Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, February 27, 2012

Kembara Bandung - Hari 4

Bismillahirrahmanirrahim...

24 Januari 2012 - Hari terakhir kami di bumi Bandung. Seperti biasa, sarapan standard adalah nasi goreng. Agenda kami pada hari ini adalah membeli-belah di Pasar Baru sebelum bertolak pulang menaiki pesawat pada jam 3.30 petang.

Nasi goreng

Memandangkan Hendro perlu membawa pengunjung lain ke Puncak, dia menyerahkan tugasan membawa kami ke Pasar Baru dan seterusnya menghantar kami ke Bandara kepada seorang rakannya. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan cara pemanduan Hendro yang tampak lebih cekap, kami menjadi kurang senang dengan gaya pemanduan rakannya itu namun kami tiada pilihan. Ia juga mungkin kerana kami masih belum mengenalinya berbanding Hendro yang telah bersama kami sejak dari awal lagi.

Pertemuan terakhir bersama Hendro

Dari hotel, kami terus dibawa oleh supir ke Pasar Baru namun kerana waktu masih awal, kami perlu menunggu selama 1 jam untuk kedai-kedai dibuka. Agak kecewa juga rasanya kerana waktu terbuang begitu sahaja sedangkan kami perlu bergegas untuk pulang pula selepas itu. Lebih mengecewakan apabila kami perlu menunggu premis money changer dibuka pada jam 10 pagi membuatkan aktiviti membeli-belah kami sedikit terbantut. Menyesal pula tidak menerima tawaran Hendro untuk menukar wang bagi pihak kami semalam.

Suzuki Baleno

Pasar Baru merupakan sebuah tempat membeli-belah yang mengandungi 7 lantai dan setiap lantai menyediakan kelengkapan yang berbeza kepada pengunjung. Namun kesabaran yang amat tinggi diperlukan untuk berhadapan dengan peniaga-peniaga haram yang turut berlegar-legar di dalamnya. Akibatnya, Abah dan Ummi menjadi pening untuk membeli-belah dan akhirnya hanya membeli secara ala kadar sahaja. Di samping itu, saya dan MakTeh memutuskan agar kami dan Abah Ummi membeli-belah secara berasingan menyebabkan Abah Ummi tidak tahan dengan gangguan peniaga-peniaga haram tersebut. Sedikit sebanyak saya turut menyesali keputusan kami itu dan ia adalah petunjuk kepada kami agar tidak mengulanginya lagi dalam siri kembara akan datang terutama kembara ke Vietnam yang telah kami rancang pada bulan Mei kelak. Sangka saya Abah Ummi tahu untuk menjaga diri mereka namun ternyata saya silap. Benarlah, hidup ini umpama putaran roda. Jika dulu sewaktu kami kecil, Abah Ummi menjaga dan mengawasi kami namun kini apabila kami sudah dewasa dan mereka pula sudah dimamah usia, tugasan itu beralih kepada kami pula.

Bandar Bandung dari lantai 7 Pasar Baru

Pengunjung boleh memilih sama ada menaiki lif atau eskalator untuk bergerak dari satu lantai ke lantai yang lain 

Pastikan anda membawa rupiah mencukupi

Pun begitu, kami perhatikan peniaga-peniaga di sini seolah-olah sudah sepakat mengenakan harga yang lebih kurang sama kepada orang Malaysia malah ada sesetengah peniaga yang menawarkan harga dalam matawang Ringgit Malaysia kepada kami. Mungkin kerana jumlah orang Malaysia yang ramai dan sering berkunjung ke sini menyebabkan mereka bertindak demikian.

Kami tinggalkan Pasar Baru sekitar jam 12 tengahari dan kembali ke hotel untuk mengemas barangan yang telah dibeli ke dalam beg. Dari hotel, kami singgah di premis Kartika Sari untuk membeli brownies dan buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Banyak juga yang kami borong malah kami sempat makan tengahari di situ.

Kemudian kami terus dibawa ke Bandara dan kami tiba agak awal kerana perlu memasukkan barangan ke muatan kargo. Seperti dijangka, kami perlu membayar tambahan berat beg sebanyak Rp170,000 kerana saya hanya membeli untuk muatan sebanyak 30kg sahaja sedangkan muatan kami lebih daripada itu. Di samping itu, kami juga perlu membayar airport tax sebanyak Rp75,000 seorang sebelum dibenarkan masuk ke dalam balai berlepas.

Semua dokumen dah sedia

Pesawat ditunggu sudah tiba

Selamat tinggal Bandung

Panjang umur kita jumpa lagi

Benar kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu jua tetap di hati. Saat itu tidak sabar rasanya untuk kembali ke Malaysia. Kami bernasib baik kerana tiada penangguhan penerbangan sewaktu perjalanan pergi dan balik. Penerbangan selama 2 jam terasa panjang dan lega akhirnya apabila tayar pesawat mencecah landasan di LCCT. Mujur juga adik-adik saya sudah sedia menunggu ketibaan kami untuk pulang ke teratak saya terlebih dahulu sebelum bertolak pulang ke kampung pada keesokan harinya.  

Menunggu beg

Menyusun barangan di dalam bonet

Mujur juga kami sudah solat jama' di Bandara kerana kami tiba sekitar jam 6.30 petang dan urusan selesai sekitar jam 7 malam. Jika kami menangguhkan solat sehingga tiba di Malaysia, sudah pasti kami akan terlepas waktunya.

Perjalanan kali ini memberi banyak makna buat saya terutama dalam mengenali konsep percutian yang sesuai buat kami. Nyata kami bukan kaki shopping sebaliknya lebih gemar menikmati keindahan alam sekitar dan suasana di tempat orang sahaja. Di samping itu, kami juga gemar mencuba kepelbagaian makanan yang ada di tempat orang. Paling utama, saya tidak akan sekali-kali meninggalkan Abah Ummi walau dalam apa jua keadaan kelak.

Syukur kerana kembara kami pada kali ini berakhir dengan baik meskipun saya akan merasa lebih gembira jika dapat membawa adik-beradik saya yang lain untuk turut serta seperti kembara Medan pada 2 tahun yang lalu. Menyedari yang setiap dari kami sudah punya komitmen dan kekangan tersendiri, saya sudah merasa puas kerana dapat membawa Abah Ummi melancong bersama-sama. Ia salah satu cara saya menunjukkan kasih sayang kepada mereka.


2 comments:

Anonymous said...

Salut,. . Je veux savoir ce que je peux utiliser le contenu de sites Web comme Microsoft ou Apple ou similaires à écrire des articles techniques ou est-ce une violation du droit d'auteur?. . Merci.

Amsyahril Syahril said...


Assalamualaikum Tuan/Puan.

Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi kami di:

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Kami memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati di Indonesia. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour dan Bali Muslim Tour.

Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.