukan saya menggunakan kereta tersebut untuk perjalanan yang jauh. 

6 April 2012 - Akhir-akhir ini saya sering memikirkan untuk menggugurkan subjek yang telah didaftarkan pada semester ini atas sebab-sebab tertentu termasuk masa yang agak terhad untuk urusan lain. Lantas selepas melakukan solat istikharah, saya nekad untuk menggugurkan 2 subjek dan mengambilnya pada semester hadapan. Lalu saya ke UTM pada hari tersebut bersama seorang teman yang juga ingin melakukan perkara yang sama. Usai urusan tersebut, saya telah berjanji untuk menjemput Marhani dan anaknya, Iskandar di rumahnya yang terletak tidak jauh dari UTM. Hati saya sungguh seronok kerana dapat menghabiskan masa bersama Iskandar kerana keletahnya mengingatkan saya kepada 3 stooges

Usai menghantar pulang Marhani dan Iskandar, saya ke Masjid Muaz bin Jabal di Setiawangsa untuk menunaikan solat Zuhur. Allahu Akbar, saya ditemukan dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang menangis sendirian. Hati saya jadi sayu lalu saya dekati anak kecil itu dan bertanyakan namanya. Rupa-rupanya ayah anak kecil itu tidak tahu yang kelas agama pada hari tersebut telah dibatalkan. Dia terus berlalu sebaik menghantar anaknya ke situ dan anak itu menangis ketakutan kerana ditinggalkan keseorangan. Saya minta izin anak itu (Fahmi) untuk mencari sebarang petanda seperti alamat rumah atau nombor telefon untuk dihubungi di dalam begnya. Malah saya tidak keberatan untuk menghantar Fahmi pulang ke rumahnya berdasarkan alamat yang saya temui pada surat di dalam begnya. Saya minta Fahmi menunggu saya untuk solat Zuhur terlebih dahulu dan berjanji untuk menghantarnya pulang selepas itu.

Usai solat, tiba-tiba datang seorang lelaki yang mengatakan bahawa dia adalah kakitangan masjid dan mengenali ayah Fahmi. Kecurigaan saya hilang apabila melihat lelaki itu membawa Fahmi memasuki pejabat masjid dan saya tunggu di luar masjid hampir setengah jam untuk memastikannya. Kata lelaki itu, kelas kebiasaannya akan tamat pada jam 5.30 petang dan Fahmi akan diserahkan kepada ayahnya selepas waktu itu. Saya tidak pasti apa motif lelaki itu berbuat demikian tetapi saya serahkan keselamatan Fahmi kepada Allah. 

Pada waktu malamnya pula, saya menghadiri Usrah di Masjid Al-Hasanah Bangi dan antara tajuk yang dikupas pada sesi tersebut adalah percaya kepada Qada' dan Qadar. Perbincangan pada kali ini agak lama daripada biasa dan tamat pada jam 10.30 malam. Sebenarnya, fikiran saya pada waktu itu sudah berkira-kira untuk pulang ke kampung selama beberapa hari kerana tidak mempunyai kelas pada minggu hadapannya tetapi perasaan masih berbelah bagi apabila mengenangkan senarai tugasan yang perlu dilunaskan. Usai usrah, seorang teman baik pula bermalam di teratak saya kerana waktu sudah agak lewat untuk pulang ke rumah sendiri. Saya alu-alukan kehadirannya kerana saya juga pernah sebelum ini bermalam di rumahnya. Setidak-tidaknya saya punya teman berbual pada malam itu. 

Dalam masa yang sama, Ummi menghubungi saya dan memaklumkan yang Abah kurang sihat. Hati saya tambah bercelaru lalu tanpa banyak soal, malam itu juga saya tempah 2 tiket kapal terbang untuk Abah Ummi datang ke KL pada malam esok. Niatnya saya ingin membawa Abah Ummi berjalan-jalan ke Singapura kerana paspot mereka sememangnya berada dalam simpanan saya. Lalu seperti biasa, saya minta bantuan BaHa untuk mencetak boarding pass Abah Ummi dan menghantar keduanya ke lapangan terbang. 

