Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, March 8, 2012

Ukhuwwah

Bismillahirrahmanirrahim...




7 Mac 2012 (Rabu) - Suatu waktu dulu sahabat saya ini, Fatimatuzzahra' (saya memanggilnya Fatimah), pernah menjadi saksi melihat saya menitiskan air mata kerinduan selama berhari-hari apabila terpaksa berpisah dengan keluarga untuk memasuki asrama demi masa depan yang lebih baik. Mujur juga kami dibenarkan untuk tinggal di dorm yang sama membuatkan saya merasa tidak terlalu asing. Apa tidaknya, kami sudah saling mengenali sejak di bangku sekolah rendah malah kami tubuhkan study group sendiri bersama beberapa orang rakan yang lain. 

Keakraban kami sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu terutama sewaktu di tingkatan 1 memang terserlah apabila ke mana-mana sahaja akan berdua.  Kami juga pernah menyimpan impian untuk sama-sama melanjutkan pengajian ke Mesir namun akhirnya hanya Fatimah sahaja yang berjaya menggapai impian itu sedangkan saya meneruskan perjalanan dalam bidang teknikal. Namun, mungkin kerana ketidakmatangan saya pada waktu itu, hubungan kami menjadi renggang seketika sehingga kami membawa haluan masing-masing selepas tamat ujian Penilaian Menengah Rendah. 

Sejak itu, saya mengikut haluan sendiri dan Fatimah pula terus mencipta kegemilangan dalam bidangnya sendiri. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa menghadiri majlis perkahwinan Fatimah iaitu 9 tahun yang lalu dan sejak itu kami tidak pernah bertemu langsung kerana Fatimah mengikut suami terbang ke luar negara. 

Semalam, tanpa dirancang, saya terpandang status Fatimah di FB menyatakan yang dia dan keluarga berada di Putrajaya kerana mengikut suami yang bertugas di situ. Lantas hati saya terasa untuk bertemu dengannya sebaik selesai urusan berjumpa supervisor di UTM. Saya hubungi Fatimah dan kami berjanji untuk bertemu di penginapan mereka, Hotel Pullman. 

Saya bawa Fatimah dan anak-anak ke sebuah restoran di sekitar Putrajaya iaitu Umai Cafe untuk berbual-bual. Wajah Fatimah tidak jauh berbeza dan Fatimah juga mengatakan wajah saya masih tidak berubah sejak zaman sekolah. Entahlah, saya sendiri tidak perasan dengan perubahan wajah sendiri. Tidak banyak yang kami perbualkan kerana waktu yang suntuk dan Fatimah pula sudah berjanji untuk bertemu seorang sahabat lagi selepas waktu Maghrib. Namun kadang-kadang kata-kata tidak diperlukan apabila dapat menatap wajah seorang sahabat yang pernah sama-sama melalui suka duka kehidupan. Yang mengenali peribadi saya seadanya. Saya juga hanya banyak mendengar Fatimah bercerita sambil melayan kerenah anak-anaknya yang comel dan mudah mesra. 

Meskipun terasa belum puas untuk berbicara, kami beredar apabila azan Maghrib berkumandang. Entah mengapa hati saya jadi sayu saat bersalaman dengan Fatimah sehingga tanpa sedar airmata laju menuruni kelopak mata. Ia tidak dapat ditahan-tahan lagi saat saya memeluk Fatimah. Mungkin inilah yang dinamakan ukhuwwah fillah. Saya mengasihinya sebagai seorang sahabat tanpa ada sebarang syarat. 



1 comment:

Wan Anie said...

Saya pun rindu nak jumpa Far....

ukhuwah fillah, (teringat lagu zaman sekolah dulu, pertemuan kita di suatu hari....)