Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, March 11, 2012

Kembara Temasik - Episod Akhir

Bismillahirrahmanirrahim...

17 Februari 2012 - Kami bersarapan di hotel sahaja kerana bilik yang ditempah juga turut mengambilkira sarapan. Kemudian kami kembali bersantai di bilik sementara menunggu waktu untuk mendaftar keluar. Untuk ke JB Sentral pula, kami telah menempah sebuah teksi yang akan datang menjemput pada waktu tengahari. 

Teksi yang ditempah tiba seperti dijadualkan dan kami dibawa ke JB Sentral untuk menaiki keretapi pulang ke KL. Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM10.60 dan hati saya tersentuh apabila pemandu teksi  mengatakan "bayar RM10 pun tidak mengapa" sedangkan saya sudah berniat untuk membayar lebih daripada jumlah tersebut kepadanya. Akhirnya, kami menjelaskan jumlah seperti tertera pada meter sahaja iaitu RM10.60. Ini pengalaman pertama saya bertemu dengan pemandu teksi yang saya kira begitu ikhlas dan tidak berkira dengan perkhidmatan yang disediakan. Menjadi kebiasaan saya untuk menjelaskan tambang pada jumlah yang lebih sedikit sebagai amal jariah tetapi saya tewas apabila berhadapan dengan pemandu teksi tersebut. Saya berdoa semoga rezekinya akan terus dimurahkan oleh Allah dan juga diberkatiNya jua. 

Saya sebenarnya merasa hairan juga tentang masa bertolak yang ditetapkan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad iaitu pukul 2.18 petang. Hairan mengapa mesti pada minit ke 18? Mengapa tidak menggenapkannya kepada minit ke 15 atau minit ke 20? Persoalan itu masih belum terjawab sehingga ke hari ini. 

Oleh kerana memikirkan agak sukar untuk menunaikan solat sewaktu berada di dalam keretapi dan tambahan pula, waktu Zuhur telah masuk sewaktu kami masih di JB Sentral, kami tunaikan solat jama' taqdim terlebih dahulu di surau yang disediakan di dalamnya. 

Sewaktu di dalam surau, saya berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan apabila tindakan seorang kakak yang menukar lampin bayinya yang membuang air besar tanpa meletakkan alas sehingga najis tersebut terkena pada karpet lantai surau. Lebih menyedihkan apabila najis tersebut hanya dibiarkan begitu sahaja tanpa inisiatif untuk membersihkannya dengan segera. Saya merasa pelik dengan tindakan kakak tersebut yang tidak menggunakan kemudahan bilik untuk menukar lampin bayi yang disediakan bersebelahan tandas. Jika tidak pun, sediakanlah alas yang dibawa sendiri untuk digunakan pada waktu-waktu begitu. 

Sebelum meninggalkan surau, saya memaklumkan kepada kakak tersebut tentang najis yang terpalit pada karpet surau dengan harapan ia akan dibersihkan agar tidak mencemarkan ibadah jemaah yang lain. Kami pula perlu bergegas untuk memasuki gerabak kerana pengumuman bagi perjalanan kami sudah dibuat dan kelihatan para penumpang sudah mula beratur untuk memasuki ruang pelepasan. 






Sebelum itu, sempat juga kami membeli bekalan makanan untuk dimakan sepanjang perjalanan yang memakan masa selama hampir 6 jam dan dijangka tiba sekitar jam 8.25 malam. Mujur kami memilih untuk membeli tiket katil kerana perjalanan yang begitu lama sememangnya agak memenatkan. 

Alhamdulillah, kami tiba dengan selamat meskipun agak terlewat daripada jadual kerana kami tiba di KL Sentral pada jam 8.45 malam. Saya kemudian mengambil komuter ke stesen Kepong Sentral dan dijemput oleh adik untuk mengambil kereta yang saya tinggalkan di rumahnya. 

Saya berpuas hati dengan kembara kali ini kerana berjaya memenuhi itinerari yang telah disusun di samping bantuan Nazlee yang memudahkan pergerakan kami. Hanya terima kasih yang mampu saya ucapkan. Ini merupakan kembara penutup sebelum saya kembali meneruskan pengajian bagi semester 2. Banyak pengajaran yang saya kutip sepanjang kembara ini terutama dalam mengenali diri sendiri dan juga teman kembara saya, Tmot. Semoga ukhuwwah yang terjalin ini akan berpanjangan. 



No comments: