Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, March 11, 2012

Kembara Temasik - Episod 2

Bismillahirrahmanirrahim...

16 Februari 2012 - Kami mulakan kembara agak lewat sedikit iaitu jam 9 pagi untuk mengelakkan kesesakan menaiki MRT bersama orang-orang yang menuju ke tempat kerja. Destinasi kami adalah Esplanade dan Merlion Park. 






Agak lama juga kami di situ dan sudah pastilah untuk mengambil gambar di samping menikmati pemandangan 'hutan batu'. Tempat wajib sudah tentu tugu Merlion. Kali terakhir saya ke sini sebelum ini, ia berada dalam penyelenggaraan dan kami tidak dapat mengambil gambar di situ. 

Kami beredar apabila masuk waktu tengahari dan perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Cadangnya, kami ingin mencuba sup tulang merah di Restoran M.A. Deen yang terletak di Jalan Sultan. Menurut Tmot, tempat itu menjadi kegemaran artis-artis Malaysia namun itu bukan sebab utama saya ingin mencubanya. Ia lebih kepada untuk merasa makanan lain apabila berada di tempat asing. Jenuh juga kami berjalan kaki setelah menuruni MRT tetapi malangnya, restoran tersebut ditutup kerana diubahsuai. Bukan rezeki kami agaknya. Lalu kami telusuri Jalan Arab dan akhirnya makan tengahari di Restoran Kampung Glam. 


Usai makan tengahari, kami tunaikan solat jama' Zuhur dan Asar di Masjid Sultan yang juga berada tidak jauh dari Restoran Kampung Glam. Satu perkara yang menarik di sini apabila saya dapati masjid tersebut dilengkapi dengan kipas angin yang sangat besar malah itu pertama kali saya melihat kipas yang sebegitu besar. Saya rasa ia satu kaedah yang bagus untuk pengudaraan yang baik di dalam masjid selain penggunaan penghawa dingin. Namun begitu, saya kurang pasti sama ada penyelenggaraannya juga lebih mudah berbanding penghawa dingin. 

Masjid Sultan - kipas yang sangat besar

Sebaik selesai solat, kami bergerak ke kedai-kedai kain yang ada di sepanjang Jalan Arab kerana Tmot ingin membelikan kain untuk ahli keluarganya. Saya sendiri memang tidak merancang untuk membeli apa-apa kerana sedari awal sudah memasang niat untuk hanya berjalan-jalan sahaja. Malah saya memang kurang arif dalam soal pembelian kain terutama kain sutera. 

Tmot buntu membuat pilihan

Dari situ, kami bergerak dengan menaiki MRT ke Plaza Singapura dan ION Orchard Road untuk membeli barang yang dikirim oleh teman-teman. Waktu ini, kami sudah terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang lain yang sudah tamat waktu bekerja. Kepenatan memang sudah tidak dapat digambarkan kerana banyak berjalan kaki. Mengikut perancangan, kami sepatutnya bergerak ke Johor Bharu pada petang itu kerana sudah menempah penginapan di Hotel New York. 



Oleh kerana hari sudah semakin gelap, tawaran Nazlee, seorang kenalan yang bekerja di Johor Bharu (JB) untuk datang menjemput kami dan membawa kami ke JB amat kami hargai. Jika tidak, kami terpaksa mendapatkan sama ada teksi, bas atau keretapi untuk ke sana. 

Nazlee tiba seperti dijanjikan iaitu sekitar jam 8.30 malam. Sebelum kembali ke JB, ada satu tempat yang kami senaraikan di dalam itinerari tetapi tidak sempat dikunjungi lagi iaitu Studio Jalan Ampas. Justeru, tawaran Nazlee untuk membawa kami ke sana memang sangat menggembirakan namun hati menjadi sayu apabila melihat keadaan tempat tersebut. Ia terbiar seolah-olah tidak pernah menjadi medan Seniman Negara, Tan Sri P. Ramlee menghasilkan filem-filem yang tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Saya cuba membayangkan adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok yang dilakonkan oleh P. Ramlee, Aziz Satar dan Jins Shamsuddin di situ tetapi kabur. Kini yang tinggal hanya sebuah bangunan buruk yang dipagari dengan zink hijau dan hanya sebuah papan tanda diletakkan sebagai tanda ia adalah sebuah kawasan bersejarah. Di sekelilingnya pula tersergam kondominium yang menenggelamkan tempat tersebut sehingga kami terpaksa berpusing beberapa kali sebelum menemui tempat tersebut. Malah rasa tidak percaya juga timbul apabila mula-mula melihat tempat tersebut. Tidak mustahil jika suatu hari nanti tempat ini akan dilupakan terus dan digantikan dengan kondominium juga. 

Nazlee dan papan tanda menunjukkan yang ia salah satu kawasan bersejarah

No 8, Jalan Ampas, suram dan sepi tidak berpenghuni

Selepas hampir setengah jam di situ, kami beredar pulang ke JB dan sempat makan malam di sebuah restoran di Stulang Laut sebelum mendaftar masuk ke Hotel New York. Lega rasanya apabila dapat berbaring di atas katil yang empuk malah kami diberi bilik jenis family room yang memuatkan 1 katil queen dan 1 katil single. Oleh kerana kami dijadualkan untuk pulang ke KL dengan menaiki keretapi jam 2.18 petang pada keesokkan harinya, kami mempunyai waktu yang cukup untuk menikmati suasana bilik sebelum mendaftar keluar. 

No comments: