Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, March 13, 2012

Ziarah Spontan - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

11 Mac 2012, 6.00 petang - Saya mulakan perjalanan menuju ke Kulim bersama adik, MakTeh, yang sepatutnya sudah bertolak pulang ke kampung sempena cuti sekolah. Dari awal lagi, saya memang sudah berniat untuk menghadiri majlis perkahwinan adik ipar BaHa yang diadakan di Kulim pada 10 Mac 2012. Namun hasrat itu terpaksa saya kuburkan kerana perlu menghadiri kelas pada hujung minggu. Manusia merancang, perancangan Allah jauh lebih hebat. Saya menerima berita kemalangan BaHa dan keluarga menyebabkan niat yang telah terkubur kembali menyala. Pun begitu, saya masih dihantui kerisauan apabila masih banyak tugasan yang perlu saya lunaskan di samping telah membuat temujanji bersama supervisor pada hari Rabu. Saya buntu untuk membuat keputusan sama ada untuk pergi ke Kulim atau tidak. Ini antara kelemahan saya yang nyata. Setiap kali mendengar berita yang kurang baik menimpa ahli keluarga sendiri, saya jadi tidak senang duduk. 

Akhirnya, saya hubungi MakTeh untuk mendapatkan pandangan sama ada perlu pergi atau tidak tetapi MakTeh akhirnya menyerahkan kepada saya untuk memutuskannya kerana dia tidak punya sebarang halangan. Kemudian saya hubungi BaHa pula untuk mengetahui perancangannya sama ada Baha bercadang untuk kembali ke Chendering dan meninggalkan kereta di Kulim terlebih dahulu untuk diperbaiki atau ada perancangan lain. Atas beberapa faktor termasuk masa dan kewangan, BaHa memutuskan untuk menunggu sehingga keretanya siap dibaiki terlebih dahulu. Ini kerana antara alternatif yang kami fikirkan adalah saya dan MakTeh ke Kulim dengan menaiki kereta MakTeh dan MakTeh meneruskan perjalanan pulang ke kampung bersama BaHa manakala saya akan menaiki kapal terbang daripada Pulau Pinang untuk pulang ke KL. 

Memandangkan BaHa sudah memutuskan untuk menunggu kereta siap dibaiki, saya terpaksa memikirkan alternatif lain untuk pulang ke KL dan pada masa yang sama mengelakkan MakTeh daripada memandu pulang seorang diri melalui Lebuhraya Timur-Barat. Saat itu saya sudah terasa berat hati untuk ke sana kerana beranggapan segala halangan yang timbul sebagai petunjuk bahawa Allah tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian. Lantas saya tunaikan solat istikharah sebelum melelapkan mata. Semoga Allah memberi jawapan kepada kekabutan yang saya alami. 

Bangun daripada tidur, perasaan untuk pergi begitu kuat saya rasai. Lantas saya hubungi MakTeh memaklumkan yang saya telah memutuskan untuk pergi ke Kulim dan MakTeh perlu menunggu sehingga saya tamat kelas sebelum bertolak ke sana. Saya juga minta MakTeh untuk menempah tiket kapal terbang daripada Kuala Terengganu pada malam Selasa kerana saya perlu bergegas ke UTM. 

Oleh kerana saya akan menaiki kapal terbang, saya minta MakTeh untuk datang ke teratak saya dan kami sama-sama bergerak ke Putrajaya Sentral. Saya meninggalkan kereta saya di situ supaya tidak perlu mendapatkan teksi sebaik tiba di KLIA kelak. Saya hanya perlu mengambil tren KLIA Transit daripada KLIA ke stesen Putrajaya Sentral dan menaiki kereta untuk pulang. Menurut perkiraan saya, adalah lebih menjimatkan untuk memarkirkan kereta di situ berbanding mengambil teksi untuk pulang ke teratak kerana kadar yang dikenakan adalah RM8 sehari sedangkan tambang teksi boleh mencecah sehingga RM50. 

Dari Putrajaya Sentral, kami meneruskan perjalanan memasuki lebuhraya PLUS. Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di rumah adik yang tinggal di Tanjung Malim untuk solat jama'. Kemudian kami teruskan kembali perjalanan menuju ke Kulim dengan kelajuan sekitar 90-100 km/j sahaja. Sengaja saya kekalkan gaya pemanduan sebegitu kerana tiada apa yang ingin dikejarkan. 

Ramai yang berkata (termasuk adik-adik), saya ini jenis yang suka buat 'kerja gila'. Bermaksud meredah sahaja ke mana-mana sedangkan ia jarang dibuat oleh orang lain. Bagi saya, ia bukan perkara besar. Asalkan saya pasti apa yang ingin dilakukan selamat, dengan yakin akan saya teruskan kerana tidak selamat di mata orang, belum tentu tidak selamat juga di mata saya. Keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama dalam setiap langkah kehidupan ini adalah azimat paling besar buat diri saya.  



Oleh kerana keputusan ke sana dibuat pada saat-saat akhir, tiada sebarang urusan tempahan penginapan dibuat lebih awal malah kami sudah memutuskan untuk bermalam di dalam kereta sahaja dengan memarkirkan kereta di mana-mana kawasan R&R atau masjid. Namun, perancangan berubah apabila kami melepasi tol Juru seawal jam 12 tengah malam menyebabkan kami merasakan perlu untuk mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya. Mujur juga telefon bimbit MakTeh dilengkapi kemudahan Internet. Kami hubungi Kulim Inn untuk mengetahui sama ada masih ada kekosongan atau tidak. Alhamdulillah, kekosongan masih ada cuma kami memutuskan untuk tiba di Kulim terlebih dahulu dan meninjau-ninjau jika ada hotel bajet lain di sekitar situ. 

Nak dijadikan cerita, dalam perjalanan, kami terpandang Restoran Nasi Kandar Pelita, Bukit Minyak lantas terus memarkirkan kereta di situ. Kami berani berbuat demikian kerana tahu destinasi yang ingin dituju sudah semakin hampir dan perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Akhirnya, sekeping roti telur menjadi habuan saya dan sekeping roti bawang pula menjadi habuan MakTeh. Alhamdulillah. 

Apabila kami memasuki kawasan Kulim, kami terus terpandang Kulim Inn yang terletak di laluan utama menyebabkan kami memutuskan untuk menginap di situ sahaja. Di samping itu, persekitarannya yang nampak lebih selamat dan dikelilingi oleh lampu-lampu ala-ala i-City turut mempengaruhi keputusan kami. Mujur juga masih ada kekosongan bilik standard pada kadar RM100 semalam. Berbaloi rasanya dengan keluasan bilik yang selesa dan kemudahan yang setaraf hotel 2 bintang. Memadailah untuk kami melelapkan mata dan membersihkan diri selama 1 malam. Saya sengaja tidak menghubungi BaHa terlebih dahulu memaklumkan kehadiran kami kerana tidak mahu menyusahkan keluarga mertuanya yang baru sahaja selesai kenduri. 





Lucunya, dalam kekalutan bertolak ke Kulim, saya terlupa untuk membawa kain telekung menyebabkan saya terpaksa menumpang solat Subuh di surau yang disediakan di situ. Usai bersiap, saya melihat-lihat sekitar kawasan penginapan dan mendapati kemudahan kolam renang turut disediakan di situ. Malangnya, ia tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kemudahan itu terbengkalai begitu sahaja. Kulim Inn sebenarnya berada di bawah autoriti Majlis Perbandaran Kulim dan kebanyakan program yang dibuat di situ oleh jabatan-jabatan Kerajaan juga.



Kemudian saya maklumkan kedatangan kami kepada BaHa tetapi ingin menikmati sarapan terlebih dahulu di gerai Nasi Lemak Mummy yang terletak tidak jauh daripada Kulim Inn. Mereka hanya menjual nasi lemak sahaja tetapi jumlah pelanggan sangat ramai. Ternyata sambal nasi lemak di sini berjaya menambat hati saya yang memang agak cerewet dengan rasa sambal nasi lemak. Bagi saya, sambal adalah penentu sedap atau tidak nasi lemak tersebut selain nasinya sendiri. Nasi lemak biasa dijual pada harga 70 sen sahaja untuk 1 ceduk dan pelanggan boleh memilih lauk telur, ayam atau sotong dan dikenakan caj berlainan. Kami memilih nasi lemak double (2 ceduk) berlauk ayam rempah serta teh tarik. 



Usai sarapan, kami bergerak ke rumah mertua BaHa yang terletak tidak jauh daripada gerai makan tersebut dan juga bersebelahan dengan pasaraya TESCO Kulim. Memang rezeki kami, sekali lagi kami dijamu oleh keluarga mertua BaHa untuk bersarapan. Aduhai, kenyang sungguh rasanya. Agak lama juga kami berbual-bual dan melihat sendiri keadaan kereta BaHa yang ditimpa kemalangan. Jika diikutkan, agak teruk juga kejadiannya apabila 2 ekor lembu maut dan seekor cedera parah namun Allah masih menyayangi mereka. Tiada sebarang kecederaan langsung menimpa BaHa dan keluarga. Syukur kerana kereta yang rosak boleh dibaiki meskipun bakal memeningkan kepala juga tetapi nyawa tiada galang gantinya. 




Sekitar jam 11.30 pagi, saya dan MakTeh memohon diri untuk beransur pulang ke Terengganu pula agar saya dapat melepasi Lebuhraya Timur Barat sebelum malam menjelma. Tambahan pula, kami masih belum mendaftar keluar daripada Kulim Inn dan barang-barang kami masih lagi ditinggalkan di situ. Lega rasanya apabila melihat BaHa dan keluarga berada dalam keadaan selamat dan kami juga sudah mendapat rehat yang cukup sebelum meneruskan perjalanan pulang yang akan memakan masa antara 7 hingga 8 jam. 

No comments: