Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, March 23, 2012

Syukur

Bismillahirrahmanirrahim...

Perasaan saya bercampur baur apabila menerima pujian atas persembahan kumpulan yang telah dibuat pada pagi tadi. Ada rasa sayu kerana dalam keadaan saya tidak begitu sihat, Allah berikan kemudahan kepada saya untuk menyempurnakan tugasan pengajian dengan baik. Sungguh! Dia Maha Adil. Agak teruk juga demam pada kali ini kerana berlarutan sehingga hari ini iaitu hari kelima. Selalunya ia akan kebah dalam masa sehari dua sahaja. Dek kerana itu, persiapan yang dibuat untuk sesi persembahan juga tidak seperti sebelum ini. Syukur kerana akhirnya, ia tidak mempengaruhi persembahan saya. 

Slot kelas pada petang ini pula dibatalkan atas permintaan rakan-rakan sepengajian yang masih belum menyiapkan slides mereka. Lega rasanya kerana kami sudah melunaskan tugasan yang diberi lalu saya luangkan masa berada di perpustakaan. Konsep saya cukup mudah apabila diberi sesuatu tugasan atau arahan. Jangan terlalu cerewet dan jangan pula terlalu banyak bertanya soalan yang remeh sehingga perkara yang mudah ternampak seperti sukar. Laksanakan dahulu tugasan itu dan cuba perbaiki dari semasa ke semasa jika perlu kerana jika menunggu untuk faham segala-galanya baru ingin dilaksanakan, ketika itu ia sudah terlewat. Lebih malang, kefahaman tidak akan muncul langsung akibat menangguhkannya sehingga akhirnya tugasan yang diberi tidak mampu untuk disempurnakan. 

Konsep ini saya pegang dengan merujuk kepada peristiwa di dalam surah Al-Baqarah apabila kaum Bani Israil yang diperintahkan oleh Allah melalui Nabi Musa untuk menyembelih seekor lembu. Pelbagai soalan yang ditanya sebaik menerima perintah sehingga akhirnya menyusahkan diri mereka sendiri untuk menunaikannya. Justeru, sebaiknya setiap arahan diperlakukan sepertimana yang diarahkan sahaja atau sepertimana yang mampu difahami sahaja. Namun begitu, bertanya bagi tujuan agar lebih jelas dan faham tentang tugasan yang diberi tidak pula menjadi satu kesalahan. Pertanyaan yang menyusahkan ini adalah pertanyaan yang bersifat 'tidak perlu' sehingga akhirnya merumitkan lagi keadaan.  

Esok dan lusa adalah hujung minggu tetapi saya perlu menghadiri kelas. Moga demam ini akan segera sembuh. 

P/s: Thanks Uncle Lee for the concern and tip, appreciate it :) 

No comments: