Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, March 17, 2012

MATTA Fair

Bismillahirrahmanirrahim...

16 Mac 2012 (Jumaat) - Selesai urusan di UTM sekitar jam 4 petang, saya bergegas ke PWTC untuk mencari pakej bagi kembara Vietnam kami pada bulan Mei kelak. Meskipun jaraknya tidak berapa jauh daripada UTM, saya mengambil masa hampir setengah jam untuk tiba ke sana kerana perlu meredah lautan kenderaan di Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang. Mungkin juga kerana ini minggu cuti sekolah maka ramai yang mengambil peluang bercuti untuk meluangkan masa bersama keluarga menyebabkan jalan turut sesak walaupun di luar waktu puncak. Cabaran seterusnya apabila tiba di sana adalah untuk mencari tempat letak kereta. Konsep saya cukup mudah. Jika Allah mengizinkan saya untuk hadir di situ maka urusan saya akan dipermudahkanNya. Namun jika sebaliknya, maka akan ada halangan-halangan tertentu yang menyekat saya agar meninggalkan tempat tersebut. Cubaan pertama untuk memarkirkan kereta adalah di Hentian Putra kerana kedudukannya yang bersebelahan dengan PWTC dan juga kadarnya yang lebih murah iaitu RM3 per entry. Setengah jam di situ, saya gagal mendapatkan tempat malah hampir-hampir terperangkap dalam kesesakan yang lebih teruk. Lalu saya tinggalkan Hentian Putra untuk mencuba nasib di bangunan berhampiran iaitu Sunway Putra Mall (dulu ia dikenali sebagai The Mall). Mujur juga tiada bayaran dikenakan sewaktu saya meninggalkan Hentian Putra kerana saya maklumkan kepada petugas kaunter yang saya gagal mendapatkan tempat letak kereta. Jika saya gagal mendapatkan tempat di bangunan seterusnya maka saya akan membatalkan sahaja hasrat untuk ke MATTA Fair. Alhamdulillah, cubaan kali kedua berhasil malah amat mudah apabila ada pemilik kenderaan yang sudah selesai urusan ingin beredar dan saya mengambil tempatnya.

Sebelum menuju ke PWTC, saya tunaikan solat Asar terlebih dahulu di surau The Mall kerana memikirkan kesesakan jika saya menunaikannya di surau PWTC. Dalam perjalanan ke surau, saya bertembung dengan rakan MRSM Muar dan temannya yang secara kebetulan merupakan kakitangan UTM juga. Lebih menarik, beliau merupakan rakan baik kepada supervisor saya sekarang. Begitu kecil dunia ini. Alhamdulillah, bertambah lagi kenalan saya. Siapa tahu kami bakal berurusan pada masa hadapan dan perkenalan ini akan melancarkan lagi urusan kami.

Usai solat Asar, saya terus menuju ke PWTC melalui jejantas bertingkat yang baru siap dibina menghubungkan The Mall, PWTC dan stesen LRT PWTC. Anehnya, tabiat orang Malaysia lebih suka memilih jalan pintas meskipun kemudahan disediakan adalah untuk keselamatan mereka juga. Lebih menyakitkan hati apabila saya melihat timbunan kertas berupa risalah yang diedarkan oleh ejen-ejen pelancongan kepada pengunjung memenuhi laluan jejantas tersebut. Alangkah lebih elok jika risalah tersebut disimpan sahaja di dalam beg yang diberikan atau jalan mudahnya, tidak perlu mengambilnya terus jika tidak berminat.

Sasaran saya ke sana adalah untuk mencari pakej-pakej ke Ho Chi Minh sahaja meskipun sempat juga saya menjengah pakej-pakej lain yang menarik termasuk pakej umrah. Agak pening juga dikerumuni oleh lautan manusia dan para promoter yang gigih mempromosi pakej masing-masing. Lenguh juga kaki bergerak dari satu dewan ke dewan yang lain tetapi kerana saya sudah punya sasaran, tidak banyak masa yang saya habiskan di satu-satu booth yang disinggah.

Satu perkara yang menarik apabila saya singgah di sebuah booth, promoter berkenaan menyarankan agar saya tidak perlu mendapatkan pakej untuk kembara kami kelak kerana tidak berbaloi. Malah dia turut menyarankan agar saya menjadikan itinerari yang disediakan sebagai panduan. Menarik juga untuk difikirkan tetapi saya perlu membuat persediaan awal kerana turut membawa Abah Ummi. Jika saya pergi sendiri atau bersama adik-adik, sudah pasti saya lebih gemar melakukannya secara backpacker sahaja. 

Akhirnya, saya tinggalkan tempat itu apabila waktu menghampiri jam 7 malam dan saya tunaikan solat Maghrib terlebih dahulu di surau The Mall kerana yakin pasti tidak sempat menunaikannya jika saya terus bergerak pulang. Daripada mengambil risiko terlepas waktu, adalah lebih baik saya menunggu sehingga masuk waktu Maghrib terlebih dahulu.

Syukur misi saya tercapai meskipun saya merasakan pakej yang ditawarkan agak mahal. Setidak-tidaknya saya boleh menjadikan itinerari yang diperoleh sebagai panduan. 

2 comments:

Hambali ® said...

kemah keming CK

Carrie-Ma said...

Hambali/Seme,

Memey doh, kene kemah, kalo x, terburai haha