Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, March 2, 2012

Tiada Alasan Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah lama saya berhajat untuk membeli alat senaman tetapi niat itu sering tertangguh. Namun keterujaan itu timbul semula apabila adik saya, MakTeh, membeli seunit strider tetapi apabila memikirkan yang saya akan pulang bercuti di kampung, hajat itu saya tangguhkan terlebih dahulu. 

Sewaktu di kampung, saya telah membelikan sebuah alat senaman yang dipanggil OrbiTrac untuk kegunaan Abah Ummi apabila Ummi meluahkan kegusaran tidak sempat untuk bersenam di taman. Kemudiannya, saya terfikir untuk membeli unit yang sama bagi kegunaan sendiri pula. OrbiTrac untuk Abah Ummi saya beli di sebuah kompleks membeli-belah di Kuantan tetapi malangnya syarikat tersebut tiada cawangan di Lembah Klang. Justeru, saya mencari-cari di Internet dan juga meronda kompleks membeli-belah atau kedai-kedai yang menjual alat senaman untuk mencari unit yang sama tetapi gagal. Jika ada pun, harganya melebihi bajet saya. Di samping itu, saya juga turut berkira-kira untuk membeli sama ada Treadmill atau Orbitrac. Saya dapatkan pandangan teman-teman yang pernah membelinya tentang pro dan kontra antara kedua unit tersebut. Akhirnya, saya putuskan untuk membeli OrbiTrac kerana mengambilkira faktor bajet, kegunaan dan juga ruang di teratak saya. 

Untuk memenuhi hajat itu, setiap kali mempunyai masa terluang, saya pasti akan meronda-ronda ke MidValley dan beberapa buah kompleks membeli-belah lain untuk mencari unit yang dapat memenuhi kriteria yang saya kehendaki. Pun begitu, usaha saya menemui kebuntuan apabila unit yang dicari gagal ditemui di tempat-tempat tersebut dan jika ada pun, harganya terlalu mahal sehingga mencecah RM2000++ sedangkan unit yang saya beli untuk Abah Ummi hanya berharga RM850. 

Semalam saya telah berjanji untuk membantu sahabat saya, Nurashikin, menguruskan pembelian hadiah untuk program Alumni MRSM Muar yang akan diadakan pada hari Ahad ini. Tanpa disangka, sebaik memasuki ruang TESCO Ampang, saya menemui booth yang menjual alatan senaman berjenama Smartlife. Lebih menarik perhatian saya apabila unit yang dicari-cari ada di depan mata. Tanpa banyak soal, saya terus bertanya kepada penjual tentang harganya. Sebaik diberitahu harga ditawarkan adalah RM750, saya terus bersetuju untuk membelinya sehinggakan penjual tersebut seolah-olah terkejut dengan keputusan mendadak saya itu. Mungkin tidak menyangka semudah itu saya akan membelinya tanpa tawar menawar lebih lanjut. Lebih mengujakan apabila harga yang ditawarkan adalah harga promosi kerana harga sebenar adalah RM1,298. 

Alatan senaman di booth Smartlife


Harga sebenar adalah RM1,298

Usai membuat bayaran, penjual tersebut memaklumkan yang penghantaran akan dibuat dalam masa seminggu dan minimum 3 hingga 4 hari. Bagi saya, ia bukan satu masalah asalkan saya dihubungi lebih awal memaklumkan masa penghantaran agar mudah untuk saya menyusun jadual pergerakan. Namun tanpa disangka-sangka, pihak syarikat menghubungi saya memaklumkan yang penghantaran akan dibuat pada hari ini dan mereka berjanji untuk tiba pada jam 4 petang. Sudah pasti saya lebih teruja kerana tidak menyangka penghantaran dibuat secepat ini. Syukur, ada hikmahnya saya menemani Nurashikin semalam kerana di samping dapat membantu menyelesaikan urusan program bersama, saya juga menemui apa yang saya cari. 


Bersenam sambil menonton televisyen

Oh ya, di samping OrbiTrac, saya juga turut mendapat alas refleksologi secara percuma. Teruja kuasa 3 jadinya, Alhamdulillah syukur. Kini saya tiada alasan lagi untuk tidak bersenam kerana segala hajat saya telah dipermudahkanNya. 

Ia percuma

Moga-moga saya istiqamah untuk bersenam terutama jika saya tidak sempat untuk berbriskwalk pada waktu petang. Sasaran saya adalah untuk mengeluarkan peluh sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. 

No comments: