Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, April 17, 2012

Kejiranan

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam tadi saya dan beberapa orang jiran berkampung di balai polis lagi. Oh, bukan di dalam lokap tetapi kerana memfailkan aduan. Ini bukan kali pertama malah sudah masuk kali ketiga kami berbuat demikian. Jika diikutkan hati memang sudah tidak larat untuk melayan perkara remeh sebegini tetapi sesetengah orang memang suka menimbulkan kemarahan orang lain. Malah mereka merasa bangga dapat berbuat demikian. Semakin dibiarkan semakin menjadi-jadi pula. Tiada jalan lain, kami terpaksa menggunakan saluran undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. 

Pagi tadi juga kali ketiga saya ke pejabat Majlis Perbandaran Kajang untuk mendapatkan penjelasan kepada kekusutan yang sedang dihadapi. Aduan sudah dibuat sejak akhir tahun lepas namun tiada tindakan untuk penyelesaian yang konkrit diterima. Lebih menyedihkan apabila aduan hanya diproses apabila saya hadir sendiri sebelum ini ke sana. Saya cuba memujuk hati dengan mengatakan yang ia adalah rencah apabila berurusan dengan yang bernama manusia. Pasti tidak lepas dari sebarang kelemahan namun kelemahan yang sama diulang adalah satu perkara yang amat sukar untuk diterima. 

Kejiranan yang baik adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada ketenangan dalam hidup kita. Justeru, apabila ada mana-mana pihak yang cuba untuk menggugat keamanan itu dan berlagak seperti samseng kongsi gelap, ia adalah sesuatu yang cukup menyakitkan hati. Apa tidaknya jika dihalang untuk memasuki kediaman sendiri oleh orang yang tidak sepatutnya. Peraturan yang ditetapkan pula seolah-olah dipandang sepi. Dalam soal ini, saya kesal dengan pihak berwajib yang sepatutnya memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan tersebut gagal berbuat demikian. 

Sebagai seorang yang berpelajaran, saya akan terus bertindak menggunakan saluran undang-undang sedia ada dan saya serahkan segala-galanya kepada Allah untuk membantu menguraikan kekusutan ini. Hanya Dia Yang Maha Tahu hikmah di sebalik semua kejadian ini. Saya tidak akan sekali-kali menggunakan 'undang-undang hutan' sepertimana yang dilakukan oleh mereka. Saya akan terus bertahan untuk menuntut hak sendiri dan semoga Allah akan menunjukkan jalan keluar yang terbaik buat kami. Amin. 


No comments: