Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, March 14, 2012

Ziarah Spontan - Episod 2

Bismillahirrahmanirrahim...

12 Mac 2012 (Isnin) - Kami meneruskan perjalanan pulang ke Terengganu dengan melalui Lebuhraya Timur Barat. Seingat saya, kali terakhir melalui jalan ini adalah kira-kira 3 atau 4 tahun yang lalu. Saya pernah memandu 2 buah kereta saya sebelum ini iaitu Kancil dan Kenari melaluinya. Kali ini dengan menaiki kereta MakTeh pula. Pemanduan di laluan ini agak meletihkan sebenarnya kerana melalui lereng-lereng bukit yang berbengkang bengkok dan perlu berhati-hati jika ada binatang yang melintas. Oleh sebab itu saya seboleh mungkin cuba mengelak untuk memandu di sini pada waktu malam. Seorang teman pernah memberitahu yang dia dan keluarga pernah terserempak dengan sekawan gajah yang melintas jalan sehingga menyebabkan cermin sisi keretanya pecah akibat cuba mengelak daripada melanggar gajah-gajah tersebut. Mujur juga tiada sebarang kejadian yang lebih serius menimpa keluarganya. Justeru, apabila MakTeh menyatakan keinginan untuk memandu pulang berseorangan ke kampung, saya menolaknya dan seboleh mungkin berusaha untuk pulang bersamanya. Saya bukan menidakkan kemampuan MakTeh untuk memandu di situ tetapi ia lebih kepada meredakan kebimbangan di hati sendiri dan juga kebimbangan Abah Ummi. 

Sebelum memasuki Lebuhraya Timur Barat, kami perlu memasuki Daerah Baling dan Gerik. Ada beberapa lokasi yang pernah kami kunjungi semasa melaluinya bersama-sama Abah Ummi tetapi ia telah berubah wajah menjadi sebuah resort iaitu Belum Rainforest Resort. Sebelum ini, ia hanya sebuah tempat rehat yang mengandungi sebuah restoran dan beberapa buah kedai yang menjual ikan sungai.  

Selamat datang ke Daerah Baling

Laluannya agak curam dan bengkang bengkok

Selamat datang ke Gerik

Awas gajah melintas

Belum Rainforest Resort

Sempat juga kami singgah sebentar di resort tersebut untuk melihat keindahannya tetapi kadarnya melebihi kemampuan kami. Tidak pula kami merancang untuk bermalam di situ. Hanya sekadar untuk mengetahui sahaja. 

Tidak jauh dari resort tersebut, kami singgah di hentian jeti awam yang ditenggelami oleh air sungai. Agak tinggi juga air kerana dapat dilihat beberapa kemudahan di situ tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air malah ada jalan yang hanya tinggal papan tanda sahaja. Di samping itu, kami juga sebenarnya sedang mencari tempat untuk makan tengahari. Memang ada sebuah gerai makan di situ tetapi kami jadi 'patah selera' apabila air yang bertakung mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Lalu kami beredar daripada situ dengan harapan akan menemui tempat makan lain yang lebih baik. 


Tenggelam

Jalan tetapi yang tinggal hanya papan tanda

Alhamdulillah, akhirnya kami singgah di Hentian Titiwangsa yang jauh lebih selesa dan juga udaranya sangat nyaman. Mungkin kerana kedudukannya yang berada di Banjaran Titiwangsa. Hanya ada sebuah restoran sahaja beroperasi di situ iaitu Restoran Amiza Titiwangsa tetapi tempat duduk yang disediakan mampu menampung jumlah pengunjung yang ramai. Lebih-lebih lagi sekarang adalah musim cuti sekolah. Masing-masing ingin mengambil peluang membawa keluarga bercuti ke tempat-tempat menarik atau setidak-tidaknya dalam perjalanan pulang ke kampung seperti kami juga. 

Lauk yang dijual sederhana sahaja tetapi ia mampu membuka selera saya terutama apabila ada ulam dan budu. Memang puas hati dan berbaloi kerana harga yang dikenakan juga berpatutan. Bagi penggemar belut, restoran ini juga turut menyediakan hidangan tersebut tetapi saya bukan salah seorangnya. Hampir-hampir saya mencedoknya sebelum membatalkan niat apabila terpandang tulisan 'belut' berhampiran bekasnya. 


Ulam dan budu, penambat selera

Satu-satunya restoran yang beroperasi di sini

Usai makan tengahari, kami teruskan perjalanan tanpa menunaikan solat jama' terlebih dahulu kerana menjadi tabiat saya, lebih gemar bersolat di masjid berbanding tempat solat yang disediakan di kawasan hentian rehat. Namun, saya berani berbuat demikian apabila melihat waktu masih awal iaitu sekitar jam 2 petang. Lalu saya niatkan untuk solat jama' ta'khir sahaja. Seperti biasa, laluan masih bengkang bengkok namun jumlah kenderaannya tidak begitu banyak dan selesa untuk pemanduan. Saya cuma risau jika hujan turun sebelum kami sempat tiba di kaki bukit kerana saya memang tidak berapa selesa memandu dalam hujan yang lebat. 

Di laluan ini, ada sebuah terowong yang agak unik (pada anggapan saya) apabila ia hanya dibina bertujuan untuk menampung struktur bukit di kawasan tersebut sahaja. Kami menyaksikan pembinaannya daripada hanya beberapa batang tiang sahaja, kemudian menjadi banyak dan kini sudah mempunyai bahagian atap pula. 

Menuju terowong unik

Dahulu kami melihat hanya beberapa batang tiang sahaja. Kini ia sudah lengkap.

Perjalanan terasa lebih dekat apabila menemui papan tanda selamat datang memasuki sempadan negeri Kelantan. Lega rasanya kerana itu bermakna laluan bengkang bengkok akan berakhir dan dalam masa yang sama, hujan yang agak lebat juga mula turun.  

Sempadan negeri Kelantan

Hujan lebat

Tugu sempadan

Daerah pertama yang kami lalui adalah Jeli dan dari situ kami akan melalui Tanah Merah dan seterusnya menempuh kawasan Bukit Bunga. Ia juga salah satu tempat yang sering menjadi persinggahan apabila melalui jalan ini. Di Jeli, kami sempat singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat jama' ta'khir yang masih belum dilunaskan sejak tadi tetapi saya terlupa nama kawasan tersebut. 

Memasuki daerah Jeli

Bukit Bunga ini memang tempat tumpuan perniagaan terutama buah-buahan, peralatan dapur seperti periuk dan juga pakaian. Tidak banyak yang kami beli cuma buah kundang dan mangga untuk dijadikan buah tangan pulang ke kampung. 

Memilih buah kundang, RM7 sekilo

Bantal

Peralatan dapur

Kami teruskan lagi perjalanan tetapi terpaksa berhadapan dengan sedikit kesesakan mungkin kerana aliran masuk kenderaan ke Kelantan yang sudah semakin banyak. Namun kesesakan itu cuba dikawal oleh polis trafik yang bertugas menjaga lalulintas. 

Berdepan dengan kesesakan

Perasaan menjadi lebih lega apabila akhirnya memasuki sempadan negeri Terengganu. Waktu itu jam sudah menghampiri pukul 6 petang dan saya juga sudah mula merasai kepenatan memandu. MakTeh pula telah menghubungi kawan baiknya yang kini mengikuti pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Kuala Terengganu mengajak untuk keluar makan bersama dan kami dijangka tiba di sana sekitar jam 8 malam. 

Sempadan negeri Terengganu

Oleh kerana saya akan menaiki penerbangan ke KL pada malam esok, kami akan bermalam di rumah BaHa sahaja di Chendering dan Abah Ummi akan datang pada keesokkan harinya untuk menghantar saya ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Ketika memasuki daerah Jerteh, hujan masih belum berhenti dan keadaan jalan juga masih dipenuhi oleh lopak air. Tanpa disangka, sebuah kereta Iswara telah secara tidak sengaja melanggar bumper belakang kereta Makteh ketika cuba mengelak lopak air di hadapannya. Geram pun ada juga atas kelalaian pemandu tersebut tetapi apabila memikirkan keadaan cuaca yang hujan dan hari juga sudah semakin gelap, kami hanya mengekori kereta tersebut yang kelihatan cuba melarikan diri. Sempat juga kami mencatit nombor pendaftarannya dan mengambil gambar kereta tersebut tetapi apabila dia dilihat membelok ke laluan yang gelap, saya membatalkan hasrat untuk terus mengekorinya. Mungkin sudah takdir kejadian ini akan berlaku dan syukur hanya calar-calar biasa sahaja pada bumper kereta MakTeh. 

Dek insiden tersebut, kami tiba agak lewat di UNISZA iaitu jam 9 malam. Sempat juga kami meninjau keadaan asrama yang didiami oleh kawan MakTeh, MakNik sambil melepaskan lelah memandu sebentar tadi. 

Di hadapan pintu masuk asrama MakNik 

MakTeh dan teman baiknya, MakNik

Tunggangan kami sepanjang ziarah ini

Usai menjemput MakNik, kami singgah sebentar untuk makan malam di sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari UNISZA. Kemudian kami teruskan perjalanan pulang ke rumah BaHa di Chendering. Sungguh tidak sabar rasanya untuk berbaring dan meregangkan otot-otot selepas seharian memandu dari Utara ke Timur. Esok pula ada misi yang perlu saya sempurnakan di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu sebelum berlepas menaiki penerbangan pada jam 9.10 malam. Syukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini, selain insiden kecil pergeseran bumper, sepanjang perjalanan kami tadi. 


No comments: