Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, March 31, 2012

Kembara Terkena

Bismillahirrahmanirrahim...

25 Mac 2012 (Ahad) - Usai tamat kelas di UTM sekitar jam 4.30 petang, saya terus bertolak pulang ke teratak untuk mengambil beg pakaian kerana saya telah membeli tiket bas untuk pulang ke kampung dengan menaiki bas jam 10 malam. Sengaja saya pilih tiket bas untuk naik di stesen Putrajaya Sentral agar saya dapat memarkirkan kereta di situ. Kepulangan ini juga sengaja tidak saya khabarkan kepada Abah Ummi kerana ingin memberi kejutan kepada mereka. 

Dalam perjalanan, saya menerima panggilan daripada MakTeh,

"You ada kat mana?" tanya MakTeh.
"I baru habis kelas. Sekarang on the way balik rumah, nak bersiap naik bas malam ni," jawab saya.
"You dah beli ke tiket bas malam ni?" tanya MakTeh lagi sambil ketawa.
"Dahlah. I beli online. Kenapa?" tanya saya dengan penuh rasa tidak puas hati.
"Tiket balik KL pun you dah beli?" soal MakTeh lagi dengan ketawa yang lebih kuat.
"I beli tiket flight Selasa malam balik KL. Kenapa ni?" soal saya lagi, semakin tidak puas hati.

Jawapan saya disambut dengan hilai tawa MakTeh yang semakin menambahkan kehairanan saya. 

"I rasa baik you batalkan jelah niat you nak naik bas malam ni sebab Abah Ummi sekarang ada di Tol Gombak," terang MakTeh berselang seli dengan tawa yang masih belum habis.

"Hah? Adei, sabar jelah. Konon nak surprisekan diaorang, sekali I yang terkena," luah saya sementara MakTeh masih terus mentertawakan saya. 

"Padan muka you. Itulah, lain kali nak balik bagitahu. Kan dah terkena," sindir MakTeh kepada saya.

"Yelah, yelah. So, you suruhlah Abah gi ambil you datang rumah I. Malam ni kita pergi dinner kat Bangi," saran saya kepada MakTeh. 

Maka saya tukar haluan ke KLIA kerana ada urusan yang perlu saya lunaskan di sana terlebih dahulu sebelum pulang ke teratak. Malam itu saya bawa mereka makan malam di Restoran Wong Solo untuk menikmati nasi ayam penyet. 

"Sebenarnya sudah 2,3 hari Abah merancang untuk datang ke KL kerana ingin berjalan-jalan," terang Ummi kepada kami.

Di samping itu, mereka juga ingin menjenguk saya yang demam sejak beberapa hari yang lepas. Aduhai,  sayu hati rasanya mendengar kerisauan mereka. Mujur juga saya tidak mempunyai kelas dan kami merancang untuk pulang ke kampung pada keesokan harinya.

26 Mac 2012 (Isnin) - Kami bertolak dari teratak saya seawal jam 7.30 pagi kerana perlu singgah di Sri Damansara untuk menghantar MakTeh pulang terlebih dahulu. Dari situ, saya bawa Abah Ummi ke Mydin Selayang kerana ada beberapa barang yang ingin dibeli oleh mereka. Tanpa bertanyakan pendapat Abah Ummi, kepala saya mula ligat merangka untuk membawa mereka berjalan sebelum pulang ke kampung. Akhirnya saya putuskan untuk membawa mereka bermalam di Cameron Highlands  kerana kali terakhir Abah ke sana adalah kira-kira 6 tahun yang lalu sedangkan saya sendiri sudah mencapai tahap bosan untuk ke situ lagi dalam masa terdekat ini. Namun demi Abah Ummi, saya lupakan kebosanan diri sendiri buat seketika. Saya hubungi pemilik sebuah apartmen yang pernah saya diami sebelum ini dan ternyata ada kekosongan dan harga yang ditawarkan pula berpatutan. 

Dari Selayang, saya bawa mereka ke Rawang untuk menemui abang sulung, BaMa dan keluarganya di sana. Usai makan tengah hari, kami teruskan lagi perjalanan ke Tanjung Malim dan singgah di rumah adik saya dan kami sempat solat jama' di situ. Abah Ummi sudah mula kehairanan apabila saya memandu keluar menghala ke arah Ipoh. Sangka mereka saya akan menukar laluan melalui Batang Kali untuk menuju ke Kuantan. 

"Nak ke mana ni?" soal Abah dalam kehairanan.
"Kata nak jalan-jalan. Malam ni kita tidur di Cameron Highlands," jawab saya ringkas sambil tersenyum sinis.
"Tak bagitahu awal-awal. Ummi bawa sehelai je baju ni," balas Ummi pula. Mungkin memikirkan kesejukan yang bakal dialami sedangkan tiada pakaian yang sesuai dibawa bersama.
"K. Imah pun sama ni, tak ada baju sejuk," jawab saya lagi. 

Apa tidaknya, keputusan muktamad untuk bermalam di Cameron Highlands saya putuskan apabila mendapati ada kekosongan apartmen di sana. Jika tiada kekosongan, saya sememangnya bercadang untuk pulang terus ke kampung sahaja. 

Oleh kerana kami bertolak agak lewat daripada Tanjung Malim, kami tiba agak lewat juga di Cameron Highlands dan saya perhatikan Abah Ummi juga sudah keletihan. Sengaja saya keluar melalui persimpangan Simpang Pulai untuk mengelakkan kerisauan Abah melalui jalan Tapah yang lebih berbengkang bengkok. Saya faham benar perangai Abah dalam soal keselamatan ini malah kadangkala agak cerewet juga. 

Tiba di sana, saya terus membawa mereka ke apartmen yang telah ditempah. Memang selesa dan luas apartmen 3 bilik itu dan kami pula hanya menggunakan 2 bilik sahaja. Untuk makan malam, saya beli sahaja daripada sebuah restoran di Brinchang dan kami menikmatinya di dalam apartmen yang memang menyediakan kelengkapan dapur mencukupi. 

27 Mac 2012 (Selasa) - Kami bergerak seawal jam 8 pagi kerana memikirkan perjalanan pulang yang masih jauh. Tambahan pula saya perlu menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur pada jam 9 malam dari Kuala Terengganu. Justeru kami perlu tiba di Kuala Terengganu selewat-lewatnya pada waktu petang. Memandangkan ia adalah hari bekerja, suasana sememangnya lengang malah ia tidak semeriah seperti pada hujung minggu. 

Ruang tamu apartmen

Abah memeriksa enjin kereta

Lokasi pertama yang kami singgah adalah taman strawberi kerana Ummi ingin membeli salad kegemarannya di situ. Kemudian kami ke Kea Farm untuk membeli sayuran lain dan lebih banyak pilihan pada harga yang jauh lebih murah berbanding hujung minggu ditawarkan kepada kami. 


Ummi memilih ubi madu

RM10 selonggok

Akhir sekali, kami singgah di Bharat Plantations Tea malah rasanya ia tempat wajib singgah jika ke Cameron Highlands. Ummi pula sudah tentulah akan membeli teh kegemarannya iaitu perasa strawberi. Berapa banyak Ummi beli? Sekotak sahaja haha. Tak kisahlah, janji Ummi gembira. 

Permata hati saya

Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Kami meneruskan perjalanan pulang dengan melalui jalan Gua Musang. Ini merupakan pengalaman pertama saya memandu di laluan ini dan ia agak mencabar juga kerana jalannya yang berbengkang bengkok serta melalui lereng-lereng bukit. 

Kami tiba di pekan Gua Musang pada waktu tengahari dan perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Mujur juga kami menemui sebuah hentian rehat yang baru dibuka dan kawasannya juga kelihatan menarik serta bersih. 


Hentian Gua Musang

Bersih

Usai makan tengahari, kami kembali meneruskan perjalanan menuju ke arah Kuala Krai. Agak risau juga kerana laluan yang masih belum biasa dilalui akan ditempuh. Saya hanya memandu berdasarkan penceritaan teman-teman dan bacaan daripada pemandu-pemandu yang pernah melaluinya sahaja. Dalam perjalanan, saya nampak papan tanda menunjukkan arah ke Tasik Kenyir dan saya menuruti arah itu. Tiba di kawasan Felda Aring, saya hampir-hampir tidak percaya untuk melalui jalan yang agak teruk dan berlubang-lubang kesan laluan lori balak malah banyak kali saya berselisih dengan mereka sepanjang pemanduan di situ. Keyakinan untuk melalui jalan itu hanya timbul apabila bertemu dengan sebuah pondok polis yang ditempatkan di situ dan mendapatkan kesahihan tentang laluan tersebut daripada mereka. Aduhai, mujur juga kami menaiki kenderaan pacuan empat roda. Jika tidak, pasti hati terasa sakit juga apabila melalui jalan tersebut. 


Macam tak percaya ini laluan utama

Hampir 1 jam juga kami melalui jalan dengan keadaan sebegitu dan ia berkurangan hanya apabila melepasi Felda Aring Enam. Kesabaran yang sangat tinggi diperlukan apabila berselisih dengan lori-lori balak kerana mereka tidak menghiraukan pemandu-pemandu kereta seperti kami. 


Felda Aring Enam

Lega rasanya apabila memasuki kawasan Sungai Ketiar walaupun keadaan jalan masih tidak menyelesakan kerana ada beberapa kawasan tanah runtuh di sepanjang laluan tersebut. Ia memang amat tidak sesuai dan tidak selamat untuk dilalui pada waktu malam. Perasaan menjadi lebih lega apabila melalui persimpangan ke Tasik Kenyir. Itu bermakna kami sudah semakin menghampiri bandar Kuala Berang dan seterusnya menghampiri bandar Kuala Terengganu. Kami akan singgah di rumah abang saya, BaHa, di Chendering terlebih dahulu kerana saya akan menaiki penerbangan pulang ke KL pada waktu malamnya. 

Alhamdulillah, kami akhirnya tiba di Chendering pada jam 4.30 petang selepas saya memandu tanpa henti selama 4 jam dari Hentian Gua Musang. Lega rasanya dapat tiba lebih awal kerana sempat untuk berehat seketika sebelum pulang ke KL sementara Abah Ummi pula akan pulang ke kampung kerana giliran Abah untuk menjadi Imam pada keesokan paginya. 


Seronok melihat gelagat si kecil Asyraaf ini

Seperti dijadualkan, saya berlepas pulang ke KL dengan menaiki penerbangan jam 9.20 malam daripada Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan tiba di LCCT sekitar jam 10.30 malam. Oleh kerana saya tidak memarkirkan kereta di Putrajaya Sentral, saya terpaksa meminta bantuan adik lelaki, PakSoo, yang kebetulan bermalam di teratak saya untuk menjemput saya. Saya bernasib baik kerana sempat menaiki bas terakhir ke stesen Salak Tinggi dan menaiki tren terakhir ke stesen Putrajaya Sentral. Akhirnya, kami tiba di teratak pada jam 12.30 tengah malam. 

Penat? Itu pasti tapi saya gembira kerana dapat meluangkan masa bersama Abah Ummi. Sejujurnya, ia bukan kerana destinasi yang dituju tetapi lebih kepada perjalanan yang ditempuh bersama. Pengalaman suka duka, masam manis yang dilalui bersama itu yang lebih meninggalkan kesan di hati. 

Terima kasih Allah kerana memberi peluang ini kepada saya. 


No comments: