Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, March 6, 2012

Jahit

Bismillahirrahmanirrahim...


Saya tahu menjahit tapi sekadar untuk keperluan kecil sahaja seperti memendekkan kaki seluar, mengenakan butang pada baju atau menampal koyakan pada pakaian. Untuk menjahit baju kurung atau sehelai pakaian sudah pasti saya tidak pakar langsung meskipun keinginan untuk mempelajarinya ada. Namun keterbatasan waktu membuatkan keinginan itu terkubur begitu sahaja. 

Sewaktu tingkatan 3, salah satu subjek yang saya pelajari adalah Kemahiran Hidup (Ekonomi Rumah Tangga). Salah satu tugasannya adalah menyiapkan sebuah beg dengan menggunakan teknik quilting. Gigih saya dan kawan-kawan mencari corak kain yang diminati di kedai-kedai kain sekitar bandar Kuala Terengganu. Memandangkan saya tinggal di asrama, sukar untuk mendapatkan kemudahan mesin jahit malah ia tidak disediakan di dalam bengkel subjek berkenaan. Masa semakin suntuk sedangkan saya masih belum menyiapkannya kerana hanya menjahit dengan tangan sahaja. Akhirnya, tugasan itu disempurnakan sebahagiannya oleh Ummi sewaktu saya pulang pada hujung minggu. Ummi bersungguh-sungguh menyiapkannya dengan menggunakan mesin jahit malah sanggup bersengkang mata kerana selepas itu saya perlu kembali ke asrama semula. 

Apabila dikenang kembali, sesungguhnya setiap kejayaan saya pada hari ini adalah milik Abah Ummi jua. Tanpa mereka siapalah saya. 

"Ya Allah, Kau kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu kecil."

2 comments:

Uncle said...

Salam Carrie Ma.

Pandailah tu kalau dapat bagi pendek kaki seluar....ramai lagi yang kat luar sana nak masukkan benang ke jarum pun tak reti! Hahahahah...

Carrie-Ma said...

Uncle,

Yeke? standard pandai saya adalah boleh jahit sehelai baju. setakat jahit sikit2 tu biasa je. haha