Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, February 26, 2012

Kembara Bandung - Hari 3

Bismillahirrahmanirrahim...

23 Januari 2012 - Cuaca yang dingin membuatkan saya terasa sayang untuk membuka selimut dan meninggalkan katil namun tanggungjawab sebagai hambaNya wajib ditunaikan. Di samping itu, saya dan MakTeh telah merancang untuk meronda kawasan sekeliling sebelum kami meninggalkan tempat tersebut. Terasa kesegaran udara yang dihirup sambil dihiasi kicauan beburung. Alangkah baiknya kalau kami dapat meluangkan masa lebih lama di sini kerana kemudahan yang disediakan memang amat sesuai untuk satu famili. Malah di belakang bilik kami, ada kemudahan banglo, taman permainan dan kolam renang untuk kegunaan pengunjung. Kedengaran suara anak-anak kecil bermain dengan riang di situ.

Sementara menunggu sarapan dihantar ke bilik kami, saya dan MakTeh mengambil peluang untuk mengambil gambar sambil menghirup kopi jenama Tora Bika yang kini menjadi kegemaran saya. Rasanya berbeza dengan kopi lain yang pernah saya nikmati sebelum ini di Malaysia.

MakTeh dan keropoknya - kamar kami di tingkat bawah, bilik nombor 1 dan 2 dari kanan

Sedang kami enak menghirup udara segar pagi, datang seorang pakcik yang menggalas sebuah bekas mengandungi makanan. Apa lagi, kami yang memang sedang lapar kerana malam tadi hanya memakan mee segera, dengan pantas memborong makanan daripada pakcik tersebut. Harganya cuma Rp1000 sahaja untuk sekeping kuih. Abah cuba mengangkat bekas tersebut dan ternyata ia memang berat. Begitu gigih pakcik itu mengangkatnya dari bilik ke bilik demi untuk mencari rezeki yang halal. Memang menjadi kesukaan saya gemar mencuba makanan di tempat orang terutama yang tidak dijumpai di Malaysia. Namun kadangkala ada juga makanan yang hampir serupa tetapi dikenali dengan nama yang berbeza.

Berat juga, kata Abah

Tidak lama kemudian, datang petugas penginapan mengedarkan sarapan berupa nasi goreng dan telur goreng kepada penghuni kamar termasuk kami. Tiada hidangan bufet kecuali atas permintaan atau jika ada yang menginap secara berkumpulan sahaja. Usai sarapan, kami bersiap dan ternyata Hendro sudah siap menunggu kami untuk bergerak menuju ke destinasi seterusnya. Jika diikutkan hati, memang saya ingin melawati semua tempat menarik yang ada di Puncak namun kerana kesuntukan waktu, kami hanya sempat ke Taman Safari Indonesia sahaja. Ditambah pula dengan kemacetan luar biasa kerana jumlah pengunjung yang ramai sempena cuti Imlek membuatkan kami ingin segera beredar dari situ. Nun jauh di sudut hati, saya ingin pergi lagi ke sana untuk melawati tempat-tempat yang gagal saya singgah dalam kembara kali ini. InsyaAllah saya pasti datang lagi, jika Dia mengizinkan.


Sayonara Resort Permata Hati
Dari tempat penginapan, kami terus menuju ke Taman Safari Indonesia dan mujur juga ia dibuka awal. Di sepanjang jalan masuk, kami disambut oleh peniaga-peniaga wortel (lobak) yang memenuhi sepanjang perjalanan. Pengunjung boleh membelinya untuk diberi makan kepada binatang-binatang sewaktu berada di dalam Taman Safari kelak. Lalu kami turut singgah membeli beberapa ikat wortel pada harga yang ditawarkan oleh Hendro. Harga tiket perlu dijelaskan apabila memasuki pintu masuk iaitu Rp400,000 untuk setiap pengunjung dan Rp40,000 untuk kenderaan yang dipandu. Agak mahal juga jika ditukar kepada matawang Ringgit Malaysia tetapi bila difikirkan yang peluang sebegini bukan senang untuk diperoleh, saya tidak mahu berkira lagi.

Peniaga wortel memenuhi jalan masuk ke Taman Safari

Hujan turun rintik-rintik menambahkan kedinginan pagi tetapi mujur juga, kami tidak perlu meninggalkan kenderaan kerana konsepnya pengunjung hanya perlu melalui kawasan yang dipenuhi binatang dengan menaiki kenderaan masing-masing. Malah bagi pengunjung yang datang dengan kenderaan awam, pihak mereka ada menyediakan perkhidmatan kereta untuk disewakan sepanjang tempoh lawatan. Oleh kerana cuaca hujan, tidak banyak binatang yang berkeliaran di luar sebaliknya berteduh di bawah pondok-pondok sahaja.

Kuda belang berteduh menunggu hujan reda barangkali

Saya tertarik dengan konsep tempat ini kerana pengunjung tidak perlu mengeluarkan tenaga untuk berjalan kaki terutama kepada yang membawa orang tua dan anak-anak kecil. Konsep sebegini belum saya temui lagi di Malaysia. Apabila hujan berhenti, binatang-binatang mula keluar menghampiri kenderaan untuk mendapatkan lobak yang dihulurkan oleh pengunjung. Namun harus hati-hati semasa membuka cermin tingkap untuk mengelakkan binatang tersebut memasukkan kepala ke dalam kenderaan dan jika 'bernasib baik', air liur mereka akan menitis ke atas pengunjung.

Di sepanjang perjalanan pula, ada beberapa laluan sungai kecil yang perlu diredah menjadikan suasana sedikit mencabar di samping dapat mencuci tayar kenderaan. Namun oleh kerana jumlah kenderaan yang agak banyak, berlaku kesesakan apabila pengunjung yang berhenti terlalu lama di satu-satu lokasi menyebabkan ada pemandu yang membunyikan hon. Sedikit sebanyak ia turut mengganggu kedamaian yang sedang dinikmati tetapi apakan daya, lain orang, lain fikirannya.

Mendapatkan wortel yang dihulur oleh pengunjung

Hai, boleh saya berkenalan?

Taman Safari ini sebenarnya sangat luas dan dibahagikan kepada beberapa kawasan termasuklah kawasan untuk binatang buas. Apabila memasuki kawasan ini, pengunjung dikehendaki untuk memastikan cermin tingkap ditutup sepenuhnya untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini. Namun sempat juga Hendro membuka cermin tingkap beberapa ketika untuk merakamkan foto bagi pihak kami. Di sudut-sudut tertentu pula, ada petugas Taman Safari yang ditempatkan untuk mengawasi keadaan dan menegur jika ada pengunjung yang melanggar peraturan.  

Sila tutup cermin tingkap

Kuda belang bebas berkeliaran di celah-celah kenderaan

Jelingan manja Si Badak Sumbu

Kami berada di situ sehingga waktu tengahari dan hujan turun semakin lebat. Lantas kami segera beredar walaupun ada beberapa tempat lagi di situ yang belum sempat kami lawati. Tambahan pula, kami perlu beransur ke Bandung pula kerana akan menginap di situ pada malamnya dan ini merupakan malam terakhir kami di Bandung. Dalam perjalanan keluar dari Taman Safari, kami beberapa kali terperangkap dalam kemacetan malah ada yang hampir 1 jam tidak bergerak langsung. Tidak dinafikan, ia benar-benar mencabar kesabaran kami namun inilah asam garam bagi sebuah kembara. Sepertimana kehidupan ini sendiri adalah suatu pengembaraan yang tidak akan pernah lekang dari badai ujian. Namun ujian itulah yang akhirnya membentuk jiwa kita agar menjadi lebih kental dalam menempuh kehidupan ini.

Untuk perjalanan pulang, Hendro membawa kami memasuki lebuhraya yang kami elakkan semasa perjalanan ke Puncak sebelum ini untuk mengelakkan kemacetan. Menariknya lebuhraya ini, untuk laluan masuk hanya mesin tiket sahaja disediakan dan pemandu hanya perlu menekan butang untuk mendapatkan tiket. Jurutol hanya bertugas di kaunter bayaran di penghujung lebuhraya kelak. Satu idea yang bagus untuk diaplikasi di Malaysia namun saya rasa akan ada pro dan kontranya pula. Di satu sudut, ia mempercepatkan proses namun di satu sudut pula, ia akan mengurangkan jumlah pekerja jurutol di samping menimbulkan kegawatan jika mesin disediakan menghadapi kerosakan. Lebih-lebih lagi jumlah lebuhraya di Malaysia adalah lebih banyak berbanding di sini.

Lebuhraya Puncak-Bandung

Kami tiba di Bandung sekitar jam 3.30 petang dan terus mendaftar masuk ke Hotel Malaka yang telah saya tempah lebih awal. Saya suka dengan dekorasi hotel ini yang moden dan kontemporari. Mungkin juga kerana hotel ini baru 4 bulan beroperasi maka peralatannya masih berada dalam keadaan baik. Hendro menunggu kami di lobi hotel kerana akan membawa kami untuk aktiviti membeli-belah pula. Sekitar jam 4 petang, kami dibawa ke kawasan yang dipenuhi oleh outlet. Sejujurnya, oleh kerana saya ini bukan kaki shopping dan bukan juga jenis yang mementingkan barangan berjenama, kunjungan ke situ tidak begitu mengujakan. Ia sekadar untuk melihat sendiri tempat yang sering diwarwarkan oleh teman-teman yang gemar membeli-belah di sini.

Malaka Hotel, Bandung

Namun ada satu perkara yang cukup unik apabila saya menikmati aiskrim perasa durian yang dijual oleh peniaga di luar outlet. Menariknya, 2 ulas durian dimasukkan bersama aiskrim dan disaluti oleh susu perasa coklat.

Aiskrim durian

Lenguh juga kaki kami meronda dari satu outlet ke outlet yang lain. Untungnya outlet-outlet tersebut hanya terletak bersebelahan antara satu sama lain. Hasilnya, tidak banyak yang kami borong kecuali 4 pasang kasut di Terminal Tas.

Terminal tas - gedung beg dan kasut

Puas meronda, kami hubungi Hendro untuk menjemput kami pulang ke hotel tetapi dalam perjalanan, kami sempat singgah di Restoran Rumah Melayu untuk makan malam. Namun oleh kerana kami tiba agak lewat, banyak lauk yang sudah kehabisan malah kami antara pelanggan terakhir sebelum tempat itu ditutup.

Kami tiba di hotel sekitar jam 10 malam dan ia satu kenikmatan apabila dapat berbaring di atas tilam yang empuk selepas penat seharian menempuh perjalanan yang jauh dan menapak dari satu outlet ke outlet yang lain. Sebelum tidur, saya dan MakTeh menghubungi kaunter untuk mendapatkan khidmat urutan dan 2 orang wanita muda dihantar ke bilik kami. Namun begitu, servisnya biasa-biasa saja dan tidak memuaskan hati kami meskipun harga yang dikenakan agak mahal juga iaitu Rp150,000 seorang.

3 comments:

♦ nisa ♦ said...

Salam kenal karimah,

Berminat nak pergi taman safari tu sebab tak pernah ada lagi di Malaysia..ada jugak google tapi macam jauh juga perjalanan dari bandung..

berapa jam perjalanan nye yer dari bandung?berbaloi tak kalau pergi

nisa

Carrie-Ma said...

Nisa,

Salam kenal kembali. Terima kasih kerana singgah :)
Sejujurnya, saya cadangkan jika ingin ke sana, lebih baik bermalam di sana kerana banyak tempat2 menarik lain lagi di situ. Memang berbaloi ke sana. Perjalanan jika tidak macet hanya 2 jam tetapi kami ambil masa hampir 4 jam kerna kemacetan luar biasa. Serik rasanya pergi pada waktu cuti umum.

tony transport bandung said...

Assalamualaikum Wr.Wb. Tuan / Puan
Mutiara Bandung Transport Solution menyediakan Khidmat Transport Di Bandung & Jakarta. Pemandu berpengalaman, mesra, jujur, dan peramah
Free & Eazy Program Tour (semua tempat di bandung)

Kereta + Pemandu + Parking + tol + makan pemandu ( semua dalam pakej)

Rate Kereta Taip Daily/14 hour from 8am yo 10 pm

Suzuki APV ( 7seat ) 130 RM

Toyota Avanza ( 6seat ) 130RM

Toyota Innova ( 7seat ) 160 RM

KIA Pregio ( 10seat ) 170 RM

Isuzu Elf ( 10-15 seat ) 215 RM

Isuzu Elf Long (16-19seat) 270 RM

Mengenai untuk pengesahan tempahan kereta kita perlu maklumat penerbangan anda / nombor atau nama hotel di mana anda tinggal di Bandung. Kami percaya pelanggan kami. Apabila anda mengatakan bahawa tempahan kereta untuk tarikh tertentu disahkan, maka ia disahkan. Kita tidak memerlukan wang pendahuluan . Sila ingat bahawa Kami akan menjemput anda jika anda mengatakan bahawa tempahan kereta disahkan.
Jika anda mempunyai sebarang soalan, jangan teragak-agak untuk menghubungi saya melalui e-mel atau sms panggilan.
CALL / hubungi / sms / whatsapp / konsultasi percuma : +62 858 6137 8328
WhatsApp : +62 858 6137 8328
pin blackberry : 30D1 82F0
email:
tonybandung@smartfren.blackberry.com
or
tonytransportbandung@gmail.com