7 April 2012 - Jam 12 tengah hari, saya sedang berurusan di kawasan sekitar The Mines dan tiba-tiba menerima panggilan daripada nombor yang tiada dalam simpanan telefon tetapi entah mengapa, hati saya terdetik untuk mengangkatnya. Saya sebenarnya sering mengelak untuk menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali kerana selalunya ia untuk urusan insurans dan sebagainya. 

Ternyata panggilan itu daripada BaHa. Memang saya cam suara BaHa.

"Hello, berapa nombor Abah?" tanya BaHa kepada saya. 

"Amboi, takkan nombor ayah sendiri tak ingat kot," jawab saya dalam nada yang bergurau.

"Ini nombor siapa? Mujur Imah angkat. Ingatkan tak nak angkat dah sebab nombor tak kenal. Telefon BaHa mana?" ujar saya lagi.

"Telefon abang tak bawa, tertinggal kat rumah. Kat hospital ni," jawab BaHa dalam nada yang berbaur cemas. 

"Kenapa?" soal saya dengan nada yang sedikit keras. 

"Asyraaf jatuh. Berdarah-darah," jawab BaHa, jelas semakin cemas dan saya kesal kerana bergurau sebentar tadi.

"Allahuakbar, ini nombor Abah. BaHa telefon Abah dulu," balas saya dengan penuh kekesalan dan hati yang sudah tidak keruan. 

Saya terus menghubungi adik-adik memaklumkan keadaan Asyraaf kepada mereka. Kebetulan MakTeh dalam perjalanan ke Ipoh, AyahChik ke Jerantut menemui isterinya dan PakSoo pula bertugas. Lalu usai solat Zuhur, tanpa banyak soal saya terus memecut pulang menuju ke HSNZ, KT. Hanya Allah yang tahu perasaan saya saat itu dan saya sudah tidak peduli jika disaman kerana melebihi had kelajuan. Saya bertemu dengan AyahChik yang terus bertolak daripada Jerantut di Plaza Tol Jabor dan dari situ kami berkonvoi ke Kuala Terengganu melalui jalan Jerangau-Jabor. Saat begini saya rasakan alangkah baiknya jika saya punya sayap untuk terbang pulang segera berada di sisi BaHa dan keluarga. Abah Ummi juga telah tiba di sana lebih awal walaupun Abah masih belum betul-betul sihat. 

Akhirnya, saya dan AyahChik selamat tiba di Kuala Terengganu pada waktu Maghrib dan terus menemui Abah, Ummi dan BaHa yang kebetulan berada di Masjid Ladang. Allahuakbar, sayu hati melihat keadaan BaHa yang menitiskan air mata apabila Abah berpesan agar apa jua yang berlaku selepas ini, terimalah ia sebagai ketentuan takdir dan jangan menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku. Saat itu BaHa memaklumkan yang Asyraaf sudah bergantung kepada mesin sokongan hayat. 

Oleh kerana sudah melepasi waktu melawat, kami tidak dapat melihat keadaan Asyraaf lalu pulang ke rumah BaHa di Chendering terlebih dahulu. Di samping itu, kami perlu menjaga 2 orang anak BaHa, Adam dan Adeef yang ditinggalkan di rumah jiran selepas BaHa bergegas ke hospital. 

Dalam perjalanan pulang ke Chendering, seorang teman lama saya telah menghantar mesej melalui FB. Oleh kerana saya sudah menggunakan iPhone maka saya terus membaca mesejnya. Sudah pasti saya tidak dapat membacanya jika saya masih menggunakan telefon yang lama. Allah Maha Besar. Ia seperti dirancang apabila teman saya itu mempunyai adik yang bertugas sebagai doktor di HSNZ dan selepas diselidiki, ternyata doktor itu yang bertanggungjawab merawat Asyraaf. Saat itu saya sudah dimaklumkan tentang keadaan sebenar Asyraaf namun saya sesungguhnya tidak sampai hati untuk menyampaikannya kepada BaHa. 

MakTeh yang berada di Ipoh pula terus membeli tiket untuk pulang ke Kuala Terengganu dan BaAn juga bertolak pulang daripada Johor. Sementara itu, mertua BaHa juga sedang dalam perjalanan dan mereka dijangka tiba sebelum Subuh. Malam itu kami tidak dapat tidur dan tidak sabar menunggu hari siang untuk mengetahui keadaan Asyraaf. 

Saya memang tidak sanggup melihat anak kecil seusia Asyraaf (1 tahun 10 bulan) yang dipenuhi dengan pelbagai wayar. Ia bukan dibuat-buat tetapi naluri semulajadi yang berada di luar kawalan saya. Perasaan tidak sanggup melihat Asyraaf membuatkan saya mengalirkan air mata tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Tidak dapat saya gambarkan perasaan BaHa dan kakak ipar pada waktu itu berhadapan dengan situasi sebegitu. Saya tidak menyangka pertemuan pada 27 Mac yang lalu adalah pertemuan saya yang terakhir dengan Asyraaf. Waktu itu saya cukup terhibur dengan keletahnya memarahi abang-abangnya, Adam dan Adeef sehingga keletihan memandu berjam-jam daripada Cameron Highlands sebelum itu hilang begitu sahaja. 

8 dan 9 April 2012 - Ia satu tempoh yang cukup sukar buat kami dan keluarga saat ingin membuat keputusan untuk menghentikan mesin sokongan hayat. Saya dan MakTeh tidak berganjak dari sisi BaHa kerana menjaga Adam dan Adeef sementara Abah Ummi, BaMa, BaAn dan BaYu pulang ke kampung untuk menguruskan beberapa perkara di sana. 

10 April 2012 - Pagi itu saya dan MakTeh menghantar Adam dan Adeef ke sekolah dan kemudian terus menuju ke hospital untuk menemui BaHa. Tidak sanggup rasanya menatap wajah sugul BaHa tetapi kami harus kuatkan semangat kerana pada saat-saat begini BaHa memerlukan sokongan kami. 

Sekitar jam 11.45 pagi, saya dan MakTeh kembali ke Chendering untuk menjemput Adam dan Adeef pulang dari sekolah. Pada masa yang sama, PakSoo yang baru tiba dari KL juga telah sampai. Kami siapkan Adam dan Adeef sebelum bertolak ke hospital semula. Sebaik kami memarkirkan kereta di hospital, BaHa menghubungi kami.

"Ada kat mana?" tanya BaHa.

"Baru masuk hospital," jawab MakTeh.

"Naik semua, bawa Adam dan Adeef sekali. Abang nak buka mesin," terang BaHa.

Saat itu perasaan kami sukar untuk digambarkan. Bercampur baur tetapi kami teruskan juga langkah menuju ke wad ICU yang terletak di tingkat 6. Air mata sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi apabila diberi masa untuk mengucup dahi Asyraaf buat kali terakhir sebelum mesin dibuka. Allahuakbar, benarlah kehidupan ini hanyalah pinjaman dariMu jua. Saat tiba waktunya, pasti kami akan dipanggil mengadapMu kembali. 

Urusan kami membawa pulang jenazah Asyraaf Alhamdulillah telah dipermudahkanNya. PakSoo telah mendapatkan khidmat kereta peronda daripada 3 daerah untuk membuka laluan kami pulang ke kampung sehingga perjalanan yang sepatutnya memakan masa 1 jam menjadi setengah jam sahaja. Itu penghormatan terakhir dari PakSoo buat Asyraaf. 


