Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, February 29, 2012

Semalam di Pulau Mutiara

Bismillahirrahmanirrahim...

11 Februari 2012 - Saya bertolak pulang ke KL pada 10 Februari kerana telah berjanji untuk menghadiri majlis perkahwinan Sharliza, antara sahabat yang rapat dengan saya malah sudah saya anggap seperti adik sendiri. Perjalanan kali ini telah saya rancang bersama teman baik,  Ila Ramliey, (merangkap supir hehe) dan kami merancang untuk bertolak seawal pagi sebelum Subuh. Namun atas kelemahan diri saya, akhirnya kami memulakan perjalanan sekitar jam 7.30 pagi. Ada hikmahnya juga kerana perjalanan yang diambil hanya 4 jam sahaja dan kami tiba pada waktu tengahari di dewan tempat majlis diadakan malah kami antara tetamu terawal yang tiba. Jika kami bertolak lebih awal sudah pasti kami akan tiba terlalu awal dan perlu menunggu majlis dimulakan pula. Rumah Sharliza terletak di Penaga, Seberang Perai Utara tetapi majlis diadakan di Dewan Dato' Ismail Chik yang terletak beberapa kilometer daripada rumahnya. 

Oleh kerana kami tiba awal, kami terpaksa menunggu sehingga jam 1.30 petang iaitu waktu pengantin dijangka tiba. Mujur juga ibu Sharliza sudah mengenali saya dan ia membuat saya selesa menunggu ketibaan Sharliza dan pasangannya, Hasbi. Akhirnya, pengantin tiba pada waktu yang dijanjikan dan saya hanya sempat mengambil sekeping gambar sahaja. Mereka tidak bersanding sebaliknya hanya mengadakan makan beradab sahaja. Oleh kerana kami sudah keletihan selepas menempuh perjalanan yang jauh, kami tidak menunggu lebih lama lagi. Usai bersalaman dengan pengantin, kami segera menuju ke Hotel Grand Paradise yang terletak di Georgetown. Hotel ini sudah saya tempah lebih awal melalui laman web Agoda dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM100 untuk satu malam. 

Pengantin berjalan memasuki dewan

Usai mendaftar masuk dan solat, kami bersiap untuk meronda-ronda sekitar Georgetown. Destinasi pertama kami adalah Padang Kota Lama. Secara kebetulan, Karnival NKRA - Rakan Remaja COP 2012 sedang diadakan di situ menyebabkan jalan agak sesak dan sukar untuk kami memarkirkan kereta. Selepas beberapa kali berpusing, kami bernasib baik kerana ada sebuah kereta beredar dan kami mengambil tempat tersebut. Dari situ, kami berjalan menempuh deretan kereta yang mengeluarkan bunyi yang sungguh kuat. Bunyinya sangat kuat sehingga membingitkan telinga namun agak menarik juga melihat gelagat pemilik-pemilik kenderaan yang begitu ghairah menghias kereta masing-masing. Saya tidak tahu apa motif mereka begitu gigih menghabiskan wang yang saya percaya mencecah puluhan ribu ringgit demi untuk menghasilkan bunyi yang kuat semata-mata. Adalah lebih baik wang tersebut disalurkan untuk berbuat sesuatu yang lebih mendatangkan manfaat.


Pelbagai jenis kenderaan menyertai pertandingan tersebut

Ila Ramliey yang begitu teruja melihat skrin pada bonet kereta

Tengok je tapi tak faham apa motifnya

Kancil pun tidak mahu ketinggalan

Puas melihat kereta-kereta tersebut, kami beredar ke tempat makan berhampiran malah ia memang saya nanti-nantikan kerana teringin untuk makan sotong kangkung. Sewaktu kami tiba, masih banyak tempat duduk yang kosong. Mungkin kerana waktu masih awal dan jumlah pengunjung yang masih belum terlalu ramai. Di sini berlaku insiden yang melucukan apabila secara tiba-tiba kami merasa seolah hari akan hujan menyebabkan saya sudah sedia berdiri untuk berganjak ke tempat duduk berbumbung. Namun kami kemudian menyedari cuaca menjadi gelap kerana sudah memasuki waktu Maghrib dan titisan air yang mengenai kami sebentar tadi adalah percikan air laut kerana tempat duduk kami yang terletak berhampiran dengan laut. Bila diingat semula insiden tersebut, memang kami akan tergelak besar mengenangkan kesengalan kami waktu itu. 

Sotong kangkung
Agak lama juga kami di situ kerana banyak aktiviti menarik yang diadakan termasuk persembahan pentas dan pertandingan Muay Thai. Di samping itu, kami juga menunggu waktu destinasi seterusnya dibuka iaitu Restoran Nasi Kandar Beratur yang mula beroperasi pada jam 10 malam. Sudah beberapa kali saya ke Pulau Pinang dan ini kali pertama saya ke sini. Itu pun atas jasa baik Ila Ramliey yang sudah berjanji untuk membawa saya ke sini. Agak mudah juga untuk mencari tempat ini kerana ia terletak betul-betul bersebelahan dengan Masjid Kapitan Keling. Sewaktu kami tiba, kelihatan sudah ada pelanggan yang beratur menunggu giliran untuk memilih hidangan. Itulah daya penarik di sini. Ia sebenarnya bukan kerana kelazatan masakannya tetapi lebih kepada untuk merasai suasana beratur. Kadang-kadang tempoh beratur boleh mencecah sehingga 1 jam  terutama pada waktu puncak. Mujur juga kami tiba agak awal dan tempoh beratur tidak sampai setengah jam. Lebih menarik apabila pelbagai bangsa gigih beratur menunggu giliran. 

Nasi Kandar Beratur

Satu hidangan boleh dikongsi 2 orang

Masjid Kapitan Keling

Saiz hidangannya memang sangat banyak sehingga saya terpaksa membungkus sebahagian daripadanya. Lain kali jika saya ke sini lagi, sudah pasti saya hanya akan meminta hidangannya dikurangkan kecuali bagi golongan yang memiliki perut seperti stokin, hidangan sebegini pasti sangat digemari. Bahagian yang dibungkus itu akhirnya menjadi hidangan sarapan saya. Sesetengah orang pula mungkin tidak gemar memakan lebihan makanan yang sama tetapi ia bukan masalah besar bagi saya. Rasanya saya bukan seorang yang cerewet dalam soal makan. Asal halal, sedap dan tidak basi, saya suap saja. 

Keesokan paginya, sebelum pulang ke KL, kami memutuskan untuk singgah di Muzium Permainan yang terletak di Jalan Tanjung Bungah. Menurut pemiliknya, ia muzium permainan yang terbesar di dunia dan tiket masuk sebanyak RM10 dikenakan kepada pengunjung tempatan. Ini merupakan kali pertama kami ke sini dan perasaan teruja memang tidak dapat disembunyikan lagi. 

Selamat datang

Boleh dikatakan hampir semua karakter kartun dan filem yang pernah ditonton sewaktu zaman kanak-kanak dipamerkan di situ. Siapa yang tidak kenal dengan Superman, Batman, Freddy's Nightmare, Chiaki, Shrek, Doraemon dan macam-macam lagi. Kami jadi ralit berada di dalamnya sehingga tidak sedar masa berlalu sehingga 2 jam. Kawasannya tidak begitu besar tetapi keasyikan melihat pelbagai koleksi sambil mengimbau kenangan zaman membesar membuatkan kami jadi tekun menelitinya. 

Star Wars

Ultraman

Ninja Turtles

Freddy's Nightmare

Chiaki

Shrek

Sebelum pulang, kami singgah di sebuah tempat makan berhampiran stadium untuk makan tengahari. Ais kacangnya memang sedap dan harganya juga berpatutan. Dari situ, kami meneruskan perjalanan pulang ke KL agar kami sempat tiba sebelum waktu malam. Meskipun ia hanya kunjungan singkat, saya puas kerana dapat memenuhi undangan teman di samping dapat bersiar-siar bersama Ila Ramliey dan yang paling penting, dapat menikmati makanan yang sedap. 

No comments: