Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, April 4, 2012

Pilihan

Bismillahirrahmanirrahim...




Semalam hampir separuh hari saya berada di bengkel kereta untuk beberapa urusan menukar tayar yang telah botak, menggantikan brake pad yang haus, membuat alignment tayar dan servis minyak brek. Sudah agak lama sebenarnya saya berkira-kira untuk menukar tayar tersebut selepas beberapa kali mengalami kebocoran sebelum ini namun hasrat itu sering ditangguhkan apabila melihat keadaan bunga tayar yang masih elok. Namun minggu ini saya perasan yang keadaan bunga tayar sudah semakin menipis dan ada sebahagian yang sudah botak. Justeru saya memutuskan untuk menukarnya dengan segera kerana bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini, nauzubillah. 

Saya tiba di bengkel yang sering saya kunjungi di kawasan Serdang Raya sekitar jam 2.30 petang. Tempoh urusan keseluruhan menjadi panjang apabila brake pad yang dipesan mengambil masa yang lama untuk dihantar oleh pembekal. Memang saya fahami keadaan pemilik bengkel yang perlu memesan brake pad untuk kereta saya kerana ia jarang digunakan oleh orang lain. Barang yang dipesan hanya tiba pada jam 5 petang malah hampir-hampir saya berputus asa untuk menukarnya kerana terpaksa menunggu terlalu lama. Namun saya bersabar kerana melihat kesungguhan pemilik bengkel yang membuat panggilan beberapa kali kepada pembekal dan memaklumkannya kepada saya. 

Akhirnya, urusan selesai sekitar jam 5.30 petang dan saya terpaksa meminta urusan alignment tayar ditangguhkan kepada esok kerana saya telah berjanji untuk bertemu seorang teman pada jam 6 petang. Tanpa menyemak bil yang diberikan, saya terus membuat bayaran yang dinyatakan dan segera berlalu sambil berjanji akan kembali pada keesokan hari untuk urusan alignment tersebut. 

Malam tadi, sebelum melelapkan mata, tiba-tiba saya merasa sedikit hairan apabila jumlah yang dikenakan lebih rendah daripada perkiraan saya sebelum itu. Lalu saya capai bil tersebut dan ternyata pemilik bengkel telah terlupa untuk memasukkan caj servis minyak brek di dalam perkiraannya. 

Kini saya punya 2 pilihan. Pertama, bertindak untuk mendiamkan diri sahaja dan membuat alignment di bengkel yang lain pula dan kedua, menjelaskan bayaran tersebut semasa membuat alignment pada keesokan hari. 

Tanyalah iman, pasti ada jawapannya. Pagi ini saya kembali ke bengkel tersebut seperti dijanjikan semalam dan perkara pertama yang ditanya kepada saya adalah tentang kesilapan mereka dalam perkiraan semalam. Saya pasti mereka merasa lega apabila saya mengiakan pertanyaan mereka dan saya memenuhi janji untuk datang semula ke situ. Memang menjadi tabiat saya, jika sudah berpuas hati dengan servis yang diterima di sesebuah tempat, saya akan mengunjunginya lagi pada masa hadapan. Namun jika saya dilayan sebaliknya, maka ia pasti merupakan kali terakhir saya berurusan di situ. 

Soal bayaran pula, apalah erti sejumlah wang yang tidak dibayar berbanding dosa yang perlu ditanggung kerana menyembunyikan kebenaran dan menafikan hasil titik peluh orang lain. Hukuman atau balasan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Jangan sampai kereta saya rosak kerana dosa tersebut. Nauzubillah. 

1 comment:

Wan Anie said...

keputusan yang bijak :)