Percutian terakhir di Bukit Fraser pada Januari 2012

3 stooges, kini tinggal 2


Gelagat Asyraaf pada pertemuan terakhir kami, 27 Mac 2012 

11 April 2012 - Alhamdulillah jenazah Asyraaf selamat disemadikan berhampiran kubur arwah bapa saudaranya (adik bongsu kepada kakak ipar) yang juga meninggal sewaktu kecil. Semacam rasa tidak percaya melihat BaHa meletakkan jenazah Asyraaf ke dalam liang lahad namun sebagai orang Islam, inilah ketetapanNya yang harus diterima bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Asyraaf sebenarnya bertuah menemui penciptanya dalam keadaan suci dan bersih dari sebarang dosa. Sesungguhnya kejadian yang menimpa Asyraaf adalah satu pengajaran kepada kami yang masih hidup bahawa kematian itu adalah pasti dan tempoh kehidupan ini adalah sangat singkat. Kematian boleh datang pada bila-bila masa dan ketika. 


Damailah dikau di sana sayangku, Asyraaf

Terima kasih Allah kerana meminjamkan kepada kami anugerah yang sungguh berharga ini meskipun untuk jangka waktu yang singkat.

Jika direnung kembali setiap susunan kejadian yang telah berlaku, ternampak bahawa sesungguhnya benarlah kehidupan ini telah ada timeline yang tercatat di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Tiada istilah suratan, kebetulan, kalau, mujur atau nasib baik kerana segala-galanya sudah berada di dalam pengetahuanNya jua.


  • Kejadian yang menimpa Asyraaf adalah pada waktu tengah hari iaitu sebelum Abah Ummi bertolak menaiki penerbangan ke KL pada malamnya. Saya tidak dapat membayangkan jika sewaktu kejadian kami sudah berada di Singapura atau di luar KL. 
  • Allah menggerakkan hati saya untuk membeli iPhone agar saya akhirnya, dapat berkomunikasi dengan doktor yang merawat Asyraaf.
  • Adik bongsu kakak ipar disemadikan di kampung kami, BaHa kemudian ditemukan jodoh dengannya dan akhirnya Asyraaf disemadikan berhampiran kubur bapa saudaranya sendiri. 
  • Lebih ironi, Asyraaf menghembuskan nafas terakhir di tempat dia dilahirkan iaitu HSNZ KT. 


Allahu Akbar! Allahu Akbar!

P/s: Tiada sebarang foto yang saya ambil sewaktu Asyraaf di hospital ataupun semasa diuruskan untuk pengebumian kerana saya tidak sampai untuk menyimpan memori sebegitu tentang Asyraaf. Saya hanya ingin mengingati momen-momen indah bersamanya sahaja. 

6 comments:

MamaYatie said...

pertama kali baca n3 care smp menitik2 air mata..

Damailah di sana wahai ahli syurga!

LavenderGal08 said...

Salam takziah dr effi..sebak membaca entri ni coz arwah and hayra sama baya.

Wan Anie said...

sebak saya baca cerita care ni...

Takziah kepada keluarga arwah termasuk Care dan keluarga...

Betul dunia hanya pinjaman semata, kita bila2 masa boleh pergi mengadap Tuhan yang menciptakan. Andainya hari ini adalah hari terakhir sudah tentu hari ini adalah terbaik dalam setiap amalan dan tingkah laku..

Ahli Syurga, bertuah ibubapanya.

hafezahzainudin said...

takziah buat ck & keluarga..betul kata mu tu ck..hati perempuan mana yg x sebak bila tengok darah daging sendiri bertarung nyawa di samping wayar2 yg berselirat..aku yg masa abeed sakit tu pun memang dh pasrah..mujur usianya masih panjang..aku harap,aku x perlu lagi melalui saat2 seperti itu..

Rush Murad said...

Tarikh lahir sama dengan saya...al-fatihah buat Asyraaf....

Carrie-Ma said...

Rush Murad,

Terima kasih.
Yang pasti, arwah kini berada di tempat yang lebih baik.