Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, March 10, 2012

Kembara Temasik - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

14 & 15 Februari 2012 - Kembara ini sebenarnya telah kami (saya dan Tmot) rancang sebelum tamat semester 1 lagi namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, perancangan tersebut terpaksa ditunda kepada bulan Februari. Urusan awal untuk kembara ini seperti tempahan tiket kapal terbang, keretapi, penginapan dan tiket masuk Universal Studio Singapore telah kami bahagi-bahagikan dan bincangkan bersama. Hasil perbincangan, kami memutuskan untuk bertolak ke sana dengan mengambil penerbangan pada waktu malam dan bermalam di Lapangan Terbang Changi. Saya memutuskan untuk mencuba bermalam di situ selepas mendengar cerita beberapa orang rakan yang pernah ke sini sebelum ini. Malah kami juga telah melayari laman web Lapangan Terbang Changi untuk meneliti kemudahan yang disediakan di situ agar mudah untuk kami menyusun pergerakan sewaktu di sana. Hasil penelitian, kami dapati ruang untuk berehat dan juga kemudahan bilik mandi ada disediakan di situ. 

Seperti dijanjikan, kami bertemu di KL Sentral sebelum menaiki bas ke LCCT. Syukur kerana penerbangan kami berlepas pada jam 10.30 malam seperti dijadualkan dan kami tiba di Lapangan Terbang Changi 1 jam kemudian. Tiba di sana kami terus melilau mencari kawasan rehat seperti yang dipaparkan dalam laman web namun gagal kami temui. Akhirnya kami memutuskan untuk berehat di kawasan taman permainan sahaja. Saya jenis yang tidak kisah dengan tempat untuk berehat asalkan selamat dan selesa. 

Merehatkan badan di taman permainan Lapangan Terbang Changi

Meskipun tidur kami tidak berapa lena kerana diganggu bunyi-bunyian namun ia sudah cukup untuk kami menyediakan diri memulakan kembara ke destinasi seterusnya. Kami bangun sekitar jam 5.30 pagi dan terus mencari kemudahan bilik mandi yang disediakan di situ. Dengan kadar SGD8.60, kami diberikan tuala dan toiletries serta minuman panas usai mandi. Bilik mandinya memang selesa dan memuaskan hati. 

Bilik mandi yang selesa

Gembira lepas mandi

Minuman panas yang boleh dinikmati usai mandi

Usai mandi, kami ke surau untuk menunaikan solat Subuh. Adat berada di tempat orang, sudah pasti ia tidak sama dengan tempat sendiri. Mujur juga kami sudah mengambil wuduk selepas mandi tadi kerana hanya satu tempat wuduk disediakan di dalam surau. 

Usai solat, kami meneruskan rondaan di dalam lapangan terbang dan kami akhirnya kembali ke tempat rehat yang sepatutnya digunakan oleh kami pada malam tadi. Kecewa juga kerana hanya beberapa kerusi sahaja sebenarnya disediakan menyebabkan ia sudah dipenuhi oleh orang lain yang tiba lebih awal. Untuk mengubat kekecewaan serta menunggu hari terang, kami mengambil peluang untuk melelapkan mata selama sejam di situ dan ternyata ia memang selesa. 

Tempat kami sepatutnya tidur

Sekitar jam 8 pagi, kami keluar dari Terminal 1 dan bergerak ke Terminal 2 untuk menaiki tren ke stesen MRT terdekat. Pada mulanya kami merancang untuk menaiki tren ke Geylang Serai dan bersarapan di sana tetapi apabila memikirkan faktor masa, kami putuskan untuk bersarapan di McDonalds dalam lapangan terbang sahaja. 

Lapangan Terbang Changi

Stesen Tanah Merah

Kunjungan kali ini memang berbeza dengan kunjungan sebelum ini kerana saya sudah terlebih dahulu meneliti trek perjalanan MRT untuk melancarkan pergerakan kami tetapi Tmot jauh lebih cekap daripada saya malah urusan itinerari banyak diuruskan olehnya. Dari stesen Tanah Merah, kami menaiki MRT ke stesen HarbourFront dan dari situ kami menaiki bas transit di Vivo City untuk ke Universal Studio Singapore (USS). 

Perjalanan dengan MRT yang mudah dan lancar

Kami tiba di USS sekitar jam 11 pagi dan ia mula dibuka pada jam 10 pagi lagi. Tiket pula telah dibeli oleh Tmot secara online dengan sedikit diskaun. Memandangkan kami belum mendaftar masuk penginapan, kami tinggalkan beg di loker yang disewa pada kadar SGD4 sejam dan SGD20 untuk sehari. Mulanya kami  merancang untuk berada di situ selama 3 jam sahaja tetapi apabila mendapati banyak perkara-perkara menarik yang ada di dalamnya, kami memutuskan untuk mencuba semua permainan yang ada. Lebih-lebih lagi ini merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki ke sini dan entah bila kami akan berpeluang ke sini lagi. Di samping itu, kami juga berpendapat biarlah masa yang dihabiskan berpadanan dengan harga tiket yang telah dibayar. 













Memang berbaloi rasanya mencuba kesemua permainan yang ada di dalamnya terutama Transformer Ride. Malah kami sanggup beratur sebanyak 2 kali untuk menaikinya kerana efeknya yang begitu nyata. Malah persembahan Waterworld juga tidak kurang hebatnya. Pendek kata, pengalaman di USS memang berbaloi dengan harga tiket yang dikenakan. Bayangkan, jika mengikut pelan asal, kami sepatutnya meninggalkan USS sekitar jam 3 petang tetapi akhirnya menjadi 6.30 petang. 

Selepas itu, kami segera menuju ke penginapan yang telah ditempah lebih awal iaitu Asphodel Inn. Walaupun ia hanya hotel bajet, kadarnya untuk satu malam bersamaan dengan hotel 3 bintang di Malaysia. Antara faktor kami memilih tempat tersebut adalah kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Mustafa Center, iaitu sebuah pusat beli belah yang beroperasi selama 24 jam. 

Sebaik mendaftar masuk, kepenatan memang jelas terasa malah badan hanya ingin berehat sahaja tetapi kerana kami telah merancang untuk ke Mustafa Center, digagahkan juga kaki untuk menapak ke sana yang memakan masa 10-15 minit. Perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Oleh kerana sudah tidak larat untuk mencari tempat makan lain, kami makan nasi beriyani di salah sebuah kafe berhampiran Mustafa Center.



Usai makan malam, kami teruskan aktiviti meronda Mustafa Center yang mengandungi beberapa tingkat. Jika di Malaysia, saya rasa ia sama seperti Mydin cuma bezanya ia beroperasi selama 24 jam. Di sini juga terdapar ruang menjual minyak wangi yang menurut Tmot, harganya jauh lebih murah daripada di pasaran. Oleh kerana sudah tidak terdaya lagi untuk melangkah, saya mengajak Tmot untuk menaiki teksi pulang ke hotel dan dikenakan caj sebanyak SDG6 kerana pemandu teksi gagal menemui hotel yang kami maksudkan.  Saya tidak pasti sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak kerana keletihan membuatkan saya sudah tidak sabar untuk merehatkan diri di atas katil. 

2 comments:

Uncle Lee said...

Hi, I love your pics here, very nice, and love your header, life is short'.....
Allow me to add, 'live your life with no excuses, love with no regrets'.
You have a nice weekend, keep a song in your heart.
Lee.

Carrie-Ma said...

Dear Uncle Lee,

Thank you for the compliment. It's my honour that you drop by at my blog. Nice to meet you :)